• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,259,652 orang
  • Kandungan Blog

Isi Nikmat Merdeka Dengan Islam

Mohd Shah Rizal Shah

Tahun ini rakyat Malaysia menyambut ulang tahun kemerdekaan kali ke-65. Selama tempoh tersebut, negara Malaysia mengalami pelbagai cabaran dalam usaha menjadi negara makmur dan maju setanding negara lain. Kemakmuran dan kemajuan negara dinikmati seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan keturunan. Semua nikmat tersebut wajib disyukuri dan pastinya kesyukuran tersebut hanya ditujukan kepada Allah SWT.

Sesungguhnya dengan mensyukuri nikmat dikecapi di negara tercinta ini boleh menjadi sebab Allah SWT terus melimpahkan nikmat keamanan dan kesejahteraan buat seluruh rakyat Malaysia. Allah SWT berfirman dalam al-Quran bermaksud: “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku (Allah) akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.” (Surah Ibrahim, ayat 7)

Setiap Muslim perlu menanam rasa cinta terhadap negara sendiri. Hanya dengan perasaan cinta tersebut, setiap tingkah laku diawasi bagi menjaga nama baik negara menjadi tempat tinggal dan tempat mencari rezeki. Kewajipan menjaga setiap tingkah laku agar dapat mempamerkan keharmonian negara ialah tanggungjawab besar pemimpin dan rakyat Malaysia. Usah buka ruang kepada pihak luar merendahkan Malaysia, sebaliknya setiap warganegara perlu bersatu dalam menjaga kedaulatan negara tercinta ini.

Sejarah membuktikan dalam usaha menyebar dakwah Islam, penguasaan terhadap sesebuah tempat diiktiraf sebagai negara berdaulat memberi impak besar dalam menempa kejayaan dakwah Rasulullah SAW. Usaha dakwah di Makkah pada awal penurunan wahyu tidak mendapat sambutan sepatutnya dek kerana penguasaan golongan kuffar terhadap kota Makkah pada ketika itu.

Islam bukan saja tidak mendapat sambutan hebat ketika di Makkah, tetapi menerima tekanan hebat sehingga berlaku peristiwa hijrah Rasulullah SAW dan umat Islam ke Madinah. Jelaslah bahawa penguasaan terhadap sesebuah tempat sebagai sebuah negara berdaulat menjadi antara sebab penting kejayaan dakwah Rasulullah SAW sehingga akhirnya Islam kembali ke Makkah.

Allah SWT menjelaskan kepentingan hijrah dalam usaha meraih keredaan-Nya menerusi firman dalam al-Quran yang bermaksud: “Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah an-Nisa’, ayat 100)

Dakwah Rasulullah SAW yang berkembang pesat selepas hijrah ke Madinah membibitkan perasaan cinta terhadap bumi Madinah. Anas bin Malik menjelaskan bahawa: “Sesungguhnya Rasulullah sekiranya Baginda pulang dari satu perjalanan yang jauh, apabila sampai sahaja di Madinah dan ternampak anak-anak tangga Madinah, (atau dinding-dinding rumah di Madinah) Baginda akan menggesa untanya supaya berjalan cepat, seakan-akan rindu untuk sampai di Madinah.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Inilah antara sunnah Rasulullah SAW yang perlu kita ikuti berkaitan kecintaan terhadap tanah air sendiri. Justeru, setiap perbuatan yang boleh menggugat kestabilan negara perlu dihentikan segera. Jangan ada orang sanggup mendedahkan perkara yang boleh mendatangkan kecaman ataupun ancaman pihak luar yang menanti saat ketidakstabilan dalam negara. Cukuplah politik membuatkan rakyat di negara ini menjadi berpecah-pecah. Segera perbaiki suasana politik tanah air agar negara ini dihormati pihak luar dengan keharmonian dan kesejahteraan yang tidak mudah diusik oleh anasir jahat.

Ikutlah panduan Rasulullah SAW yang berdoa agar dicurahkan rasa cinta terhadap bumi Madinah tempat terbinanya sebuah negara Islam contoh semasa pentadbiran Baginda. Rasulullah SAW berdoa yang mafhumnya: “Wahai Tuhan kami, lahirkanlah rasa cinta kami kepada Madinah sepertimana kami mencintai Makkah.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Kita tidak lupa memohon doa agar diri dan keluarga sentiasa berada dalam keadaan baik. Namun adalah penting supaya kita berdoa agar Malaysia terus dikurnia nikmat keamanan dan kesejahteraan berpanjangan. Mana mungkin diri dan keluarga kita dalam keadaan sejahtera sekiranya negara ini dilanda huru hara dan kacau bilau. Jika semua rakyat Malaysia yang beragama Islam tidak lupa untuk mendoakan kebaikan untuk Malaysia, dengan izin Allah jua, negara ini akan terus berada dalam keadaan yang baik sepertimana sekarang.

Justeru, pada kesempatan meraikan ulang tahun kemerdekaan negara pada kali ini, umat Islam perlu terus berusaha memastikan negara ini sentiasa diberkati oleh Allah SWT. Tindakan dilakukan dengan berpegang kepada ketetapan daripada-Nya akan membuatkan negara ini terus dilimpahi keberkatan daripada-Nya. Usah hanya berpada mengungkap ayat cintakan tanah air di bibir sahaja sedangkan perbuatan diri sendiri tidak mencerminkan kecintaan kepada negara.

Usah kita harapkan orang lain mendoakan kebaikan untuk negara ini, sebaliknya kitalah yang perlu terus istiqamah menadah tangan memohon agar Allah SWT melimpahkan rahmat-Nya ke atas bumi bertuah ini. Contohilah kecintaan Nabi Ibrahim terhadap bumi Mekah menerusi doa baginda yang dirakamkan dalam al-Quran.

“Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Mekah) ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki daripada pelbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka”. Allah berfirman: “(Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga ia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian Aku memaksanya (dengan menyeretnya) ke azab neraka, dan (itulah) seburuk-buruk tempat kembali.” (Surah al-Baqarah, ayat 126)

Nabi Ibrahim berdoa agar Makkah menjadi tempat yang aman dengan kurniaan rezeki daripada hasil tanaman dan sebagainya. Inilah bukti kecintaan Nabi Ibrahim terhadap tempat didiaminya serta keturunannya. Doa Nabi Ibrahim yang memohon agar Makkah dikurniakan keamanan turut dirakamkan Allah SWT pada ayat lain dalam al-Quran: “Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku! jadikanlah negeri Makkah ini negeri yang aman, dan jauhkanlah daku dan anak-anakku daripada perbuatan menyembah berhala.” (Surah Ibrahim, ayat 35)

Semoga Malaysia terus dikurniakan kestabilan, keamanan, keharmonian serta dilimpahi dengan kekayaan yang diurus oleh pemimpin yang amanah. Marilah kita berdoa agar seluruh rakyat Malaysia diberi perlindungan oleh Allah SWT daripada sebarang marabahaya dan malapetaka.

Ibrah nikmat kemerdekaan

Dr Khairul Asyraf Mohd Nathir

Peristiwa penaklukan kota Konstantinopel oleh Sultan Muhammad Al-Fateh merupakan kisah yang banyak memberikan inspirasi kepada pemimpin dan juga kepada negara seantero dunia. Sesuatu kejayaan dalam penaklukan memerlukan usaha dan semangat yang tidak putus asa demi mencapai kemenangan yang sempurna.

Peristiwa penaklukan ini juga membawa kepada salah satu daripada tanda kiamat yang telah dikhabarkan oleh Baginda Nabi SAW yang bermaksud: “Apakah kamu pernah mendengar suatu kota yang terletak sebahagiannya di darat dan sebahagiannya di laut? Mereka (para sahabat) menjawab: Pernah wahai Rasulullah. Baginda Nabi SAW bersabda: “Tidak akan terjadi Hari Kiamat, sehingga ia diserang oleh 70,000 orang dari Bani Ishaq. Ketika mereka telah sampai di sana, maka mereka pun memasukinya. Mereka tidaklah berperang dengan senjata dan tidak melepaskan satu panah pun. Mereka hanya berkata Laa Ilaha Illallah Wallahu Akbar, maka jatuhlah salah satu bahagian dari kota itu. Berkata Tsaur (perawi hadits): “Saya tidak tahu kecuali hal ini; hanya dikatakan oleh pasukan yang berada di laut.” Kemudian mereka berkata yang kedua kalinya Laa Ilaha IlIallah Wallahu Akbar, maka jatuh pula sebahagian yang lain (darat). Kemudian mereka berkata lagi Laa Ilaha Illallah Wallahu Akbar, maka terbukalah semua bahagian kota itu. Lalu mereka pun memasukinya. Ketika mereka sedang membahagi-bahagikan harta rampasan perang, tiba-tiba datanglah seseorang (syaitan) kemudian berteriak: Sesungguhnya Dajjal telah keluar. Kemudian mereka meninggalkan segala sesuatu dan kembali.”  (Hadis Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis tersebut, Kota Konstantinopel ini akan ditakluk oleh kaum Muslimin buat kali kedua selepas penaklukan kali pertama yang telah berlaku pada 1453 masihi oleh Sultan Muhammad Al-Fateh. Penaklukan kedua ini pula akan berlaku apabila terjadinya pertambahan umat Islam khsususnya bangsa Rom sebelum keluarnya Al-Masih Al-Dajjal. Al-Hafiz Ibnu Kathir menjelaskan, bangsa Rom akan masuk Islam sehingga penaklukan kota Konstantinopel ini dilakukan oleh sekelompok daripada bangsa Rom sendiri.

Menurut As-Sayyid Muhammad Rasul al-Barzanji menerusi penjelasan dalam kitabnya  al-Isya’ah li Asyrat al-Sa’ah,  Konstantinopel yang dimaksudkan dalam hadis tersebut  merupakan Konstantinopel yang besar yang bersambung dengan Rom (Itali) dan Andalus (Spain). Kedua-dua pusat penumpuan dunia ini merupakan antara tempat yang mempunyai kapasiti penganut agama Kristian yang besar. 

Kota Konstantinopel iaitu Istanbul, Turki pada hari ini telah dibebaskan oleh Sultan Muhammad al-Fateh pada 1453 buat kali pertama selepas beberapa percubaan yang dilakukan oleh pemimpin Islam terdahulu. Usaha mereka bertitik tolak daripada sabda Nabi Baginda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Kostantinopel akan dibebaskan, sebaik–baik pemimpin adalah pemimpinnya dan sebaik–baik pasukan adalah pasukan tersebut.”  (Hadis Riwayat Ahmad) 

Permulaan pembukaan kota Konstantinopel dimulai oleh Saidina Ali bin Abi Talib RA Khalifah ar-Rasyidin ke-4 pada tahun ke-34 Hijrah sehingga ramai yang terkorban. Disebabkan itu, Saidina Ali terpaksa melupakan hasrat tersebut ditambah pula dengan pepecahan yang mula berlaku di kalangan umat Islam.

Pada tahun ke-84 Hijrah, Muawiyah RA pula cuba untuk menaklukinya, namun tidak berjaya. Usaha tersebut diteruskan pula oleh Sultan Sulaiman Abdul Malik pada tahun ke-91 Hijrah namun turut gagal menembusi kota tersebut.

Khalifah Harun ar-Rasyid mencuba pada tahun ke-165 Hijrah sehingga kepada percubaan terakhir oleh Sultan Murad pada tahun ke-825 Hijrah. Kesemuanya menemui jalan kegagalan.

Selepas lebih 800 tahun hadis berkenaan pembukaan kota ini meniti di bibir para pemimpin Islam, akhirnya kota Konstantinopel yang kebal dapat ditakluk oleh pemimpin muda yang berjiwa besar. Menjadi pemimpin sebaik-baik pemimpin dan mengemudi tentera yang menjadi sebaik-baik pasukan dalam penaklukan tersebut.

Malaysia dan kemerdekaan yang ke-65

Tahun ini negara kita Malaysia yang tercinta akan menyambut ulang tahun hari kemerdekaan yang ke-65. Selepas dua tahun rakyat berada dalam ketakutan disebabkan Covid-19, kini kita semakin kembali kepada kehidupan normal dalam erti kemerdekaan yang sebenar. Namun perlu diingat, di sebalik kebebasan ini, kita perlu sentiasa mengekalkan jati diri sebagai rakyat Malaysia yang berjiwa besar dalam menjaga maruah negara dari segala ancaman luar termasuk ideologi yang boleh menghuru-harakan keharmonian negara.

Apabila dilihat kepada kejayaan penaklukan kota Konstantinopel oleh Sultan Muhammad al-Fateh, kesepaduan semua lapisan masyarakat perlu kepada usaha berlipat kali ganda bagi mencapai kejayaan dan mengekalkannya. Namun, jika dilihat kepada penaklukan kedua yang akan berlaku kelak, prosesnya nampak lebih mudah dengan hanya kalimah sahaja. Tetapi, hakikatnya usaha untuk menyatukan akidah dan persefahaman dalam agama bukannya mudah. Kekuatan fizikal sahaja tidak dapat membantu kejayaan sesebuah negara tanpa meletakkan agama di hadapan. Realiti yang berlaku hari ini, pada ilmuan masih lagi bertelagah dengan isu-isu yang tidak berkesudahan. Masing-masingnya ingin menegakkan ‘benang yang basah’. Ilmuan yang benar, akan terus memperkukuhkan kebenaran yang ada, manakala yang ilmuan yang ingin membenarkan sesuatu yang tidak dipastikan benar, juga akan terus menekan dan menyebarkannya. Jadi, sampai bila situasi akan berterusan.

Negara kita telah 65 tahun mengecapi kemerdekaan. Pembebasan negara daripada penjajahan yang cukup lama memberikan isyarat tentang erti kemanisan dan keamanan yang diinginkan oleh semua masyarakat dunia. Dengan kesedaran walaupun hanya melalui filem Mat Kilau sahaja, generasi kini mula membuka mata bahawa sukar, perit, jerih nenek moyang terdahulu mempertahankan negara.

Keharmonian hidup dalam masyarakat berbilang kaum perlu dititipkan oleh semua pihak. Islam adalah agama keamanan dan dipandang mulia melalui adab dan tatasusila yang tinggi. Maka perlu bagi semua rakyat khususnya umat Islam memahami perinsip penciptaan manusia. Allah SWT berfirman maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).”  (Surah al-Hujurat ayat 13)

Justeru itu, kemerdekaan yang dikecapi ini janganlah dicemari dengan perkara-perkara yang boleh menyebabkan jatuhnya negara kepada situasi peperangan dan kekacauan. Jadikan bendera Malaysia sebagai kebanggaan semua masyarakat dan kibarkan dengan penuh megah dan rasa bertangungjwab.  

Melayu Islam itulah kami,

Agama Islam dijulang tinggi,

Bangsa Melayu disanjung budi,

Kerana Akhlak mencermin diri.

Kemerdekaan 65 disambut gembira,

Tanda syukur bebas segalanya,

Jangan dilupa jasa nenek moyang kita,

Semoga negara kekal amannya.

Usah kaburi kebaikan dengan keburukan

Datuk Mohd Ajib Ismail

Saban hari kita seakan semakin keliru untuk memilih antara teladan yang baik dengan yang buruk apabila melihat pelbagai tingkah laku menjengkelkan dan menyalahi ajaran agama seperti yang dipertontonkan oleh sebahagian masyarakat.

Situasi tersebut ditambah lagi dengan budaya tidak sihat khususnya di media sosial yang mendorong manusia berlumba-lumba mengejar populariti bagi mendapatkan sokongan sekali gus meraih keuntungan. Golongan itu mempromosi berlebih-lebihan, meminta-minta serta menagih simpati orang ramai dengan alasan untuk membantu orang susah dan memerlukan.

Mereka sengaja mencipta kontroversi untuk lebih dikenali dalam masa yang sama berbangga mencanang segala amalan kebajikan. Sedangkan perbuatan tersebut bercanggah dengan kaedah fiqh yang menetapkan bahawa “Tujuan tidak membenarkan cara.”

Sebahagian amalan kebajikan dilakukan dicampuradukkan dengan perbuatan dosa dan maksiat bukan bertujuan untuk bertaubat dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Lebih parah lagi apabila kebajikan dilakukan untuk mengaburi mata orang ramai agar melupakan perbuatan dosa dan maksiat yang dikerjakan. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 42 yang bermaksud “Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya.”

Ajaran Islam menegah perbuatan mencampuradukkan kebenaran dengan kebatilan bukan hanya dalam aspek akidah, tetapi syariah dan akhlak kerana akan mengelirukan dan mengaburi kebenaran.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW mengingatkan dalam sebuah hadis yang bermaksud “Setiap umatku diberikan kemaafan melainkan golongan al-mujahirin. Sesungguhnya di antara perbuatan mendedahkan dosa itu adalah seorang lelaki itu melakukan perbuatan dosa pada satu malam. Kemudian dia bangun pagi dalam keadaan Allah menutup keaiban dirinya. Lalu dia menceritakan kepada orang lain dengan katanya: “Wahai si fulan, semalam aku melakukan perbuatan dosa itu dan ini”. Sedangkan dia tidur dalam keadaan Allah menutup keaiban dirinya, lalu dia bangun dan mendedahkan apa yang Allah tutupkan dari dirinya.” (Riwayat al-Bukhari).

Perbuatan mengaburi kejahatan dengan kebaikan merupakan jejak langkah Iblis sebagaimana kisah Iblis diusir dari syurga dan berpura-pura baik menggoda nabi Adam AS dan Hawa agar perbuatan derhakanya tidak dilihat salah. Firman Allah dalam Surah Taha ayat 120-121 yang bermaksud: “Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepadanya, dengan berkata: “Wahai Adam, mahukah, aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap?” Kemudian mereka berdua memakan dari pohon itu, lalu terdedahlah kepada mereka aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun dari Syurga; dan dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu tersalah jalan (dari mencapai hajatnya).”

Namun perbezaan antara nabi Adam AS dan Hawa dengan Iblis ialah mereka berdua bertaubat kepada Allah SWT setelah melakukan kesalahan sedangkan Iblis berterusan kufur dan ingkar. Perkara tersebut dijelaskan dalam al-Quran Surah Taha ayat 122 yang bermaksud: “Kemudian Tuhannya memilihnya (dengan diberi taufiq untuk bertaubat), lalu Allah menerima taubatnya serta diberi petunjuk.”

Manakala Iblis kekal dalam kesesatan dan menyesatkan umat manusia sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah al-Hijr ayat 39 yang bermaksud: “Iblis berkata: “Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya.”

Justeru, sudah menjadi tabiat Iblis mengaburi perbuatan buruk manusia agar kelihatan baik dan membisikkan pujian terhadap perbuatan tersebut agar manusia seronok melakukan maksiat dan kejahatan.

Jika seseorang mendakwa melakukan kebajikan untuk bertaubat, dia perlu berazam tidak mengulangi perbuatan dosa dan maksiat. Imam Nawawi menjelaskan jika kemaksiatan berlaku antara seorang hamba kepada Allah SWT, maka untuk bertaubat haruslah memenuhi tiga syarat iaitu segera hentikan semua kemaksiatan, merasa menyesal kerana melakukan kemaksiatan, dan berniat tidak mengulangi perbuatan maksiat itu untuk selama-lamanya.

Firman Allah dalam Surah al-Nisa’ ayat 17 yang bermaksud: “Sesungguhnya taubat di sisi Allah hanyalah taubat bagi orang-orang yang mengerjakan kejahatan lantaran kejahilan, yang kemudian mereka bertaubat dengan segera, maka mereka itulah yang diterima Allah taubatnya dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.”

Jauhilah sifat orang munafik seperti talam dua muka, mencampuradukkan antara perbuatan iman dan kufur serta melakukan amalan kebaikan untuk menyembunyikan kejahatan agar menjadi asbab terus menerus melakukan perbuatan dosa.

Kebaikan yang dilakukannya hanyalah untuk mendapat pujian manusia bukan bertujuan mentaati perintah Allah SWT. Sifat golongan munafik ini digambarkan dalam al-Quran Surah al-Baqarah ayat 14-16 yang bermaksud: “Dan apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang beriman, mereka berkata: “Kami telah beriman”, dan manakala mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka, mereka berkata pula:” Sesungguhnya kami tetap bersama kamu, sebenarnya kami hanya memperolok-olok (akan orang-orang yang beriman).” Allah (membalas) memperolok-olok, dan membiarkan mereka meraba-raba dalam kesesatan mereka (yang melampaui batas itu). Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan meninggalkan petunjuk; maka tiadalah beruntung perniagaan mereka dan tidak pula mereka beroleh petunjuk hidayah.”

Marilah kita memperbetulkan niat dan melakukan tindakan yang selaras dengan panduan syariat agar rezeki dan kehidupan mendapat keberkatan. Setiap perbuatan yang dilakukan tanpa menitikberatkan aspek keimanan menjadikan amalan dibuat sia-sia sebagaimana firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud “Wahai orang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun daripada apa yang mereka usahakan. Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.”

Memelihara kesucian agama Islam

Pro Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Islam adalah addin diredai Allah sebagai suatu cara atau panduan hidup yang sudah lengkap dan sempurna serba-serbinya untuk mengatur serta menyusun kehidupan manusia sejagat. Sejajar dengan ciri kesempurnaan dan kesyumulan yang menghiasi Islam ini, maka apa perlunya penambahan atau pengurangan dalam ajaran Islam kerana Allah Maha Mengetahui yang terbaik untuk manusia dalam menelusuri pentas kehidupan mereka. Maka umat manusia sewajarnya menerima saja Islam sebagai teras yang mendasari ruang lingkup kehidupan mereka. Lebih-lebih lagi, hanya Islam sahajalah yang menjamin kesejahteraan dan kebahagiaan hidup manusia sejagat sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Dan sesiapa yang mencari agama selain Islam, maka tidak akan diterima daripadanya dan dia pada hari akhirat kelak daripada orang yang rugi.” Surah Ali Imran ayat 85

Serentak dengan itu, umat Islam sewajibnya memelihara kesucian Islam daripada dinodai oleh sebarang ajaran sesat mahupun khurafat atau bidaah yang akan mencacatkan kesempurnaan Islam. Untuk itu, setiap pihak bermula daripada individu Muslim, ibu bapa, masyarakat dan kerajaan, masing-masing bertanggungjawab sepenuhnya memelihara kesucian Islam daripada dicemari anasir yang bertentangan dengan syarak.

Umumnya, umat Islam mengetahui Islam itu tertegak atas tiga tonggak utama iaitu Rukun Iman, Rukun Islam dan Ihsan. Ketiga-tiga tonggak inilah yang menghiasi sahsiah Mukmin dan Muslim sejati yang benar-benar bertakwa kepada Allah. Sebarang penambahan atau pengurangan daripada ajaran Islam adalah perkara yang amat dilarang oleh Allah.

Perlu ditegaskan bahawa antara punca kesesatan dan kebinasaan sesuatu kaum adalah kerana menokok tambah atau mengubah ajaran agama yang telah diutuskan Allah kepada umat manusia. Sebagai bahan renungan, Allah Taala merakamkan kisah kesesatan golongan Yahudi dalam Surah al-Nisa’, ayat 46 dengan firman-Nya yang bermaksud: “Di antara orang Yahudi ada yang mengubah (atau menukar ganti) kalamullah (isi Kitab Taurat) daripada tempat dan maksud sebenar serta berkata (kepada Nabi Muhammad): Kami mendengar, (sedang mereka berkata dalam hati): Kami tidak akan menurut. (Mereka juga berkata): Tolonglah dengar, tuan tidak diperdengarkan sesuatu yang buruk serta (mereka mengatakan): Berilah layanan kepada kami (tujuan kata-kata mereka tersebut) hanya memutarbelitkan perkataan mereka dan mencela agama Islam. Dan kalaulah mereka berkata: Kami dengar dan kami taat dan dengarlah serta berilah perhatian kepada kami, tentulah yang demikian itu lebih baik bagi mereka dan lebih betul. Akan tetapi Allah melaknat mereka dengan sebab kekufuran mereka. Oleh itu, mereka tidak beriman kecuali sedikit sahaja (di antara mereka).”

Maksud ayat suci itu menjelaskan laknat Allah menimpa golongan Yahudi akibat perbuatan mereka menambah dan mengubah ajaran agama yang diutuskan Allah kepada mereka melalui pesuruh-Nya. Natijahnya, mereka berada dalam kesesatan yang nyata dan yang sudah pastinya mereka jauh dari rahmat Allah.

Di dalam Tafsir Pimpinan Al-Rahman ada dijelaskan bahawa orang yang sesat itu adalah mereka yang tidak berpengetahuan agama dengan betul kerana dipelajarinya secara tidak menurut peraturan dan jalan sebenarnya.

Jadi, untuk mengenal pasti sama ada sesuatu ajaran atau amalan yang dilakukan itu selari atau bercanggah dengan Islam adalah dengan hanya merujuk kepada al-Quran dan hadis Rasulullah sebagai sumber ajaran Islam sebenarnya. Oleh itu, apabila umat Islam tidak berpegang teguh dengan kedua-dua sumber itu, tidak hairanlah ajaran sesat mula mengakari dan menjalari dalam setiap sendi masyarakat Islam.

Meninjau senario umat Islam kini, masih kedapatan banyak ajaran sesat, khurafat dan bidaah yang masih sukar hendak dipisahkan daripada hidup umat Islam. Amalan seumpama memuja dan memohon sesuatu selain Allah seperti keramat di kuburan, percaya kepada batu keramat yang boleh membawa manfaat atau mudarat, menilik nasib, amalan kebal, percaya kepada semangat dan sebagainya masih menebal dalam adat serta budaya hidup sebahagian umat Islam. Terkini, liberalisme, pluralisme dan pelbagai lagi ajaran asing mula menjalar dalam kehidupan umat Islam. Padahal, amalan dan ajaran seumpama itu boleh merosakkan iman seseorang serta membawa kepada kesesatan dan kekufuran. Lebih menyedihkan lagi, akhir-akhir ini terdapat banyak kes yang melibatkan penghinaan agama dan nabi oleh individu Muslim
di bumi Malaysia tercinta yang sebelum ini kebiasaannya kes sedemikian biasanya dilakukan golongan anti-Islam di Barat.

Keadaan ini berlaku apabila kejahilan terhadap ajaran Islam sebenarnya masih menunjangi ruang lingkup kehidupan umat Islam. Mereka jahil konsep iman dan Islam yang sebenarnya yang menuntut ketundukan dan kepatuhan penuh tulus lagi kudus semata-mata kepada Allah sahaja. Begitu juga mereka tidak arif mengenai batas iman dan Islam yang menghampirkan mereka ke sempadan kesesatan serta kekufuran sehingga mereka tidak menyedari bahawa apa yang telah mereka lakukan itu pada hakikatnya bertentangan dengan Islam.

Sebenarnya, Islam diutuskan Allah melalui pesuruh-Nya, Rasulullah membawa mesej rahmat untuk sekalian alam. Selain daripada itu juga, ajaran Islam juga adalah cukup mudah dan senang difahami serta seimbang antara tuntutan duniawi dan ukhrawi. Lebih istimewa sekali, Islam amat sesuai dengan fitrah manusia itu sendiri. Maka, dengan keistimewaan dan keunikan Islam ini, amatlah tidak wajar ajaran Islam yang sempurna lagi lengkap diselewengkan dan disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggung jawab. Islam adalah addin yang mengatur dan menyusun hidup manusia dalam semua aspek hidup mereka daripada segi iktikadnya, ibadatnya, muamalatnya, ekonominya, politiknya dan sebagainya. Malahan, Islam sudah pun menyediakan hukum-hakam dan panduan yang cukup sempurna untuk diterjemahkan dalam realiti kehidupan umat manusia sejagat yang pastinya kesejahteraan dan kebahagiaan abadi menjadi milik umat Islam yang taat serta patuh kepada Allah.

Sehubungan itu, Allah menegaskan dalam al-Quran akan nasib orang yang beriman kepada-Nya dan akibat buruk orang yang kufur kepada-Nya melalui firman-Nya dalam Surah al-A’raf, ayat 96 yang bermaksud: “Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman dan bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.”

Justeru, setiap Muslim diwajibkan supaya menimba ilmu Islam daripada sumbernya yang tulen iaitu al-Quran dan hadis Rasulullah. Dalam hal ini, terserlah peranan ulama sebagai pewaris nabi dalam menyebarkan ilmu Islam dalam kalangan masyarakat Islam di samping menggalas tugas penegak kebenaran dan pencegah kemungkaran sebagaimana diperintahkan Allah.

Pada masa sama, pihak kerajaan sewajarnya berganding bahu bersama-sama dengan ulama dalam menguatkuasakan undang-undang Islam bagi membanteras gejala ajaran sesat, amalan khurafat dan kes penghinaan agama ini. Dengan adanya permuafakatan yang padu antara umara dan ulama, barulah usaha untuk memartabatkan kembali maruah umat Islam ke mercu kejayaan menemui hasilnya. Akhirnya, keharmonian dan kesejahteraan yang diimpikan sekian lama dapat dijulang kembali dan seterusnya umat Islam bakal mengungguli persada dunia tanpa sempadan ini dalam pelbagai lapangan kehidupan manusia sejagat. Kesimpulannya, setiap Muslim dewasa ini sewajibnya kembali kepada ajaran al-Quran dan sunah Rasulullah sebagai khazanah tidak ternilai yang berupaya memimpin umat Islam ke arah kebenaran seterusnya menyelamatkan mereka daripada lembah kesesatan.

Dunia penjara bagi Mukmin

Dr Khairul Asyraf Mohd Nathir

Dunia dari sudut pengertian Islam adalah tempat persinggahan sementara sebelum berangkat ke alam yang kekal abadi (akhirat). Dunia merupakan ujian yang akan menentukan manusia sama ada ke syurga atau neraka. Allah SWT menguji manusia di atas dunia dengan pelbagai kebendaan yang akan melekakan mereka yang lemah dalam melaksanakan amal ibadahnya.

Di dalam al-Quran, perkataan ‘dunia’ disebut sebanyak 115 dan bilangannya menyamai perkataan ‘akhirat’. Ini menunjukkan bagaimana hubungan dunia dengan akhirat adalah sangat kuat. Semua makhluk terutama seluruh manusia akan menjalani kehidupan sementara di atas muka bumi ini sebagai ujian sebelum bertemu dengan Allah SWT nanti. Kesenangan, kesusahan, kegembiraan, ketakutan, kelaparan adalah sebenar-benar ujian yang diturunkan oleh Allah SWT kepada hambanya. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan sungguh akan Kami berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah ayat 155)

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Sesungguhnya, dunia adalah manis dan hijau, dan sesungguhnya Allah menjadikan kamu sebagai khalifah di bumi. Maka Allah akan melihat apa yang kamu lakukan. Maka berhati-hatilah kamu kepada dunia dan berhati-hatilah kepada wanita.” (Hadis Riwayat Muslim)

Hadis ini jelas menunjukkan bagaimana keadaan dunia yang sebenarnya. Allah SWT menjadikan dunia ini sebagai tempat ujian dan cubaan kepada para hambanya. Manis dan hijaunya dunia sebagaimana yang digambarkan oleh Rasulullah SAW menunjukkan kesenangan, kelazatan dan keindahan berada sementara di atas dunia. Baginda Nabi SAW juga menegaskan agar berhati-hati dengan fitnah wanita yang merupakan antara fitnah terbesar manusia di atas dunia ini berdasarkan beberapa peristiwa yang sudah berlaku kepada umat sebelum ini. Allah SWT berfirman maksudnya: “Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: Kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak, harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu kesenangan hidup di dunia dan (ingatlah), pada sisi Allah
ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).” (Surah ali-Imran ayat 14)

Pada ayat lain Allah SWT bersabda maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya, kerana kami hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya.” (Surah al-Kahfi ayat 7])

Seseorang Muslim yang berakal serta sudah memahami hukum hakam dalam agama secara langsung berada dalam sebuah penjara besar yang perlu dihadapinya selama mana umur hayatnya di atas dunia ini. Kehidupan mereka yang terikat dengan panduan yang telah ditetapkan dalam al-Quran serta penerangan dari hadis Rasulullah SAW.

Panduan ini merupakan kompas yang paling tepat untuk sampai ke suatu destinasi yang kekal abadi di akhirat nanti. Namun, laluan yang akan ditempuhi ini, bukanlah satu perjalanan yang mudah, bahkan lebih banyak kesulitan dan halangan yang perlu dihadapi bagi mendapat keredaan dari Allah SWT. Dan setiap kesulitan dan halangan tersebut ada ganjarannya di sisi Allah SWT yang tiada diketahui oleh seorang kecuali Allah Yang Maha Esa.

Manusia hidup di atas dunia ini adalah semata-mata untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan Jibril AS menyatakan dengan jelas perkara yang perlu dilaksanakan dan perkara yang ditegah dari melakukannya. Dalam hal ini, amalan yang diwajibkan adalah perkara yang amat sukar untuk manusia secara umumnya untuk dilaksanakan, manakala amalan yang ditegah itu adalah merupakan perkara yang amat suka untuk dilakukan.

Justeru, itu, pemahaman tentang dunia sebagai penjara bagi Mukmin ini adalah sebagaimana sabda Baginda Nabi SAW yang bermaksud: “Pada Hari Kiamat dikatakan kepada penghuni dunia yang kafir yang paling senang, “Celupkan sekali dia ke dalam nereka.” Setelah dicelupkan dia dikeluarkan. Lalu ditanya kepadanya: “Wahai fulan, adakah kamu pernah mendapat kenikmatan dalam hidupmu?” Dia menjawab: “Tidak ada kebaikan yang pernah kuperolehi.” Kemudian dibawa orang yang beriman yang paling susah dan amat banyak sekali mendapat bencana, lalu dikatakan padanya: “Celupkan dia sekali ke dalam syurga.” Kemudian ditanya kepadanya: “Adakah kamu pernah merasakan kesusahan dan bencana?” Doa menjawab: “Tidak ada kesusahan dan bencana yang pernah kurasakan.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Jika disoroti kehidupan harian pada saat ini, contohnya bab solat. Maklum bahawa solat merupakan perkara yang
wajib dilaksanakan tidak kira bagaimana keadaan seseorang Muslim itu kecuali mereka tidak diwajibkan solat disebabkan kondisi yang berbeza-beza. Namun, dengan hanya lima waktu sehari semalam, manusia lebih rela meninggalkannya semata-mata mengejar dunia yang kenikmatan adalah sementara. Jika dihitung dengan nikmat yang Allah SWT kurniakan kepada kita dalam seharian, solat lima waktu adalah tidak mencukupi untuk kita zahirkan tanda kesyukuran kepada Allah SWT.

Lihat sahaja di masjid dan surau berhampiran, adakah jemaah yang memakmurkannya melebihi mereka yang berada di pasar dan pusat membeli-belah? Walaupun sebilangan besar pusat membeli-belah ketika ini menyediakan surau, namun hanya sebilangan kecil sahaja mereka yang menjadikannya tempat persinggahan utama apabila seruan solat dilaungkan. Ini jelas menunjukkan, apabila ganjaran pahala solat berjemaah di masjid dan surau yang Allah janjikan, hanya akan ditunaikan pada Hari Akhirat kelak, manusia sukar untuk melihatnya dengan pandangan yang jelas kecuali sebahagian mereka yang mata hatinya telah diterangi oleh cahaya Ilahi.

Oleh yang demikian, dunia penjara bagi Mukmin ini adalah sebagai ujian untuk menentukan tahap keimanan dan ketakwaan manusia kepada Allah SWT sebelum melalui perjalanan yang jauh menuju syurga yang kekal abadi dan nikmat yang tiada tandingan kelak.

Tingkatkan amal, jauhi kemurkaan Allah

Aisyah Jamilah Moh Shin

Rasa terasa begitu cepat berlalu dan kini kita sudah pun berada pada awal 1444 Hijrah. Berbicara mengenai pergantian tahun, ia berkait rapat dengan putaran waktu.

Sabda Nabi Muhammad SAW, daripada Abu Hurairah RA yang bermaksud: “Tidak akan berlakunya kiamat sehingga diangkat ilmu, banyaknya berlaku gempa, masa berlalu dengan pantas, terzahirnya fitnah dan banyaknya pembunuhan.” (Riwayat al-Bukhari)

Masa yang berlalu dengan begitu pantas berdasarkan hadis di atas dapat difahami dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tidak akan berlaku kiamat sehingga waktu terasa begitu pantas, maka setahun dirasakan seperti sebulan, sebulan dirasakan seperti seminggu, seminggu dirasakan seperti sehari, sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti satu sambaran api.” (Riwayat at-Tirmizi)

Oleh itu apakah perkara terbaik yang patut kita laksanakan sebagai persediaan setiap kali menjelang tahun baharu Hijrah?

Islam sangat menekankan kepada umatnya untuk sentiasa menjadi lebih baik dan meningkatkan amal kebajikan yang dilakukan dalam seharian. Oleh itu, untuk memastikan setiap diri kita dapat memajukan amalan yang dilakukan adalah dengan menghitungkan segala amal perbuatan sama ada secara harian, mingguan, bulanan mahupun tahunan. Perhitungan ini diistilahkan sebagai muhasabah di sisi ahli tasawuf.

Muhasabah menurut Imam al-Ghazali adalah perhitungan seorang hamba terhadap setiap gerak-geri dan diam yang dilaluinya umpama seorang pedagang yang memperhitungkan modal, untung serta rugi. Modal seorang hamba pada agama adalah ibadah fardu, keuntungannya adalah ibadah sunat, manakala kerugiannya pula adalah pada perbuatan maksiat.

Dalam Islam muhasabah ini bertujuan memperbaiki hubungan dengan Allah SWT (habluminallah), hubungan sesama manusia (habluminannas) serta hubungan dengan diri sendiri (habluminannafsi). Firman Allah Taala dalam Surah al-Hasyr, ayat 18 yang bermaksud: “Hai orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatkannya untuk hari esok (akhirat) dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

Ayat ini menunjukkan isyarat agar setiap orang sentiasa membuat perhitungan terhadap amalan yang sudah dilakukan. Kemudian segera disusuli pula dengan perhitungan akan datang, esok hari dan seterusnya. Perhitungan yang dilakukan hendaklah bersegera memohon ampun atau taubat kepada Allah bagi segala dosa dan maksiat yang dilakukan agar tidak mengulanginya semula.

Allah berfirman dalam Surah an-Nur ayat 31 yang bermaksud: “Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah wahai orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”

Imam Al-Ghazali menyatakan dalam Kitab Ihya’ Ulumuddin taubat yang dimaksudkan adalah meneliti segala sesuatu amalan setelah selesai dilakukan dengan perasaan menyesal dan takut. Menyesal kerana terlampau sedikit sekali amalan yang sudah dilakukan dan takut kerana khuatir apakah amalan yang hanya sedikit itu diterima atau tidak oleh Allah SWT.

Umar RA juga ada berpesan berkata: “Hitunglah dirimu sebelum kamu dihitungkan oleh Tuhan dan timbanglah dulu amalan kamu sebelum kamu ditimbangkan pada Hari Kiamat.”

Sekiranya kita berasakan sepanjang setahun lalu ada yang kurang atau terlambat dikerjakan, hendaklah dipenuhi hingga mencukupi. Seterusnya, jika setelah menunaikannya masih lagi ada kekurangan, hendaklah memaksa diri untuk menambah kekurangan itu dengan cara memperbanyakkan amalan sunat.

Justeru itu, marilah kita sama-sama melakukan perhitungan terhadap segala perbuatan yang telah dilakukan sepanjang tahun lalu adakah sudah mencapai azam seperti yang kita niatkan pada awal tahun. Moga-moga kita termasuk dalam kalangan golongan yang berjaya seperti dalam sabda Nabi SAW: “Orang yang berjaya adalah orang yang menghisab dirinya serta beramal untuk kehidupan sesudah kematiannya. Sedangkan orang yang lemah adalah orang yang mengikuti hawa nafsunya seta berangan-angan terhadap Allah SWT.”

Usah lawan fitrah kejadian

Dr Zuraimy Ali

ISU menyerupai atau mengubah jantina seperti wanita kepada lelaki mahupun lelaki kepada wanita merupakan perkara yang dilarang dalam Islam. Allah SWT telah menciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian namun masih ada dalam kalangan masyarakat yang terikut dengan sebahagian budaya dan amalan songsang Barat yang sanggup mengubah jantina semata-mata memenuhi kepuasan nafsu tanpa melihat kepada ketetapan hukum Islam. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya). Kemudian (jika ia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka beroleh pahala yang tidak putus-putus.” (Surah At-Tiin, ayat 4-6). Justeru sebagai seorang Mukmin sepatutnya memelihara dan menerima kejadian yang telah dianugerahkan Allah SWT kepada manusia. Kejadian manusia merupakan kejadian yang terbaik yang diciptakan Tuhan buat manusia maka janganlah dilakukan perubahan terhadap ciptaan Tuhan bagi memenuhi desakan hawa nafsu semata-mata.

Sebagai Muslim kita seharusnya mengambil perhatian serius terhadap isu ini memandangkan jika tidak dicegah dan dibanteras ia akan menjadi satu amalan budaya yang songsang dalam masyarakat. Lebih parah apabila hal ini dipandang satu perkara yang biasa bagi golongan yang mahu menukar jantina. Menjadi kewajipan bagi setiap Muslim untuk menegur dan memberikan nasihat sokongan kepada golongan tersebut supaya tidak bertindak dengan lebih melampau sehingga mengotorkan pandangan masyarakat terhadap kemurniaan ajaran Islam. Beberapa kes yang telah dilaporkan sebelum ini menampakkan golongan ini cuba membawa imej penghinaan terhadap Islam apabila melakukan ibadat di Makkah dengan berpakaian yang jelas tidak mengikut syariat Islam berdasarkan keperluan jantina.

Terdapat perbincangan hukum fekah berkaitan dengan isu sama ada menyerupai, mengubah rupa bentuk ataupun mengubah jantina. Antaranya perbincangan mengenai tasyabuh iaitu penyerupaan seorang yang dihukumkan haram berdasarkan keterangan hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Nabi SAW telah melaknat lelaki yang menyerupai perempuan dan orang-orang perempuan yang menyerupai lelaki.” (Hadis riwayat Al-Bukhari). Jika menyerupai wanita sudahpun difatwakan haram apatah lagi jika seseorang itu mengubah jantina. Selain itu, ada riwayat yang dinyatakan melalui hadis Nabi SAW yang melarang seseorang lelaki memakai pakaian wanita dan sebaliknya. Ini berdasarkan keterangan Hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Rasulullah SAW telah melaknat orang lelaki yang memakai pakaian perempuan dan orang perempuan yang memakai pakaian lelaki.” (Hadis riwayat Abu Daud). Al-Imam al-Zahabi berkata: “Apabila wanita memakai pakaian yang dipakai oleh lelaki dan berlagak seperti seorang lelaki, dengan pakaiannya yang serba sempit, yang kelihatan jelas bentuk tubuh badannya, maka yang demikian itu dia sudah menyerupai lelaki dan dia sudah berhak menerima kutukan Allah SWT dan Rasul-Nya.

Islam sangat memandang serius perbuatan seseorang yang dianggap menyalahi dan melanggari fitrah kejadian manusia yang telah ditentukan Allah SWT. Justeru pihak berkuasa agama Islam negeri perlu menguatkuasakan undang-undang berdasarkan ketetapan fatwa yang telah diputuskan berkaitan dengan isu ini. Hal ini kerana adalah jelas ia dapat memberi kesan dan mudarat yang besar terhadap persepsi pihak jabatan agama Islam dan mengganggu gugat kerukunan dalam sesebuah masyarakat. Jika tiada tindakan yang tegas untuk diambil bagi membanteras gejala yang tidak sihat ini maka budaya atau amalan yang menyalahi syariat agama ini akan dianggap normal sekaligus akan menjadi satu fenomena yang mampu meracuni anak-anak muda terhadap tindakan dan perlakuan songsang tersebut. Bagi masyarakat awam yang mempunyai kesedaran agama dan moral yang tinggi seharusnya cepat bertindak dengan memberikan nasihat dan khidmat sokongan bagi mereka yang mula terjebak dan masih di peringkat awal supaya dapat dipulihkan kembali serta menerima takdir ketentuan kejadian asal yang menjadi fitrah ke atasnya. Namun jika nasihat dan teguran tidak diendahkan, maka kewajipan pihak berkuasa perlu bertindak pantas bagi menyelamatkan generasi kini supaya tidak menjadi barah dalam peradaban masyarakat Islam yang sentiasa menjunjung tinggi kehormatan insan serta mengangkat nilai dan budaya yang sesuai dengan fitrah kejadian manusia selari dengan ketetapan hukum syariat.

Sebagai kesimpulannya, jika ada segelintir daripada saudara kita yang mempunyai kecenderungan untuk menyerupai atau mengubah jantina maka tugas kita ialah memberikan khidmat bantuan dan sokongan sebaik mungkin melalui pelbagai cara dan kaedah bagi memastikan mereka mampu untuk kembali ke pangkal jalan. Namun jika ada yang mengalami masalah kecelaruan atau gangguan identiti jantina maka rawatan yang sesuai perlu diberikan bagi merawat penyakit tersebut. Ini disebabkan terdapat sebahagian daripada mereka yang mempunyai gangguan tersebut maka penyelesaiannya perlu kepada rawatan klinikal. Justeru, bagi golongan yang sengaja menzahirkan penyerupaan atau mengubah kejadian Tuhan dengan melanggari batasan syariat maka ingatlah bahawa kemurkaan Allah SWT lebih berat untuk ditakuti oleh setiap manusia. Oleh itu, wahai saudaraku yang dikasihi kembalilah ke jalan yang diredai Allah SWT bukan jalan yang akan mengundang kemurkaan Allah SWT. Ingatlah bahawa masih ada ruang untuk berubah kembali kepada fitrah kejadian yang asal. Semoga kita semua dilindungi Allah SWT dan sentiasa diberikan petunjuk-Nya.

Halal dan berkat

Dalam kamus al-Mu’jam al-Wasith, halal bermaksud dibenarkan manakala dalam konteks syarak, dibenarkan oleh syariat Islam. Manakala maksud barakah ialah bercambah dan bertambah. Mencari yang halal itu suatu perintah daripada Allah.

Dalam soal halal dan barakah, ia dapat dilihat menerusi firman-Nya dalam surah al-Maidah ayat ke 88, maksudnya: “Dan makanlah dari rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik, dan bertakwalah kepada Allah yang kepada-Nya sahaja kamu beriman.”Selepas Allah SWT memerintah manusia untuk mencari rezeki yang halal, Allah menutup ayat tersebut dengan perintah yang kedua iaitu perintah supaya bertakwa kepada-Nya.

Ini bermaksud bagi orang yang beriman, selain soal halal dan haram, takwa turut menjadi keutamaan. Ketakwaan dalam melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya.

Apabila adanya takwa, maka natijahnya yang dapat dilihat seperti kehidupan yang selamat dan selesa. Manakala dari sudut yang tidak dapat kita lihat sudah tentulah akan menatijahkan pahala dan keredaan-Nya.

Bertepatan dengan hadis Nabi yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah itu baik. Dia tidak menerima kecuali perkara yang baik. Dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan orang-orang Mukmin dengan apa yang telah diperintahkan kepada para Rasul di mana Dia berfirman: “Wahai para Rasul! Makan minumlah kamu makanan yang baik-baik dan hendaklah kamu beramal soleh.”

Allah SWT berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman! Makan minumlah kamu makanan yang baik-baik yang Kami rezekikan kepada kamu.” Jika merasakan sesuatu yang sedikit tetapi halal itu sudah mencukupi, ketahuilah di situlah keberkatannya. Hal ini disebabkan apabila sesuatu yang banyak tetapi tidak halal dirasakan seperti tidak cukup. Itulah tanda tiada keberkatan padanya. Kuncinya ketakwaan dalam mematuhi perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Ingin hidup diberkati, cari yang halal dan jadilah orang yang bertakwa.

Urus sakit emosi berlandas syarak

Datuk Dr Luqman Abdullah

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda serta mereka yang mengikuti jejak langkahnya hingga hari kiamat.

Pandemik Covid-19 sememangnya memberi kesan yang besar kepada kita semua daripada segenap sudut. Kita sedang diuji dengan wabak yang tidak nampak jelas di mata, tetapi membawa kesan teramat dahsyat. Setiap hari, semakin ramai individu yang putus asa dengan hidup. Tidak kurang ramai juga yang mengalami stres melampau.

Manusia secara fitrahnya akan mengalami kemelut yang dahsyat apabila berhadapan ujian besar dalam hidup. Saidatina Maryam juga merasai perkara yang sama ketika melahirkan Nabi Isa AS dalam keadaan bersendirian dan tidak memiliki suami.

Menerusi Surah Maryam ayat 22 dan 23 bermaksud: “Maka Maryam pun hamil, lalu dia memencilkan diri dengan kandungannya ke sebuah tempat yang jauh. (Ketika dia hendak bersalin) maka sakit bersalin itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar (kurma), dia berkata alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini lalu aku menjadi seorang yang dilupakan dan tidak dikenang-kenang orang!”

Kata-kata Saidatina Maryam yang dirakam dalam al-Quran menunjukkan manusia diuji secara fitrahnya akan rasa putus asa ke tahap bercita-cita untuk mati atau lenyap. Ia terjemahan sakit emosi yang tidak jelas di mata kasar.

Islam melalui kalam Allah mengiktiraf perasaan ini. Namun, perasaan ini perlu disalurkan dengan cara yang betul sebelum terjebak kepada perbuatan yang melanggar syarak seperti membunuh diri atau mencederakan diri sendiri.

Perbincangan Hukum Syarak Mengenai Perbuatan Membunuh Diri

Hukum membunuh diri disebabkan berputus asa dengan kehidupan adalah haram. Kami bawakan sebahagian hadis yang menyebut berkenaan ini. Antaranya:

1. Maksudnya: “Jabir bin Samurah meriwayatkan bahawa Nabi SAW pernah dihadapkan dengan jenazah seorang lelaki yang membunuh dirinya sendiri menggunakan sebatang anak panah. Baginda tidak mendirikan (solat jenazah) ke atasnya.” Hadis Riwayat Muslim

2. Daripada hadis lain yang diriwayatkan oleh Jundub RA, Nabi SAW bersabda: “Pada umat sebelum kalian, terdapat seseorang yang tercedera, dia tidak dapat menahan kesakitan lalu dia mengambil pisau dan memotong tangannya. Darah berterusan mengalir sehinggalah dia mati. Allah berkata: Hamba-Ku menyegerakan mati dengan dirinya sendiri, aku mengharamkan ke atasnya syurga.” Hadis Riwayat al-Bukhari

3. Menurut riwayat hadis yang lain, Rasulullah SAW menjelaskan akibat dan siksaan atas mereka yang membunuh diri dengan sengaja. Baginda SAW bersabda: “Sesiapa membunuh diri dengan besi maka di neraka Jahanam nanti besi itu selalu di tangannya, dia menusuk-nusukkannya ke perutnya selama-lamanya. Dan barangsiapa bunuh diri dengan meminum racun maka di neraka Jahanam nanti ia akan terus meminumnya selama-lamanya. Dan barangsiapa bunuh diri dengan menjatuhkan diri dari gunung maka di neraka Jahanam nanti, dia akan menjatuhkan (dirinya) selama-lamanya.” Hadis Riwayat Muslim, Sunan al-Tirmizi

Antara ciri-ciri dosa besar ialah ancaman keras terhadap pelakunya. Namun, persoalan yang lebih penting ialah bagaimanakah cara kita mengelak diri daripada terjebak dalam perbuatan ini?

Bingkisan Buat Mereka yang Sangat Tertekan Dengan Situasi Sekarang

Memupuk sabar dalam diri tidak semudah menyebutnya dengan lidah. Apabila seorang individu bercita-cita atau bercadang untuk lenyap dari muka bumi, ini menunjukkan kesabarannya teruji di tahap yang teramat tinggi. Mengadu kelemahan kepada Allah SWT adalah langkah pertama untuk meredakan keserabutan di jiwa.

Dalam Surah al-Ra’d ayat 28 bermaksud: “(Iaitu) orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan ‘zikrullah’ itu, tenang tenteramlah hati manusia.”

Nabi dan rasul terdahulu juga mengadu ketidakmampuan kepada Allah. Antaranya, kisah Nabi Yaakub AS yang kehilangan anaknya, Nabi Yusuf AS yang diceritakan dalam al-Quran.

Firman Allah SWT: (Nabi Yaakub) menjawab: “Sesungguhnya aku hanyalah mengadukan kesusahan dan dukacitaku kepada Allah dan aku mengetahui (dengan perantaraan wahyu) daripada Allah, apa yang kamu tidak mengetahuinya.” Surah Yusuf ayat 86

Dalam ayat yang lain, Allah SWT juga merakamkan bahawa Rasulullah SAW dan sahabat RA mengadu kepada Allah ketika dalam kesusahan.

Firman Allah bermaksud: “Adakah patut kamu menyangka kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti berlaku kepada orang terdahulu daripada kamu? Mereka ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh) sehingga berkatalah Rasul dan orang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).” Surah al-Baqarah ayat 215

Apabila kita mengakui perhambaan kepada Allah, kita merendahkan diri kepada satu kuasa agung yang Maha Hebat. Ia akan memberi kekuatan dalaman kerana kita bersandar kepada Yang Maha Berkuasa.

Nabi Musa AS melakukan perkara ini sewaktu baginda berada dalam keadaan teramat penat dan keseorangan apabila diburu oleh kaumnya. Sewaktu Nabi Musa AS bersandar daripada kepenatan, kelaparan dan kesunyian itu, baginda melafazkan maksudnya: “…kemudian beliau pergi ke tempat teduh lalu berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan.” Surah al-Qasas ayat 24

Selain itu, penting untuk kita kenal pasti terlebih dahulu punca bagi pemikiran sebegini. Setiap individu memiliki sebab yang tersendiri seperti masalah rumah tangga, kehilangan punca pendapatan, kesempitan hidup, masalah keluarga, tidak memiliki sokongan moral mencukupi, tekanan daripada insan sekeliling, atau menghidap mana-mana kecelaruan mental.

Pertolongan mesti didapatkan daripada orang lain atau pakar kerana ia juga antara cara mencari penawar ditekankan dalam Islam.

Bagi isu kali ini, pemikiran untuk lenyap dari muka bumi adalah suatu yang ekstrem. Ia perlu diserahkan kepada pakar untuk menilai dan mencadangkan rawatan yang sesuai. Kita perlu normalisasikan perbuatan merujuk kepada pakar kesihatan mental seperti psikiatris, psikologis klinikal dan kaunselor berdaftar.

Langkah pertama ialah pergi ke klinik kesihatan untuk meminta surat sokongan mendapatkan rawatan di jabatan psikiatri mana-mana hospital. Islam sendiri menekankan keperluan mencari penawar. Bagi isu sebegini, bidang psikiatri memiliki keahlian.

Tidak perlu malu atau rendah diri untuk mendapatkan rawatan di jabatan psikiatri. Isu kesihatan mental tidak kurang pentingnya dengan kesihatan fizikal. Apabila seseorang patah kaki, rawatan dan terapi akan diberikan bagi membolehkannya berjalan semula. Begitu lah juga kesakitan minda. Terapi dan rawatan diperlukan bagi membolehkan seorang individu memiliki keupayaan untuk berfungsi seperti biasa. Ia sama sekali tidak bermaksud individu itu telah menjadi gila.

Kesimpulan

Marilah renungi cerita dan ganjaran Allah buat orang yang sabar. Sesungguhnya, dunia bukanlah medan nikmat, tetapi medan ujian buat orang beriman.

Firman Allah dalam Surah al-Mulk ayat 2 bermaksud: “Dialah yang mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji serta menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya…”

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Dunia penjara orang beriman dan syurga buat orang kafir.” Hadis Riwayat Muslim, Ibn Majah dan al-Tirmizi

Namun, segala pengorbanan dan sabar bukanlah sia-sia. Bahkan, ia menatijahkan sesuatu yang besar pada hari kemudian. Sebagai seorang Muslim yang mempercayai hari pembalasan, kita seharusnya meyakini tiada suatu yang kita lakukan di sisi Allah tanpa imbalan.

Firman Allah SWT bermaksud: “Maka adakah patut kamu menyangka Kami hanya menciptakan kamu (daripada tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?” Surah al-Mu’minun ayat 115

Semoga Allah SWT kurniakan kesabaran dan jalan keluar kepada kita semua. Amin.

Amalan mudah lalui Siratul Mustaqim

Dr Khairul Asyraf Mohd Nathir

PERKATAAN sirat ialah daripada bahasa Arab yang membawa maksud jalan – Manakala daripada sudut kefahaman di dalam agama ini pula ialah bahagian yang membentang di atas neraka jahanam yang akan di datangi oleh orang yang awal dan akhir. Ia adalah satu jambatan melintasi jahanam yang terletak di antara syurga dan neraka. Ia tercipta sejak terciptanya neraka.

Allah SWT berfirman maksudnya: “Dan tidak ada seorang pun daripada kamu, melainkan mendatangi neraka itu. Hal itu bagi Tuhanmu adalah suatu kemestian yang sudah ditetapkan. Kemudian Kami akan menyelamatkan orang yang bertakwa dan membiarkan orang yang zalim dalam neraka dalam keadaan berlutut.” (Surah Maryam ayat 71-72)

Imam Al-Qurtubi berkata dalam Mukhtasar Imam Al-Qurtubi bahawa ayat ini menjadi hujah adanya lintasan atas sirat, namun bukannya melintasi bermakna masuk ke dalam neraka.

Allah SWT berfirman maksudnya:  “(Iaitu) pada hari ketika kamu melihat orang Mukmin lelaki dan perempuan, sedang cahaya mereka bersinar di hadapan dan di sebelah kanan mereka.” (Surah al-Hadid ayat 12)

Al-Mawardi dalam Al-Nukat wa Al-‘Uyun menukilkan pendapat Ibn Mas’ud yang berkata bahawa cahaya mereka mengikut kadar amalan dan mereka melintasi titian sirat.

Nabi SAW bersabda maksudnya: “Kemudian didatangkan jambatan lalu dibentangkan di atas permukaan neraka Jahanam. Kami (sahabat) bertanya: “Wahai Rasulullah, bagaimana (bentuk) jambatan itu?” Jawab beliau: “Licin (lagi) mengelincirkan. Di atasnya terdapat besi-besi pengait dan kawat berduri yang hujungnya bengkok, ia bagaikan pohon berduri di Najd, dikenal dengan pohon Sa’dan…” (Muttafaqun ‘alaih)

Nabi SAW menjelaskan keadaan manusia yang melintasi titian sirat dalam pelbagai cara. Baginda bersabda maksudnya: Daripada Abu Hurairah RA ia berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: “Lalu diutuslah amanah dan rahim (tali persaudaraan) keduanya berdiri di samping kiri kanan sirat tersebut. Orang yang pertama lewat seperti kilat”. Aku bertanya: “Demi bapa dan ibuku (aku korbankan) demi engkau. Adakah sesuatu seperti kilat?” Rasul SAW menjawab: “Tidakkah kalian pernah melihat kilat bagaimana ia lalu dalam sekelip mata? Kemudian ada yang melaluinya seperti angin, kemudian seperti burung dan seperti kuda yang berlari kencang. Mereka berjalan sesuai dengan amalan mereka. Nabi kalian waktu itu berdiri di atas sirat sambil berkata: “Ya Allah selamatkanlah! selamatkanlah! Sampai hamba yang lemah amalannya, sehingga datang seseorang lalu ia tidak bisa melewati kecuali dengan merangkak.” Beliau menuturkan (lagi): “Di kedua belah pinggir sirat ada besi pengait yang bergantungan menyambar siapa saja yang diperintahkan untuk disambar. Maka ada yang terpeleset namun selamat dan ada pula yang terjungkir ke dalam neraka.”  (Hadis Riwayat Muslim)

Nabi SAW bersabda maksudnya: “Orang Mukmin (berada) di atasnya (sirat), ada yang secepat kedipan mata, ada yang secepat kilat, ada yang secepat angin, ada yang secepat kuda yang amat kencang berlari dan ada yang secepat kenderaan. Maka ada yang selamat setelah tertatih-tatih dan ada pula yang dilemparkan ke dalam neraka. Mereka yang paling terakhir merangkak secara perlahan.” (Muttafaqun ‘alaih)

Terdapat lima amalan yang disarankan Nabi Muhammad SAW untuk melintasi titian sirat:

Pertama: Terpaut dengan masjid

Daripada Abu Darda RA meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: “Masjid ialah rumah bagi orang-orang yang bertakwa, Allah SWT telah mengambil tanggungjawab ke atas mereka yang menjadikan masjid sebagai rumahnya dengan: Aku akan memberi kerehatan dan rahmat kepadanya, Aku akan mudahkan meniti titian sirat untuknya, mendapat keredaan Allah SWT dan Aku akan mengurniakan syurga kepadanya. Sentiasa berada di masjid untuk mendapatkan ilmu-ilmu agama dan juga membaca al-Quran akan membuatkan seseoerang mendapat kelebihan ketika meniti titian sirat.” (Hadis Riwayat Tabrani)

Kedua: Bersedekah dengan baik

Maksud sedekah yang baik adalah dari sumber yang halal, cara sedekah yang baik dan juga tepat sasarannya. Bersedekah lebih afdal kepada kaum keluarga terdekat dahulu yang mana Allah akan berikan dua jenis ganjaran pahala: Pertamanya ialah pahala sedekah, keduanya pahala menghubungkan silaturahim di antara ahli keluarga.

Ketiga: Menerima pembatalan pembelian seseorang Muslim dan memaafkan kesalahannya

Dalam hadis diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA mengatakan Nabi SAW bersabda: “Barangsiapa yang menerima pembatalan pembelian saudaranya, maka Allah SWT akan mengampunkan kesalahannya pada Hari Kiamat.” (Riwayat Abu Daud)

Keempat: Memudahkan kesulitan orang lain

Saidatina Aisyah RA mengatakan Nabi SAW bersabda: “Barang siapa yang menjadi penghubung bagi saudaranya yang Muslim kepada penguasa dalam menyampaikan satu kebaikan atau memudahkan satu kesulitan, maka Allah akan membantunya dalam melintasi sirat pada hari kiamat ketika tergelincirnya kaki-kaki.”

Kelima: Melindungi Mukmin daripada umpatan si munafik

Nabi SAW bersabda: “Barangsiapa melindungi seorang Mukmin daripada umpatan orang yang munafik, maka Allah akan mengutus kepadanya seorang malaikat yang akan melindungi dagingnya daripada api neraka jahannam pada Hari Kiamat. Barangsiapa menuduh seorang Muslim dengan  tujuan ingin mencemarkannya, maka Allah akan menahannya di atas sirat jahanam sehingga dia dibersihkan daripada dosa yang telah dia katakan.” – (Hadis Riwayat Abu Daud)