• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,259,645 orang
  • Kandungan Blog

Istimewa 10 awal Zulhijah

Datuk Mohd Ajib Ismail

 Jumaat lalu Islam menyambut tanggal 1 Zulhijah 1443H sebagaimana yang diisytiharkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja. Justeru Hari Raya Aidiladha bakal disambut oleh umat Islam khususnya di Malaysia pada 10 Zulhijah bersamaan 10 Julai 2022. Dalam kalendar Islam, bulan Zulhijah merupakan salah satu daripada empat bulan haram yang dimuliakan oleh Allah SWT, di samping tiga bulan Islam yang lain iaitu bulan Zulkaedah, Muharam dan Rejab. Antara peristiwa terbesar dalam bulan Zulhijah adalah ibadah haji dan korban yang disyariatkan ke atas umat Islam terutamanya bagi golongan yang berkemampuan sebagai lambang ketataatan kepada perintah Allah SWT. Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA bermaksud: “Seorang lelaki berkata: ‘Wahai Rasulullah, apakah amalan yang afdal,’ Baginda menjawab: “Beriman dengan Allah dan Rasul-Nya.” Kemudian dia berkata, ‘selepas itu, apa?’ Baginda menjawab: “Jihad di jalan Allah.” Dia berkata lagi, ‘seterusnya apa?’ Baginda menjawab: “Haji yang mabrur.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Firman Allah SWT dalam al-Quran surah al-Hajj ayat 34 yang bermaksud: “Dan bagi tiap-tiap umat, Kami syariatkan ibadat menyembelih korban (atau lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaan-Nya kepada mereka; binatang- binatang ternak yang disembelih itu. Kerana Tuhan kamu semua ialah Tuhan Yang Maha Esa, maka hendaklah kamu tunduk taat kepada-Nya; dan sampaikanlah berita gembira (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang tunduk taat.”

Di Wilayah-Wilayah Persekutuan, semua masjid dan surau dibenarkan untuk melaksanakan ibadah korban bermula selepas selesai menunaikan solat sunat Aidiladha pada 10 Zulhijah dan hari-hari tasyriq iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijah 1443H sebelum berakhir waktu Asar. Walaubagaimanapun masjid, surau dan mana-mana pihak yang melaksanakan ibadah penyembelihan haiwan korban hendaklah mematuhi peraturan atau ketetapan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Wilayah Persekutuan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan kemaslahatan semua pihak sentiasa terpelihara. Kebenaran tersebut adalah selaras dengan situasi semasa negara yang kini berada dalam Fasa Peralihan ke Endemik. Pada tahun ini, umat Islam juga kembali berpeluang menunaikan ibadah haji di Makkah al-Mukarramah setelah dua tahun hasrat tersebut tertangguh akibat pandemik Covid-19 yang melanda dunia. Kuota Haji yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi kepada Malaysia bagi musim haji tahun ini berjumlah 14,306 orang jemaah. Semoga dengan ketetapan dan kemudahan tersebut, umat Islam dapat bersama-sama merebut peluang meraih ganjaran pahala serta meningkatkan penghayatan terhadap ibadah haji dan korban sebagaimana yang disyariatkan oleh Allah SWT.

Kedatangan bulan Zulhijah amat besar maknanya di dalam kalendar tahunan umat Islam. Allah SWT juga menjadikan 10 hari terawal Zulhijah sebagai tempoh yang dapat dikongsi bersama bagi orang yang mengerjakan haji dan mereka yang tidak mengerjakannya. Sesiapa yang tidak mampu mengerjakan haji dalam tahun tersebut, masih boleh melaksanakan pelbagai bentuk ibadah dan amal soleh di tempat masing-masing sepanjang 10 hari berkenaan. Pada 10 hari pertama dalam bulan Zulhijjah adalah hari yang paling istimewa sebagaimana dinyatakan dalam sebuah hadis daripada Ibnu Abbas RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak ada hari yang amal solehnya lebih dikasihi Allah selain daripada hari yang 10 ini. Sahabat bertanya: Walaupun berjihad di jalan Allah? Rasulullah bersabda: “Walaupun berjihad di jalan Allah kecuali lelaki yang keluar (berjihad) membawa diri dan hartanya serta tidak kembali lagi selepas itu (syahid).”  (Riwayat Ahmad dan Al-Tirmizi)

Di dalam sebuah hadis yang lain daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Tiada hari-hari yang paling disukai oleh Allah untuk seseorang melakukan ibadah kepada-Nya selain 10 hari dalam Zulhijah. Puasa setiap harinya menyamai puasa setahun dan qiamullail setiap malamnya menyamai qiamullail pada malam Al-Qadr.” (Riwayat al-Tirmizi dan Ibnu Majah)

Antara amalan yang dianjurkan pada 10 hari terawal bulan Zulhijah adalah seperti memperbanyakkan bertaubat dan beristighfar, membaca al-Quran, berpuasa, qiamullail, bersedekah, berzikir dan berselawat, memelihara silaturahim, berbakti kepada kedua-dua ibu bapa dan solat berjemaah di awal waktu. Amalan berdoa untuk mendapatkan kebaikan di dunia dan akhirat serta berzikir dengan bertasbih, bertahmid dan bertakbir adalah selari dengan firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 200-201 yang bermaksud: “Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan amalan ibadat haji kamu, maka hendaklah kamu menyebut- nyebut dan mengingati Allah (dengan membesarkan-Nya) sebagaimana kamu dahulu menyebut-nyebut (memuji-muji) datuk nenek kamu, bahkan dengan sebutan yang lebih lagi. Dalam pada itu, ada di antara manusia yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Berilah kami kebaikan) di dunia.” (orang-orang ini diberikan kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikitpun kebaikan di akhirat.”

Berkenaan ibadah puasa, antara yang dituntut untuk dilaksanakan adalah Puasa Hari Arafah iaitu puasa pada hari kesembilan Zulhijah yang disunatkan bagi mereka yang tidak melakukan ibadah haji. Mereka boleh memanfaatkan kemuliaan Hari Arafah dengan berpuasa sunat, berzikir dan melakukan amalan-amalan sunat yang lain. Berpuasa sunat Arafah diganjari pahala yang sangat besar, sebagaimana maksud sebuah hadis daripada Abu Qatadah al-Anshari RA, Rasulullah SAW ditanya tentang berpuasa di Hari Arafah. Maka Baginda bersabda: “Ia menebus dosa setahun yang telah lalu dan setahun yang akan datang.” (Riwayat Muslim)

Justeru masjid dan surau khususnya di Wilayah-Wilayah Persekutuan boleh menganjurkan program dan aktiviti seperti majlis iftar, qiamullail, infaq dan sedekah, zikir dan selawat serta pelbagai lagi sebagai pengisian yang bermanfaat kepada masyarakat. Selain menggalakkan ahli kariah masjid dan surau masing-masing merebut peluang bagi meraih ganjaran pahala yang dijanjikan oleh Allah SWT dalam bulan Zulhijah, aktiviti tersebut juga dapat menyokong usaha yang berterusan dalam mengimarahkan masjid dan surau lebih-lebih lagi setelah pelbagai kelonggaran kembali diberikan menuju fasa endemik.

Hanya Allah tempat bermohon

Mohd Shahrizal Nasir

Perkataan ‘meminta’ dengan ‘meminta-minta’ membawa konotasi makna yang berbeza. Tidak salah sekiranya kita dibenarkan untuk meminta atau memohon sesuatu yang diingini apatah lagi perkara tersebut diperlukan dalam kehidupan.

Seorang anak boleh meminta sesuatu yang diperlukan daripada orang tuanya. Seorang pekerja juga dibenarkan untuk meminta sesuatu yang diperlukan daripada majikannya. Mintalah daripada orang lain selagi permintaan itu masih berada dalam ruang lingkup yang dibenarkan oleh syarak. 

Manakala ‘meminta-minta’ merujuk kepada perbuatan yang dilakukan berulang kali tanpa berputus asa. Perbuatan ini jika dilakukan kepada orang lain boleh menimbulkan suasana tidak baik malah boleh menjatuhkan air muka atau maruah sendiri. Ada kemungkinan perbuatan ‘meminta-minta’ berlaku apabila diri sebenarnya tidak layak untuk mendapat bantuan atau permintaan tersebut telah melampaui batasan yang sepatutnya. 

Rasulullah SAW menggalakkan umatnya berusaha untuk mendapatkan sesuatu yang diinginkan termasuk berkaitan rezeki. Setiap Muslim perlu berusaha dengan kudratnya sendiri untuk mendapat rezeki kurniaan Allah SWT. 

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:  “Salah seorang daripada kamu yang keluar pada waktu pagi lalu memikul kayu di atas belakangnya untuk dijual, lalu dia mengeluarkan sedekah sebahagian daripada jualan kayu dan dengan (baki wang) itu dapat mencukupkan dirinya sehingga dia tidak perlu meminta kepada orang lain, adalah lebih baik baginya daripada meminta kepada seseorang (yang tidak pasti) diberi atau ditolak. Demikian itu, tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang dibawah. Mulai dengan orang yang ada dalam tanggunganmu.”  (Hadis riwayat Muslim) 

Selain itu, Rasulullah SAW turut memberi jaminan syurga kepada orang yang menjauhkan diri daripada perbuatan meminta-minta. Daripada Thauban yang merupakan pembantu Rasulullah SAW, dia berkata: “Rasulullah SAW bersabda:  Siapakah yang boleh memberi jaminan kepadaku bahawa dirinya tidak akan meminta-minta sesuatu pun daripada orang lain, dan aku menjaminnya masuk syurga?”  Lalu Thauban berkata:  “Saya!”  Dan Thauban tidak pernah meminta-minta sesuatu pun daripada orang lain.” (Hadis riwayat Abu Dawud) 

Nasihat Rasulullah SAW agar umatnya tidak melakukan perbuatan meminta-minta turut dijelaskan dalam hadis baginda yang memerintahkan Abu Dzar melakukan tujuh perkara penting. Satu daripada perkara tersebut ialah tidak meminta-minta daripada orang lain. 

Menurut Abu Dzar:  “Tujuh itu ialah mencintai golongan miskin dan dekat dengan mereka, memperhatikan orang yang berada di bawahku dan tidak melihat sesiapa yang berada di atasku, menyambung tali silaturahim (yang masih ada hubungan saudara) meskipun saudara tersebut bersikap kasar, tidak meminta-minta daripada seorang pun, mengatakan yang benar meskipun ia pahit, tidak takut terhadap celaan ketika berdakwah di jalan Allah, memperbanyakkan ucapan ‘La hawla wa la quwwata illa billah’ kerana kalimat ini termasuk simpanan di bawah ‘Arsy.”  (Hadis riwayat Ahmad)

Larangan meminta-minta perlu dijauhkan tatkala diri sebenarnya berada dalam keadaan tidak memerlukan. Ada orang yang sanggup meminta-minta sedangkan dirinya tidak layak untuk menerima bantuan. Inilah antara perkara yang perlu diberi perhatian oleh setiap Muslim. Pada musim tertentu seperti banjir, penularan wabak dan seumpamanya akan banyak bantuan dihulurkan kepada golongan yang memerlukan. Pada masa sama terdapat segelintir manusia yang sanggup meminta-minta walaupun diri mereka tidak layak menerima bantuan.

 Rasulullah SAW bersabda tentang golongan yang meminta-minta sedangkan dirinya tidak sepatutnya melakukan perbuatan tersebut.  “Barang siapa yang meminta-minta padahal dia tidak fakir maka seakan-seakan dia memakan bara api.”  (Hadis riwayat Ahmad)

Begitu juga perbuatan meminta-minta daripada orang lain dengan tujuan untuk mengumpul pendapatan atau memiliki harta yang banyak. Hal ini sungguh memalukan kerana sanggup memperdayakan orang lain untuk kepentingan sendiri. Rasulullah SAW memberi amaran terhadap golongan tersebut menerusi hadis baginda yang mafhumnya:  “Barang siapa meminta-minta kepada orang lain dengan tujuan untuk memperbanyakkan kekayaannya, sesungguhnya dia telah meminta bara api; terserah kepadanya, apakah dia akan mengumpulkan sedikit atau memperbanyakkannya.”  (Hadis riwayat Muslim)

Islam sangat mementingkan maruah setiap insan. Perbuatan meminta-minta boleh menyebabkan wujud golongan yang akan dihina atau dimalukan masyarakat. Oleh itu, Islam menganjurkan umatnya yang berkemampuan sentiasa prihatin terhadap nasib orang lain yang berada dalam kesusahan.

Pensyariatan zakat dan galakan agar setiap orang bersedekah adalah satu bukti jelas bahawa Islam telah menetapkan agar golongan yang memerlukan akan sentiasa mendapat bantuan daripada saudara seagama Islam. Tidak perlu orang fakir meminta-minta kerana sememangnya hak mereka telah ditetapkan oleh Islam.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud:  “Dan mereka (yang menentukan bahagian) pada harta-hartanya, menjadi hak yang termaklum. Bagi orang miskin yang meminta-minta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta-minta). Dan mereka yang percayakan hari pembalasan (dengan mengerjakan amal-amal yang soleh sebagai buktinya).”  (Surah al-Ma’arij, ayat 24-26)

 Pada hari akhirat kelak, orang yang meminta-minta daripada orang lain turut akan berdepan dengan keadaan yang tidak baik. Ini adalah satu gambaran benar agar setiap umat Islam menjaga diri daripada melakukan perbuatan meminta-minta sedangkan diri tidaklah berada dalam keadaan yang memerlukan. Sabda Rasulullah SAW bermaksud:  “Seseorang yang selalu meminta-minta kepada orang lain, di hari kiamat dia akan menghadap Allah dalam keadaan tiada sekerat daging sama sekali pada wajahnya.”  (Muttafaq ‘alaih)

 Dari satu sudut pula, umat Islam dianjurkan untuk meminta malah boleh meminta-minta kepada Allah SWT. Inilah bukti jelas kebergantungan seseorang hamba kepada Allah SWT yang sentiasa berharap kepada bantuan serta pertolongan daripada Dia yang Maha Berkuasa dan Maha Pemberi Rezeki.

 Tiada sebarang sekatan kepada setiap Muslim untuk meminta-minta kepada Allah SWT selagi perkara tersebut dibenarkan oleh syarak. Allah SWT membuka pintu rahmat-Nya dengan seluas-luasnya agar setiap Muslim meminta kepada-Nya. Manakala orang yang sombong dan tidak mahu meminta kepada Allah SWT akan mendapat kehinaan di ahirat kelak.

“Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan masuk ke dalam neraka Jahanam dalam keadaan hina.”  (Surah Ghafir, ayat 60)