• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,259,299 orang
  • Kandungan Blog

Ciri Keistimewaan Pengajian Pondok

APAKAH ITU PONDOK ?

Apabila berbicara tentang Pondok, apakah ciri unggulnya yang membezakan sistem pondok dengan sistem lain? Apakah ciri yang menjadi pembeza antara pondok dan Maahad Tahfiz dan Sekolah Agama Moden?

Ada TUJUH ‘POINT’ besar yang mencirikan sesebuah madrasah atau sekolah dipangggil pondok.

Ciri 1 : Turath

Ciri pengajian pondok yang paling istimewa adalah pengajian menggunakan kitab Turath atau juga dikenali kitab-kitab kuning yang patuh Ahlul Sunnah Wal Jamaah. Antara kitab terkenal yang dijadikan pengajian ialah Syarah Alfiah, Syuzur Az Zahab, Minhajul Tolihin, Iqna’, Tafsir Jalalain, Al-Mahalli, Lataif Al Isyarah, Minhajul Abidin, Hikam Ibnu Atha’illah, Ummul Barahin, Hasyiah Dusuki, Syarah Jauharah At Tauhid dan lain-lain.

Untuk peringkat permulaan, para pelajar juga akan dibacakan kitab – kitab jawi seperti Matlain al Badrain, Risalah Tauhid, Faridah Al Faraidh, Sabila Al Muhtadin, Penawar bagi Hati dan lain-lain.

Ciri 2 : Manhaj Ilmu – Ahlul Sunnah Wal Jamaah

Sistem pondok sangat ‘straight’ berhubung hal ini. Manhaj ilmu mesti jelas supaya tak lahir pelajar yang tidak jelas pegangan. Justeru itu, Manhaj ilmu dalam tradisi Nusantara, pondok atau pesantren memegang erat Ash’ariah dan Maturidiah sebagai mazhab Akidah, bertaut kasih Mazhab Syafie dalam mazhab Fiqh (tanpa menolak pengajian mazhab lain) serta bersimpul kemas amalan tasauf aliran Imam Al Ghazali dan Imam Junaid Al Baghdadi.

Setelah kukuh tiga usul agama ini, baru lah pelajar akan diajarkan dengan pelbagai disiplin ilmu lain dengan lebih mendalam. Apabila akar kemas, Insya Allah kukuh pokok dan enak buah terhasil.

Ciri 3 : Pengajian Kulit ke Kulit sampai Khatam

Ciri terpenting sistem pondok yang membezakan sistem Jamiah (Universiti) adalah Kitab – kitab turath ini dibaca secara kulit ke kulit sampai khatam bertalaqqi hadapan Guru. Ia bukan dibaca secara tebuk-tebuk kerana dibimbangi para pelajar tidak memahami keseluruhan isi kitab dengan baik.

Ciri 4 : Murni

Pengajian pondok murni atau suci dari campuran sistem-sistem lain. Bukan menafikan kebaikan sistem tahfiz atau akademik, namun, ketika pelajar ikuti sistem ini, fokus pada satu satu sistem adalah lebik baik dan berkesan. Jika mereka minat menghafaz Al Quran, boleh fokus selesaikan tamatkan hafazan terlebih dahulu sebelum masuk sistem pondok. Demikian juga subjek akademik, boleh diambil kemudian. Ini kerana jadual para pelajar pondok sangat padat, bermula selepas subuh hingga lewat malam. Sekurang-kurang 7-8 buah kitab meliputi pelbagai disiplin ilmu akan dibacakan oleh Guru dalam sehari.

Ciri 5 : Ilmu Alat Bahasa Arab dan Kitab berbahasa Arab

Kekuatan dan keunikan pengajian pondok adalah pada penguasaan ilmu alat bahasa arab. Mereka diajar kulit ke kulit dan melalui metode terjemahan harfiah kitab-kitab ilmu alat seperti nahu, saraf, balaghah (Maani, bayan dan badi’), mantik dan irab. Selain itu, para pelajar akan diuji penguasaan ilmu bahasa arab dengan membaca kitab kuning yang tiada baris di hadapan Guru. Mereka harus membaca dengan betul serta mengirabkan kalimah-kalimah yang dibaca supaya berhasil tahqiq dan daqiq. Jika di Jawa, kaedah ini dipanggil ‘Sorongan’ yang diperkenalkan oleh Syaikhuna Khalil Bangkalan.

Pengukuhan ini tidak terhasil sekiranya tidak Guru tidak membacakan kitab-kitab arab. Ketika talaqqi itu, mereka mendengar bagaimana Guru membaca, mengenal ibarat-ibarat dan mendapat perbendaharaan kata. Sekiranya pondok hanya membaca kitab Jawi, pencapaian ini sukar diperolehi.

Ciri 6 : Adab

Penekanan adab adalah suatu yang sinonim hingga adab itu menjadi identiti para guru dan pelajar pondok. Dalam tradisi pondok di Nusantara, para pelajar yang baru masuk pondok akan dibacakan kitab adab dan pemantapan ilmu fardhu ain. Kitab yang masyhur dibaca adalah Taalim Al Mutaalim. Guru pula bukan hanya sekadar membaca kitab adab tetapi mentarbiyah secara langsung (live) dalam kehidupan Guru bersama pelajar. Oleh kerana itu, Guru pondok mesti ada jiwa murabbi untuk mendidik murid. Jika tidak, tiada beza dengan sistem moden yang mana Guru hanya penyampai ilmu di bilik kelas tetapi tiada tarbiyah adab secara langsung.

Ciri 7 : Hal

Di Pondok, para pelajar akan menjalani kehidupan bersama Guru kerana rumah Guru dan pondok pelajar berada dalam satu kawasan yang sama. Ini tradisi yang penting dipelihara. Para pelajar akan solat berjemaah, berzikir bersama Guru, beraktiviti bersama Guru dan berkhidmat kepada Guru. Suhbah (berdampingn murid dengan Guru) berlaku secara bersemuka. Ini sangat memberi kesan kepada jiwa dan rohani pelajar.

Ketika berdampingan, berlaku pencontohan akhlak batin (contoh- tawadhu’, zuhud, sabar) dan zahir (budi pekerti tinggi) dari Guru kepada murid. Ini yang dipanggil Hal. Murid menyaksikan akhlak mulia (zahir dan batin) Gurunya secara berhadapan lalu murid tadi mengamalkan apa yang dicontohkan.

Hal juga disini bermaksud berlaku perpindahan hal rohani Guru ke batin si murid. Sifat-sifat batin Guru iti berpindah murid. Ini yang disebut oleh ulama’ tasauf ilmu dada ke dada. Maka sudah pasti, hal rohani yang baik diperolehi kerana adanya tazkiah (penyucian hati) seperti amalan atau wirid zikir harian yang mesti diamalkan pelajar. Setengah pondok, menjadikan amalan selawat dan bacaan burdah / qasidah secara mingguan sebagai pengisian rohaniah mereka.

Kesimpulan

Dari tujuh ciri ini, membawa ciri istimewa dan pembeza sistem pondok dengan sistem-sistem pengajian lain. Semoga sistem ini berkekalan disamping terbuka menerima perubahan sesuai dengan perkembangan zaman asalkan tujuh ciri istimewa pondok itu tidak diceraikan. Tujuh ciri itu adalah saripati pondok. Bertukar bentuk bangunan tidak mengapa asalkan bukan dasarnya. Semoga sistem warisan ratusan tahun ini terpelihara sebagai benteng utuh Ahlul Sunnah Wal Jamaah.

Tulisan oleh : Angah Sunan

5 Tips hijrah diri kepada kecemerlangan

Tulisan Zawawi Yusoh

SALAM Maal Hijrah 1444. Setiap permulaan tahun baru hijrah, dunia Islam biasanya menyambut perayaan maal hijrah dengan mengambil sempena hijrah Rasulullah s.a.w dari Makkah ke Madinah.

Hijrah nabi bukan semata-mata proses perpindahan dari satu tempat ke satu tempat yang lain, atau satu keadaan ke satu keadaan yang lain.

Sebagaimana difahami kebanyakan orang, bahkan ia adalah satu manifestasi perubahan sesebuah masyarakat untuk mencapai dan menggapai kemuliaan serta kebahagiaan dunia dan akhirat.

Sempena Maal Hijrah ini ramai yang berazam untuk berubah. Tetapi perubahan masih tidak kunjung tiba kerana perangai masih berada di tahap lama.

Yang tinggal hanya azam dan keinginan. Lebih pelik lagi, kita minta orang lain berubah, minta anak-anak berubah, marah pada pasangan kenapa tidak berubah.

Memang tanggungjawab kita perlu nasihat-menasihati, cuma janganlah asyik kita menyuruh orang lain saja berubah. Bagaimana dengan diri sendiri?

Kita semua hendak berubah tetapi tidak tahu bagaimana dan dari mana hendak mula kerana bimbang jika salah ikut kaedah pasti perubahan itu tidak kekal lama kerana kembali semula kepada perangai dulu.

Hangat-hangat tahi ayam saja. Maka di sini mari kita berkongsi cara-cara memulakan perubahan dan berhijrah.

1) Mulalah dengan mengubah diri sendiri supaya anda menjadi lebih yakin. Orang lain juga akan lebih yakin dengan diri anda. Ini kerana tidak mungkin jika anda mahu mengajak orang lain berubah sedangkan diri anda sendiri masih berada pada takuk lama orang akan cakap anda seorang yang cakap tidak serupa bikin.

2) Mula melakukan perubahan secara perlahan-lahan. Tidak dinafikan sememangnya sukar untuk terus berubah dalam masa yang singkat atau dalam tempoh sekelip mata saja.

Jika ia dilakukan secara perlahan-lahan, dengan izin Allah s.w.t anda akan dapat berubah seperti apa yang anda inginkan. Walaupun perlahan, anda akan dapat mengalami perubahan yang besar dalam diri anda.

3) Lakukan perubahan pada masa sekarang juga dan jangan bertangguh untuk tempoh lebih lama lagi. Ini kerana semakin lama bertangguh ia akan menjadi semakin melarat dan semakin susah untuk melakukannya.

Perkara yang kecil akan jadi lebih besar jika ia terus dibiarkan. Jadi, ambillah masa yang ada sekarang untuk berubah dan mendapat hasil yang baik pada masa akan datang.

4) Berusaha untuk berubah dengan niat yang ikhlas dan lakukannya dengan bersungguh-sungguh. Anda perlu memaksa diri anda untuk berubah dengan sepenuh hati.

Jika diri anda tidak dipaksa anda seolah-olah memanjakan diri anda untuk berubah. Nafsu anda juga akan menjadi semakin degil jika tidak dipaksa. Kawal nafsu anda dan jangan biarkan ia mengawal diri anda.

5) Apabila berjaya melakukan perubahan diri maka anda perlu mengulangi perubahan itu sehingga ia menjadi sebati dengan diri. Jika perubahan itu hanya dibiarkan begitu saja, anda hanya akan berjaya untuk berubah seketika sahaja.

Oleh itu, jangan sia-siakan perubahan yang dilakukan. Anda perlu sentiasa melakukannya. Kesimpulannya, kita perlu berubah menjadi orang yang lebih baik kerana ia sangat dituntut dalam Islam.

Jangan pula berubah kerana disebabkan orang lain. Setiap yang diamalkan perlu dilakukan dengan penuh ikhlas kerana Allah s.w.t demi kebaikan diri sendiri.

Selepas itu, barulah bolehlah kita mengajak orang lain berubah sama. Jika dilakukan dengan niat dan cara yang betul, Insya-Allah orang lain juga akan berubah seperti yang diharapkan.

Pastinya, kita mendapat ganjaran pahala jika berjaya mengajak orang lain berubah ke arah kebaikan