ALHAMDULILLAH kita panjatkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T atas kurniaan dan pertolonganNya.
Pasakkan dalam hati bahawa kemenangan ini adalah anugerah daripada Allah S.W.T.
Apabila Rasulullah S.A.W menerima pertolongan Allah dalam peristiwa Fathu Makkah, Baginda memperbanyakkan tasbih, tahmid dan istighfar sebagai menyahut perintahNya.
Tasbih menyucikan jiwa pejuang daripada mengingkari kekuasaanNya.
Tahmid menjauhi sifat ujub dalam kalangan kita dan hanya meletakkan puji dan puja itu selayaknya bagi Allah S.W.T.
Istighfar menyedarkan kita bahawa jalan-jalan kemenangan terbentang di hadapan kita dengan menjauhi dosa dan penderhakaan terhadap Allah S.W.T.
Maka perbanyakkan berzikir memuji Allah S.W.T dan meminta keampunan atas kemenangan ini. Jauhilah sorakan kegembiraan yang keterlaluan, apatah lagi dengan perasaan sombong dan angkuh kerana kemenangan adalah milik Allah. Kita hanya berusaha dan berikhtiar sahaja.
Inilah yang membezakan perjuangan kerana Allah dengan golongan yang berjuang semata-mata kerana matlamat keduniaan.
Semoga Allah S.W.T mengurniakan taufik dan inayahNya agar dapat menjadi contoh pemerintahan yang menjunjung matlamat mencapai negara sejahtera dan keampunan Ilahi sebagaimana digambarkan dalam al-Quran.
Filed under: Amalan & Doa | Leave a comment »