• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,260,690 orang
  • Kandungan Blog

Bersatu mendepani badai

Datuk Mohd Ajib Ismail

ANTARA teladan terpenting dalam peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW lebih 1400 tahun lalu adalah pengorbanan nyawa, harta benda dan ahli keluarga yang dilakukan oleh baginda dan sahabat demi memastikan kesinambungan dakwah Islam tersebar ke seluruh pelosok dunia.

Umat Islam di Makkah ketika itu terpaksa berhadapan tekanan dan seksaan kaum musyrikin kerana mempertahankan akidah Islam.

Mereka dipulaukan dari segi ekonomi dan dihalang dari melakukan penghijrahan serta dipisahkan dari ahli keluarga yang disayangi, dikurung dan ditangkap, juga disekat harta benda dan kekayaan yang dimiliki dari dibawa bersama untuk berhijrah ke Madinah.

Pengorbanan meninggalkan kampung halaman dan tanah air tercinta demi agama diiktiraf oleh Allah SWT dengan kurniaan ganjaran yang amat besar.

Firman Allah SWT dalam al-Quran surah al-Nahl ayat 41 yang bermaksud: “Dan orang-orang yang berhijrah kerana Allah, sesudah mereka dianiaya (ditindas oleh musuh-musuh Islam), Kami akan menempatkan mereka di dunia ini pada tempatnya yang baik dan sesungguhnya pahala (amal mereka yang baik itu) lebih besar di akhirat kelak, kalaulah mereka mengetahui.”

Dalam surah al-Hasyr ayat 8 Allah SWT turut berfirman yang bermaksud: “(Pemberian itu hendaklah diuntukkan) kepada orang-orang fakir yang berhijrah, yang telah diusir keluar dari kampung halamannya dan harta bendanya (kerana berpegang teguh kepada ajaran Islam) untuk mencari limpah kurnia dari Allah dan keredaanNya serta menolong (agama) Allah dan Rasul-Nya; mereka itulah orang-orang yang benar (imannya dan amalnya).”

Ayat terbabit menggambarkan dengan jelas mengenai keadaan golongan Muhajirin yang berhijrah ke Madinah dengan dihalau keluar secara zalim dari kampung halaman mereka.

Penghijrahan Rasulullah SAW ke Madinah adalah salah satu bentuk pengorbanan dalam menghadapi tekanan dan penindasan kaum Musyrikin di Makkah.

Teladan kedua terpenting dalam peristiwa hijrah adalah ikatan persaudaraan yang dijalinkan antara golongan Muhajirin dan Ansar yang mempunyai latar belakang agama dan budaya berbeza.

Kesediaan golongan Ansar menghulurkan bantuan dan pertolongan ketika saat memerlukan dijelaskan sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Hasyr ayat 9 yang bermaksud: “Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.”

Persaudaraan Islam yang dibina dalam kalangan Muhajirin dan Ansar menjadi teras kepada kesatuan masyarakat Islam di Madinah dan menjadi model persaudaraan yang diperkenalkan oleh Nabi Muhammad SAW sebagai panduan kepada masyarakat Islam sepanjang zaman.

Hubungan persaudaraan terbabit sudah memperkuatkan umat Islam Madinah dalam menghadapi tentangan musuh serta mendorong sifat tolong-menolong dan saling membantu sehingga sanggup mewariskan harta peninggalan masing-masing kepada saudara mereka tanpa mengira keturunan, warna kulit, tempat asal dan sentimen kenegerian.

Kemuliaan insan adalah terletak kepada kebajikan yang dilakukan dan ketakwaan di sisi Allah SWT.

Teladan ketiga terpenting dalam peristiwa hijrah adalah perpaduan yang dikecapi melalui perjanjian persefahaman atau sahifah yang utuh dalam kalangan masyarakat Madinah.

Perpaduan yang dibina atas asas solidariti, takaful serta perasaan kasih sayang yang dimulakan dari kehidupan berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara amat penting bagi melahirkan negara yang baik yang diredai Allah SWT.

Dalam konteks negara Islam Madinah, sahifah adalah perjanjian persefahaman yang perlu dipatuhi semua pihak bagi memastikan matlamat kemakmuran masyarakat tercapai.

Perkara yang sangat ditekankan dalam sahifah terbabit ialah berkaitan keamanan dan ketenteraman hidup. Justeru, sebarang perbuatan yang boleh menimbulkan masalah kepada keamanan amat diberikan perhatian supaya dapat dielakkan lebih awal.

Oleh itu, sifat bekerjasama, menjaga hak bersama, menghormati hak berbeza, perselisihan dan pencerobohan sangat dititikberatkan supaya kesatuan, keharmonian dan keamanan masyarakat sentiasa terjamin.

Sesungguhnya ramuan untuk membangunkan sebuah masyarakat dan negara yang makmur adalah melalui sifat bersedia berkorban di segenap lapisan sama ada masyarakat mahupun pemimpin.

Penghijrahan Nabi Muhammad SAW ke Madinah bukan semata-mata untuk melarikan diri daripada tekanan Musyrikin Makkah, tetapi mencari tempat baharu supaya Islam dapat terus berkembang dengan lebih cepat.

Kerana itu Nabi Muhammad SAW memulakan gerakan dan usaha baginda melalui program pembentukan masyarakat dan pengisian bagi membina kesatuan ummah melalui pembinaan masjid, ikatan persaudaraan dan sahifah Madinah.

Sesuai dengan tema Ma’al Hijrah tahun ini iaitu ‘Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran’, elemen pengorbanan, persaudaraan dan perpaduan yang ditunjukkan dalam peristiwa hijrah perlu menjadi asas utama dalam membangunkan masyarakat melalui nilai keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran. Umat Islam perlu menjahui segala perkara yang boleh merosakkan keharmonian hidup beragama dan bermasyarakat serta menjauhi persengketaan yang memecahbelahkan. Dalam peristiwa hijrah, golongan Ansar di Madinah menunjukkan sifat yang baik dengan mengutamakan saudara mereka dari golongan Muhajirin lebih dari diri mereka sendiri dengan memberikan bantuan tanpa sebarang hajat dan muslihat.

Peristiwa hijrah juga mengajarkan sifat keprihatinan dan kepedulian masyarakat tanpa mengira latar belakang dan keturunan.

Mengambil pengajaran dari petunjuk terbabit, sepanjang tempoh negara kita berdepan musibah seperti penularan wabak Covid-19 dan bencana alam, seluruh rakyat Malaysia sudah berjaya mempamerkan sifat keprihatinan dengan menghulurkan bantuan kepada golongan yang terkesan dan memerlukan tanpa mengira latar belakang bangsa dan agama.

Semangat perpaduan dan kebersamaan ini mesti diteruskan bagi mendepani apa-apa jua ujian dan badai kehidupan yang melanda.

Ketibaan tahun baharu hijrah saban tahun perlu menjadi medan untuk kita semua memperbaharui niat, azam dan matlamat dalam kehidupan.

Jadikan detik terbabit sebagai peringatan supaya kita sentiasa memperbaiki diri untuk menjadi Muslim yang taat kepada perintah Allah SWT dan menjadi manusia yang bertanggungjawab kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: