• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,285,185 orang
  • Kandungan Blog

Sama-sama Puasa SunatĀ Arafah

Pilih haiwan korban terbaik

Mohd Amirul Kamarudin

IBADAH korban ialah ibadah sembelihan haiwan ternakan seperti unta, lembu dan kambing yang dilakukan dengan tujuan semata-mata untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Hal ini berdasarkan firman Allah SWT bermaksud: “Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa daripada kamu.” (Surah Al-Hajj: 37)

Saban tahun umat islam khususnya di Malaysia menyambut perayaan Aidiladha dengan melaksanakan ibadah korban di kariah masing-masing. Setiap masjid dan surau akan berusaha sedaya mungkin untuk mendapatkan haiwan lembu dan kambing yang sesuai untuk dikorbankan. Manakala pengusaha ternakan juga berusaha untuk menyediakan bekalan secukupnya bagi memastikan setiap permintaan itu dapat dipenuhi dan dijual dengan harga yang berpatutan.

Secara purata, sebuah masjid atau surau memperuntukkan lima hingga 10 ekor lembu korban dengan harga RM5,000 hingga RM6,000 untuk seekor lembu, manakala untuk satu bahagian RM700 hingga 800. Ini kerana kebanyakan masyarakat ingin menyertai ibadah korban secara berkelompok iaitu berkongsi haiwan korban lembu yang dibahagikan kepada tujuh bahagian. Dengan ini, mereka tidaklah terasa berat untuk mengeluarkan kos yang tinggi bagi mendapatkan seekor lembu korban. Hal ini berlaku oleh kerana disebabkan masalah kenaikan harga ternakan lembu dan kambing yang semakin meningkat dan bekalan yang agak terhad.

1. Memilih haiwan korban sendiri

Bagi golongan yang berkemampuan untuk melaksanakan ibadah korban dengan seekor haiwan yang sempurna, maka digalakkan untuk memilih haiwan korbannya itu sendiri. Antaranya ialah haiwan korban yang paling banyak dagingnya. Sepertimana yang telah disebutkan oleh ulama mengenai turutan ibadah korban yang terbaik.

Keutamaan haiwan korban:

1. Unta2. Kerbau3. Lembu4. Biri-biri5. Kambing

2. Menyembelih sendiri haiwan korbannya

Bagi peserta lelaki disunatkan untuk menyembelih sendiri haiwan korbannya, jika berkemampuan (iaitu berkemahiran untuk menyembelih). Hal ini berdasarkan sebuah hadis. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA katanya: “Nabi SAW menyembelih dua ekor kibas berwarna putih yang bertanduk (sebagai korban) dengan tangannya sendiri, sambil Baginda menyebut nama Allah dan bertakbir serta meletakkan kaki Baginda di tengkuk kibash tersebut.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan perbuatan Nabi SAW melalui hadis di atas, maka disunatkan bagi mereka yang ingin melaksanakan ibadah korban menyembelih sendiri haiwan korbannya, ini kerana ittiba’ (mengikut) perbuatan Nabi SAW. Di mana Baginda sendiri pernah menumbangkan 100 ekor unta dan menyembelih 63 ekor daripadanya. Selebihnya itu diserahkan kepada Saiyidina Ali RA untuk menyelesaikannya.

Tetapi, jika sekiranya dia tidak berkemampuan untuk berbuat demikian, maka boleh juga dia mewakilkan orang lain untuk menyembelih haiwan korban bagi pihak dirinya, namun disunatkan baginya untuk melihat sendiri sembelihan itu walaupun bukan dirinya yang melakukan sembelihan tersebut.

Imam Al-Azra’i RA berkata: “Disunatkan bagi lelaki yang uzur, lemah dan sebagainya – tidak mampu untuk menyembelih sendiri, supaya mewakilkannya dan menyaksikan sembelihan tersebut.”

3. Menyaksikan sembelihan korban

Bagi peserta yang tidak mampu untuk menyembelih sendiri (khususnya kaum wanita), disunatkan bagi mereka untuk menyaksikan acara sembelihan korban, setelah dia mewakilkan sembelihan tersebut kepada tukang sembelih. Hal ini berdasarkan sebuah hadis, Nabi SAW memerintahkan kepada anak perempuannya, Saiyidatina Fatimah RA: “Bangun dan pergilah ke tempat penyembelihan haiwan korban kamu dan saksikanlah sendiri kerana dengan titisan darahnya yang pertama akan diampunkan dosa kamu yang terdahulu.” (Hadis Riwayat Al-Hakim)

Berdasarkan hadis di atas, dapatlah kita fahami bahawa arahan Nabi SAW kepada Saiyidatina Fatimah RA supaya menyaksikan sembelihan itu menunjukkan bahawa beliau telah mewakilkan orang lain untuk melaksanakan sembelihan bagi pihak dirinya. Malah hadis ini juga menunjukkan sunat bagi mereka yang melakukan ibadah korban untuk melihat haiwan sembelihannya.

Selain itu, hadis di atas juga menjelaskan tentang kelebihan menyaksikan sembelihan sendiri kerana dengan titisan darah yang pertama itu akan diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu.

4. Mengagihkan sendiri daging korban

Kemeriahan suasana acara sembelihan korban yang disusuli pula dengan pengagihan daging korban kepada penduduk setempat, malah peserta korban itu juga digalakkan untuk mengagihkan sendiri daging-daging korbannya kepada ahli di kawasan kariah. Ini dapat dilihat sebagai menghidupkan dan menzahirkan syiar agama Islam. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT: “Dan Kami jadikan unta (sebagai haiwan korban yang akan disedekahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian daripada syiar agama Allah untuk kamu; pada sembelihan unta tersebut ada kebaikan bagi kamu.” (Surah Al-Hajj: 36)

Selain daripada itu, ibadah korban juga memupuk kasih sayang dan mengeratkan hubungan silaturahim antara satu sama lain, dengan hanya memberi daging korban. Inilah keindahan dan kemurnian Islam yang dibawa oleh Nabi SAW. Betapa besar rahmat-Nya dalam menyatu-padukan umat Islam tanpa membezakan antara yang miskin mahupun yang kaya. Semua golongan dapat berhari raya sambil menikmati daging-daging korban yang disembelih semata-mata mencari keredaan Allah SWT.

Keempat-empat perkara yang disebutkan di atas menjadi asas dan panduan bagi mereka yang ingin melaksanakan ibadah korban yang terbaik, sesuai dengan keutamaan dan fadhilatnya.

Namun tidak dinafikan bagi mereka memilih melaksanakan ibadah korban di luar negara. Kerana ibadah korban di luar negara adalah alternatif yang ada pada masa kini, iaitu bagi mereka yang ingin mendapatkan harga penyertaan korban yang lebih rendah, dalam masa yang sama mereka hanya mahu mewakilkan pelaksanaan korban sahaja, tanpa menyaksikan sembelihan tersebut.

Apa yang penting, mereka tidak melepaskan peluang untuk melaksanakan ibadah korban walaupun dengan hanya satu bahagian lembu korban sahaja. Wallahu a’lam.