• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,260,415 orang
  • Kandungan Blog

Pastikan Media sosial jadi medan kumpul pahala bukan dosa

Mohd Rizal Azman Rifin

Perkakasan dan peralatan yang berasaskan peranti bercirikan kecekapan teknologi sudah menjadi lumrah masa kini. Setiap kerja harian kita banyak bergantung kepada pelbagai perkakasan moden yang memberikan kemudahan dalam kehidupan.

Hal itu termasuk dalam bidang komunikasi dan perhubungan yang jelas menunjukkan perlatan peranti moden menjadi medium utama digunakan. Malahan, cara penyebaran maklumat dan berita juga menjadi satu sebaran meluas menerusi penggunaan media sosial seperti Facebook. Facebook seolah-olah menjadi medan serba guna untuk menyalurkan apa sahaja bahan untuk tatapan orang lain.

Namun, sejak kebelakangan ini didapati terdapat segelintir penggunaan media Facebook yang lebih ke arah menaburkan benih fitnah dan menyebarkan dengan sewenang-wenangnya sesuatu bahan laporan yang kurang dipastikan kesahihannya.

Demikian jugalah dengan sesuatu yang berbentuk hasutan, sindir-menyindir dan menyiarkan bahan ala provokasi melampau. Situasi seperti ini sangat jauh daripada kebaikan dan amat terlarang dalam agama. Seharusnya platform media sosial diguna pakai sebagai antara saluran yang menjuruskan kepada kebaikan dan kemanfaatan.

Sekarang kita sedang melalui era kehidupan yang berbentuk zaman infobesity yang merujuk kepada maksud lambakan maklumat. Maklumat apa sahaja dengan mudahnya diperoleh hanya dengan sentuhan jari-jemari sahaja. Justeru, media sosial yang memuatkan bahan berunsur fitnah dan unsur negatif akan cepat tersebar luas, sekali gus mampu mempengaruhi corak gaya pemikiran anggota masyarakat.

Sesungguhnya, semasa menggunakan media sosial ada ketika kita tidak sedar yang kita sedang melakukan sesuatu yang ditegah di sisi agama. Lantaran mengikut emosi, apa sahaja luahan hati terhambur meniti jemari untuk mengukir kata tanpa batas pertimbangan.

Kita sepatutnya selalu beringat dengan satu pesanan Saidina Ali bin Abi Talib yang antara lain pernah berpesan: ‘Sesungguhnya dunia berganjak ke belakang, manakala akhirat pula berganjak ke hadapan. Bagi kedua-duanya ada pengikut, maka jadilah pengikut akhirat. Jangan menjadi pengikut dunia. Ini kerana dunia adalah hari untuk beramal tanpa hisab, namun akhirat adalah hari untuk hisab tanpa ada kesempatan untuk beramal lagi.’

Jadi, sewajarlah semasa kita sedang asyik melayan media sosial, maka pertimbangan secara waras dan bjiaksana diberikan keutamaan agar diri kita tidak terjerumus ke arah kemungkaran yang dimurkai Allah. Fikir secara matang untuk mempertimbangkan apakah bahan luahan kita di paparan media sosial itu memberikan manfaat untuk diri sendiri dan orang lain atau tidak.

Dengan kata lain, segala perbuatan harian, hendaknya kita memikirkan dosa dan pahala di sisi Allah. Sebenarnya, bukan kita tidak memahami dan menyedari sesuatu itu buruk dan berdosa, namun akibat terlalu beremosi dan mengikut telunjuk nafsu, segala tegahan dan larangan diketepikan begitu sahaja.

Contohnya, bukannya kita tidak pernah membaca dan memahami maksud amaran Allah ini sebagaimana terkandung dalam Surah al-Ahzab ayat 58 yang bermaksud: ‘Orang yang menyakiti lelaki dan perempuan yang beriman dengan tuduhan sesuatu yang tidak mereka lakukan, maka sesungguhnya mereka memikul kesalahan menuduh secara dusta serta melakukan dosa yang amat nyata.’

Dalam keasyikan kita melayan media sosial juga berkemungkinan juga sering terlupa bahawa kita sedang menjerumuskan diri sendiri ke kancah dosa kerana terlibat sama dalam penyebaran sesuatu bahan penyiaran terlarang seperti yang berunsurkan fitnah dan berita taka sahih.

Sedangkan Allah mengingatkan kita dengan firman-Nya yang bermaksud, ‘Iaitu semasa kamu menghebohkan berita dusta itu dengan lidah kamu dan memperkatakan dengan mulut kamu sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan mengenainya dan kamu pula menyangkanya perkara yang kecil, padahal di sisi Allah ia perkara yang besar dosanya.’ Surah an-Nur ayat 15

Kalau ditinjau dalam pelbagai media sosial hari ini, kita temui terdapat segelintir yang seolah-olah sedang ‘mempermain-mainkan’ larangan Allah dan tidak takut dengan ancaman seksa Allah di akhirat. Memfitnah, merungkap kata berbaur provokasi melulu, membuat sindiran yang mengguriskan perasaan orang lain dan pelbagai unsur negatif lagi dengan mudah disebarkan. Tanpa rasa takut bahawa ada ‘makhluk Allah’ yang sedang mencatat apa yang telah dan sedang kita lakukan!

Sewajarnya juga amaran daripada Rasulullah SAW yang bersabda, ‘Tidak akan masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.’ Hadis Riwayat Imam Muslim

Biarlah lidah dan jari-jemari kita menjadi asbab kepada ‘terbukanya’ pintu syurga dan bukannya menjadi penyebab kepada kemurkaan Allah.

Usahlah jadikan media sosial platform saling bersaing dalam membuat sesuatu unsur yang mungkar, sebaliknya sebagai umat Nabi Muhammad SAW sewajarnya memanfaat kemudahan itu sebagai alat pengutuh iman dan takwa kepada Allah.

Biarlah kemodenan yang datang menjelma tidak membuatkan diri kita terkikis iman dan takwa kepada Allah, sebaliknya jadikannya sebagai alat mencambah lagi rasa ingin menaburkan kebaikan demi kemaslahatan ummah. Hal itu kerana media sosial tidak lain adalah alat pemudah cara untuk komunikasi sesama insan yang mampu membenih rasa ihsan dan kemanusiaan sesama manusia.

Ingatlah selalu bahawa apa sahaja perbuatan yang dilakukan di dunia segalanya akan diminta pertanggungjawaban di hadapan Yang Maha Mencipta, Allah Yang Maha Besar.

Sufyan al-Tsauri pernah meninggalkan satu wasiatnya yang menyebut, ‘Mereka akan dipersoalkan semuanya di akhirat. Termasuk sebuah senyuman seseorang akan ditanya pada hari ini dan itu.’

Akhir kata, saya nasihatkan diri sendiri dan sahabat, marilah kita kumpulkan pahala menerusi media sosial dan jangan sesekali jadikannya medan terhimpunnya dosa.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: