• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,273,611 orang
  • Kandungan Blog

Kuliah Perdana Hijraturrasul di Pondok Pasir Tumboh malam esok

Pahala sedekah dengan zikrullah pengakhiran

Mohd Shahrizal Nasir

Umat Islam digalakkan bersedekah. Terdapat banyak ayat al-Quran dan hadis Rasulullah SAW yang menjelaskan kelebihan bersedekah. Namun apabila menyebut sedekah, akan terlintas dalam fikiran kita perbuatan mengeluarkan harta sama ada berbentuk wang atau benda untuk diberikan kepada golongan yang memerlukan. Islam amat menggalakkan umatnya untuk bersedekah berdasarkan penjelasan ayat al-Quran yang menyatakan betapa amalan sedekah itu mendatangkan pahala besar buat si pemberi.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-Nya dan Dia juga yang menyempitkan baginya serta apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya dan Dialah jua sebaik-baik pemberi rezeki.” Surah Saba’ ayat 39

Dalam ayat lain, Allah SWT berfirman maksudnya: “Bandingan (sedekah) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.” Surah al-Baqarah, ayat 261

Maha luas rahmat dan kasih sayang Allah SWT yang membalas perbuatan baik dilakukan oleh hamba-Nya dengan pahala yang berlipat kali ganda.

Satu sedekah dibalas dengan 700 pahala seperti 700 benih yang tumbuh daripada satu benih sahaja. Allah SWT Maha Kaya dan Maha Pemurah kepada setiap hamba-Nya yang bersedekah hanya kerana-Nya tanpa mengharapkan sebarang pujian atau balasan duniawi.

Rahmat Allah SWT itu sangat luas dan perkara ini tidak dapat dinafikan sama sekali. Buktinya ialah Allah SWT membuka pintu rahmat-Nya untuk mengurniakan pahala sedekah kepada golongan yang tidak memiliki harta seperti golongan kaya-raya dan berada. Perkara ini dijelaskan menerusi jawapan baginda SAW terhadap pertanyaan sahabat yang bertanyakan tentang peluang yang mereka boleh peroleh untuk bersedekah meskipun tidak memiliki harta yang banyak.

Daripada Abu Dzar RA, bahawa segolongan manusia daripada kalangan sahabat Nabi SAW bertanya kepada baginda SAW: “Wahai Rasulullah, orang yang mempunyai harta (orang kaya) mendapat pahala (lebih banyak daripada kami). Mereka menunaikan solat sebagaimana kami menunaikan solat, mereka berpuasa sebagaimana kami berpuasa dan mereka bersedekah dengan kelebihan harta mereka.

“Rasulullah SAW menjawab dengan sabdanya: ‘Bukankah Allah menjadikan bagi kamu sesuatu untuk kamu bersedekah? Sesungguhnya dengan tiap-tiap tasbih (Subhanallah) itu sedekah, tiap-tiap takbir (Allahuakbar) itu sedekah, tiap-tiap tahlil (Lailahaillallah)itu sedekah, menyuruh orang melakukan kebaikan itu sedekah dan melarang orang daripada melakukan kemungkaran itu sedekah.'” Hadis Riwayat Muslim

Betapa besarnya rahmat Allah SWT kepada setiap hamba-Nya yang melakukan kebaikan mengikut kapasiti masing-masing. Orang yang memiliki harta berpeluang memperoleh pahala menerusi sumbangan mereka kepada golongan yang memerlukan bantuan seperti orang fakir, miskin, anak yatim dan orang yang berhutang. Namun, bagaimana pula untuk golongan yang tidak memiliki harta? Rezeki yang mereka ada hanya cukup untuk diri dan tanggungan mereka. Adakah mereka tidak berpeluang untuk memperoleh pahala sedekah sepertimana yang diperoleh orang yang kaya?

Jawapannya, orang yang tidak memiliki harta juga boleh memperoleh pahala bersedekah. Caranya ialah dengan memperbanyakkan zikrullah iaitu mengingati Allah SWT dengan zikir yang memuji dan membesarkan Allah SWT. Sesungguhnya tiada satu makhluk pun yang dapat menandingi sifat kasih sayang dan pemurah Allah SWT kepada sekalian makhluk ciptaan-Nya.

Selain itu, menyeru manusia agar melakukan kebaikan dan meninggalkan kemungkaran juga antara perbuatan yang boleh mendatangkan pahala sedekah. Sebenarnya perbuatan ini tanggungjawab setiap Muslim kepada saudara seagamanya. Ia bukan pilihan sebaliknya satu kemestian yang perlu dilakukan oleh setiap Muslim.

Golongan Muslim yang baik ialah mereka yang sentiasa menasihati orang lain agar sentiasa melakukan kebaikan dan meninggalkan kemungkaran yang dilarang oleh Allah SWT. Perkara ini dijelaskan oleh Allah SWT di dalam al-Quran menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)…” Surah Ali Imran, ayat 110

Marilah kita merebut peluang yang disediakan oleh Allah SWT untuk mendapat pahala sedekah yang amat istimewa ini. Allah SWT Maha Mengetahui kemampuan setiap hamba-Nya. Allah SWT tidak akan memberati hamba-Nya dengan perkara yang tidak mampu dilakukan oleh hamba-Nya. Justeru, Allah menyediakan ruang yang sangat luas agar umat Islam terus berusaha untuk mendapat ganjaran pahala meskipun tanpa mengeluarkan harta mereka.

Ambillah peluang ini sebaik-baiknya. Sahabat Rasulullah telah menunjukkan satu sifat yang perlu kita contohi. Lihatlah bagaimana mereka berusaha untuk mendapat pahala seperti pahala yang diperoleh orang lain.

Pertanyaan sahabat kepada Rasulullah SAW tentang peluang mereka untuk mendapat pahala sedekah seperti diperoleh golongan berharta menjadi bukti jelas sifat mulia mereka yang inginkan rahmat Allah dengan merebut pahala yang banyak.

Sememangnya setiap Muslim perlu mencontohi sifat sahabat Rasulullah SAW. Usah lupa bahawa kehidupan kita di dunia ini adalah untuk melakukan sebanyak mungkin pahala daripada amal kebaikan yang dapat mengundang rahmat Allah SWT di akhirat nanti.

Setiap kebaikan yang kita lakukan faedahnya akan kembali kepada diri sendiri. Sama ada sedekah yang dilakukan dalam bentuk mengeluarkan duit untuk manfaat orang lain ataupun memperbanyakkan zikrullah, semua kebaikan berupa pahala akan termaktub dalam buku amalan pelakunya. Allah SWT tidak berkehendak kepada amalan hamba-Nya, sebaliknya setiap hamba-Nya melakukan amal kebaikan untuk faedah diri mereka sendiri.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang maksudnya: “Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu sendiri dan jika kamu berbuat kejahatan maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga…” Surah al-Isra’, ayat 7