• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,259,659 orang
  • Kandungan Blog

5 Fasa sebelum kiamat

Muhammad Saufi Hassan

Kehidupan setiap manusia akan sampai ke penghujungnya iaitu kematian, setiap yang bernyawa pasti akan melalui fasa berkenaan untuk hijrah ke alam abadi.

Begitu juga dengan dunia ini, akan tiba masanya bumi ini menemui titik noktahnya dan berlakulah apa yang disebut sebagai kiamat dan hari kebangkitan oleh semua makhluk.

Sebenarnya, terdapat lima fasa sebelum episod kiamat itu menjelma dan kini, kita hidup pada fasa keempat sebelum menjengahnya fasa akhir.

Rasulullah SAW bersabda: “Akan datang kepada kalian masa kenabian dan atas kehendak Allah masa itu akan datang. Kemudian, Allah akan menghapusnya, jika Ia berkehendak menghapusnya. Setelah itu, akan datang masa kekhilafahan ‘ala Minhaaj al-Nubuwwah dan atas kehendak Allah masa itu akan datang. Lalu, Allah menghapusnya jika Yang Maha Esa berkehendak menghapusnya.

“Setelah itu, akan datang kepada kalian, masa raja menggigit dan atas kehendak Allah masa itu akan datang. Lalu, Allah menghapusnya, jika Ia berkehendak menghapusnya. Setelah itu, akan datang masa raja diktator (pemaksa) dan atas kehendak Allah masa itu akan datang; lalu Allah akan menghapusnya jika berkehendak menghapusnya. Kemudian, datanglah masa Khilafah ‘ala Minhaaj al-Nubuwwah (Khilafah yang berjalan di atas kenabian). Setelah itu, Baginda diam.” (Hadis Riwayat Imam Ahmad)

Untuk memberi kefahaman yang lebih mudah, fasa pertama adalah ketika Rasulullah SAW diutuskan iaitu fasa pemerintahan kenabian dan fasa itu sudah berlalu lebih 1,400 tahun sejak kewafatan Baginda SAW.

Selepas itu, fasa kedua adalah ketika era pemerintahan Khulafa’ Ar-Rasyidin iaitu terdiri daripada empat khalifah bermula daripada Saidina Abu Bakar As-Siddiq RA, Saidina Umar Al-Khattab RA, Saidina Uthman Affan RA dan Saidina Ali Abi Talib RA.

Tempoh pemerintahan Khulafa’ Ar-Rasyidin adalah sekitar 30 tahun dan berakhirnya pemerintahan berkenaan dengan memasuki fasa ketiga.

Pada fasa ketiga adalah pemerintahan ‘Mulkan Adhon’ iaitu pemerintahan yang menggunakan sistem monarki ataupun pewarisan takhta menerusi adik beradik, anak beranak dan sanak saudaranya.

Tempoh pemerintahan ini berlaku dengan kemunculan Khalifah Umaiyyah (661-750M), selepas itu diganti oleh Khalifah Abbasiyah (750-1517M) dan akhirnya diganti oleh Khalifah Uthmaniyah (1299-1922).

Ketiga-tiga sistem pemerintahan berkenaan menggunapakai sistem pewarisan ketua kerajaan dan ia sejajar dengan hadis Nabi SAW yang menerangkan dengan kerajaan ‘Mulkan Adhon’.

Membenarkan hadis Nabi SAW berkenaan, pemerintah pertama Kerajaan Umaiyyah adalah Saidina Muawiyah Abi Suffian RA dan sebelum kewafatan Muawiyah, beliau mewariskan kepada anaknya iaitu Yazid Muawiyah.

Memasuki fasa keempat, umat Islam akan diperintah sistem kerajaan yang zalim dan fasa ini dikenali sebagai ‘Jabriya’ dalam tempoh yang tidak diketahui.

Selepas itu, fasa kelima atau fasa akhir akan kembali kepada pemerintahan sistem kenabian atau ‘Minhajin Nubuwwah’ dengan kemunculan Imam Mahdi dan selepas itu akan berlakunya peristiwa kiamat.

 1. Zaman Nubuwwah atau  zaman kenabian. Dimulai dari zaman Nabi Adam Alaihis Salam sehinggalah kepada baginda Nabi Muhammad.

2. Zaman Khilafah yang memimpin mengikut cara Nabi Muhammad.

Pada zaman ini kepemimpinan dipegang oleh sahabat-sahabat Nabi SAW iaitu, Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Saidina Uthman dan Saidina Ali RA. Mereka memimpin selama hampir 30 tahun.

3. Zaman Mulkan Adhon. Bermulanya kerajaan Bani Umaiyah kemudian Bani Abbasiyyah dan berakhir dengan kerajaan Bani Uthmaniyyah di Turki yang runtuh pada tanggal 3 Mac 1924.

 4. Zaman Jabriya. Bermaksud zaman kepemimpinan yang zalim. Apabila runtuhnya kerajaan Islam Bani Uthmaniyyah maka lahirlah kepemimpinan dunia secara paksaan seperti penjajahan ke atas negara-negara di dunia oleh Pertugis, Belanda, Inggeris, Amerika Syarikat, Jerman, Sepanyol, Perancis dan Jepun secara paksaan ketenteraan.

 Melihat kepada garis masa berkenaan, maka sudah jelaslah bahawa kita kini hidup dalam zaman penghujung di antara yang penghujung sementara menanti dengan keizinan Allah SWT, fasa kelima akan bermula.

Inilah masanya untuk kita kembali bermuhasabah tentang apakah sudah cukup bekal yang ingin dibawa sekiranya fasa kelima itu berlaku yang akan memperlihatkan pelbagai tragedi fitnah termasuk keluarnya Dajjal al-Masih.

Nabi SAW memberikan petunjuk jelas berhubung perjalanan manusia di muka bumi ini dan pastinya akan sampai suatu masa kita akan melihat setiap perkara yang sudah diingatkan oleh Baginda SAW.

Jika ditelusuri semula, setiap yang sudah berlaku dan akan berlaku sebenarnya sudah disabdakan oleh Rasulullah SAW lebih 1,400 tahun yang lalu sebagai panduan kepada umatnya dan peringatan.

Penulis ingin mengingatkan kepada diri dan pembaca untuk bertaubat dan kembali kepada keredaan Allah SWT dalam menghadapi gelombang akhir zaman yang semakin dahsyat.