• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,296,095 orang
  • Kandungan Blog

Doa rumah tangga bahagia

Datuk Mohd Ajib Ismail

Tujuan utama perkahwinan dalam Islam adalah supaya suami dan isteri dapat melaksanakan kewajipan dan peranan secara adil dan saksama bukannya untuk menyakiti dan menganiayai pasangan. Justeru tanggungjawab untuk berlaku adil dalam melayari bahtera rumah tangga diperingatkan oleh Allah SWT melalui firman-Nya di dalam al-Quran Surah Al-Nisa’ ayat 3 yang bermaksud: “Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan daripada perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.”

Perkahwinan yang dijalinkan melalui akad nikah yang sah di sisi syarak hadir bersama syarat-syarat yang wajib ditunaikan oleh suami dan isteri. Walaupun ajaran Islam membenarkan perkahwinan melebihi daripada seorang isteri, kebenaran tersebut berasaskan maslahah agar kaum lelaki memelihara diri daripada hubungan yang terlarang dan kebajikan bagi kaum wanita yang dikahwini terjamin dengan penekanan terhadap aspek keadilan dalam sesebuah perkahwinan.

Perkahwinan sebenar yang dibina berlandaskan syariat akan mendidik individu membangunkan sifat kepemimpinan, memupuk kebersamaan dalam menghadapi cabaran, kematangan dalam membuat keputusan, melatih sifat sabar serta saling membantu dalam mencari nafkah untuk keluarga. Sebuah perkahwinan yang diredai oleh Allah SWT merupakan ikatan kekeluargaan yang kukuh dan berkekalan berteraskan kasih sayang dan rahmat Allah SWT.

 Seorang Muslim  wajib berlaku adil kepada suami atau isteri dengan melaksanakan tanggungjawab dan kewajipan masing-masing sama ada keperluan fizikal, mahar, nafkah, pergaulan yang baik, bimbingan agama, nasab keturunan dan lain-lain. Firman Allah dalam al-Quran surah Al-Baqarah ayat 233 yang bermaksud: “dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya.”

Di dalam Surah Al-Nisa’ ayat 19 Allah SWT juga berfirman yang bermaksud “Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).”

Seorang suami hendaklah menyantuni para isteri dengan penuh kemesraan agar dapat menyuburkan perasaan kasih sayang antara satu sama lain sebagaimana contoh yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dalam kehidupan berumah tangga. Sabda Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap keluarganya dan aku adalah yang terbaik terhadap keluargaku…” (Riwayat Tirmizi)

 Kaum wanita pula wajib berlaku adil kepada suami sebagaimana pernah ditanyakan kepada Rasulullah SAW yang bermaksud “Siapakah wanita yang paling baik?” Jawab baginda, “Iaitu yang paling menyenangkan jika dilihat suaminya, mentaati suami jika diperintah dan tidak menyelisihi suami pada diri dan hartanya sehingga membuat suami benci.” (Riwayat An-Nasa’i)

Keharmonian rumah tangga dapat dinikmati dalam suasana  sakinah, mawaddah dan rahmah  apabila pasangan suami isteri berlaku adil iaitu saling menunaikan hak dan kewajipan selaras dengan tuntutan agama dan kesepakatan bersama. Dalam hal tersebut, Allah SWT menyifatkan hubungan suami isteri umpama pakaian sebagaimana firmanNya dalam Surah Al-Baqarah ayat 187 yang bermaksud: “Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka.” Pakaian yang baik tidak semestinya ditentukan daripada bahan buatan yang mahal, tetapi kerana faktor individu yang bijak menggayakannya sesuai dengan tempat dan masa. Begitu juga pasangan suami isteri yang perlu meletakkan pasangannya mengikut fungsi dan peranan masing-masing agar keadilan dalam rumah tangga dapat ditegakkan.

 Lafaz taklik yang dibacakan oleh seorang suami selepas akad nikah menjadi bukti komitmen dalam sesebuah perkahwinan serta jaminan yang diberikan oleh Islam terhadap kebajikan wanita sebagaimana contoh lafaz taklik di Wilayah Persekutuan iaitu “Bahawa adalah saya mengaku apabila tinggalkan isteri saya (nama) selama empat bulan Hijrah berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksaan dan saya atau wakil saya tidak memberi nafkah kepadanya selama masa yang tersebut pada hal atau saya melakukan sebarang mudarat kepada tubuh badannya kemudian ia mengadu kepada Mahkamah Syariah dan memberi kepada Mahkamah Syariah yang menerima bagi pihak saya satu ringgit maka pada ketika itu tertalak ia dengan cara talak khulu.”

Oleh itu marilah kita berdoa sebagaimana yang disarankan dalam al-Quran Surah Al-Furqan ayat 74 yang bermaksud: “Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh daripada isteri-isteri dan zuriat keturunan kami, perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Laksanakanlah urusan pernikahan mengikut ketetapan dan saluran yang betul dengan mematuhi prosedur dan undang-undang yang ditentukan agar maslahah semua pihak terpelihara. Perkahwinan yang dilaksanakan dengan tidak mengikut lunas undang-undang akan menyusahkan banyak pihak dan memberikan kesan buruk kepada individu, keluarga serta masyarakat. Dalam konteks Wilayah Persekutuan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) akan terus komited memastikan undang-undang dan peraturan berkaitan pernikahan umat Islam dapat dipatuhi dengan sebaik-baiknya oleh masyarakat agar lahir keluarga yang sejahtera.

Manhaj hadis ulama sufi ada kelainan?

Sesetengah golongan Wahhabi mendakwa ahli sufi menjadikan hadis daif sebagai manhaj khas untuk dijadikan dalil bagi mengesahkan segala perkataan dan tindakan mereka.

Bagaimanapun, penulis tidak menemui pernyataan khusus ahli sufi yang jelas menegaskan atau mengiktiraf bahawa itu adalah manhaj hadis mereka. Justeru, dakwaan di atas boleh dikatakan sebagai satu hipotesis yang amat lemah.

Malah, sebenarnya masih banyak hadis sahih dan hasan yang mencakupi sebahagian besar dalil yang dikemukakan ulama sufi dalam kitab mereka.

Antaranya seperti dalam karya Imam al-Muhasibi, al-Hafiz as-Sulami pengarang Tabaqat as-Sufiyyah, Imam al-Qusyairi, Imam Abu Talib al-Makki pengarang Qut al-Qulub, Imam al-Ghazali pengarang Ihya’ ‘Ulumiddin, Syeikh ‘Abdul Qadir al-Jailani, Imam at-Tusi pengarang al-Luma’, Imam as-Sya’rani pengarang Lawaqih al-Anwar dan lain-lain.

Meskipun ramai ulama sufi bukan ahli dalam seni kritik dan selok-belok hadis (al-sina’ah al-hadithiyyah), namun secara umum mereka masih mempraktikkan kaedah ilmu hadis yang muktabar iaitu tidak menggunakan hadis daif dalam masalah akidah dan hukum. Ini jelas kerana objektif utama kitab ulama sufi adalah berkaitan pembangunan hati, rohani, adab dan akhlak, bukan aspek akidah dan hukum.

Tidak dinafikan ada didapati hadis daif, tidak bersumber, munkar dan palsu dalam karya mereka. Namun, ini bukan salah satu hujah untuk kita menghukum mereka sebagai salah atau sesat.

Bukan kriteria sesatnya sesuatu golongan hanya semata-mata mereka berdalil dengan hadis daif atau menggunakan hadis palsu tanpa sengaja. Jika tidak, ramai ulama yang boleh dihukumkan demikian.

Kelonggaran dalam meriwayatkan dan merekodkan hadis bukan sahaja terdapat dalam kitab ahli sufi, bahkan ia juga didapati berlaku meluas dalam kitab ahli fiqah, ahli usul, ahli tafsir, ahli kalam, ahli lughah, malah ahli hadis sendiri!

Misalnya, Imam Ibn Majah disepakati oleh ulama pengkritik hadis bahawa terdapat sejumlah hadis palsu dalam kitab Sunannya. Begitu juga al-Hakim an-Naisaburi, ulama pengkritik hadis berpendapat bahawa terdapat sejumlah hadis palsu dalam kitab al-Mustadrak beliau.

al-Khatib al-Baghdadi pengarang Tarikh Baghdad, meskipun banyak menyusun kitab ilmu hadis, namun beliau turut meriwayatkan banyak hadis yang terdapat perawi pendusta atau pemalsu hadis dalam sanadnya tanpa sebarang ulasan.

Begitu juga dengan al-Hafiz Abu Nu’aim al-Asbahani pengarang kitab Hilyat al-Awliya’, terdapat hadis yang dapat dinilai palsu dalam karya beliau.

Tokoh hadis besar yang lain seperti Imam at-Tabarani pengarang al-Ma’ajim al-Thalathah, Imam Ibn ‘Asakir ad-Dimasyqi pengarang Tarikh Dimasyq, al-Hafiz Abu as-Syeikh al-Asbahani, al-Hafiz Ibn Syahin, Imam Ibn Abi ad-Dunya, al-Hafiz Ibn an-Najjar, Imam al-Bayhaqi, al-Hafiz ad-Daylami dan lain-lain semuanya turut meriwayatkan banyak hadis yang terdapat perawi pendusta atau pemalsu hadis pada sanadnya.

Imam as-Suyuti juga didapati longgar dalam merekodkan hadis, terutama dalam kitabnya al-Jami’ as-Saghirhingga didapati banyak hadis palsu di dalamnya seperti yang dijelaskan oleh al-Hafiz Ahmad al-Ghumari dalam kitab al-Mughir.

Lebih menghairankan, Imam Ibn al-Jawzi yang terkenal dengan ketegasannya dalam mengkritik hadis, tetapi memuatkan sejumlah hadis palsu dalam karya motivasinya seperti dalam kitab Zam al-Hawa. Imam Ibn Hazm az-Zahiri yang tegas dalam penilaian hadis juga pernah dikatakan menggunakan hadis palsu.

Demikian juga Syeikh Ibn Taymiyyah dan muridnya, Syeikh Ibn Qayyim al-Juziyyah. Begitu juga sebahagian ahli hadis yang menghimpunkan riwayat mengenai sifat-sifat Allah SWT sehinggakan mereka digelar sebagai Hasyawiyyah.

Kitab ahli tafsir juga tidak terlepas daripada memuatkan sejumlah hadis palsu, meskipun ketokohan dan kehebatan mereka dalam bidang tafsir al-Quran. Antaranya seperti tafsir Imam at-Tha’alibi, Imam an-Nasafi, Imam al-Qurtubi, Imam Fakhr ad-Din ar-Razi, az-Zamakhsyari, Imam al-Khazin, Imam al-Baghawi, Syeikh Isma’il Haqqi pengarang Ruh al-Bayan, Imam as-Sawi dan lain-lain.

Demikian juga halnya berlaku dalam karya fiqah, usul, sirah nabawiyyah, sejarah dan sebagainya.

Keuzuran mereka semua, termasuk ulama sufi dalam memuatkan hadis palsu sebenarnya boleh kita terima tanpa menghilangkan rasa hormat dan merendahkan kedudukan tinggi mereka sebagai alim ulama iaitu disebabkan mereka tidak berkeahlian atau berkesempatan untuk mendalami seni kritik dan selok-belok hadis (al-sina’ah al-hadithiyyah).

Kita yakin, mereka mempunyai sifat sangka baik (husnu az-zan) yang cukup tinggi terhadap guru atau karya ulama yang merekodkannya.

Maka, sewajarnya sikap sangka baik kita terhadap mereka pula ialah jika mereka tahu bahawa ia jelas benar-benar palsu dan dusta ke atas Rasulullah SAW, nescaya mereka orang pertama yang paling jauh daripada menyebutkannya.

Kejar kebajikan raih keredaan

Prof Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Amalan dalam Islam terbahagi kepada dua iaitu amalan kebajikan dan amalan kemungkaran. Amalan kebajikan dalam Islam mempunyai pengertian dan ruang lingkup luas dalam kehidupan manusia. Ia bukan sekadar amalan berbentuk syiar ibadat seperti solat, puasa, zakat dan haji. Malah, amal kebajikan merangkumi amalan kebaikan sesama manusia yang diberi ganjaran setimpal oleh Allah Taala. Manakala amalan kemungkaran ialah segala amalan keji ditegah Allah kepada umatnya kerana mendatangkan mudarat dan akibat buruk pada individu, agama, bangsa dan negara. Justeru, amalan mungkar juga dibalas setimpal dengan kemungkaran yang dilakukannya.

Perlu ditegaskan amalan kebajikan dalam Islam tertegak atas dua paksi iaitu paksi menegak yang membawa maksud hubungan yang terjalin antara hamba Allah dengan Khaliqnya dalam melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Paksi kedua pula ialah paksi mendatar yang menyaksikan hubungan sesama manusia dalam seluruh aspek kehidupan mereka yang ditegakkan atas dasar persaudaraan dan hubungan kasih sayang, bahkan kalau perlu lebih mengutamakan kepentingan orang lain seperti contoh teladan yang ditunjukkan sahabat r.a.

Pendek kata, apa sahaja amalan soleh dan kebaikan antara sesama manusia termasuk dalam pengertian amal kebajikan. Begitu juga amalan buruk dan keji yang bertentangan dengan nilai-nilai agama, maka ia termasuk dalam pengertian amalan kemungkaran.

Sahabat Rasulullah terkenal dengan sifat gemar berlumba-lumba dan bersaing antara satu sama lain dalam melakukan amalan kebajikan. Pernah satu ketika, Rasulullah mengumumkan negara memerlukan dana besar untuk membiayai ekspedisi tentera dalam Perang Tabuk untuk melawan kerajaan Romawi. Mendengar pengumuman itu, Umar al-Khattab terus menginfakkan sebahagian harta kekayaannya. Abu Bakar yang terkenal dengan sifat dermawannya tidak ketinggalan menyahut seruan jihad terbabit, malah menjadi orang pertama menyumbangkan 4,000 dirham atau hampir seluruh harta kekayaannya. Oleh kerana jumlah disumbang terlalu banyak, Rasulullah terus bertanya: Apakah yang kamu tinggalkan untuk keluargamu, wahai Abu Bakar? Jawab Abu Bakar: Cukuplah Allah dan Rasul-Nya. Mengetahui akan hal ini, lantas Umar al-Khattab berkata: Setiap kali aku bersaing sedekah dengan Abu Bakar, dia pasti menang!.

Demikian teladan ditunjukkan sahabat yang mempamerkan contoh persaingan sihat dan positif sesama mereka. Mereka tidak pula saling mendengki, saling menjatuhkan antara satu sama lain, sebaliknya membantu ke arah kebajikan demi meraih keredaan Allah dan kebahagian hidup di dunia dan akhirat.

Seterusnya, Islam menganjurkan umatnya bersaing atau berlumba-lumba dan bersegera mengejar amalan kebajikan. Ini selaras dengan perintah Allah lewat firman-Nya yang bermaksud: Dan kalau Allah mengkehendaki nescaya Dia akan menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam agama yang satu), tetapi Dia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu, berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Dia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya. (Surah Al-Maidah, ayat 48)

Jelas daripada maksud ayat di atas Islam menggalakkan umatnya berlumba-lumba, bersaing dan bersegera dalam melakukan amalan kebajikan yang dianjurkan Islam. Persaingan dianjurkan Islam itu dengan matlamat memakmurkan kehidupan ummah, meningkatkan kesejahteraan masyarakat dan memperbaiki kualiti amalan kebajikan. Persaingan dituntut Islam ialah persaingan berorientasikan kecemerlangan hidup di dunia dan kebahagiaan hidup di akhirat. Persaingan sihat ini bertepatan dengan maksud firman Allah yang bermaksud: Dan hendaklah kamu tolong-menolong untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong menolong pada melakukan dosa maksiat dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya). (Surah Al-Ma’idah, ayat 2)

Ini bentuk persaingan dan perlumbaan digalakkan Islam kepada umatnya. Amat menyedihkan umat Islam dewasa ini tersalah tafsir konsep persaingan dianjur Islam sehingga ada segelintir sanggup melakukan kezaliman dan penindasan terhadap saudaranya sesama Muslim. Dalam bidang perniagaan sebagai contohnya, ada sebahagian umat Islam yang sanggup menjatuhkan dan melumpuhkan kegiatan perniagaan saudaranya sendiri. Dia tidak senang melihat saudaranya mengaut lebih banyak keuntungan daripadanya, lantas dia terus bertindak zalim menjatuhkan perniagaan saudaranya itu.

Begitu juga dalam bidang politik yang menyaksikan persaingan sengit antara pemimpin untuk mengekalkan atau merebut sesuatu jawatan dalam kepimpinan masyarakat sehingga melumpuhkan dan meretakkan semangat perpaduan antara umat Islam. Yang penting baginya, dia dapat memegang tampuk kuasa kepimpinan untuk kepentingan dirinya sedangkan kuasa kepimpinan dalam Islam adalah satu amanah dan tanggungjawab yang cukup besar yang akan dipersoalkan oleh Allah pada hari akhirat kelak.

Dalam bidang pekerjaan, kedapatan juga orang Islam yang berlumba-lumba kerana terikut sifat tamak haloba dalam mengejar harta kekayaan sehingga membolot semuanya untuk diri sendiri tanpa ambil kira keperluan golongan yang amat berhajat. Akhirnya, dia terperangkap dalam fitnah harta yang boleh melalaikan dan melupakan seseorang manusia kepada pemberi sebenar nikmat terbabit iaitu Allah.

Begitu antara fenomena persaingan negatif dan perlumbaan tidak sihat yang berlaku dalam masyarakat Islam kini. Padahal persaingan yang tidak sihat akan membantutkan matlamat sebenar Islam untuk memakmurkan kehidupan ummah dan mewujudkan keharmonian sosial sesama umat manusia.

Sehubungan itu, Islam pada hakikatnya mengharuskan persaingan dalam kalangan umatnya dalam apa juga lapangan hidup, tetapi biar persaingan terbabit berlaku secara sihat, baik dan aman dengan tujuan untuk meraih maslahah, kebaikan, kesejahteraan, kebahagiaan dan ganjaran berlipat ganda yang disediakan oleh Allah. Malah, persaingan dan perlumbaan yang mewarnai pentas kehidupan alam maya ini dilakukan untuk memanfaatkan segala limpahan rahmat yang dikurniakan Allah kepada umatnya.

Oleh itu, setiap Muslim sewajarnya bersaing dan bersegera melakukan kebaikan dan kebajikan kerana setiap insan pasti menghadap Allah apabila sampai masanya nanti. Kesempatan hidup di dunia hanya sekali sahaja, maka rebut peluang hidup ini dengan beramal sebanyak mungkin untuk berbahagia di dunia dan akhirat.

Lazimi lidah dengan tahmid

Dr Zuraimy Ali

Mensyukuri anugerah rezeki yang diberikan Allah SWT kepada kita adalah sifat yang terpuji manakala mengkufuri nikmat rezeki merupakan sifat yang tercela. Renungkanlah betapa kasih dan sayang-Nya Pencipta kepada hamba-Nya. Dikurniakan pelbagai rezeki di atas muka bumi ini sehinggakan setiap makhluk-Nya sentiasa diberikan rezeki mengikut kadar kecukupan yang ditentukan Allah SWT buat hamba-Nya. Jika setiap hamba Allah menyelami akan nikmat Tuhan buat dirinya pasti tidak mampu dihitung banyaknya nikmat tersebut. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”-  (Surah Al-Nahl, ayat 18). Disebabkan kasih sayang Allah SWT, diberikan kepada hamba-Nya limpahan rezeki yang tidak terhitung banyaknya.

Manusia yang tahu erti syukur akan sentiasa melazimi lidahnya dengan bacaan tahmid kepada Tuhan. Tiada ungkapan yang lebih Allah SWT sukai melainkan hamba-Nya yang selalui menyebutkan kalimat Alhamdulillah kerana ungkapan itu menjadikan seorang hamba sedar akan rezeki yang diperolehinya merupakan anugerah Tuhan. Sebutan tahmid itu sebenarnya menjadi punca kepada penambahan dan kurniaan yang lebih besar yang disediakan Tuhan buat hamba-Nya yang beriman sebagaimana Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras.”  (Surah Ibrahim, ayat 7)

Kehidupan dunia ini sememangnya sangat mencabar. Manusia tidak terlepas daripada sifat sombong dan angkuh apabila mendapat habuan yang lebih berbanding dengan orang lain. Hakikatnya golongan ini lupa bahawa mereka ini sebenarnya miskin akhlak dari sisi pandangan Tuhan bahkan boleh terjerumus ke dalam lembah kehinaan di atas perbuatan sombong terhadap kurniaan yang diberikan Tuhan buat mereka. Mempamerkan kekayaan yang mewah bagi tujuan untuk bermegah-megah dengan kekayaan yang diperoleh melambangkan jiwa dikuasai oleh sifat kesombongan. Allah SWT melarang setiap hamba-Nya untuk tidak berlaku sombong
di atas muka bumi-Nya sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang.”  (Surah Al-Israa’, ayat 37).

Untuk itu, dalam usaha membina akhlak yang terpuji sebagaimana yang dikehendaki Allah SWT terhadap hamba-Nya marilah kita semua berusaha menjadi hamba Allah yang sentiasa bersyukur di atas kurniaan yang diberikan. Manusia yang memahami fadhilat bersyukur lebih menyedari dan menginsafi akan kekurangan diri. Segala yang dimiliki hakikatnya adalah milik Tuhan. Segala yang diperolehi sentiasa diingati sebagai satu anugerah Tuhan buat mereka. Golongan ini sedar dan sentiasa merendah diri bahawa rezeki itu sebenarnya datang daripada Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Hal keadaan ini dapat dilihat menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat (dari perkara yang tidak diingini)” (Surah Al-Furqaan, ayat 63). Sifat kesombongan tidak menguasai mereka bahkan dihiasi dengan sikap yang santun serta menginsafi diri sebagai seorang hamba Allah SWT.

Justeru, dianjurkan buat umat Islam untuk sentiasa berdoa kepada Tuhan agar menjadi hamba Allah yang tahu erti syukur yang sebenar. Antara doa yang terbaik boleh diamalkan bagi umat Islam ialah doa yang ma’thur di dalam al-Quran yang berbunyi: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai dan masukkanlah daku – dengan limpah rahmatMu – dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh” (Surah Al-Naml, ayat 19). Bagi mereka yang sudah mencapai usia 4o-an adalah dianjurkan untuk selalu membaca doa ini bagi mengekalkan momentum untuk terus istiqamah dalam menjadi hamba Allah yang bersyukur sepertimana doa yang terdapat di dalam al-Quran yang berbunyi: “Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu).”  (Surah Al-Ahqaaf, ayat 15)

Sebagai kesimpulannya, rezeki adalah kurniaan Allah SWT. Mensyukuri rezeki kurniaan Tuhan mendatangkan banyak kebaikan buat hamba-Nya. Limpahan rezeki Tuhan buat hamba-Nya tidak pernah putus dan sentiasa cukup melainkan golongan yang sombong dan rakus serta tidak tahu untuk bersyukur. Jadilah manusia yang sentiasa bersyukur kepada Tuhan. Semoga Allah SWT sentiasa melimpahkan rezeki kepada kita semua dan memasukkan kita dalam kalangan hamba-Nya yang bersyukur.

Rahmat Allah satukan hamba

Dr Zuraimy Ali

Islam menganjurkan sifat kasih sayang dalam hidup bermasyarakat bagi mewujudkan keharmonian dan keamanan.

Umum mengetahui bahawa kasih sayang adalah kunci kepada perpaduan dan kemakmuran hidup dalam Keluarga Malaysia.

Islam adalah agama yang sangat mengambil peduli terhadap kehidupan berkasih sayang sesama manusia dan sentiasa mengajar manusia untuk berlaku adil dalam semua perkara walaupun berbeza budaya, agama dan keturunan.

Ini kerana Islam adalah agama yang membawa rahmat dalam erti kata kasih sayang yang merentasi semua agama sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Tidaklah Kami mengutuskan kamu wahai Muhammad melainkan sebagai rahmat kepada sekalian alam” (Surah Al-Anbiya’, ayat 106).

Jelas ayat terbabit menjadi dalil terhadap sifat agama Islam yang menganjurkan tema rahmat kasih sayang yang merangkumi makna tersirat dalam mempraktikan nilai kasih sayang sesama manusia merentasi agama.

Lihat hikmah kebijaksanaan Ilahi dalam menyusun atur hidup manusia dengan pendekatan kasih sayang berasaskan nilai kemanusiaan yang Allah SWT kemukakan bagi tujuan hidup makmur secara bersama.

Rasulullah SAW sendiri simbol kasih sayang terhadap semua manusia dan Baginda SAW berjaya menerapkan elemen kasih sayang melalui bimbingan dan tunjur ajar melalui sunnah Baginda SAW.

Ada banyak anjuran kasih sayang melalui hadis Nabi SAW antaranya ialah Nabi SAW bersabda: “Barang siapa yang tidak menyayangi, maka dia tidak akan disayangi.” (Riwayat Muslim).

Oleh itu, menyayangi manusia adalah maqam yang terpuji bahkan mampu memberi kesan baik kepada jiwa manusia.

Sifat kasih sayang sesama manusia mampu menyuburkan keindahan Islam dan mengangkat kemuliaan peribadi seseorang dari sisi pandangan Islam.

Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Mereka tidak akan masuk syurga sehingga mereka beriman dan tidak beriman mereka itu sehingga mereka berkasih sayang. Adakah kalian mahu aku tunjukkan sesuatu yang mana apabila kalian mengerjakannya nescaya kalian akan saling menyayangi sesama kalian? Sebarkanlah salam sesama kalian”. (Riwayat Muslim).

Contoh teladan yang diamalkan umat Islam dalam konteks berkasih sayang mampu menyampaikan mesej kepada masyarakat dunia bahawa Islam memiliki nilai kasih sayang yang sangat utuh dan mampu membawa kepada kebahagian hidup. Hal ini akan memberikan satu natijah yang positif terhadap perkembangan dakwah Islam.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Kamu memberi makan dan mengucapkan salam kepada orang yang kamu kenal dan kepada orang yang kamu tidak kenal.” (Riwayat Al-Bukhari).

Hadis ini memperluaskan lagi makna pendekatan kasih sayang melalui tindakan menghulurkan makanan sebagai tanda kasih sayang sesama manusia.

Manusia lebih terkesan dan mudah untuk didekati jika pendekatan Islam melalui kasih sayang dapat dipraktikkan secara sempurna. Lihat betapa mudahnya dakwah berasaskan kasih sayang berbanding dengan pendekatan dakwah yang lain.

Ini kerana manusia berjaya dibentuk kalbunya melalui sentuhan kasih kasih yang mempunyai kekuatannya tersendiri sehingga mampu menyatukan manusia yang berbeza agama dan keturunan untuk saling membantu dan membina semangat toleransi yang tinggi dalam membentuk ikatan persaudaraan yang luar biasa.

Keindahan kasih sayang ini dapat diterjemahkan melalui firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai umat manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). (Surah Al-Hujurat ayat 13).

Malaysia mempunyai kepelbagaian kaum dan agama yang memerlukan nilai kasih sayang dalam membina Keluarga Malaysia. Seharusnya kita sebagai rakyat Malaysia yang cintakan kemakmuran perlu menzahirkan rasa kasih sayang sebagaimana yang diajar dalam Islam bagi mewujudkan hubungan baik yang menjadi identiti kebanggaan rakyat Malaysia dan seterusnya menjadi contoh teladan kepada masyarakat dunia.

Ada ramai rakyat Malaysia yang berjaya membentuk nilai kasih sayang merentasi pelbagai kaum dan agama yang perlu ditonjolkan bagi mewujudkan nilai peradaban yang baik dan dihormati selaras dengan aspirasi Keluarga Malaysia.

Tanamkan kasih sayang sesama manusia yang menjadi tunjang kepada pendekatan dakwah Islam serta sampaikan mesej rahmat Islam untuk seluruh alam. Segala masalah akan selesai jika hilangnya kebencian dan permusuhan dan suburnya kasih sayang di atas bumi Allah SWT.

Kita semua hakikatnya adalah bersaudara dari insan yang mulia iaitu keturunan Adam dan Hawa (‘Alaihima Salam). Islam itu mudah dan indah jangan kotorinya dengan nilai-nilai yang tercela.

Fitnah pangkat dan kedudukan

Hari ini kita melihat ramai di antara manusia berebut-rebut untuk menjadi pemimpin daripada sekecil-kecil organisasi sehinggalah yang tertinggi. Adakah situasi ini satu fitnah yang menyelubungi manusia?

Tidak dinafikan, zaman ini adalah zaman fitnah. Salah satu fitnah yang dilihat semakin membarah dalam masyarakat adalah fitnah pangkat dan kedudukan. Fitnah pangkat dan kedudukan termasuk dalam pembahagian fitnah syahwat disebabkan seseorang berkeinginan dengan kekuasaan yang berkait rapat dengan nafsu untuk berkuasa. Demikian juga apabila seseorang yang akan kehilangan kuasa, nafsu keinginan untuk kekal dalam kekuasaan sangat besar.

Fitnah pangkat dan kekuasaan adalah fitnah terdahsyat yang melanda umat Nabi Muhammad SAW. Baginda Nabi SAW bersabda maksudnya: “Sesungguhnya aku hanya khuatir (takut) atas umatku ini pemimpin yang menyesatkan.” Hadis Riwayat at-Tirmizi

Hadis ini datang dalam bentuk pengkhususan (takhsis) yang menjurus kepada fitnah yang akan menyebabkan umat Islam tergelincir ke dalamnya. Isyarat itu juga menunjukkan umat Islam yang paling ramai terfitnah dengan kekuasaan.

Fitnah Dajjal adalah terbesar yang akan menyelubungi manusia. Namun, adakah terdapat fitnah lain yang perlu manusia berhati-hati dengannya?

Fitnah Dajjal akan menyelubungi manusia akhir zaman saat ketibaanya nanti. Namun sebelum ketibaan Dajjal, baginda amat bimbang kepada keadaan pemimpin yang banyak menyesatkan orang lain. Perkara ini berdasarkan hadis daripada Abu Zar RA, dia berkata, aku mendengar Nabi SAW bersabda maksudnya: “Ketika aku bersama Nabi SAW pada satu hari ke rumahnya, aku mendengar baginda berkata: Bukan Dajjal yang lebih aku khuatirkan terhadap umatku” Sebelum baginda hendak masuk, aku bertanya: “Apakah yang lebih engkau khuatirkan atas umatmu daripada Dajjal itu? Baginda menjawab: “Para pemimpin yang menyesatkan orang lain.” Hadis Riwayat Ahmad

Hadis ini memberi isyarat tentang satu bentuk fitnah yang akan terus-menerus melanda umat Nabi SAW iaitu fitnah kekuasaan. Nabi SAW menjelaskan kerisauan baginda tentang fitnah kekuasaan ini melebihi daripada fitnah Dajjal. Ini jelas menunjukkan, fitnah Dajjal adalah lebih jelas berdasarkan pemahaman dan ilmu yang telah berkembang serta tempohnya adalah lebih pendek berbanding fitnah kekuasaan meliputi zaman.

Mengapakah manusia mudah tergelincir ke dalam fitnah pangkat, kuasa dan kedudukan?

Antara penyebab manusia tergelincir ke lembah fitnah kuasa adalah mereka yang ingin berdampingan dengan penguasa. Daripada Ibnu Abbas RA, Nabi SAW bersabda maksudnya: “Barangsiapa yang tinggal di desa akan menjadi kasar perangainya, barangsiapa yang mengejar binatang buruan maka dia akan lalai, barangsiapa yang datang kepada penguasa maka dia akan terfitnah.” Hadis Riwayat at-Tirmizi

Dalam riwayat lain Nabi SAW bersabda maksudnya: “Barangsiapa yang tetap menghampiri penguasa maka dia akan terfitnah, tidaklah seseorang itu bertambah dekat dengan penguasa kecuali dia bertambah jauh daripada Allah.” Hadis Riwayat Abu Daud

Gambaran utama dalam hadis ini menjelaskan keadaan manusia apabila menghampiri penguasa, menjadi orang dekat kepada mereka atau menjadi orang mengetuk pintu pejabat atau rumah mereka adalah sumber terjadinya fitnah. Apabila seseorang menghampiri penguasa, perkara seperti membodek, bermanis muka, ‘menjilat’ mereka akan menjadi barah berbahaya kepada agama Islam. Namun, jika dia tidak menghiraukan penguasa, maka kesannya hanya di dunia sahaja.

Adakah perbezaan taraf kehidupan menjadi punca kepada fitnah ini?

Perbezaan taraf kehidupan manusia melalui harta, dan kebijaksanaan kurniaan Allah SWT turut menyebabkan manusia tergelincir ke dalam fitnah pangkat dan kedudukan yang membinasakan.

Fitnah pangkat dan kedudukan ini antara ujian yang besar menimpa umat Nabi SAW terutama apabila manusia setiap hari dan masa mengejar pangkat dan kedudukan yang lebih tinggi bertujuan memperoleh pendapatan (gaji atau elaun) yang lebih besar.

Pelantikan yang dibuat untuk sesuatu jawatan sama ada dalam proses yang benar atau tidak, akan memberi kegembiraan yang besar kepada seseorang yang dilantik untuk mengetuai sesebuah organisasi. Daripada lantikan peringkat bawahan sehingga menjadi orang atasan, pangkat dan kedudukan ini akan menjadi ujian yang besar kepada mereka, sama ada mereka dapat menjalankan tanggungjawab tersebut atau terleka dengan pangkat yang diperoleh.

Bagaimanakah untuk memastikan seseorang yang memegang amanah dalam bentuk pangkat dan kedudukan terhindar daripada fitnah ini?

Kebiasaan yang berlaku, pada awal permulaan lantikan, seseorang sangat bersemangat untuk mengubah dan berikrar akan sedaya upaya menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan. Namun, amanah ini tidak sekadar jawatan dunia semata-mata, bahkan akan dipersoal pada hari kiamat kelak.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: ‘Setiap orang adalah pemimpin dan akan diminta bertanggungjawab atas kepemimpinannnya. Seorang kepala negara adalah pemimpin atas rakyatnya dan akan diminta bertanggungjawab perihal rakyat yang dipimpinnya. Seorang suami adalah pemimpin atas anggota keluarganya dan akan ditanya perihal keluarga yang dipimpinnya. Seorang isteri adalah pemimpin atas rumah tangga dan anaknya dan akan ditanya perihal tanggungjawabnya. Seorang pembantu rumah tangga adalah bertugas memelihara barang milik majikannya dan akan ditanya atas pertanggung jawabannya. Dan kamu sekalian pemimpin dan akan ditanya atas pertanggungjawabannya.” Hadis Riwayat Muslim

Rasulullah SAW kepada Abdul Rahman Ibnu Samurah: “Janganlah engkau meminta diangkat menjadi penguasa di suatu wilayah. Kerana jika yang demikian diberikan kepada engkau lantaran permintaan, nescaya engkau dibiarkan, tidak diberi pertolongan. Tetapi jika diberikan kepada engkau bukan kerana engkau memintanya, nescaya engkau diberi pertolongan.” Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim

Iktibar daripada hadis itu dapat kita lihat pada hari ini apabila orang yang ghairah memburu jawatan dan kedudukan belum tentu dapat melaksanakan tugas dengan baik berikutan mendapat bantahan dan tentangan daripada kakitangan.

Sebaliknya, jika jawatan diterima berdasarkan kelayakan, dengan izin Allah, bebanan tanggungjawab dipikul seberat mana pun akan mendapat bantuan daripada Allah SWT dan mereka yang menyokong di belakang ketua atau pemimpin dilantik sebulat suara serta dipersetujui.

Hal itu ada dijelaskan dalam hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Pemimpin pilihan di antara kamu semua ialah orang yang kamu cintai (suka), mereka juga mencintai kamu. Kamu semua mendoakan mereka untuk kebaikan begitu juga mereka mendoakan untuk kebaikan kamu.” Hadis Riwayat Muslim

Mengapakah manusia memerlukan kepada pemimpin?

Pemimpin ini funginya adalah ketua bagi menunjuk jalan yang benar. Imam adalah ketua dalam solat, jadi imam berfungsi mengetuai solat dengan tertib dan cara yang betul. Oleh itu, keperluan kepada pemimpin ini satu perkara yang sangat utama. Sabda Nabi SAW maksudnya: “Adalah bagi Bani Israel, mereka diuruskan urusannya oleh para nabi (tasusuhumul anbiya). Ketika seorang nabi wafat, nabi yang lain datang menggantinya. Tidak ada nabi setelahku, namun akan ada ramai khilafah.” Hadis Riwayat al-Bukhari

Imam Nawawi menyebut dalam syarahnya terhadap Sahih Muslim antara lain berkata: “Bani Israel yang dipimpin oleh nabi apabila wafatnya seorang nabi, akan diganti dengan nabi yang lain yang menguruskan urusan mereka, bagi segala maslahah untuk mereka”.

Sabda baginda Nabi SAW maksudnya: “Tidak harus bagi tiga orang yang berada di tengah-tengah bumi yang lapang (bermusafir), melainkan mereka mesti melantik seorang daripada mereka sebagai pemimpin.” Hadis Riwayat Ahmad

Justeru, pangkat dan kedudukan ini akan menjadi fitnah sekiranya seseorang itu berkeinginan kepada jawatan disebabkan kepentingan peribadi dan dorongan hawa nafsu yang tinggi. Namun sekiranya jawatan itu diperoleh dengan meletakkan agama sebagai panduan, bantuan Allah akan menyusuli.

Amanah kepimpinan begitu besar

Dr Saiful Izwan Zainal

SESUNGGUHNYA Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya) dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya (ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara yang tidak patut dikerjakan.”  (Surah Al-Ahzab, ayat 72)

Amanah adalah sesuatu yang dipertanggungjawabkan kepada seseorang atau pihak tertentu. Dalam aspek pekerjaan, sememangnya amanah dan tanggungjawab memainkan peranan yang cukup besar dalam memangkin kualiti kerja seseorang.

Islam amat menganjurkan umatnya menghiaskan diri dengan sifat amanah. Sifat ini mendapat kedudukan tinggi dalam akhlak Islam. Apabila membicarakan tentang bekerja dari rumah, sudah semestinya persoalan yang sering timbul adalah kualiti kerja yang dihasilkan, sama ada sama seperti lazimnya atau mungkin berlainan. Pokok pangkal daripada permasalahan ini adalah sikap amanah dan tanggungjawab dalam diri ketika menjalankan tugasan yang diberikan, tidak kira di mana kita bekerja. Dengan rasa tanggungjawab ini jugalah kita akan berasa tenang menunaikan amanah, walaupun tidak berada di bawah seliaan fizikal sesiapa. Sesungguhnya Allah Yang Maha Melihat (al-Basar), seperti mana yang disebutkan di dalam surah Al Hujuraat, ayat 18: “Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ghaib di langit dan di bumi. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.”

Sesungguhnya, tugasan yang kita galas itu adalah amanah yang perlu kita laksanakan dengan bersungguh-sungguh kerana kita akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. 

Daripada Abdullah Bin Umar RA, bahawasanya dia mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan akan ditanya tentang orang yang dipimpinnya. Maka imam adalah pemimpin dan dia akan ditanya tentang rakyatnya. Dan lelaki (suami) di dalam keluarga adalah pemimpin dan akan ditanya tentang orang yang berada di bawah pimpinannya. Dan wanita (isteri) di rumah suaminya adalah pemimpin dan akan ditanya tentang apa yang dijaganya. Dan hamba yang menjaga harta tuannya adalah pemimpin dan dia akan ditanya tentang apa yang dijaganya.” (Hadis  Riwayat al-Bukhari, no hadis 2409) 

Daripada hadis  di atas, Rasulullah SAW  menggariskan kepentingan melaksanakan amanah yang kita galas dengan sebaik-baiknya dan seikhlas mungkin kerana semuanya akan berbalik kepada kita di akhirat kelak dan kita akan menerima balasan setimpal dengan apa yang kita kerjakan.  Tidak kiralah sama ada kita bertaraf pemimpin, atau pekerja biasa, setiap sesuatu yang kita kerjakan akan ditanya di akhirat dan tiada satupun yang akan terlepas daripada pengetahuan Allah SWT seperti yang dinyatakan di dalam al-Quran yang bermaksud: “Pada waktu itu Kami tutup mulut mereka dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (tentang kesalahan masing-masing) dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan.” (Surah Yasin, ayat 65)

Kesedaran mengenai kepentingan berlaku benar dan adil dalam melaksanakan pekerjaan kita adalah tunjang kepada sikap kebertanggungjawaban. Kita perlu berusaha untuk terus menuju ke arah perkara dan amalan yang benar kerana menegakkan yang benar itu wajib. Kesedaran dan istiqamah mengamalkan perkara yang benar inilah yang kemudiannya akan mengubah corak amalan kerja kita ke arah yang lebih baik dan barakah. Daripada Abdullah, telah berkata: “Sabda Rasulullah SAW: ‘Kalian wajib berlaku benar maka sesungguhnya benar itu membawa kepada kebaikan dan sesungguhnya kebaikan itu membawa kepada syurga. Dan seseorang yang sentiasa bersifat benar dan mencari kebenaran akan tercatat di sisi Allah SWT  bahawa dia seorang yang benar. Dan berhati-hatilah dengan pendustaan, maka sesungguhnya dusta itu membawa kepada kejahatan dan kejahatan itu membawa ke neraka. Dan seseorang yang sentiasa berdusta dan mencari perkara dusta akan tercatat di sisi Allah SWT  bahawa dia seorang pendusta.”‘ (Hadis  Riwayat Muslim, no. 6639) 

Kerukunan bekerja perlu dipelihara dan menyempurnakan amanah amat disanjung tinggi malah diwajibkan oleh Islam. Namun harus diingat bahawa ungkapan amanah bukan sekadar bersikap benar dalam apa jua urusan kehidupan manusia, malah ia turut mencakupi setiap tanggungjawab yang wajib dilaksanakan. 

Islam menyeru umatnya untuk terus berpegang kepada amanah dan menegakkan kebenaran dalam melaksanakan pekerjaan dan tugasan harian. Sikap kerja sebegini bukan sahaja mampu meningkatkan produktiviti kerja, malah akan dapat memberikan ketenangan kepada kita. Apabila timbul perasaan tanggungjawab dalam diri ketika menjalankan kerja dari rumah, disulam pula dengan keikhlasan yang tidak berbelah bahagi, semestinya ketenangan itu akan datang seiringan. Ketenangan ini akan timbul bukan hanya kerana kualiti kerja kita akan meningkat, tetapi juga kerana kita menyedari bahawa kita telah melaksanakan amanah yang diberikan dengan seberapa daya dan sebaik mungkin. Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa dan harta kamu, tetapi Allah melihat kepada hati dan amalan kamu.” (Hadis  Riwayat Muslim, No. 2564)

Derma beli tanah wakaf Pondok Gelang Mas, Kelantan

Pemimpin amanah penyelamat ummah

Datuk Mohd Ajib Ismail

Pada saat dan ketika ini, ramai orang sedang membicarakan perihal kepemimpinan sama ada di peringkat atasan mahupun masyarakat awam di segenap lapisan. Sejauh manakah isu kepemimpinan memberi makna begitu penting dalam kehidupan manusia sehingga sentiasa menjadi polemik sepanjang zaman? Daripada sudut pandangan Islam, kepemimpinan adalah suatu keperluan bagi mencapai maksud dan matlamat untuk memastikan kesinambungan risalah Islam yang dibawa oleh baginda Nabi Muhammad SAW dan sekalian rasul demi keselamatan serta kesejahteraan umat manusia.

Firman Allah SWT dalam Surah Sad ayat 26 bermaksud: “Wahai Daud, sesungguhnya Kami menjadikanmu khalifah di bumi maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu) dan janganlah engkau menurut hawa nafsu kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu daripada jalan Allah. Sesungguhnya orang yang sesat daripada jalan Allah akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu.”

Kepemimpinan adalah sebuah kemuliaan sekiranya dilaksanakan dengan penuh amanah sebaliknya membawa kehinaan jika dilaksanakan dengan pengkhianatan dan pengabaian.

Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis daripada Abu Zar RA dia berkata, aku bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah apakah tuan tidak melantik aku (menjadi pemimpin). Lalu Rasulullah memegang bahuku dengan tangannya dan bersabda: ‘Wahai Abu Zar, sesungguhnya aku lihat engkau adalah lemah sedangkan kepemimpinan itu adalah amanah. Dan ia pada hari kiamat nanti adalah satu kehinaan serta penyesalan melainkan mereka yang memegangnya dengan haknya dan menunaikan hak yang terdapat ke atas kepemimpinan itu.” Riwayat Muslim

Dalam sebuah hadis lain pula daripada Abu Hurairah bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda bermaksud: “Ada tujuh golongan yang Allah melindungi mereka dalam lindungan-Nya pada hari kiamat, pada hari ketika tiada perlindungan selain perlindungan-Nya, iaitu imam yang adil, pemuda yang sentiasa dalam beribadah kepada Allah, seseorang yang senantiasa mengingati Allah ketika bersendirian sehingga matanya berlinang, seseorang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid, dua orang yang saling mencintai kerana Allah, seseorang yang diajak berzina oleh wanita bangsawan dan rupawan, namun dia menjawab: “Saya takut kepada Allah’ serta seseorang yang bersedekah secara sembunyi-sembunyi sehingga tangan kirinya tidak tahu terhadap amalan tangan kanannya.” Riwayat al- Bukhari

Adakah kepemimpinan sebuah pilihan atau paksaan dalam kehidupan insan? Dalam ajaran Islam, kepemimpinan adalah sebuah tanggungjawab dan amanah yang bermula daripada diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara. Rasulullah SAW bersabda di dalam sebuah hadis daripada Ibnu Umar RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Ketahuilah, setiap kalian adalah pemimpin dan setiap kalian bertanggungjawab atas apa yang dipimpinnya. Seorang pemimpin yang memimpin rakyat akan bertanggungjawab atas rakyatnya, seorang laki-laki adalah pemimpin atas keluarganya dan dia bertanggungjawab atas mereka semua, seorang wanita juga pemimpin atas rumah suaminya serta anaknya dan dia bertanggungjawab atas mereka semua, seorang hamba adalah pemimpin atas harta tuannya dan dia bertanggungjawab atas harta itu. Setiap kalian adalah pemimpin dan akan bertanggungjawab atas kepemimpinannya.” Riwayat Muslim

Manusia adalah makhluk yang diciptakan oleh Allah SWT dengan keupayaan untuk memimpin yang melayakkannya menjadi khalifah di dunia sebagaimana firman-Nya di dalam Surah al-Ahzab ayat 72 bermaksud: “Sesungguhnya Kami kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya) maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya) dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara yang tidak patut dikerjakan.”

Berpandukan al-Quran, pada Surah al-Qasas ayat 26 pula menggariskan ciri-ciri dan syarat utama yang perlu ada pada seorang pemimpin iaitu kekuatan dan amanah sebagaimana firman Allah yang bermaksud ‘Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: “Wahai ayah, ambilah dia menjadi orang upahan (menggembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah.” Kekuatan adalah meliputi kecergasan fizikal, mental dan spritual manakala amanah pula meliputi komitmen serta mutu kerja. Ciri itu penting ketika melaksanakan apa-apa jua bidang pekerjaan kerana jika dilakukan dengan amanah akan menyenangkan ramai pihak, namun jika sebaliknya akan menyukarkan urusan orang lain. Tanpa kekuatan dan amanah dalam kepemimpinan, rumah tangga bermasalah, keluarga porak-peranda, bahkan negara boleh tergadai kepada musuh.

Oleh itu, amat penting bagi kita untuk menterjemahkan ciri-ciri kepemimpinan atau menghargai kepercayaan yang diberikan sebagai pemimpin dengan menggunakan kedudukan yang ada bagi memelihara kemaslahatan awam berbanding kepentingan peribadi atau kumpulan tertentu.

Allah SWT memerintahkan agar pemimpin melindungi kaum yang lemah seperti firman-Nya dalam Surah an-Nisa ayat 75 yang bermaksud: “Dan apakah yang menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam) dan (untuk menyelamatkan) orang yang tertindas daripada lelaki, perempuan dan kanak-kanak iaitu mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata: ‘Wahai Tuhan kami! Keluarkanlah kami dari negeri (Makkah) ini yang penduduknya (kaum kafir musyrik) zalim dan jadikanlah bagi kami daripada pihak-Mu seorang pemimpin yang mengawal (keselamatan agama kami) serta jadikanlah bagi kami daripada pihak-Mu seorang pemimpin yang membela kami (daripada ancaman musuh).”

Harapan dan hala tuju kepemimpinan sama ada di peringkat keluarga, masyarakat atau negara perlulah menepati maksud dan matlamat kepemimpinan dalam Islam untuk membawa kebahagiaan hidup di dunia hingga akhirat. Firman Allah dalam Surah Hud ayat 108 bermaksud: “Adapun orang yang berbahagia (disebabkan imannya dan taatnya) maka di dalam syurgalah tempatnya. Mereka kekal di dalamnya selagi ada langit dan bumi kecuali apa yang dikehendaki oleh Tuhanmu sebagai pemberian nikmat yang tidak putus-putus.”

Hanya dengan penghayatan terhadap tanggungjawab kepemimpinan dan dokongan daripada golongan yang dipimpin, bahtera kehidupan akan dapat belayar dengan selamat menuju ke pelabuhan.

Pemimpin baik diredai Allah

SETIAP manusia di muka bumi menggalas amanah Allah SWT sebagai khalifah. Khalifah dalam menjalankan tugas memakmurkan bumi Allah SWT mengikut ketetapan-Nya. Apabila bumi ini makmur, natijah daripada pelaksanaan amanah Allah SWT, maka kehidupan dunia akan terus mendapat rahmat dan keberkatan daripada-Nya. Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang maksudnya: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi.” (Surah al-Baqarah, ayat 30)

Daripada beberapa pengertian ‘khalifah’ yang diberikan oleh ulama, satu pengertian yang mudah difahami merujuk khalifah sebagai “seorang yang dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT untuk mengatur kehidupan manusia di bumi dengan berdasarkan wahyu dan syariat Allah, supaya kehidupan manusia itu teratur dan mempunyai tujuan hidup yang suci murni untuk mencapai keredaan Allah.” (Tafsir Pimpinan Ar-Rahman)

Begitu besar tanggungjawab seorang khalifah Allah SWT. Hakikatnya, meskipun tanggungjawab sebagai khalifah merupakan tanggungjawab setiap insan, tetapi tidak semua mampu melaksanakannya tanpa petunjuk Ilahi. Malah ada insan yang lupa tentang amanah kepemimpinan, lantas melakukan perbuatan yang melanggar ketetapan Allah SWT. 

Ingatlah setiap daripada kita bertanggungjawab atas perkara yang dilakukan. Rasulullah SAW bersabda dalam hadis yang bermaksud: “Setiap kamu merupakan pemimpin dan kamu semua bertanggungjawab terhadap orang di bawah jagaanmu. Seorang pemerintah ialah pemimpin dan dia bertanggungjawab terhadap rakyatnya.” (Muttafaq ‘alaih)

Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: “Wahai orang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul (Muhammad) dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanah yang diberi kepercayaan kepadamu, sedang kamu mengetahui.” (Surah al-Anfal, ayat 27)

Malaysia akan berdepan dengan satu lagi bukti amalan demokrasi melibatkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15). Banyak perkara yang dibincangkan dalam media berkenaan dengan proses PRU-15. Pada waktu ini, perlu menjadi ingatan bahawa semua yang akan terlibat dalam PRU-15 wajib menginsafi mereka memikul tanggungjawab sepenuhnya atas setiap keputusan yang dilakukan. 

Hasilnya nanti pihak yang mencapai kemenangan wajib melaksanakan tanggungjawab yang secara sukarela dipilih oleh mereka sendiri. Tanggungjawab besar memimpin masyarakat perlu dilaksanakan dengan penuh ikhlas dan tanggungjawab. Dalam sistem demokrasi yang diamalkan di Malaysia, setiap pemimpin yang terpilih untuk menjadi pemimpin perlu memimpin dan menjaga kebajikan rakyat tanpa mengira bulu, meskipun rakyat tersebut tidak memilihnya dalam undi pilihan raya. 

Sesungguhnya Allah SWT sentiasa memerhati dan menilai setiap tanggunjawab yang dipikul oleh pemimpin. Tibalah masanya nanti untuk pemimpin menjalankan tugas dengan terbaik kerana ia merupakan satu amanah. Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud: “Sesungguhnya sebaik-baik orang hendak engkau ambil untuk bekerja ialah yang kuat (berkemampuan) dan amanah (dipercayai).” (Surah al-Qasas, ayat 36)

Setiap pemimpin perlu sedar mereka wajib berusaha untuk mempermudahkan urusan orang lain. Jangan hanya manis di bibir menabur janji namun tidak menghiraukan kebajikan rakyat setelah menang menjadi pemimpin. Rasulullah SAW memberi ancaman kepada pemimpin yang tidak menjalankan tugas yang diamanahkan menerusi hadis yang bermaksud: “Ya Allah, sesiapa sahaja yang mengurus urusan umatku, lalu dia menyusahkan umatku, maka susahkanlah dia.”  (Hadis riwayat Muslim)

Pemimpin yang bertanggungjawab tidak akan meminta apa-apa keistimewaan untuk diri dan keluarganya. Malah dia tidak menganggap dirinya lebih baik daripada orang lain. Pemimpin perlu sedar bahawa pelantikannya sebagai pemimpin merupakan satu pertanggungjawaban (taklif) dan bukan satu kemuliaan (tashrif) untuk dimegahkan. Perkara penting ini perlu sentiasa diingatkan sejak sebelum orang yang terlibat menjadi pemimpin. Tiada istilah istimewa apabila dilantik menjadi pemimpin kerana sepatutnya mereka menjadi ‘pekerja’ kepada rakyat dan bukan sebaliknya. 

Selain itu, antara sifat keji yang perlu ditinggalkan oleh seorang pemimpin ialah sifat ‘dusta’. Dengan pelbagai janji yang ditabur semasa kempen pilihan raya berlangsung, ia mesti diusahakan secara serius demi kebaikan rakyat yang dipimpinnya. Pastinya setiap anggota masyarakat berdepan dengan pelbagai masalah dan kesukaran dalam hidup. Maka menjadi tanggungjawab utama seorang pemimpin untuk memberi bantuan bagi menyelesaikan masalah tersebut, atau setidaknya mengurangkan penderitaan yang ditanggung. 

Allah SWT berfirman dalam al-Quran bermaksud: “Wahai orang beriman, mengapa kamu mengucapkan sesuatu yang tidak kamu kotakan. Besar benar dosanya di sisi Allah kalau kamu mengucapkan apa yang tidak kamu kotakan.” (Surah al-Munafiqun, ayat 1-2)

Rasulullah SAW turut mengingatkan pemimpin tentang bahaya tanggungjawab yang tidak dilaksanakan menerusi sabda Baginda yang bermaksud: “Tiada seorang pun pemimpin yang menguasai urusan kaum Muslimin, lantas tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk kebaikan mereka dan tidak jujur kepada mereka, melainkan dia tidak akan masuk syurga bersama mereka.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Seorang pemimpin perlu menjadi contoh kepada pengikutnya dan mempunyai pengaruh besar dalam mencorakkan pemerintahannya menurut acuan Islam. Kepemimpinan Rasulullah SAW berasaskan akhlak mulia hingga mampu menarik golongan bukan Islam untuk memeluk Islam dan mentaati Baginda sebagai ketua negara. 

Pemimpin adalah model dalam membentuk sahsiah yang baik dalam kepemimpinan dan kehidupan harian. Pemimpin akan sentiasa diperhatikan oleh rakyat. Bukan sahaja rakyat akan menilai pemimpin mereka, malah Allah SWT turut menilai setiap tindakan pemimpin. Oleh itu, pemimpin yang pernah memikul tanggungjawab kepemimpinan negara perlu berfikir berpandukan iman dalam usaha mereka untuk kembali menjadi pemimpin. 

Keadaan negara hari ini merupakan kesan kepemimpinan pemimpin sebelum ini yang diberi amanah melaksanakan tanggungjawab. Sejauh mana pemimpin sebelum ini berjaya meraih reda Allah SWT atau mereka gagal menunaikan tanggungjawab sebagai pemimpin sepertimana yang dikehendaki oleh-Nya. Tepuk dada tanya iman.

Sekiranya pemimpin memiliki sifat-sifat terpuji (mahmudah), sepertimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, pastinya akan lahir masyarakat yang harmoni. Dalam konteks Malaysia, akhlak pemimpin boleh sahaja diperhatikan ketika mereka berada dalam Dewan Rakyat. Pemimpin yang gagal mempamerkan akhlak yang mulia tidak akan mendapat bimbingan daripada Allah SWT. 

Malaysia perlu terdiri daripada kalangan pemimpin dan rakyat yang saling sayang-menyayangi, hormat-menghormati serta sentiasa diingati dalam doa. Inilah antara perkara yang boleh mendatangkan kesejahteraan, kemakmuran serta keberkatan negara kurniaan Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: “Sebaik-baik pemimpin kamu adalah yang kamu cintai dan mereka pun mencintai kamu serta yang sentiasa kamu doakan dan mereka pun selalu mendoakan kamu.” (Hadis riwayat Muslim)