• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,273,617 orang
  • Kandungan Blog

Galakan berhimpun mensyukuri nikmat

Dr Mohd Khafidz Soroni

Mensyukuri nikmat Allah SWT adalah wajib bagi setiap Mukmin yang waras. Perbuatan bersyukur ini adalah sebahagian daripada amalan berzikir kepada Allah SWT juga kerana Dialah Tuhan yang memberikan segala nikmat dan wajib disyukuri oleh semua hamba-Nya. Bersyukur bukan sahaja boleh dilakukan secara individu, malah boleh juga dilakukan secara beramai-ramai dalam sebuah majlis. Antara dalilnya, sahabat RA pernah duduk berhimpun untuk berzikir dan bersyukur kepada Allah SWT di atas limpah hidayah-Nya mengurniakan Islam kepada mereka.

Abu Sa’id al-Khudri RA berkata: “Mu’awiyah RA pernah mendatangi sekumpulan orang di dalam masjid, lalu beliau bertanya: ‘Apakah sebabnya kamu sekalian duduk ini?’ Mereka menjawab: ‘Kami duduk untuk berzikir kepada Allah.’ Mu’awiyah bertanya lagi: ‘Demi Allah, kamu sekalian tidak duduk di sini melainkan hanya kerana itu?’ Mereka menjawab: ‘Demi Allah, kami tidak duduk di sini melainkan hanya kerana itu.’ Kata Mu’awiyah selanjutnya: ‘Sungguh aku tidak menyuruh kamu sekalian bersumpah kerana mencurigai kamu sekalian. Dan tidak ada seorang pun yang sama kedudukannya denganku di sisi Rasulullah SAW yang paling sedikit meriwayatkan hadis daripadaku. Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah mendatangi sekumpulan orang daripada kalangan sahabatnya. Lalu baginda bertanya: ‘Apakah sebabnya kamu sekalian duduk ini?’ Mereka menjawab: ‘Kami duduk untuk berzikir kepada Allah dan memuji-Nya atas hidayah-Nya menunjukkan kami kepada Islam dan menganugerahkannya kepada kami.’ Rasulullah SAW bertanya lagi: ‘Demi Allah, kamu sekalian tidak duduk di sini melainkan hanya kerana itu?’ Mereka menjawab: ‘Demi Allah, kami tidak duduk di sini melainkan hanya kerana itu.’ Sabda Rasulullah SAW selanjutnya: ‘Sungguh aku tidak menyuruh kamu sekalian bersumpah kerana mencurigai kamu sekalian, tetapi kerana aku telah didatangi Jibril AS, lalu dia memberitahu kepadaku bahawa Allah azza wajalla membanggakan kamu sekalian di hadapan semua malaikat.'” Riwayat Muslim

Dalam riwayat yang lain, sahabat menjawab: “Kami duduk untuk berdoa kepada Allah dan memuji-Nya atas hidayah-Nya menunjukkan kami kepada agama-Nya serta mengurniakan dirimu kepada kami.” Riwayat Ahmad dan an-Nasa’i dengan sanad sahih

Berdasarkan riwayat hadis ini, amalan berhimpun kerana berzikir dan bersyukur kepada Allah SWT adalah amalan yang ada dasarnya di dalam Islam. Asas kesyukuran yang dipanjatkan oleh mereka itu adalah kerana limpah hidayah Allah SWT menganugerahkan Islam atau mengutuskan Rasulullah SAW kepada mereka. Maka, sama ada kesyukuran mereka itu kerana Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW atau kerana Rasulullah SAW yang membawa Islam adalah sama dan serupa sahaja kerana kedua-duanya tidak dapat dipisahkan.

Maka, di atas roh dan semangat ini harus bagi umat Islam untuk berhimpun mensyukuri nikmat itu. Ia asas utama kepada sambutan Maulidur Rasul SAW yang diadakan oleh umat Islam saban tahun. Jika sahabat RA dahulu berhimpun untuk berzikir dan bersyukur kepada Allah SWT di atas nikmat Islam atau pengutusan Rasulullah SAW kepada mereka, maka begitu juga sewajarnya jejak langkah yang perlu diikuti oleh umat Islam sekarang.

Sambutan Maulidur Rasul SAW setiap tahun sebenarnya hanya sebagai peringatan buat kita terhadap nikmat besar ini. Sebagaimana khutbah Jumaat setiap minggu itu sebagai peringatan terhadap tanggungjawab kita sebagai hamba Allah di atas muka bumi ini. Cuma bezanya peringatan khutbah Jumaat wajib hukumnya berdasarkan dalil yang khusus, sedangkan peringatan Maulidur Rasul ini hukumnya harus saja kerana dalilnya yang umum. Firman Allah SWT: “Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang yang beriman.” Surah az-Zariyat: 55

Inilah sebenarnya teras pengisian dalam majlis Maulidur Rasul SAW yang diadakan, selain berselawat ke atas Baginda SAW, menyampaikan hadisnya, membaca sirahnya, mendengar syama’ilnya dan sebagainya. Bukankah semua ini termasuk dalam sabda Rasulullah SAW: “Barang siapa yang memberikan contoh teladan yang baik dalam Islam, maka akan dicatat untuknya pahalanya dan pahala orang yang mengikutinya selepas itu tanpa mengurangi sedikit pun daripada pahala mereka.” Riwayat Muslim

Dengan adanya dalil ini, kita tidak faham dengan segelintir pihak yang masih ekstrem menganggap sambutan Maulidur Rasul SAW itu adalah perbuatan bidaah keji dan sesat. Seolah-olah orang yang menyambut Maulidur Rasul SAW itu mewajibkan sambutannya kepada masyarakat atau mengadakan pesta yang bercanggah dengan syariat Islam. Semoga kita dijauhkan daripada sikap angkuh dan taasub yang membuta tuli.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: