• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,296,095 orang
  • Kandungan Blog

Soalan Lazim berkenaan Kem Cuti Sekolah

Soalan lazim berkenaan kem cuti sekolah di Pondok Pasir Tumboh

Pengajian intensif atau Halaqah Ilmu dianjurkan khusus kepada pelajar lelaki yang berumur 10-24 tahun

bertempat di Pondok Pasir Tumboh, Kota Bharu, Kelantan

1. Adakah peserta yang tak mampu baca jawi atau al-Quran boleh ikuti program ini

Jawapan : Boleh asalkan mahu belajar kerana kitab yang digunakan ada 2 versi samada jawi atau rumi. Program ini turut sesuai untuk mereka yang baru nak mula belajar ilmu fardhu Ain

2. Yuran RM250 itu untuk meliputi makan dan penginapan kah?

Jawapan : Yuran itu meliputi penginapan, kitab pengajian dan juga makan minum

3. Adakah bilangan peserta dihadkan atau terbuka.

Jawapan : Dihadkan untuk 70 orang peserta sahaja bagi memudahkan proses pembelajaran

4. Pendaftaran hanya terbuka pada 14 Disember 2022 sahaja atau boleh daftar masuk lewat jika ada masalah lain untuk diselesaikan terlebih dahulu

Jawapan : Daftar masuk dibuka mulai tarikh tersebut dan jika terpaksa daftar masuk lewat mesti dimaklum kepada penganjur

5. Dimanakah pelajar akan tinggal sepanjang program

Jawapan : Pelajar akan menginap di asrama

6. Perlu tempah tempat terlebih dahulu atau datang daftar terus bila dah mula pada 14 Disember 2022

Jawapan : Perlu tempah tempah dulu melalui sms/wtsap kepada 019-9388902 bagi memudahkan pihak pengurusan untuk mengetahui jumlah peserta yang dihadkan seramai 70 orang sahaja 

7. Bolehkah keluar dari kawasan kem jika ada urusan penting seperti temuduga, mahu lihat keputusan peperiksaan, temujanji dan sebagainya

Jawapan : Boleh dengan syarat memaklumkan perkara demikian kepada pihak urusetia

8. Bolehkah mahu ikuti kem pengajian secara ulang alik dan berapa kos yuran

Jawapan : Boleh. Yuran RM200 sekali makan minum dan RM100 sahaja tanpa makan minum

9. Jadual harian bermula jam berapa dan berakhir jam berapa

Jawapan : Mula jam 8 pagi hingga 10.30 malam

10. Jika umur peserta kurang daripada 10 tahun atau lebih daripada 24 tahun boleh sertai juga ke kem ini

Jawapan : Boleh dengan syarat bagi yang umur muda boleh berjauhan daripada ibubapa manakala yang umur lebih mampu sesuai untuk duduk bersama remaja yang umur lebih muda sepanjang program

Maklumat berkenaan program boleh layari web albakriah.com atau Blog albakriah.wordpresss.com

Ketepikan kepentingan sendiri

Prof Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Kepemimpinan bentuk amanah berat. Ia sarat dengan tanggungjawab dan kewajipan. Ini selaras dengan kewajipan sebagai khalifah di atas muka bumi ini yang Allah kurniakan kepada manusia dengan misi membangun dan memakmurkan bumi.

Perlu diinsafi, Islam menganggap setiap manusia sama ada lelaki mahu pun perempuan secara umumnya seorang pemimpin. Paling minimanya ialah setiap orang pemimpin terhadap dirinya sendiri dan yang paling tinggi sekali ialah tanggungjawab seorang pemimpin terhadap rakyat bawahannya. Dalam hal ini, baginda Rasulullah pernah bersabda maksudnya: Setiap daripada kamu pemimpin dan dipertanggungjawab terhadap orang di bawah pimpinan kamu; seorang pemerintah pemimpin dan dipertanggungjawab terhadap rakyatnya, seorang lelaki pemimpin anggota keluarga dan akan dipertanggungjawabkan terhadap anggota keluarganya, wanita pemimpin di rumah suaminya dan dipertanggungjawab terhadap anak-anaknya dan pimpinannya, dan khadam diamanahkan terhadap harta tuannya dan dipertanggungjawab terhadap apa yang berada di bawah amanahnya. (Hadis Riwayat Bukhari)

Jelas daripada maksud hadis tersebut tanggungjawab dan kewajipan terpikul di bahu setiap Muslim berbeza antara satu sama lain bergantung kepada kedudukan dan kuasa kepemimpinan diamanahkan kepadanya. Namun tanggungjawab terbesar ialah seorang pemimpin terhadap rakyatnya. Maka tidak hairanlah Rasulullah pernah memberi peringatan kepada setiap pemimpin tentang tanggungjawab seorang pemimpin yang sebenarnya. Rasulullah bersabda maksudnya: Pemimpin yang menguasai urusan kaum muslimin tetapi tidak bersungguh memerhatikan kepentingan kaumnya, tidak nasihat menasihati demi kebaikan dan kesejahteraan mereka, kelak dia tidak dapat masuk syurga bersama-sama mereka. (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)

Pemimpin yang baik sentiasa ingin berkhidmat dan berkorban demi kebahagiaan rakyat dan tidak mengutamakan kepentingan dirinya, keluarganya mahu pun kerabat terdekatnya. Rasulullah pernah bersabda maksudnya: Pemimpin sesuatu bangsa pada hakikatnya adalah pelayan bagi bangsa itu. (Hadis Riwayat Abu Na’im & Ibnu Babuwaih)

Sehubungan itu, memadailah Rasulullah SAW dan Khulafa’ al-Rasyidin sebagai contoh ikutan terbaik dalam konteks pimpinan unggul dalam lipatan sejarah Islam. Rasulullah SAW sendiri pemimpin yang mengambil berat tentang kebajikan rakyatnya dan baginda sanggup berkorban demi kesejahteraan rakyatnya.

Pernah satu hari, Saidatina Aisyah kebingungan untuk menyediakan hidangan makanan untuk dimakan bersama dengan baginda. Di dapur tiada bahan boleh dimasak kecuali segenggam gandum. Akhirnya, gandum sedikit itulah yang dimasaknya untuk hidangan bersama Rasulullah.

Tatkala Rasulullah hendak makan, tiba-tiba dari depan pintu rumahnya datang seorang mengucapkan salam, iaitu seorang lelaki kurus kering tubuhnya dan pakaiannya nampak lusuh. Dia pun berkata: Ya Rasulullah! Saya ini orang miskin. Kami sekeluarga dalam beberapa hari ini menahan lapar kerana kami tidak memiliki apa-apa lagi untuk dimakan. Oleh kerana itu, tolonglah kami….

Rasulullah hanya terdiam kemudian berkata: Wahai saudaraku! Aku pun hari ini tidak mempunyai apa-apa untuk dimakan kecuali sekeping roti bakar. Namun, kalau kamu mahu menerimanya, dengan senang hati akan aku berikan kepadamu.

Saidatina Aisyah tidak senang hati kerana tiada makanan lagi dapat mereka berdua makan pada hari itu. Lalu Aisyah berkata: Mengapa Rasulullah lebih mementingkan orang lain daripada diri sendiri?

Baginda menjawab: Wahai isteriku! Aku pemimpin rakyatku. Kewajipanku memberikan layanan dan perkhidmatan terbaik kepada mereka. Ingatlah, bagaimana aku harus menjawab apabila kelak Allah bertanya kepadaku: Wahai Muhammad! Mana tanggung jawabmu sebagai pemimpin? Mengapa rakyatmu kelaparan sedangkan perutmu selalu kenyang?

Begitulah contoh teladan ditunjukkan Rasulullah SAW sebagai seorang pemimpin. Seorang pemimpin berkewajipan memberi layanan dan perkhidmatan terbaik kepada rakyat yang berada di bawah pimpinannya.

Keadaan ini amat berbeza dengan realiti masyarakat dewasa ini degan rata-rata ramai manusia tertipu dengan kekuasaan sehingga mereka berusaha untuk meraihnya dengan berbagai taktik dan cara biarpun dengan saluran kotor dan terlarang sekalipun. Sedangkan Rasulullah SAW pernah memberi peringatan keras terhadap umatnya melalui sabdanya yang bermaksud: Sesungguhnya kalian semua berlumba-lumba untuk mendapatkan kekuasaan padahal pada hari akhirat nanti akan menjadi penyesalan kamu sekalian. Berbahagialah orang yang tidak mengejarnya dan celakalah orang yang berlumba-lumba mendapatkannya. (Hadis Riwayat Jama’ah)

Ringkasnya, kepemimpinan dalam Islam bukan sekadar kontrak perjanjian termetri antara pemimpin dengan masyarakat di bawah pimpinannya, tetapi ia ikatan perjanjian suci antaranya dengan Allah dalam menjunjung titah dan perintah Ilahi dan menjauhi dari segala larangan-Nya.