• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,285,183 orang
  • Kandungan Blog

Kekuatan Institusi Pondok

DIMANA KEKUATAN INSTITUSI PONDOK?.

Kita sering bercakap dan membicarakan institusi pondok yang sekian lama wujud di negara kita. Pondok pertama yang didirikan di Kelantan ialah pada tahun 1820 M oleh Tuan Guru Haji Abdul Samad bin Abdullah (Tok Pulai Chondong) Selain dari pondok Pulai Chondong yang didirikan di Kelantan sebelum 1910 ialah Pondok Tok Bachok pada tahun 1900, Pondok Haji Abdul Malik Tumpat pada tahun 1907, Pondok Haji Yusuf Pulau Ubi, Geting Tumpat tahun 1908, Pondok Kubang Pasu Kota Bharu pada 1900, Pondok Sungai Budor, Pondok Kampung Banggol, Pondok Tuan Padang dan Pondok Tok Semian yang diasaskan oleh Haji Wan Abdul Samad bin Mohd Salleh atau lebih dikenali dengan gelaran Tuan Tabal.

Pondok melalui perjalanan sejarah yang panjang. berdepan dengan berbagai riaksi zaman dan kelompok manusia. Keragaman sikap masyarakat terhadap institusi ini tidak pernah melemahkan pondok untuk terus menapak sehingga hari ini. Antara cabaran yang didepani oleh institusi pendidikan tertua ini ialah;

  1. Budaya khurafat dan adat2 yang mempengaruhi kehidupan masyarakat khususnya ketika Orang2 Melayu berada dibawah kerajaan Hindu Budha. budaya dan adat itu terus diamalkan selepas mereka menerima Islam. Dengan itu wujudlah sebuah masyarakat muslim yang mencampurkan antara ajaran Islam dan kepercayaan khurafat yang diwarisi dari pengaruh2asing sebelumnya. Kehadiran tok2 guru pondok bukan sahaja berjaya memperluaskan perkembangan Islam bahkan meluruskan kehidupan masyarakat kepada akidah, kepercayaan dan budaya hidup yang bersih dari sebarang kesesatan dan kekliruan.
  2. Kemasukan Penjajah terutamanya Inggeris sejak abad ke 18 dan 19 sehinggalah keabad 20 telah menjadi cabaran besar kepada institusi pondok. Kehadiran penjajah yang bukan sahaja menjarah hasil mahsul Tanah melayu tetapi sekaligus membawa missi Perang Salib yang belum selesai keatas ummat Islam. Kehadiran haram mereka telah disambut oleh tok2 guru pondok dengan penentangan yang berani dan nekad. Penjajah memperkenalkan dualisma dalam pendidikan negara. Dibangunkan sekolah inggris ( dengan bantuan penuh kerajaan British dan pelajar lepasan ini diberikan kedudukan dan kerjaya istimewa), sekolah kebangsaan dan sekolah aliran agama yang dikawal kurikulumnya oleh British. Institusi pondok diabaikan bahkan di sisih dari sudut bantuan dan kemudahan. Malahan usaha membunuh Institusi ini digerakkan secara konsisten.
  3. Era selepas kepulangan Penjajah, khususnya selepas kemerdekaan telah menyaksikan kerajaan Melayu Sekular terbentuk. Peralihan kerajaan dan pemerintah baru ini tidak banyak perubahannya dalam melayani institusi pondok. Sebagai anak didik penjajah kerajaan sekular ini tetap mengangap Institusi pondok sebagai ancaman atau sekurang2nya sebagai kumpulan yang menganggu pengurusan dan pentadbiran kerajaan. Pondok yang berpegang kepada ajaran Islam bahawa politik itu sebagai sebahagian ajaran Islam dan hendaklah diurus secara syari’at Islam sangat kontra dengan pegangan sekular yang diamalkan oleh kerajan iaitu Politik suku agama suku atau Matlamat menghalalkan cara. Justeru itu pondok harus disisih secara halus. Dengan cara tidak diberikan bantuan oleh kerajaan dan imej tok2 guru pondok serta madrasahnya dihitamkan. Agar keterbelakangan pondok dari sudut prasarananya serta imej buruknya dapat menjauhkan masyarakat dari terus memberikan sokongan kepada pondok.
  4. Era Islamisasi Negara. Apabila berlakunya gelombang kebangikita Islam diseluruh dunia dan gerakan Islam semakin mendapat sambutan, maka tiada pilihan bagi mana2 kerajaan sekular didunia selain mengambil sikap sedikit berlunak dengan Islam. Maka ditubuhkan institusi2 berlogokan Islam namun masih bernafas dengan agenda sekular. Tok2 guru pondok dijinakkan untuk kepentingan pemerintah sekular. Paling tidak mereka tidak menjadi pengkritik tegar kepada dasar2 kerajaan yang bercanggah dengan agama. Pondok boleh bergerak kehadapan namun tidak boleh dibiarkan melepasi garis merah panel T yang ditetapkan. Tok2 guru hanya dianggkat sebagai imam, pembaca doa dan acara2 agama yang resmi sahaja. Bajet bantuan kewangan diluluskan jauh lebih kecil dari sekolah2 kerajaan bahkan lebih kecil dari bantuan kepada sekolah2 jenis kebangsaan. Dari jumlah yang sedikit itulah akan dibahagi2 kan dikalangan pondok2 yang ada di negara ini.

layanan terhadap institusi ini tidak banyak berubah sejak dahulu walaupun sudah bertambah baik. Ini mungkin disebabkan sikap prajuds terhadap pondok masih pekat melekat dalam kepala sebahagian besar pemimpin2 politik yang ada. Dalam masa yang sama jika ada peluang memburukkan pondok dan ulamak2nya maka segera di publishkan agar institusi ini tidak bersinar pada mata masyarakat.

Perasaan tidak senang terhadap pondok bukan sahaja datang dari ahli politik sekular bahkan sesetangah ahli agama yang tidak lahir dari pondok turut bersikap demikian. Walaupun ulamak pondok diraikan hanyalah sekadar untuk mendapat mileage politik atau pengaruh. Khususnya dinegeri2 yang kuat agama, maka ulamak2 nya perlu didekati. Namun garis merah tidak boleh dilepasi. keadaan ini semakin ketara saat hampir dengan PRU atau PRK.

Pada perenggan ini saya mahu mengajak kita melihat dimana kekuatan institusi pondok walaupun terpaksa mengharungi era2 yang tidak pernah berpihak secara jujur kepada pondok?. namun pondok mampu terus melangkah dan bertapak serta bertahta dihati masyarakat.

Ada orang kata kekuatan pondok ialah ilmu tok2 gurunya. ada yang kata kekuatannya ialah manhaj thurathnya, atau sistem halakatnya. ada pula yang kata kekuatannya ialah sokongan masyarat setempat. Saya tidak menafikan semua itu adalah daya penguat kepada institusi ini. Namun itu hanyalah akar2 rambut kepada pohon institusi ini. Pada saya kekuatan sebenar pondok terletak kepada sosok tok gurunya. Tok gurulah yang menjadi akar tunjang yang menjadikan institusi ini tak tergoyah oleh landaan badai zaman dan kerenah manusia disekelilingnya.

saya sebutkan kekuatan sosok tubuh tok guru bukan pada ilmunya semata. Tetapi yang paling besar ialah keikhlasan dan tawakkal nya. Nawaitu mereka membuka pondok setulus kapas yang putih bersih. Tawakkal mereka sekukuh gunung yang memasak bumi. Keikhlasan bukan sahaja dapat mengalahkan fitnah manusia bahkan dapat mengalahkan syaitan. Tawakkal bukan sahaja menarik pertolongan Allah bahkan membuatkan syaitan dan kafirin berputus asa.

Tok guru buka pondok dengan niat mendidik manusia mengenali Allah dan beribadah kepadaNya. menjadi manusia berilmu dan soleh. Mereka tak pernah kesah pasal luas sempit tapak pondok. Cukup ada bangsal kediaman, boleh bangunkan surau dan dua tiga buah pondok kecil pelajar pun sudah cukup. mereka tak utamakan prasarana, mereka tak ada niat nak dapat gaji. Bahkan jika ada lebihan harta mereka, itulah digunakan untuk menghidupkan pondok. Mereka tak pernah bergantung kepada bajet dan bantuan kerajaan. Kalau diberi hak mereka, mereka ambil. Kalau tidak ada, mereka tak mengemis sehingga menjilat2 kaki penguasa. Mereka tawakkal sepenuhnya kepada Allah, dan Allah membantu mereka. Tugas mereka dilaksanakan semata2 kerana Allah. Orang boleh datang hulurkan pertolongan tetapi tidak boleh membeli jiwa raga mereka.

Kekuatan ini perlu diwarisi. Ilmu boleh kita ambil dari tok guru, akhlak boleh kita contohi. Kitab kelasik boleh kita baca dan dhobit, Namun belum tentu kita mampu sejujur dan sekuat tawakkal mereka. Oleh itu kepada sesiapa yang berhasrat murni membuka pondok pastikan anda seikhlasnya untuk Allah dan Rasul bukan untuk membeli habuan dunia.

UMS
Insan kerdil dihadapan skrin besar perjalanan Pondok.

Bina kekuatan ruhiyyah

DALAM kesibukan dan cabaran tugasan harian di tempat kerja atau di mana-mana sahaja, kadangkala kita berasa penat dan tercari-cari kekuatan untuk melangkah ke hadapan. Justeru Allah SWT memberikan jawapan bahawa dengan sifat sabar dan mengerjakan solat menjadi kunci kekuatan bagi orang Mukmin sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 45 yang bermaksud: “Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.”

Solat yang dilaksanakan terutamanya ketika qiamullail merupakan amalan ruhiyyah bagi membina sebuah institusi keluarga yang sejahtera serta memperkukuhkan jati diri dan kekuatan kepada sesiapa sahaja bagi melaksanakan tanggungjawab dalam kehidupan. Di dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik puasa setelah puasa Ramadan adalah puasa pada bulan Allah iaitu Muharram dan sebaik-baik solat setelah solat fardu adalah solat pada waktu malam.” (Riwayat Muslim)

Qiamullail adalah ibadah yang menjadi amalan kebiasaan junjungan mulia Nabi Muhammad SAW serta para sahabat baginda, salafus soleh dan orang Mukmin terdahulu hingga kini. Rasulullah SAW menggalakkan umatnya untuk menunaikan ibadah qiamullail dan memberikan khabar gembira kepada sesiapa yang mengerjakannya dengan ganjaran pahala dan anugerah kemuliaan di sisi Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Hendaklah kamu melakukan qiamullail kerana qiamullail adalah kebiasaan orang-orang yang soleh sebelum kamu, kerana qiamullail mendekatkan diri kepada Allah, mencegah daripada dosa, menghapuskan kesalahan-kesalahan dan menghalau penyakit dari tubuh.” (Riwayat al-Tirmizi dan al-Hakim)

Rasulullah SAW menyarankan umatnya untuk bangun mengerjakan ibadah qiamullail dan baginda sendiri menunjukkan kesungguhan dalam melaksanakannya sebagaimana yang digambarkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah RA, Nabi SAW berdiri solat (malam) sehingga pecah kedua kaki Baginda. Lalu beliau bertanya kepada Baginda SAW: “Kenapa engkau lakukan ini, wahai Rasulullah? Bukankah Allah SWT telah mengampunkan dosamu yang telah lalu dan akan datang? Lalu Baginda SAW menjawab: “Wahai Aisyah! Tidakkah engkau menyukai aku menjadi hamba yang bersyukur.” (Riwayat al-Bukhari).

Qiamullail juga memberikan kekuatan kepada pasukan tentera dalam medan peperangan. Pada malam sebelum meletusnya peperangan Badar, Saidina Ali menyatakan: “Tidak ada di kalangan kami yang menunggang kuda melainkan Miqdad. Pada malam itu, kami melihat semuanya tidur melainkan Rasulullah SAW terus menerus menunaikan solat di bawah sebatang pokok dan menangis sehingga ke Subuh.” (Riwayat ad-Damsyiqi)

Walaupun Rasulullah SAW sahaja yang menunaikan solat pada malam itu, tetapi inilah gambaran penting yang perlu diteladani oleh semua pimpinan Islam hari ini. Program tarbiah Islam ini diteruskan oleh Rasulullah SAW dengan mengajar mereka menunaikan solat, sebagai ibadah pertama dan utama yang ditunaikan oleh para sahabat (al-Mubarakfuri).

Qiamullail merupakan amalan yang sangat dituntut dan tinggi ganjarannya di sisi Allah SWT. Ibadah tersebut boleh dikerjakan secara bersendirian atau bersama ahli keluarga di rumah ataupun secara berjemaah di masjid dan surau. Waktu terbaik untuk menunaikan qiamullail adalah di sepertiga malam sekitar jam 3 pagi. Setelah bangun daripada tidur dan mengambil wuduk, disunatkan untuk terus mengerjakan solat sunat Tahajud diikuti solat sunat yang lain seperti solat sunat Hajat, solat sunat Taubat, solat sunat Tasbih, dan solat sunat Witir. Antara amalan lain yang boleh dilakukan semasa qiamullail termasuklah membaca al-Quran, berwirid, berzikir, beristighfar dan berselawat.

Bagi memudahkan kita untuk bangun malam mengerjakan qiamullail, beberapa amalan digalakkan seperti qailulah iaitu berehat atau tidur sebentar sebelum gelincir matahari sebelum masuknya waktu Zuhur. Di dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kuatkan puasa di siang hari dengan makan sahur dan qailulah untuk bangun malam.” (Riwayat Ibnu Majah)

Azam yang kuat perlu ada dalam diri seorang Mukmin yang mahu bangun malam bagi beribadah. Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Tidaklah seseorang yang terbiasa mengerjakan solat Tahajud, lalu dia tertidur (tidak melaksanakannya), kecuali akan dicatat baginya pahala solat tahajud dan tidur tersebut dianggap sebagai sedekah. (Riwayat Abu Daud)

Sesiapa yang berazam untuk bangun malam juga perlu menjauhi perbuatan maksiat sebelum mendapatkan kemuliaan munajat pada malam tersebut. Menjaga amalan pemakanan juga dapat membantu memberikan kekuatan untuk bangun malam. Rasulullah SAW menasihati para sahabat supaya bersederhana dan tidak berlebihan dalam pemakanan sebagaimana sabda baginda yang bermaksud: “Anak Adam tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk berbanding perutnya. Cukuplah bagi anak Adam beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya (yakni memberikan kekuatan kepadanya). Sekiranya tidak dapat, maka (paling maksimum hendaklah) sepertiga untuk makanan, sepertiga untuk minuman dan sepertiga untuk pernafasan.” (Riwayat al-Tirmizi)

Selain itu, kita juga digalakkan untuk berwuduk sebelum tidur sebagaimana hadis daripada Muaz bin Jabal bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Tidaklah seorang hamba tidur di malam hari dalam keadaan suci (berwuduk), kemudian ia terbangun di tengah malam, lalu ia memohon sesuatu kepada Allah dari perkara dunia atau perkara akhirat, nescaya akan diberikan kepadanya.” (Riwayat Ibu Majah)

Di Wilayah Persekutuan, program Putrajaya Berqiamullail Bersama Agensi Hal Ehwal Islam dicetuskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada Jun yang lalu dan memasuki siri kedua pada 13 Ogos depan. Program tersebut selaras dengan Pelan Pengimarahan Masjid-Masjid Wilayah Persekutuan 2020-2024 yang berhasrat untuk membudayakan amalan berqiamullail dalam kehidupan seorang Muslim di semua peringkat sama ada individu, keluarga, masyarakat, mahupun pemimpin. Marilah kita bersama-sama memburu kelebihan qiamullail dengan memperbanyakkan berdoa pada malam tersebut serta mengharapkan keampunan dan mendambakan ketenangan jiwa daripada Allah SWT. Semoga program ini dapat dipergiatkan di masjid dan surau seluruh Wilayah Persekutuan bagi menggalakkan lebih ramai ahli kariah hadir berqiamullail bukan sekadar pada musim tertentu. Pihak masjid dan surau boleh melaksanakan inisiatif sebagai galakan untuk ahli kariah melazimi amalan qiamullail dalam kehidupan.