• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,273,619 orang
  • Kandungan Blog

Kepentingan mencapai maqam ihsan

Dr Mohd Khafidz Soroni

Antara tanggungjawab utama setiap Muslim agar selamat dunia dan akhirat, bukan sahaja wajib melaksanakan Rukun lslam yang lima iaitu bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu utusan Allah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa pada Ramadan dan menunaikan haji sekiranya mampu.

Bukan sahaja wajib meyakini Rukun lman yang enam iaitu beriman kepada Allah SWT, Malaikat-Nya, kitab-Nya, ‎Rasul-Nya, hari kiamat dan qadar baik serta buruk.

Tanggungjawab utama setiap Muslim juga adalah mesti mencapai maqam ‘ihsan’ iaitu dia menyembah‏ ‏Allah seolah-olah melihat-Nya dan sekiranya dia tidak dapat ‎melihat-Nya, maka dia perlu merasai bahawa Allah sentiasa melihatnya.

Ketiga-tiga ini iaitu Islam, iman dan ihsan adalah kesempurnaan agama bagi setiap Muslim yang sudah baligh dan berakal.‎ Demikian sebagaimana yang diriwayatkan dalam hadis yang masyhur tentang pertanyaan Jibril AS kepada baginda Nabi SAW mengenainya. Meskipun ramai yang dapat memberi perhatian terhadap Rukun lslam dan Rukun lman, realiti semasa dunia pada hari ini seolah-olah menunjukkan ramai yang tidak memberi perhatian terhadap pencapaian maqam ihsan.

Sebagaimana sabda Nabi SAW: “Kamu menyembah‏ ‏Allah seolah-olah kamu melihat-Nya dan sekiranya kamu tidak dapat ‎melihat-Nya sesungguhnya‏ ‏Dia melihatmu.” Riwayat Muslim

Maka, jelas difahami terdapat dua peringkat bagi maqam ihsan iaitu sama ada ‘kamu menyembah‏ ‏Allah seolah-olah kamu melihat-Nya’ sebagai peringkat yang tertinggi dan ‘sekiranya kamu tidak dapat ‎melihat-Nya maka sesungguhnya‏ ‏Dia melihatmu’ sebagai peringkat yang kedua di bawahnya. Tiada peringkat ketiga. Maka, sudah tentu cukup malang bagi orang yang tidak mencapai salah satu pun daripada dua peringkat itu.

Meskipun peringkat tertinggi lebih dahulu disebut dalam hadis, namun bagi mencapai maqam ihsan mestilah dimulai dengan peringkat kedua di bawahnya sebagai permulaan. Seseorang itu mesti berasakan bahawa dia sentiasa diperhatikan oleh Allah SWT dalam setiap gerak-geri dan tingkah lakunya. Dia wajib meyakini tiada tempat di dunia ini yang dia boleh lari bersembunyi daripada pengetahuan Allah SWT.

Seorang soleh, Ibrahim bin Hamsy an-Naisaburi secara tajam menyindir: “Sekiranya kamu tidak mahu mentaati Tuhanmu maka janganlah kamu makan rezeki-Nya. Sekiranya kamu tidak mahu menjauhi larangan-Nya maka keluarlah dari kerajaan-Nya. Sekiranya kamu tidak reda dengan perbuatan-Nya, maka carilah tuhan selain-Nya. Sekiranya kamu menderhakai-Nya maka keluarlah ke suatu tempat yang Dia tidak melihatmu.”

Bagi memperoleh keyakinan maqam ihsan yang berterusan sudah tentu memerlukan kepada proses penyucian jiwa (tazkiyat an-nafs) yang berterusan juga. Ini kerana selagi hidup, manusia tidak boleh lari daripada godaan hawa nafsu dan hasutan syaitan yang sentiasa berusaha untuk menyesatkannya sampailah dia meninggal dunia.

Oleh itu, penghasilan ihsan dalam diri ini cukup dititikberatkan oleh ulama sufi dalam membimbing dan memimpin masyarakat Islam mendekatkan diri kepada Allah SWT. Namun, mereka tidaklah terus menekankan peringkat pertama maqam ihsan kerana peringkat berkenaan tentunya peringkat yang agak sukar untuk dicapai oleh ‎semua orang. Namun, peringkat keduanya adalah lebih mudah untuk diusahakan dan diperoleh berbanding dengan peringkat ‎pertama. Maka, sekurang-kurangnya peringkat inilah yang mesti dicapai oleh setiap Muslim. Perincian tentang perbahasan peringkat maqam ihsan ini menghasilkan satu disiplin ilmu yang disebut ‘ilmu tasawuf.’ Ilmu tasawuf bukan satu perkara bidaah sebagaimana tohmahan sebahagian golongan jahil. Asas dan umbinya adalah maqam ihsan yang disebutkan dalam hadis itu. Ia sebagaimana Rukun lslam menghasilkan satu disiplin ilmu yang disebut ‘ilmu fiqah’, dan Rukun lman pula menghasilkan satu disiplin ilmu yang disebut ‘ilmu akidah.’

Sebagaimana ilmu fiqah dan ilmu akidah mempunyai tokohnya, begitu juga ilmu tasawuf mempunyai tokohnya tersendiri. Antara tokoh ilmu fiqah ialah empat imam mujtahid, Imam Abu Hanifah (wafat 150H), Imam Malik (wafat 179H), Imam as-Syafii (wafat 204H) dan Imam Ahmad bin Hanbal (wafat 241H). Antara tokoh ilmu akidah pula ialah dua imam besar, Imam Abu al-Hasan al-Asy’ari (wafat 324H) dan Imam Abu Mansur al-Maturidi (wafat 333H).

Antara tokoh ilmu tasawuf ialah imam arifin, al-Harith al-Muhasibi (wafat 243H), Hamdun al-Qassar (wafat 271H), Abu Yazid al-Bustami (wafat 261H), al-Junaid al-Baghdadi (wafat 297/298H), Abu al-Husain al-Nuri (wafat 295H), Sahl al-Tustari (wafat 283H), Abu Sa’id al-Kharraz (wafat 286H) dan al-Hakim al-Tirmizi (wafat sekitar 320H).