• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,285,195 orang
  • Kandungan Blog

Adab, akhlak ‘hadiah terbaik’

Anak-anak kita masa ini tentu berasa seronok kerana dapat ‘berehat’ agak panjang dan melupakan buat seketika ruang minda daripada aktiviti pembelajaran. Sudah pasti juga kita sebagai ibu bapa mempunyai lebih masa untuk bersama-sama anak-anak yang sebelum ini mungkin agak terhad.

Inilah masa terbaik untuk kita memanfaatkan sepenuhnya masa cuti persekolahan itu dengan melakukan sesuatu aktiviti yang boleh menambahkan keeratan hubungan sesama ahli keluarga. Berikut beberapa panduan yang mungkin sesuai untuk dijadikan agenda kehidupan anak-anak semasa mereka sedang bercuti.

Pendidikan solat 

Kita sebagai ibu bapa sebenarnya mempunyai tanggungjawab besar dalam merangka visi untuk membina anak yang berjiwa luhur selari dengan tuntutan agama. Dalam konteks ini tentunya pendidikan solat dan pembelajaran al-Quran satu kewajipan yang mesti dipikul oleh ibu bapa.

Sahabat Nabi SAW, Amru al-Ash ada melaporkan bahawa Rasulullah SAW pernah menegaskan: “Suruhlah anakmu solat pada usia tujuh tahun, pukullah sekiranya mereka masih tidak melaksanakannya pada usia 10 tahun dan pisahkanlah tempat tidur mereka.” (Hadis riwayat al-Hakim dan Abu Daud)

Insya-Allah anak-anak yang membesar menjadi ‘kaki solat’ dan ‘ahli masjid/surau’ mampu membentengi diri mereka daripada terjebak daripada gejala negatif yang bertentangan ajaran agama.

Allah menjelaskan kepada kita menerusi wahyu-Nya dalam Surah al-Ankabut ayat 45 yang bermaksud: “Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari al-Quran dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.”

Pendidikan al-Quran

Aspek kedua yang sewajarnya tidak dipandang sepi ialah memberikan didikan al-Quran. Mungkin semasa anak-anak sibuk dengan sesi pembelajaran di sekolah, kita begitu terhad untuk mengajar sendiri pembacaan al-Quran kepada mereka.

Jadi, semasa cuti persekolahan inilah waktu yang tepat untuk mengajar mereka aspek bacaan al-Quran. Mungkin sebelum ini, kita sekadar ‘menswastakan’ pendidikan al-Quran kepada pihak lain untuk mendidik anak-anak kita. Seboleh upayanya luangkanlah masa demi menjadikan anak-anak kita mampu membaca al-Quran, sekali gus menjadi orang dewasa yang mencintai ‘Kalam Allah’. 

Rasulullah SAW pernah memberikan ganjaran pahala yang besar di akhirat buat golongan ibu bapa yang mengambil berat aspek pendidikan al-Quran kepada zuriatnya. Hal itu dilaporkan oleh seorang sahabat Baginda SAW, Sahl bin Muaz Al-Juhani bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: “Barangsiapa membaca al-Quran dan dia beramal dengan isi kandungannya nescaya Allah pakaikan kedua ibu bapanya mahkota pada Hari Kiamat yang cahayanya lebih elok daripada cahaya matahari yang menyinari rumah-rumah di dunia.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Didikan akhlak Islam

Aspek yang mungkin bagi sesetengah pihak sering meremehkannya ialah didikan akhlak dan adab. Situasi dan senario sosial kalangan anak muda ketika ini digambarkan agak membimbangkan dengan pelbagai anasir negatif semakin berkembang dan menular.

Unsur-unsur yang mencalarkan imej agama sering juga kita dengar dan baca di paparan media. Tentu situasi sebegitu menimbulkan rasa bimbang kepada kita sebagai ibu bapa. Mustahil kita tergamak untuk melihat anak-anak kita gagal sebagai seorang umat Nabi SAW yang tidak mampu menghayati ajaran agama dengan baik. 

Justeru, selain didikan dalam aspek kerohanian seperti solat dan al-Quran, ibu bapa berkewajipan memberikan asuhan akhlak dan adab yang murni. Rasulullah SAW pernah memberitahu bahawa ‘hadiah terbaik’ yang diberikan oleh seseorang ayah kepada anaknya ialah pendidikan adab dan akhlak. Memang benar kerana didikan adab dan akhlak adalah hadiah kekal sementara hadiah kebendaan lain yang mungkin selama ini kita hadiahkan untuk anak-anak hanya bersifat sementara sahaja.

Ibnu Abbas ada memberitahu kita bahawa Baginda SAW pernah menegaskan: “Muliakanlah anak-anakmu dan perbaikilah adab mereka,” – (Hadis riwayat Ibnu Majah). Pesanan Rasulullah SAW itu diperkukuhkan lagi dengan satu lagi pesanan Baginda yang menyebut: “Antara kewajipan seorang ayah kepada anaknya adalah memperbaiki adabnya dan memberikan nama yang baik.” (Hadis riwayat Imam al-Baihaqi)

Sebenarnya, banyak lagi aspek didikan yang seharusnya kita bimbingkan kepada anak-anak. Insya-Allah dengan kesedaran dan usaha bersungguh-sungguh untuk menjadikan anak-anak kita membesar berwatak seorang Mukmin yang menjiwai ajaran agama, Allah akan mempermudahkan setiap langkah pendekatan yang kita ambil.

Justeru, manfaatkanlah masa cuti persekolahan ini untuk mewujudkan situasi keluarga sakinah dengan kita sendiri ‘turun padang’ memberikan pendidikan.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: