• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,296,093 orang
  • Kandungan Blog

DOA DIKURNIAKAN KEPIMPINAN YANG BAIK

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Kami dihujani dengan persoalan yang meminta kepada kami untuk menitipkan doa. Ini kerana suasana politik semasa negara ketika ini yang amat memerlukan kepada doa dan munajat oleh semua pihak kepada Allah SWT yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Justeru, kami titipkan beberapa doa yang sesuai dibaca oleh kita semua agar Allah SWT mengurniakan kepada kita pemimpin dan kepimpinan yang baik.

Antara doa tersebut:

بِسْمِ اللَّـهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ

Doa-1:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya“Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)

Ibn Kathir dalam menjelaskan maksud “وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا” (dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa), menukilkan pendapat Ibn Abbas, al-Hasan, al-Suddi, Qatadah dan al-Rabi’ bin Anas yang berkata: “Iaitu para pemimpin yang diteladani dalam kebaikan.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/134)

Syeikh al-Maraghi pula menyebut: Mereka juga memohon agar Allah SWT menjadikan mereka sebagai pemimpin yang diteladani ketika menegakkan panji-panji agama dengan menganugerahkan ilmu yang luas serta memberinya taufik bagi mengerjakan amal soleh. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 10/4902)

Doa-2:

اللَّهُمَّ وَلِّ أُمُوْرَنَا خِيَارَنَا ، وَلَا تُوَلِّ أُمُوْرَنَا شِرَارَنَا

Maksudnya“Ya Allah! Lantiklah untuk urusan kami (pemerintahan) orang-orang yang terbaik di kalangan kami. Janganlah Engkau lantik untuk urusan kami orang-orang yang terburuk di kalangan kami.”

Doa-3:

اللَّهُمَّ اجْعَل وِلَايَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِين

MaksudnyaYa Allah! Jadikanlah kuasa wilayah kami pada orang yang takut kepada-Mu dan bertakwa kepada-Mu, wahai Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.”

Doa-4:

اللَّهُمَّ لَا تُسَلِّطْ عَلَيْنَا بِذُنُوْبِنَا مَنْ لَا يَخَافُكَ فِيْنَا وَلَا يَرْحَمُنَا

Maksudnya“Ya Allah! Janganlah Engkau jadikan pemimpin kami – disebabkan dosa-dosa kami – orang yang tidak takut kepada-Mu dan tidak mempunyai belas kasihan kepada kami.”

Doa-5:

اللَّهُمَّ أَبْعِدْ عَنْهُمْ بِطَانَةَ السُّوْءِ وَالْمُفْسِدِيْنَ ، وَقَرِّبْ إِلَيْهِمْ أَهْلَ الْخَيْرِ وَالنَّاصِحِيْنَ يَا رَبَّ الْعَالَمِيْنَ

Maksudnya“Ya Allah! Jauhkanlah daripada mereka (para pemimpin kami) teman rapat yang jahat dan yang merosakkan. Dekatkanlah kepada mereka orang-orang yang baik dan pemberi nasihat yang baik, wahai Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.”

Doa-6:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا ، وَأَعِذْنَا مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا

Maksudnya“Ya Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk, serta lindungilah kami dari kejahatan nafsu kami.” [i]

Semoga dengan doa ini akan menjadikan diri kita sentiasa berpaut kepada Allah, Tuhan yang Mentadbir sekalian alam, agar kita semua sentiasa berada dalam kebaikan, keamanan dan ketakwaaan di samping Malaysia menjadi negara yang makmur dan harmoni serta kasih sayang antara rakyatnya. Begitu juga dikurniakan dengan pemimpin dan kepimpinan yang baik, berintegriti serta mampu melaksanakan tugasan dengan amanah dalam mentadbir negara. Amin.

Nota Hujung:

[i] Doa ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Imran bin Husain R.A, bahawa Nabi SAW pernah mengajar bapanya, dua kalimat yang dibaca di dalam doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنِي رُشْدِي، وَأَعِذْنِي مِنْ شَرِّ نَفْسِي

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepadaku kecerdasan dan lindungilah aku dari kejahatan nafsuku.”

Riwayat al-Tirmizi (3483), al-Tabarani dalam al-Du’a (1393), al-Bazzar (3580) dan al-Baihaqi dalam al-Asma’ wa al-Sifat (894)

Syeikh al-Mubarakfuri menyebut, yakni berikanlah taufik padaku kepada al-rusyd iaitu petunjuk kepada kebaikan. Dan lindungilah aku dari kejahatan nafsuku, yakni  peliharalah aku dari kejahatannya di mana ia adalah tempat tumbuhnya perkara-perkara yang keji. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 9/455)

Pilih pemimpin ikut cara Islam

PEMBUBARAN Parlimen diumumkan pada 10 Oktober lalu oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob setelah diperkenan Yang di-Pertuan Agong untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengumuman tersebut menandakan mandat dipulangkan kepada rakyat bagi memilih pemimpin untuk memastikan kestabilan politik dan mewujudkan kerajaan teguh dan dihormati selepas PRU15.

Proses pemilihan pemimpin di Malaysia adalah berlandaskan sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan sebagai pasak pemerintahan sejak negara mencapai kemerdekaan.

Pemimpin adalah individu yang bertanggungjawab dalam mengurus, mentadbir dan menjaga setiap perkara yang diamanahkan. Kepimpinan pula merupakan suatu amanah yang wajib dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.

Seseorang pemimpin perlu memelihara diri daripada melakukan perbuatan buruk, menegakkan kewajiban syarak dan melaksanakan tugas yang dipikulnya dengan baik dan adil.

Terdapat beberapa syarat dan kelayakan bagi seseorang calon sebelum dipilih menjadi pemimpin seperti yang digariskan Islam sebagai panduan.

Pertama, syarat keagamaan dan akidah iaitu mesti beragama Islam. Para ulama bersepakat tentang syarat itu khususnya bagi jawatan kepimpinan tertinggi yang bertanggungjawab dalam menentukan dasar.

Imam al-Syawkani menyatakan, para pemimpin, sultan, hakim dan individu mendapat mandat kuasa daripada syarak. Justeru, individu yang memegang amanah kepimpinan mestilah terdiri dalam kalangan orang Islam.

Unsur keagamaan akan menjadikan kepimpinan negara bersedia melaksanakan syariat Islam secara menyeluruh dengan penuh keyakinan tanpa bertangguh dan beralasan.

Akidah Islam yang dianuti akan mendorong kepimpinan untuk bertanggungjawab di hadapan Allah SWT dan rakyat, sekali gus kepimpinan Islam tidak menjadi penghalang kepada pelaksanaan syariat Islam.

Waras

Kedua, syarat-syarat kemampuan. Kemampuan tersebut meliputi banyak perkara termasuk baligh, waras, lelaki, keilmuan yang tinggi, kesihatan baik dan mahir cara mengurus dan mentadbir dengan cekap.

Kanak-kanak yang belum baligh tidak mempunyai kemampuan memimpin, malahan diri sendiri memerlukan pimpinan dan penjagaan daripada orang lain.

Begitu juga orang gila tidak mampu memimpin dan mentadbir. Para ulama turut bersepakat meletakkan syarat lelaki kerana telah diciptakan oleh Allah SWT pada dasarnya mempunyai persediaan untuk memikul tugas kepimpinan yang berat di semua peringkat.

Selain itu, kepimpinan yang berkemampuan dari segi ilmu pengetahuan tentang Islam dan peraturan, boleh memberi sumbangan kepada tamadun dan budaya ilmu dalam kalangan rakyat.

Seterusnya, kesihatan bermaksud sempurna anggota dan pancaindera daripada kecacatan kerana kelemahan yang memberi kesan kepada kemampuan berfikir dan bekerja.

Akhirnya, pemimpin mesti mahir dalam pengurusan organisasi dan pentadbiran negara meliputi pelbagai aspek seperti urusan dalam negeri, luar negara, ketenteraan, keselamatan, kemasyarakatan, pendidikan dan sebagainya.

Ketiga, syarat keadilan. Adil dalam konteks kepimpinan bermaksud bersungguh-sungguh melaksanakan kebaikan mengikut aspek agama dan akhlak.

Kebaikan di dalam agama ialah menunaikan semua tanggungjawab atau melaksanakan semua yang difardukan serta meninggalkan segala larangan.

Kebaikan akhlak pula ialah melakukan sesuatu yang mendatangkan keelokan dan kesempurnaan, mengelakkan diri daripada unsur tidak baik dan jijik sama ada dalam perbuatan atau perkataan.

DR. AZRI BHARI,