• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,285,188 orang
  • Kandungan Blog

Islam jaga politik bersih

Dr Mohd. Khafidz Soroni

Islam adalah agama yang sempurna diwahyukan oleh Allah SWT kepada Baginda Nabi SAW untuk seluruh umat manusia. Kesempurnaannya mencakupi kesemua aspek kehidupan manusia termasuk politik, sosial dan ekonomi. Dalam Islam, agama jelas tidak boleh dipisahkan daripada politik kerana keterbatasan akal manusia menjadikan wahyu perlu menjadi pemandu. Kepatuhan manusia kepada wahyu merupakan tali penghubung antara langit dan bumi yang mampu mengekalkan kestabilan dan kesejahteraannya.  

Politik atau siasah menurut Kamus Dewan bermaksud pengetahuan yang bersangkutan dengan hal-hal kenegaraan (pemerintahan) atau segala sesuatu berkenaan pemerintahan sesebuah negara atau hubungannya dengan negara lain. Maka, tentunya bagi menjalankan hal urus tadbir sesebuah negara secara sempurna dan baik memerlukan gabungan kebijaksanaan akal serta keunggulan wahyu demi kebaikan dan kemaslahatan umat manusia itu sendiri.

Politik yang dimaksudkan dalam perbincangan ini adalah politik daripada aspek umum dan tidak menyentuh sama sekali tentang aspek kepartian dalam politik. Perbincangan ini cukup penting kerana wujud kebimbangan terhadap kemunculan segelintir orang Islam yang berlatar belakang acuan Barat mahu memisahkan agama daripada politik. Mereka menganggap politik tidak ada kaitan sama sekali dengan agama dan begitu juga sebaliknya. Bagi mereka, agama hanya merupakan hak individu semata-mata dan tidak boleh dijadikan dasar urus tadbir sesebuah keluarga, apatah lagi sebuah negara.

Inilah fahaman sekularisme yang mula dikesan berkembang dalam dunia Islam selepas kejatuhan Empayar Uthmaniyyah, iaitu Khilafah Islam yang terakhir pada tahun 1924. Malah, apabila ada usaha untuk menerapkan semula unsur agama, apatah lagi untuk mengaplikasikan agama sepenuhnya dalam politik, mereka berasa cukup alergi dan fobia terhadapnya, sama seperti kekhuatiran dan kegelisahan kuasa Barat yang sentiasa memantau terhadap kebangkitan mana-mana negara Islam yang meletakkan agama sebagai dasar pentadbirannya. Fahaman sekularisme ini ditolak oleh Islam kerana menyeleweng daripada landasan yang benar. 

Orang yang mengaku sebagai Muslim sepatutnya mengakui kerasulan Nabi SAW serta kedudukan baginda sebagai contoh ikutan dan teladan. Tugasan yang dipikul oleh Nabi SAW pula bukan semata-mata sebagai rasul, tetapi juga sebagai tokoh politik yang berjaya menyatukan seluruh Semenanjung Arab di bawah kekuasaan Islam. Sehinggalah Nabi SAW akhirnya meninggalkan agama ini dalam keadaan lengkap sempurna tanpa ada sebarang kekurangan sedikit pun. Maka, sudah tentu politik yang dibawa dan ditunjukkan oleh baginda merupakan sebaik-baik model politik yang amat patut dicontohi oleh semua pemimpin. Kedudukan Nabi SAW sebagai pemimpin yang memerintah dan mentadbir dengan petunjuk wahyu merupakan bukti paling jelas tentang jalinan erat antara politik dan agama yang tidak dapat dipisahkan dalam Islam.  

Kepemimpinan berdasarkan petunjuk wahyu ini bukan sahaja asas pemerintahan dalam kalangan umat Islam, bahkan juga dalam kalangan umat terdahulu. Cuma bezanya umat terdahulu dipimpin oleh Nabi-nabi AS, manakala umat Islam pula hanya dipimpin oleh baginda Nabi SAW dan diteruskan oleh khalifah selepasnya. Ini berdasarkan hadis Abu Hurairah RA daripada Nabi SAW sabdanya: “Bani Isra’il dahulu sentiasa dipimpin oleh para Nabi. Setiap kali seorang Nabi meninggal dunia, maka akan digantikan dengan seorang Nabi yang lain. Namun, sesungguhnya tidak ada Nabi lagi sesudahku dan yang akan ada ialah para khalifah yang ramai bilangannya.” Para sahabat bertanya: “Justeru, apa yang tuan perintahkan kepada kami?” Baginda menjawab: “Penuhilah bai’ah (janji taat setia) kepada khalifah yang pertama (lebih dahulu dibai’ah), kemudian yang sesudahnya (sekiranya tiada). Berikanlah hak mereka kerana Allah akan bertanya kepada mereka tentang pemerintahan mereka.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam Islam, konsep kepemimpinan ini diperluaskan lagi oleh baginda Nabi SAW sehingga mencakupi aspek rumah tangga dengan sabdanya: “Setiap kamu sekalian adalah penjaga, dan setiap kamu sekalian akan ditanya tentang jagaannya. Seorang pemimpin adalah penjaga dan seorang lelaki adalah penjaga ke atas ahli rumahnya, serta seorang perempuan adalah penjaga ke atas rumah suaminya dan anaknya. Maka, setiap kamu sekalian adalah penjaga dan setiap kamu sekalian akan ditanya tentang jagaannya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Maka, setiap orang itu bertanggungjawab terhadap orang yang berada di bawahnya serta akan ditanya oleh Allah SWT di akhirat nanti mengenai mereka. Pastinya pertanyaan itu bukan sahaja mengenai hal urusan dunia semata-mata, bahkan yang lebih utama lagi adalah berkaitan hal ehwal agama. Justeru, bagaimana mungkin pemimpin yang memisahkan agama daripada politik mampu menjawab pertanyaan itu?

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: