• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,259,652 orang
  • Kandungan Blog

Kekuatan senjata takbir

ANTARA tanda-tanda hampirnya kiamat adalah penaklukan Kota Konstantinopel oleh umat Islam sebelum keluarnya Dajjal. Menurut beberapa hadis Nabi SAW, penaklukan besar ini terjadi setelah peperangan dengan bangsa Rom yang dimenangi oleh kaum Muslimin. Kaum Muslimin kemudian menuju ke Kota Konstantinopel lalu Allah SWT membuka kota tersebut untuk kaum Muslimin tanpa melibatkan peperangan. Senjata utama kaum Muslimin pada ketika itu adalah takbir dan tahlil sahaja. 

Perkara ini berdasarkan sabda Nabi SAW bermaksud: “Apakah kalian pernah mendengar suatu kota yang terletak sebahagiannya di darat dan sebahagiannya di laut? Mereka (sahabat) menjawab: ‘Pernah wahai Rasulullah. Baginda SAW bersabda: Tidak terjadi hari kiamat, sehingga ia diserang oleh 70,000 orang daripada Bani Ishaq. Ketika mereka sampai di sana, maka mereka pun memasukinya. Mereka tidaklah berperang dengan senjata dan tidak melepaskan satu panah pun. Mereka hanya berkata Laa Ilaha Illallah Wallahu Akbar, maka jatuhlah salah satu bahagian dari kota itu. Berkata Tsaur (perawi hadis): Saya tidak tahu kecuali hal ini; hanya dikatakan oleh pasukan yang berada di laut. Kemudian mereka berkata yang kedua kalinya Laa Ilaha Illallah Wallahu Akbar, maka jatuh pula sebahagian yang lain (darat). Kemudian mereka berkata lagi Laa Ilaha Illallah Wallahu Akbar, maka terbukalah semua bahagian kota itu. Lalu mereka pun memasukinya. Ketika mereka sedang membahagi-bahagikan harta rampasan perang, tiba-tiba datanglah seseorang (syaitan) seraya berteriak: Sesungguhnya Dajjal telah keluar. Kemudian mereka meninggalkan segala sesuatu dan kembali.'” (Hadis Riwayat Muslim, Kitabul Fitan wa Asyratus Sa’ah, Hadis  no 2920)

Berdasarkan hadis berkenaan, Kota Konstantinopel ini akan ditakluk oleh kaum Muslimin buat kali kedua selepas penaklukan kali pertama yang berlaku pada 1453 masihi. Penaklukan kedua ini pula akan berlaku apabila terjadinya pertambahan umat Islam khsususnya bangsa Rom sebelum turunnya Dajjal. Al-Hafiz Ibnu Kathir menjelaskan, bangsa Rom akan masuk Islam sehingga penaklukan Kota Konstantinopel ini dilakukan sekelompok daripada bangsa Rom sendiri.

Apabila melihat kepada situasi hari ini, Konstantinopel (Istanbul) berada dalam wilayah dan pemerintahan orang Islam. Oleh itu, tidak mungkin penaklukan akan berlaku kepada tempat yang sama. Walau bagaimanapun menurut as-Sayyid Muhammad Rasul al-Barzanji menerusi penjelasan dalam kitabnya al-Isya’ah li Asyrat al-Sa’ah, Konstantinopel yang dimaksudkan dalam hadis tersebut  adalah Konstantinopel yang besar yang bersambung dengan Rome (Itali) dan Andalus (Sepanyol). Kedua-dua pusat penumpuan dunia ini adalah antara tempat yang mempunyai kapasiti penganut agama Kristian yang besar.  Kota Konstantinopel iaitu Istanbul, Turki dibebaskan oleh Sultan Muhammad al-Fateh pada 1453 buat kali pertama selepas beberapa percubaan dilakukan oleh pemimpin Islam terdahulu. Usaha mereka bertitik tolak daripada sabda Nabi SAW maksudnya: “Sesungguhnya Kostantinopel akan dibebaskan, sebaik–baik pemimpin adalah pemimpinnya dan sebaik–baik pasukan adalah pasukan tersebut.” (H.R Ahmad Hadith no 18957)

Permulaan pembukaan kota Konstantinopel dimulai oleh Saidina Ali bin Abi Talib RA Khalifah ar-Rasyidin ke-4 pada tahun ke-34 Hijrah sehingga ramai yang terkorban. Disebabkan itu, Saidina Ali terpaksa melupakan hasrat tersebut ditambah pula dengan perpecahan yang mula berlaku
dalam kalangan umat Islam.

Pada tahun ke-84 Hijrah, Muawiyah RA pula cuba untuk menaklukinya, namum tidak berjaya. Usaha tersebut diteruskan pula oleh Sultan Sulaiman Abdul Malik pada tahun ke-91 Hijrah namun turut gagal menembusi kota tersebut.

Khalifah Harun ar-Rasyid mencuba pada tahun ke-165 Hijrah sehingga kepada percubaan terakhir oleh Sultan Murad pada tahun ke-825 Hijrah. Semua menemui jalan kegagalan.

Selepas lebih 800 tahun hadis Baginda Nabi SAW meniti di bibir pemimpin Islam, akhirnya kota Konstantinopel yang kebal dapat ditakluk oleh pemimpin muda yang berjiwa besar. Menjadi pemimpin sebaik-baik pemimpin dan mengemudi tentera yang menjadi sebaik-baik pasukan dalam penaklukan tersebut.

Kemerdekaan diimpikan

Kejayaan penaklukan kota Konstantinopel oleh Sultan Muhammad al-Fateh memerlukan usaha berlipat kali ganda manakala penaklukan kedua yang akan berlaku pada akhir zaman adalah dengan cara yang berbeza. Gambaran ini menunjukkan bahawa untuk mengecapi keamanan dalam sesebuah negara bukan sesuatu yang mudah. 

Semua rakyat memainkan peranan yang berbeza bermula dengan pemimpin diikuti oleh pembesar, tentera dan rakyat jelata. Kesepakatan yang digambarkan dalam rentetan penaklukan Konstantinopel pada zaman Sultan Muhammad al-Fateh menjadi inspirasi kepada semua golongan muda. Kekuatan fizikal sahaja tidak dapat membantu kejayaan sesebuah negara tanpa meletakkan agama di hadapan. 

Begitu juga dengan gambaran penaklukan kedua yang akan berlaku kelak. Digambarkan senjata utama umat Islam pada ketika itu hanyalah takbir dan tahlil sahaja. Namun, disebalik lantunan lafaz tersebut, kekuatan dalaman dan nilai iman yang kukuh menjadi ‘perisai’ utama mereka.

Negara kita sudah 65 tahun mengecapi kemerdekaan. Pembebasan negara daripada penjajahan yang cukup lama memberikan isyarat mengenai erti kemanisan dan keamanan yang diinginkan oleh semua masyarakat dunia. Generasi kini mungkin tidak pernah merasai perit jerih nenek moyang terdahulu mempertahankan negara, namun semangat kemerdekaan perlu ditanam sedalam-dalamnya supaya rasa cinta kepada tanah tumpah darah ini tidak akan pudar.

Keharmonian hidup dalam masyarakat berbilang kaum perlu dititipkan oleh semua pihak. Islam adalah agama keamanan dan dipandang mulia melalui adab dan tatasusila yang tinggi. Maka perlu bagi semua rakyat khususnya umat Islam memahami perinsip penciptaan manusia.

Allah SWT berfirman maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Surah al-Hujurat ayat 13)

 Justeru itu, kemerdekaan yang dikecapi ini janganlah dicemari dengan perkara yang boleh menyebabkan jatuhnya negara kepada situasi peperangan dan kekacauan. Jadikan bendera Malaysia sebagai kebanggaan semua masyarakat dan kibarkan dengan penuh megah dan rasa bertanggungjwab. Nikmat yang dikecapi sekian lama ini sentiasalah disyukuri dengan melakukan suruhan-Nya dan meninggalkan semua larangan-Nya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang daripada melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.” (Surah al-Haj ayat 41)