• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,274,578 orang
  • Kandungan Blog

Menjiawai pendekatan matang, terpuji nabi Muhammad s.a.w

Dr Zuraimy Ali

Menjiwai semangat Rasulullah SAW dalam menyampaikan dakwah merupakan syarat yang penting bagi seorang pendakwah. Setiap perjuangan dakwah Rasulullah SAW dapat dijadikan sebagai inspirasi dan ikutan yang kuat dalam mempengaruhi insan untuk mendepani cabaran semasa. Pendekatan dakwah Rasulullah SAW adalah bersifat matang dan terpuji sesuai dengan kedudukan dan kemuliaannya sebagai seorang nabi yang dipilih Allah SWT dalam menyampaikan risalah Islam di atas muka bumi ini.

Kemuliaan Rasulullah SAW dapat dilihat melalui ucapan dan tindakan yang penuh berakhlak dan mendapat pengiktirafan daripada Maha Pencipta sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan bahawa sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang amat mulia.” – (Surah al-Qalam, ayat 4). Jelas dengan ayat tersebut menunjukkan bahawa Rasulullah SAW merupakan insan yang memiliki akhlak yang agung dan seharusnya bagi seorang pendakwah wajib mengikuti akhlak Rasulullah SAW.

Kedatangan Rasulullah SAW di dunia ini bertujuan meneruskan legasi dakwah oleh rasul-rasul yang terdahulu iaitu menyeru manusia untuk kembali kepada keyakinan dan keimanan yang benar terhadap Pencipta yang sebenar. Mengakui keesaan dan tidak melakukan kesyirikan merupakan tanggungjawab yang berat yang perlu dipikul oleh setiap rasul utusan Tuhan. Dalam sejarah perjuangan Rasulullah SAW selama 23 tahun di bumi Makkah dan Madinah menyaksikan bahawa Baginda SAW tidak jemu untuk memperbetulkan kesilapan masyarakat terhadap keyakinan beragama berdasarkan ketetapan dan kehendak Pencipta.

Kesungguhan Rasulullah SAW dalam berdakwah dapat dilihat melalui doanya ketika Baginda pernah dihalau di bumi Taif. Antara doa Nabi SAW berbunyi: “Ya Allah kepada-Mu aku mengadu lemahnya kekuatanku, sempitnya upayaku, dan hinanya aku di mata manusia. Wahai Tuhan Yang Maha Pengasih daripada semua Pengasih, Engkaulah Tuhan bagi golongan yang lemah, Engkaulah tuhanku. Kepada siapa lagi Engkau akan serahkan diriku? Adakah kepada orang yang jauh yang bermuka bengis denganku? Atau kepada musuh yang akan menguasaiku? Jika Engkau tidak memurkaiku, aku tidak peduli. Tetapi kemaafan-Mu terlalu luas untukku. Aku berlindung dengan cahaya zat-Mu yang menerangi segala kegelapan, dan kerananyalah semua urusan dunia dan akhirat akan menjadi baik, daripada turunnya kemurkaan-Mu kepadaku atau berlakunya kemurkaan-Mu kepadaku. Hanya kepada-Mu aku kembali, supaya engkau redha. Tiada upaya dan kekuatan, kecuali dengan-Mu.” (Hadis riwayat at-Thabrani)

Baginda Nabi SAW sentiasa meletakkan harapan dan pergantungan yang kuat dalam doanya. Setiap ungkapan doa Nabi SAW merupakan mutiara yang sangat berharga di dasar lautan. Keyakinan terhadap doanya sentiasa menjadi pendorong kuat buat Nabi SAW dalam meneruskan misi dakwahnya. Tidak ada kuasa yang dapat menghalang dakwah Nabi SAW melainkan disetiap penjuru akan datang pertolongan dan bantuan daripada Allah SWT buat kekasih-Nya. Hal ini dapat dibuktikan dengan doa yang pernah dilafazkan Nabi SAW bagi tujuan menguatkan misi dakwah Baginda SAW yang berbunyi: “Ya Allah tidak ada siapa yang boleh menghalang apa yang Engkau berikan, tidak ada siapa yang dapat memberi apa yang Engkau halang dan tiada siapa yang berkuasa memberikan manfaat selain daripada Mu.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Justeru, setiap pendakwah perlu menjiwai semangat yang dipamerkan oleh Rasulullah SAW dalam menyeru manusia untuk beriman dengan seluruh rukun iman dan melakukan amal soleh selaras dengan kehendak Allah SWT bagi menjamin kebahagian hidup di dunia dan akhirat. Semangat yang dimiliki oleh Rasulullah SAW seharusnya diwarisi oleh setiap pendakwah kerana perjalanan menempuh medan dakwah semakin hari dilihat semakin mencabar. Jika ada manusia yang tersisih dari menerima dakwah Islam, maka sudah semestinya pencarian dan misi dakwah tidak terhenti setakat itu sahaja. Segala usaha perlu digembeleng dan digandakan bagi memastikan risalah Islam telah disampaikan dengan sebaik mungkin. Maka ingatlah pesan Rasulullah SAW kepada umatnya menerusi hadisnya yang masyhur yang bermaksud: “Sampaikanlah daripadaku walaupun sepotong ayat.” –   (Hadis riwayat al-Bukhari). Setiap kita adalah pendakwah yang menyambung lisan para Nabi dalam menyampaikan risalah Islam buat manusia sepanjang zaman.

Takwa & kehebatan hijrah

Dr Nor Hazrul Mohd Salleh

KITA baru memasuki awal bulan Muharam, permulaan tahun baharu Hijrah. Peristiwa hijrah pula mengembalikan ingatan umat Islam kepada peristiwa besar yang berlaku dalam lipatan sejarah Islam iaitu hijrah Nabi Muhammad SAW bersama sahabat dari Makkah ke Madinah.

Rasulullah SAW bersabda: “Nabi SAW dilantik menjadi Rasul pada usia 40 tahun dan baginda tinggal di Makkah selama 13 tahun (dalam menyampaikan dakwahnya). Kemudian, baginda menerima wahyu daripada Allah SWT dan diperintahkan berhijrah. Maka baginda SAW berhijrah dan menetap di sana selama 10 tahun dan wafat ketika berusia 63 tahun.” (Riwayat Bukhari)

Hijrah Rasulullah SAW ini bukan tiba-tiba tanpa dirancang. Ia juga bukan sekadar perancangan manusia. Malah, hijrah ini membuktikan janji Allah SWT kepada orang beriman.

Allah SWT berfirman: “Dan Allah telah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh dalam kalangan kalian (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia menjadikan orang-orang sebelum mereka yang berkuasa dan sesungguhnya Dia akan meneguhkan bagi mereka agama Islam yang diredai-Nya untuk mereka; dan Dia juga akan mengubah keadaan mereka dalam ketakutan (dengan ancaman musuh) kepada keamanan.” (Surah al-Nur, ayat 55)

Pengajaran terpenting yang dapat dipelajari daripada peristiwa hijrah Nabi SAW ke Madinah ialah isu perpaduan. Bertitik tolak daripada peristiwa hijrah Nabi SAW dari Makkah ialah perpaduan yang terbina setelah berpindah.

Asas penghijrahan Nabi SAW ialah perpaduan yang dibina oleh Rasulullah SAW yang bermula dengan mempersaudarakan antara Muhajirin yang terdiri daripada Quraisy Makkah dengan kaum Aus dan Khazraj yang juga penduduk asal Madinah.

Perpaduan yang dibina Rasulullah SAW bermula dengan persaudaraan sesama Islam yang utuh. Mereka berikrar taat setia kepada Rasulullah SAW dan berjanji akan sentiasa mempertahankan agama Islam dan baginda Rasulullah SAW.

Kesetiaan inilah yang membuahkan hasil penyatuan umat pelbagai bangsa di Madinah. Masyarakat majmuk di Madinah disatukan oleh Nabi Muhammad SAW dengan prinsip persaudaraan Islam (ukhuwah Islamiyyah). Ia bertepatan dengan firman Allah SAW: “Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah al-Hujurat, ayat 10)

Persaudaraan yang diasaskan oleh Rasulullah SAW ini menjadi tunjang keutuhan negara Islam yang merdeka daripada segala jenis penjajahan.

Semangat perpaduan dan persaudaraan antara Muhajirin dan Ansar ini mendapat pengiktirafan Allah SAW di dalam al-Quran. Allah SAW berfirman: “Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah (untuk membela Islam) dan orang-orang (Ansar) yang memberikan tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Muhajirin), merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka beroleh keampunan dan rezeki (limpah kurnia) yang mulia.” (Surah al-Anfal, ayat 74)

Rasulullah SAW juga mengembalikan manusia kepada fitrah iaitu kejadian manusia yang pelbagai bangsa bukannya bertujuan membezakan, tetapi supaya mereka berkenal-kenalan. Firman Allah SWT: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kalian daripada kalangan lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kalian berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak, supaya kalian berkenal-kenalan (dan beramah mesra). Sesungguhnya semulia-mulia kalian di sisi Allah ialah orang yang lebih bertakwa antara kalian, (bukan yang lebih keturunan atau bangsa). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kalian).” (Surah al-Hujurat, ayat 13)

Perkara pertama yang menjadi pilihan Rasulullah SAW apabila tiba di Madinah ialah membina masjid. Masjid Quba’ ialah masjid yang pertama dan tertua dalam sejarah Islam. Berkenaan masjid ini Allah SWT berfirman: “Jangan engkau sembahyang di masjid itu selama-lamanya kerana sesungguhnya masjid (Quba’ yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar takwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya; dan Allah Mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin).” (Surah al-Taubah, ayat 108)

Pembinaan masjid dalam Islam bukanlah semata-mata sebagai tempat ibadat iaitu menunaikan solat lima waktu. Malah, masjid dalam Islam adalah pusat perkumpulan umat Islam khususnya untuk tujuan agama. Di samping itu, ia berfungsi sebagai tempat bertemunya kaum Muslimin untuk urusan agama, ia juga tempat pertemuan seluruh etnik dan kabilah.

Puak dahulunya bermusuhan disatukan dengan pertemuan di masjid dan mengikis semangat jahiliah sehingga mereka dapat bertemu dan bermesra. Masjid pada zaman Rasulullah SAW berfungsi seperti parlimen yang menjadi sidang untuk mesyuarat, menggubal undang-undang dan menguatkuasakan peraturan.

Jelas daripada perpaduan yang diasaskan Rasulullah SAW selepas berhijrah ke Madinah menjadi tunjang keutuhan negara Islam Madinah. Perpaduan yang tidak diganggu-gugat oleh kepentingan kaum, puak apatah lagi kepentingan diri.

Semuanya berlangsung atas dasar takwa. Bermula dengan pemilihan lokasi pembinaan masjid, sehingga terbinanya masjid yang disempurnakan oleh segenap lapisan masyarakat.

Begitu juga dengan persaudaraan Muhajirin dan Ansar serta perdamaian antara Aus dan Kahzraj. Kesatuan yang terbina daripada asas perpaduan itu memartabatkan Madinah sebagai negara merdeka terulung.

Tegasnya, hijrah Rasulullah telah mengasaskan negara Islam unggul. Asas ini menjadi prinsip kepada setiap negara yang ingin berkembang maju. Hijrah juga membina negara yang merdeka daripada segala jenis penjajahan.

Hijrah Memperkasa kekuatan umat

Prof Dr Mohd Roslan Mohd Nor

Peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah tidaklah asing bagi rakyat Malaysia khususnya dalam kalangan umat Islam. Saban tahun kita mendengar mengenai sambutan terhadap peristiwa ini. Malah di negara kita, sambutan mengingati peristiwa hijrah telah dilakukan sejak sekian lama apabila negara mengisytiharkan cuti bersempena dengan peristiwa ini.

Memang wajar bagi negara kita mengambil berat peristiwa ini dengan memberikan cuti umum kepada rakyat. Ini kerana hijrah bukanlah sekadar peristiwa biasa, tetapi ia adalah suatu peristiwa besar dalam sejarah kehidupan baginda yang mencetuskan kekuatan baharu kepada umat.

Sebagai rakyat yang berada di dalam negara yang berbilang kaum di Malaysia, kita meraikan peristiwa hijrah ini dengan penuh penghayatan terhadap semangat kekeluargaan. Pada hemat saya, tidak keterlaluan untuk kita mengatakan bahawa peristiwa ini mengajar kita mengenai keluarga besar sesebuah negara yang merangkumi penduduknya dalam kalangan Muslim dan bukan Muslim. 

Peristiwa hijrah adalah contoh terbaik dan sandaran jelas yang boleh dijadikan iktibar dalam perjalanan Keluarga Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri kita. Sebagai sebuah keluarga, tentulah ia menuntut pelbagai usaha menjaganya agar institusi keluarga itu tidak runtuh.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW menunjukkan bagaimana Baginda mengangkat penduduk Madinah dalam konsep kekeluargaan ‘Keluarga Madinah’ yang diasaskan berdasarkan konsep ummah. Baginda menganggap seluruh penduduk Madinah dalam kalangan Muslim dan bukan Muslim pada awal hijrah tersebut sebagai satu ummah yang diasaskan melalui Piagam Madinah yang dibentuk dan dipersetujui bersama.

Penghayatan kepada konsep inilah yang menunjukkan betapa Baginda sangat berjiwa besar dengan membuktikan Islam boleh hidup bersama dengan kelompok lain. Tidak ada masalah dalam kehidupan masyarakat majmuk di mana rakyat diminta untuk saling hormat menghormati di antara satu sama lain, memperdalam toleransi dan mempunyai sikap tasamuh.

Maka ia dengan sendirinya menafikan cemuhan golongan yang anti Islam yang sering menuduh bahawa Islam membawa ajaran yang sempit, kolot dan sebagainya. Semua tuduhan ini tidak tepat malah tersasar daripada maksud sebenar ajaran Islam. Golongan sebegini adalah mereka yang berfikiran sempit dan pemuka kepada siri Islamofobia dalam dunia.

Peristiwa hijrah yang dilalui oleh Baginda bukanlah bermakna Baginda tidak sayang tanah air tempat kelahiran Baginda dan tempat di mana Baginda dibesarkan. Daripada aspek ini, kita boleh memahami ia adalah satu proses untuk membentuk jiwa Baginda yang kental dalam menyebarkan agama Islam kepada masyarakat.

Kehidupan di Makkah pada waktu itu tidak menunjukkan simpati kepada Baginda. Lebih teruk lagi, Baginda telah berdepan dengan pelbagai ancaman termasuk terdapat golongan yang ingin menamatkan riwayat hidup Baginda. 

Tanpa perasaan menyerah kalah, Baginda tetap teguh memperjuangkan agama dengan meneruskan usaha penyebaran agama kepada kelompok terdekat, ahli keluarga dan kepada masyarakat awam tanpa menghiraukan cemuhan, kecaman dan ancaman keselamatan yang diperolehinya.

Namun begitu, sampai tahap di mana baginda betul-betul terancam, lalu jalan dirintis untuk membolehkan Baginda membuka lembaran baharu di Kota Yathrib di mana masyarakatnya lebih bersedia untuk menerima kepemimpinan Rasulullah SAW.

Begitu besar jiwa masyarakat Madinah yang bersedia menerima Baginda untuk berhijrah dan memulakan kehidupan baru dalam suasana yang lebih menyokong kepada usaha-usaha yang dijalankan oleh Baginda.

Masyarakat Madinah juga berjiwa besar apabila sanggup menerima usaha penyatuan ummah yang dikemukakan oleh Rasulullah SAW kepada mereka. Sebelum kedatangan Baginda, penduduk Madinah sentiasa bergolak merebut takhta kuasa untuk menjadi kelompok yang dominan.

Tetapi mereka mula akur apabila usaha penyatuan dibuat di antara mereka dengan penyatuan atau istilah yang lebih biasa digunakan adalah persaudaraan. Ini berlaku di antara penduduk Madinah daripada kelompok Aus dan Khazraj.

Begitu juga penyatuan dibuat kepada golongan Muhajirin dengan golongan Ansar. Bayangkan jika tidak ada proses penyatuan ini, boleh sahaja terjadi konflik yang besar di kalangan kaum Muslimin. Penduduk yang berhijrah meninggalkan kampung halaman mereka di Makkah, telah disambut dengan semangat persaudaraan, di mana mereka dianggap seperti saudara sendiri oleh penduduk Madinah.

Ini dikuatkan lagi dengan perkahwinan silang antara Muhajirin dan Ansar. Hubungan kekeluargaan sebegini jarang berlaku di tanah Arab kerana mereka hanya menumpukan kehidupan dalam kabilah masing-masing sahaja. Jarang sangat yang boleh menerima kabilah lain untuk hidup bersama. Kebiasaanya hubungan antara kabilah dengan kabilah lain bolehlah digambarkan sebagai seteru yang bermusuhan.

Dalam proses penyatuan ini juga menunjukkan gagasan idea besar Rasulullah SAW untuk memastikan maslahah yang lebih besar dapat diperteguhkan. Fahaman sempit kekitaan dan bangga dengan kelompok sendiri sahaja telah dirungkaikan oleh baginda.

Melihat kepada apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW melalui peristiwa hijrah ini, menunjukkan betapa kita juga perlu memupuk semangat hijrah ini di dalam diri. Pemimpin tanah air memerlukan semangat hijrah untuk meneruskan penyatuan dalam kalangan ummah yang ada di tanah air.

Usahakan sesuatu dengan semangat hijrah dan gagasan jiwa besar ummah untuk mengungguli perpaduan dan penyatuan. Jangan biarkan rakyat berpecah belah hanya kerana terdapat pihak-pihak yang cuba memperjuangkan politik yang sempit. Berpolitik itu boleh, tetapi biarlah dalam keadaan untuk memperkukuhkan perjuangan agama, bangsa dan tanah air.

Jangan kita menggadaikan prinsip kesatuan kerana ia tidak memberi sebarang faedah dan hanya akan merugikan ummah. Apa yang ingin kita banggakan jika ummah berpecah belah tiada kesatuan? Apakah kita ingin melihat kehancuran dengan terus berbalah sesama sendiri? Apakah kita ingin menjadi golongan yang meremehkan penyatuan sedangkan terdapat perintah Ilahi yang meminta supaya jangan berpecah?

Renunglah sedalamnya perintah Allah SWT di dalam Surah Ali-Imran ayat 103: “wa la tafarraqu”  yakni jangalah kamu berpecah-belah, dan adunkan renungan ini dengan apa yang dilakukan oleh Baginda Nabi SAW ketika berhijrah ke Madinah. Sungguh besar apa yang dilakukan Baginda, menunjukkan betapa penyatuan ummah berasaskan ‘pegangan teguh kepada tali Allah’ itu adalah sesuatu yang menjadi dasar terpenting dalam melonjakkan ummah dan memperkasakan agama.

Oleh yang demikian, nyatalah bahawa peristiwa hijrah ini mempunyai maksud yang mendalam ketika Baginda memperkukuh sistem ‘Keluarga Madinah’ tersebut dan menjadi sesuatu yang penting untuk kita dalam kehidupan sebagai ‘Keluarga Malaysia’ untuk mendokong bersama prinsip tersebut.     

Sungguh tidak mudah untuk kita mengecapi penyatuan ummah ini, namun ia tidak mustahil. Asalkan kita boleh memahami akan kepentingannya dan tidak menggadaikan ataupun meleburkan prinsip kita hanya kerana kita ingin memperjuangkan agenda yang berbeza.

Ingatlah, sangat sukar jalan yang ditempuh Baginda sehingga berjaya meneguhkan Islam di bumi ini. Janganlah pula ada di antara kita yang sanggup menjadi perosaknya atau yang sanggup meruntuhkannya.

Elakkan menjadi golongan musyrikin yang ditegur di dalam al-Quran sebagai kelompok yang ingin memadamkan cahaya Islam. Firman Allah yang bermaksud: “Dan mereka sentiasa ingin memadamkan cahaya Allah (Islam), dan sesungguhnya Allah SWT yang menyempurnakan cahaya-Nya, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya” (surah Al-Saff: 10)

Ayuh Keluarga Malaysia kita perteguhkan keluarga ini dengan mengambil iktibar ‘Keluarga Madinah’ yang menjadi asas penyatuan dan perpaduan bangsa.

Jenis manusia tidak dapat cium bau syurga

Dr Khairul Asyraf Mohd Nathir

MANUSIA akhir zaman tidak dapat lari daripada pelbagai ujian yang menatijahkan kepada kejayaan di dunia dan akhirat. Kehidupan sementara yang serba indah menjadi medan utama bagi memastikan setiap amalan yang dilakukan mendapat rahmat Allah SWT seterusnya membawa ke tempat kekal abadi iaitu di syurga.

Bagaimanapun, peringatan demi peringatan disampaikan oleh baginda Nabi SAW sebagai pedoman bagi manusia menghadapi hari mendatang dalam kehidupan. Di antara peringatan besar yang perlu untuk dilihat secara terperinci adalah jenis manusia yang tidak akan mencium bau syurga disebabkan amalan dilakukan bertentangan dengan syariat.

1. Manusia yang sombong

Orang yang sombong tidak dapat mencium bau syurga kelak. Baginda Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Tidaklah seorang lelaki meninggal dunia dan ketika dia meninggal di dalam hatinya terdapat sifat sombong sebesar sebiji sawi, akan haram baginya mencium bau syurga atau melihatnya. Lalu seorang lelaki daripada suku Quraisy yang bernama Abu Raihanah berkata: “Demi Allah wahai Rasulullah, aku benar-benar menyukai keelokan dan menggemarinya sehingga pada gantungan cemetiku dan juga pada tali sandalku!’ Rasulullah SAW bersabda: ‘Itu tidaklah termasuk al Kibr (sombong), sesungguhnya Allah Azza wajalla itu indah dan menyukai keindahan. Akan tetapi al Kibr itu adalah siapa yang bodoh terhadap kebenaran kemudian meremehkan manusia dengan kedua-dua matanya.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Menerusi hadis ini, sombong merujuk kepada mereka yang tidak dapat menerima kebenaran yang telah jelas di depan mata mereka bahkan meremehkan orang lain. Keadaan ini amat banyak berlaku dan masing-masing mempunyai hujah tersendiri. Natijahnya, golongan sengaja menyelewengkan fakta semata-mata untuk kepentingan diri sendiri adalah mereka yang sombong.

2. Manusia mencari ilmu akhirat untuk duniawi

Menuntut ilmu adalah keutamaan dan kepentingan yang perlu didahulukan terutama ilmu akhirat. Namun, jika ilmu akhirat dicari hanya untuk duniawi semata-mata, orang berkenaan terancam dan tidak akan mendapat bau syurga. Baginda Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Barang siapa menuntut ilmu yang seharusnya untuk Allah, namun dia tidak menuntutnya kecuali untuk mencari dunia, maka pada hari kiamat dia tidak akan mendapatkan bau syurga.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Gambaran daripada hadis ini menjelaskan keadaan ilmu yang dituntut hanya untuk mendapatkan habuan dunia semata-mata. Akibatnya, golongan ini tidak akan mendapat bau syurga. Situasi ini melibatkan golongan yang berkata-kata atau berkongsi semata-mata melihat nilai upah bakal diperoleh. Hakikatnya, apa yang disampaikan adalah semata-mata untuk kepentingan ‘poket’ dunia. Jika sedikit upah yang dijanjikan, maka ringkas sahaja perkongsiannya dan jika banyak yang digandakan, pasti nilai ilmu tersusun dan menarik untuk diteliti.

3. Menisbatkan nasab bukan kepada ayahnya

Hakikat nasab sesuatu yang sangat dijaga. Seseorang yang mengaku sebagai anak orang lain atau tidak mengakui ayahnya sendiri akan mendapat ancaman iaitu tidak akan mencium bau syurga. Islam melarang umatnya menisbatkan nama kepada nama orang lain. Baginda Nabi SAW bersabda maksudnya: “Barang siapa yang mengaku memiliki hubungan nasab kepada selain ayahnya, maka syurga menjadi haram baginya, padahal bau syurga dapat dicium sepanjang jarak perjalanan lima ratus tahun.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Manusia akhir zaman amat mudah melupakan jasa sosok tubuh yang digelar ayah. Apabila berdepan dengan situasi yang tidak mencerminkan kehidupan sebenar, mereka sanggup menasabkan diri mereka kepada ayah yang lain semata-mata ingin menampakkan kehebatan, kecerdikan dan kemewahan.

4. Wanita yang berpakaian tetapi telanjang

Ramai wanita mengenakan pakaian yang tidak menutup aurat sehingga menampakkan perhiasan, rambut dan bahagian yang sepatutnya ditutup. Perkara ini mula berkembang dengan pantas apabila portal pembelian dalam talian mengeluarkan pelbagai fesyen terkini yang tampak jelas mutakhir ini.

Situasi ini dinyatakan oleh Rasulullah SAW tentang perilaku wanita akhir zaman apabila melibatkan pemakaian mereka. Nabi SAW bersabda maksudnya: “Pada umatku yang akan datang ini, akan ada orang lelaki yang naik pelana kuda yang menyerupai pelana unta, lalu turun di pintu masjid. Wanita mereka berpakaian, tetapi telanjang, rambut kepala mereka bagaikan bonggol unta yang tinggi. Laknatlah mereka kerana mereka ialah wanita terlaknat. Kalau di belakangmu (sesudahmu) nanti masih ada umat lain, nescaya wanita kamu akan melayani wanita mereka sebagaimana dahulu kamu dilayani oleh wanita bangsa sebelum kamu.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Hadis ini jelas menunjukkan keadaan wanita akhir zaman berpakaian sehingga setiap jenis fesyen yang dikenakan pasti menarik mata (lelaki) untuk melihatnya. Perkara ini dilihat menjadi trend terkini khususnya wanita yang berkerjaya apabila sanggup berbelanja sakan demi dilihat bergaya dan cantik di tempat kerja masing-masing. Jika fesyen yang dikenakan mengikut syariat Islam, maka tiada apa yang ingin digusarkan. Islam tidak melarang umatnya untuk dilihat cantik, namun apabila melampaui batas, perkara ini ditegah Nabi SAW.

Apakah yang dimaksudkan dengan wanita berpakaian tetapi terlanjang?

Dr Yusuf al-Qardhawi dalam kitab Al-halal wa al-haram fi al-Islam menjelaskan, wanita yang berpakaian, tetapi telanjang sebagaimana sabda Nabi SAW merujuk kepada pakaian dipakai wanita tidak berfungsi sebagai benteng bagi menutup keseluruhan aurat mereka. Antara ciri-ciri pakaian itu ialah nipis, ketat, singkat dan menampakkan bahagian utama badan.

5. Wanita yang minta cerai tanpa alasan

Perceraian perkara yang sangat dibenci oleh Allah SWT. Lebih-lebih lagi jika ada perempuan yang meminta perceraian daripada suaminya tanpa mempunyai alasan. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang maksudnya: “Seseorang wanita yang meminta cerai kepada suaminya bukan kerana kesalahan, maka haram baginya bau syurga.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Punca utama perceraian ialah tiada persefahaman, pasangan curang, pasangan mengabaikan tanggungjawab, campur tangan keluarga dan orang luar serta masalah kewangan. Antara yang membimbangkan lagi, berlakunya perceraian itu adalah kerana sebab amat remeh yang pada dasarnya boleh diselesaikan dengan duduk berbincang antara satu sama lain.

Namun, yang berlaku di sebalik penceraian ini juga melibatkan isteri meminta cerai tanpa alasan kukuh. Maka disebabkan itu, wanita ini tidak akan menghidu bau syurga.

Oleh itu, kita sebagai manusia yang diberikan akal fikiran yang waras, perlu melihat dan meneliti perkara ini agar setiap tingkah laku seharian tidak menjurus kepada golongan digambarkan sebagai tidak akan mencium bau syurga.

Ibadat haji Bengkel kerohanian jiwa Muslim

Prof Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

PADA ketika ini, ramai jemaah haji berada di Tanah Suci selesai menunaikan rukun Islam yang kelima menyahut panggilan Ilahi sebagai tetamu istimewa-Nya, malah ada juga yang sudah pulang ke tanah air. Selama sebulan lebih, jemaah haji menumpukan sepenuh perhatian melakukan pelbagai jenis ibadah dianjurkan syarak seperti umrah, tawaf sunat, iktikaf, tadarus al-Quran dan sebagainya sama ada di Masjidil Haram mahupun di Masjid Nabawi.

Apabila selesai menunaikan ibadah haji, mereka kembali ke kampung halaman membawa bersama detik-detik kemanisan beribadah di Tanah Suci dan nostalgia indah kisah pertemuan dengan keagungan Kaabah yang suci. Di samping itu, mereka membawa sama gelaran haji atau hajah sebagai isyarat mereka pernah menjejakkan kaki ke Tanah Suci. Namun persoalan perlu direnung bersama apakah kesan ibadah haji cukup sekadar itu sahaja diraih oleh jemaah haji.

Perlu diinsafi bahawa ibadah haji bukan hanya sekadar berangkat ke Tanah Suci tanpa sedikit pun merubah sifat mahupun sikap Muslim. Ini kerana ibadah haji sebagaimana ibadah yang lain tidak terlepas daripada tarbiah ruhiyyah untuk membentuk peribadi Muslim bertakwa. Sebenarnya ibadah haji ini umpama bengkel kerohanian yang cuba menggilap jiwa setiap Muslim agar jiwanya bersinar dengan suluhan takwa dan iman kepada Allah yang Maha Esa. Tambahan pula, di sepanjang pelaksanaan ibadah tersebut, terbentang ribuan ujian dan halangan mengiringi setiap pergerakan Muslim untuk menguji kesabarannya dalam ketaatan kepada Allah ataupun tersungkur di pertengahan jalan. Oleh itu, untuk menghadapi semua cabaran ini, jiwa setiap Muslim perlu disirami dan dibajai dengan benih takwa dan iman kepada Allah.

Dari sini jelas setiap ibadah disyariatkan Allah mengungkapkan tujuannya untuk meraih nilai-nilai ketakwaan. Ini kerana takwa yang jitu secara langsung membuahkan sikap unggul, sifat luhur dan mental cemerlang menghiasi peribadi Muslim dalam kehidupannya.

Pendek kata, seluruh kehidupan insan sebenarnya satu pengabdian kepada Allah pada setiap masa dan ketika. Ini sejajar dengan firman Allah yang bermaksud: Katakanlah! Sesungguhnya solatku dan ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekelian alam. Tiada sekutu bagi-Nya dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama (yang berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintah-Nya). (Surah al-An’am, ayat 162 – 163)

Selain itu, ibadah haji bukan sahaja sekadar rehlah (perjalanan) spiritual atau jalan-jalan makan angin tanpa makna dan iktibar, malah ia memiliki berbagai-bagai nilai dan kewajipan yang sewajarnya difahami, dihayati dan diamalkan sepanjang perjalanan Muslim menuju keredaan Ilahi. Dari segi kedudukan, ibadah haji diibaratkan kewajipan pelengkap selepas empat kewajipan sebelumnya iaitu mengucap dua kalimah syahadah, mendirikan solat, berpuasa di bulan Ramadan dan mengeluarkan zakat. Kedudukan ini mengisyaratkan ibadah haji merupakan ibadah kemuncak seorang Muslim.

Ibadah haji juga tidak sunyi daripada aneka pengorbanan. Oleh sebab itu ibadah haji diletakkan pada rukun terakhir selepas pengorbanan lisan melalui syahadah, pengorbanan waktu melalui solat, pengorbanan jasmani dan rohani melalui puasa dan pengorbanan harta dalam zakat. Barangkali inilah sebabnya mengapa istilah manasik bermaksud pengorbanan selalu dipadankan dengan haji. Ini kerana ibadah haji sentiasa menuntut aneka pengorbanan yang selanjutnya wajar mengiringi setiap langkah perjalanan menuju akhirat.

Seusainya ibadah haji tersebut bukan bermakna selesai segala-galanya, sebaliknya ia gerbang permulaan menuju ibadah dan jihad dalam pelbagai lapangan kehidupan. Ibadah haji dianggap sebagai ibadah kemuncak kerana ia menjadi kewajipan terakhir pengabdian seorang Muslim secara individu. Dalam hal ini, Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: Amalan yang paling utama adalah beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, berjihad pada jalan-Nya dan haji yang mabrur. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan hadis di atas jelas Rasulullah tidak terus menyebut haji mabrur sebagai amalan terutama di antara himpunan amalan soleh, sebaliknya didahului dengan iman kepada Allah dan jihad pada jalan-Nya. Ini menggambarkan ketakwaan diredai Allah boleh diraih sesiapa pun juga. Pendek kata iman dan jihad kewajiban tidak terbatas sehingga boleh dilaksanakan sesiapa pun juga. Sebagai contoh, dalam pelbagai lapisan masyarakat dan kemampuan, ada tahap kewajibannya berdasarkan kemampuannya. Senyumnya seorang miskin yang ketiadaan harta dengan sedekahnya orang kaya adalah sama-sama memiliki aura ketakwaan. Malah, sebenarnya dalam Islam tiada unsur paksaan dalam melaksanakan ibadah.

Seseorang yang memaksa dirinya melakukan sesuatu amal ibadah di luar kemampuannya sama sekali bukan ketaatan atau ketakwaan yang diredai Allah, melainkan ia adalah keterpaksaan ataupun amalan yang sia-sia. Di sinilah terletaknya prinsip kemampuan yang menjadi antara syarat sah haji seseorang Muslim. Prinsip kemampuan dalam ibadah haji menyingkap kewajipan yang harus dipikul sesuai dengan kemampuan dan kesanggupan yang dimilikinya, tidak ada unsur-unsur paksaan dan juga tidak juga ada unsur keterlaluan melebihi kadar sepatutnya.

Dalam konteks ini, seseorang yang memaksa dirinya menunaikan ibadah haji sehingga menjual seluruh kekayaan yang akhirnya keluarganya menjadi papa kedana ataupun yang menggunakan wang pinjaman atau hutang merupakan suatu sikap dan sifat yang bertentangan dengan prinsip kemampuan tersebut. Begitu juga seorang yang sudah pun berkali-kali menunaikan ibadah haji, sedangkan ada jiran tetangga mahupun kaum kerabatnya yang merintih kelaparan dan sangat-sangat memerlukan bantuannya. Bukankah Allah telah berfirman maksudnya: Oleh itu, bertakwalah kamu kepada Allah sedaya upaya kamu dan dengarlah (akan pengajaran-pengajaran-Nya) serta taatlah (akan perintah-perintah-Nya) dan belanjakanlah harta kamu (serta buatlah) kebajikan untuk diri kamu. Dan (ingatlah) sesiapa yang menjaga dan memelihara dirinya daripada dipengaruhi tabiat bakhilnya maka merekalah orang-orang yang berjaya. (Surah al-Taghabun, ayat 16)

Haji yang mabrur pada hakikatnya haji yang memantulkan nilai-nilai kesolehan dalam setiap ruang kehidupan Muslim. Haji yang mabrur juga satu bentuk ibadah yang terhimpun di dalamnya tiga aspek penting iaitu niat yang ikhlas, amal ibadah yang konsisten dan hikmah yang mencorakkan kehidupannya sebagai Muslim yang benar-benar bertakwa kepada Allah.

6 Hak perlu ditunaikan

Mohd Shahrizal Nasir

Umat Islam seluruhnya adalah bersaudara. Ikatan akidah yang menautkan semua orang Islam sebagai satu umat dengan masing-masing ada hak ke atas yang lain. Apabila menyebut perihal hak, maka ia juga berkait dengan tanggungjawab. Justeru, hubungan persaudaraan sesama umat Islam perlu dijalinkan dengan masing-masing mempunyai hak dan tanggungjawab yang saling lengkap-melengkapi.

Allah SWT menjelaskan perihal umat Islam menerusi firman-Nya bermaksud:  “Sebenarnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”  (Surah al-Hujurat, ayat 10)

Persaudaraan antara sesama Islam didasari oleh akidah dan berkait rapat dengan takwa. Hal ini turut dijelaskan oleh Rasulullah SAW menerusi hadisnya yang bermaksud:  “Jangan kalian saling menghasut, saling menipu, saling membenci, saling membelakangi dan jangan membeli barang yang telah dibeli oleh orang lain. Jadilah hamba Allah yang bersaudara. Orang Muslim adalah saudara bagi Muslim yang lain. Kerana itu, tidak menzaliminya, tidak menghinanya, tidak membohonginya dan tidak merendahkannya. Takwa itu di sini (sambil baginda menunjuk dadanya tiga kali).”  (Hadis riwayat Muslim)

Rasulullah SAW menjelaskan enam hak setiap Muslim yang selayaknya ditunaikan oleh saudara Muslimnya. Jika inginkan orang lain menunaikan tanggungjawab memenuhi hak terhadap diri, maka kita perlu terlebih dahulu memastikan bahawa diri tidak pernah mengabaikan hak Muslim lain.

Baginda menyebut dalam hadis mafhumnya:  “Hak seorang Muslim atas Muslim yang lain ada enam. Jika engkau bertemu dengannya maka ucapkanlah salam, jika dia mengundangmu maka penuhilah undangan tersebut, jika dia meminta nasihat daripadamu maka berilah nasihat, jika dia bersin lalu mengucapkan  ‘Alhamdulillah’  maka doakanlah dia, jika dia sakit maka ziarahilah dia dan jika dia meninggal maka iringilah jenazahnya”  (Hadis riwayat Muslim)

Jika diperhatikan kepada enam hak yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW dalam hadis tersebut, ternyata setiap Muslim mampu menggalas tanggungjawab menyempurnakan hak orang lain. Tidak kira seseorang itu kaya mahupun miskin, setiap orang mampu memenuhi hak Muslim lain kerana semua perkara tersebut adalah perkara yang mampu dibuat oleh setiap orang.

Cuma persoalannya adakah setiap Muslim melihat enam perkara tersebut sebagai perkara penting? Semua orang mengetahui tentang perkara tersebut namun mungkin disebabkan kefahaman yang tidak jelas, ramai yang mengabaikan pelaksanaannya.

Jadikanlah perbuatan memberi salam kepada sesama Muslim sebagai satu budaya dalam kehidupan. Hayatilah maksud di sebalik lafaz salam yang sarat dengan doa kesejahteraan. Kesejahteraan yang sememangnya diperlukan oleh setiap orang ialah yang dikaitkan dengan rahmat daripada Allah SWT. Satu perkara lagi, biasakanlah diri untuk memberi dan menjawab salam dengan lafaz yang betul kerana ia satu doa yang sangat tinggi nilainya bagi menyemarakkan rasa kasih sayang sesama insan.

Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud:  “Tidaklah kalian akan masuk syurga hingga kalian beriman dan tidaklah kalian dikatakan beriman hingga kalian saling mencintai. Mahukah kalian aku tunjukkan sesuatu, yang jika kalian mengamalkannya nescaya kalian akan saling mencintai? Iaitu sebarkan salam di antara kalian.”  (Hadis riwayat Muslim)

Tatkala mendapat undangan untuk memenuhi hajat saudara sesama Islam, ia memberi petunjuk diri sentiasa dalam ingatan orang yang menjemput. Ketika orang yang mengundang ke majlisnya sedang dikurniakan nikmat tertentu oleh Allah SWT, maka penuhilah undangan tersebut kerana ia bukti orang lain tidak melupakan diri kita tatkala dikurniakan kegembiraan. Bukankah dengan memenuhi hajat baik orang lain maka Allah SWT juga akan memenuhi hajat kita? Begitulah indahnya Islam mengatur tatacara menjalin ukhwah sesama insan.

Ada dalam kalangan manusia yang sangat memerlukan nasihat orang lain tatkala berdepan dengan masalah kehidupan. Kita mungkin tidak mampu untuk menghulurkan bantuan sehingga masalah yang dihadapi oleh orang lain selesai dengan mudah, namun nilai kebersamaan ketika berdepan dengan masalah cukup bermakna dalam diri orang yang berada dalam kesusahan.

Tambahan pula jika seseorang Muslim yang dilanda masalah tersebut meminta nasihat bagi dirinya menyelesaikan masalah yang dihadapi. Maka sudah tentu orang yang diminta nasihat adalah insan yang dipercayai sehingga selayaknya memberi nasihat kepadanya. Rasa kebersamaan inilah yang sebenarnya akan mengeratkan lagi hubungan kemanusiaan sesama umat Islam. 

Rasulullah SAW memberi jaminan kebaikan terhadap orang yang berusaha menghulurkan bantuan kepada orang yang berada dalam kesusahan dengan bersabda:  “Sesiapa yang melepaskan satu kesusahan seorang Mukmin, pasti Allah akan melepaskan daripadanya satu kesusahan pada Hari Kiamat. Sesiapa yang menjadikan urusan orang lain mudah, pasti Allah akan memudahkan urusannya
di dunia dan di akhirat.”  (Hadis riwayat Muslim)

Mengingati Allah SWT pada setiap masa adalah tanggungjawab Muslim. Ada orang hanya mengingati Allah SWT ketika ditimpa kesusahan sedangkan kewajipan mengingati Allah SWT kekal setiap masa. Oleh itu, tatkala seseorang Muslim memperoleh nikmat meskipun dengan bersin, lantas dia mengingati Allah SWT, maka selayaknya dia mendapat doa daripada orang lain.

Pertimbangan Islam cukup adil dalam memastikan setiap orang yang melakukan kebaikan pasti faedah daripada kebaikan tersebut akan kembali kepadanya semula. Ini sepertimana yang dinyatakan oleh Allah SWT dalam firman-Nya bermaksud:  “Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga…”  (Surah al-Isra’, ayat 7)

Rasulullah SAW sentiasa melazimi amalan menziarahi orang yang sakit. Baginda menunjukkan teladan yang cukup baik agar diikuti oleh umatnya. Sesungguhnya perbuatan menziarahi orang yang sakit akan memberi motivasi kepada dirinya untuk kekal positif menghadapi ujian daripada Allah SWT.

Perbuatan menziarahi orang yang sedang sakit menzahirkan keprihatinan terhadap orang lain yang tersemat dalam diri. Tidak semua orang sanggup meninggalkan tugasan hanya untuk menziarahi sahabat lain yang sedang berdepan dengan ujian kesihatan. Tatkala menziarahi orang sakit, banyak doa-doa yang diajar oleh Rasulullah SAW untuk dibacakan sebagai satu usaha memohon kesembuhan daripada Allah SWT. Antaranya ungkapan yang bermaksud:  “Tidak apa-apa,  insya-Allah  penyakit kamu itu membersihkan dosa-dosamu.”  (Hadis riwayat al-Bukhari)

Hak Muslim yang terakhir sepertimana yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW ialah mengiringi orang Muslim lain yang sudah meninggal dunia. Bukan sahaja hak ketika Muslim masih hidup, malah ketika sudah meninggal dunia pun ada hak yang perlu dipenuhi oleh saudara Muslim yang lain. Begitulah Islam mengatur perkara-perkara penting yang boleh mengeratkan hubungan sesama umat Islam. Perkara paling penting untuk dinyatakan ialah setiap penunaian hak akan mendatangkan  hasanat  (kebaikan) untuk yang berusaha memenuhi hak orang lain.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:  “Barang siapa yang mengikuti jenazah hingga disolatkan maka baginya satu qirat dan barang siapa yang mengikuti jenazah hingga dikuburkan maka baginya dua qirat. Baginda ditanya: Apakah dua qirat itu? Baginda menjawab seperti dua buah gunung yang besar.”  (Muttafaq ‘alaih)

Mengubah sejarah kaedah menjajah umat Islam

ORIENTALIS begitu gigih dalam usaha untuk menanamkan keraguan dalam Sirah Nabawiyah.

Pelbagai usaha dilakukan dan pelbagai persoalan yang telah ada jawapan sengaja ditimbulkan kembali semata-mata untuk meragukan umat Islam terhadap sejarah Islam. 

Sebagaimana kaedah yang digunakan Nazi ‘Perkara yang tidak betul apabila sentiasa diulang-ulang akan dapat diterima’. 

Kita lihat bagaimana Zionis cuba mengubah sejarah Islam dengan menuntut dari Kerajaan Saudi pampasan terhadap pengusiran mereka dari Madinah (akibat dari pengkhianatan mereka kepada Negara Islam Madinah). 

Usaha mereka seolah-olah cuba menyatakan bahawa Kerajaan Islam Madinah yang dipimpin oleh Rasulullah S.A.W sama halnya dengan Nazi Jerman yang telah mengholocaustkan mereka. 

Demikian juga halnya apa yang dilakukan oleh neo Komunis di Indonesia, apabila mereka mempertikaikan penayangan filem G30S/PKI pada setiap tahun. 

Mereka menganggap tindakan Komunis yang digambarkan dalam filem tersebut tidak betul, walhal fakta sejarah korban pembantaian dari gerakan Komunis di seluruh terlalu besar.

Begitulah penjajahan alaf baru, mempertikaikan pahlawan yang telah mengorbankan jasad dan tenaga mereka untuk menentang penjajah dan barua penjajah. 

Benarlah apa yang dikatakan ‘Kalau hendak menguasai suatu kaum atau agama, gubal sejarahnya’

Maka tidak hairanlah kalau ada parti politik yang baunya ala Zionis dan Komunis dengan bersungguh-sungguh ketika mendapat kuasa berusaha untuk menggubal sejarah Islam dan bangsa yang memperjuangkan serta mempertahankan Islam. 

Usaha mereka sentiasa berterusan dan sentiasa menggunakan kaedah yang pelbagai supaya dapat mengelirukan umat Islam dan bangsa Melayu agar cita-cita mereka untuk menguasai Islam dan Melayu tercapai.

SYAHRU RAMADHAN 

Di sebalik sokongan wang ke atas penghina agama

TERKINI dilaporkan beliau telah berjaya mengumpul derma hampir RM40,000. Beberapa perkara perlu diambil perhatian oleh semua umat Islam:

1. Bukan-Islam (yang menentang Islam) bersatu untuk merosakkan dan menjatuhkan imej Islam. 

2. Muslim (yang turut menyumbang) sudah semakin hilang jati diri agama dengan menyokong tindakan pelawak wanita ini.

3. Gerakan Liberal semakin berani untuk bergerak dan menyampaikan dakyah mereka. 

Maka; 

1. Tugasan dakwah semakin besar dan rumit, dan ia adalah tanggungjawab kita semua bersama. Tugasan ini bukan hanya kepada para asatizah sahaja. 

Tidakkah kita bimbang generasi anak cucu kita akan termasuk golongan seperti di atas? Maka segeralah bertindak.

Semua manusia berada dalam kerugian, kecuali mereka yang melakukan 4 perkara, antaranya adalah berpesan-pesan dengan kebenaran (dakwah Islam).

2. Para musuh Islam bergabung untuk menghancurkan Islam, maka adakah kita akan terus berpecah belah?

Para pimpinan politik, utamakanlah Perpaduan Ummah atas landasan agama berbanding hawa nafsu dan gilakan kuasa.

Para agamawan, utamakan perbincangan perkara yang membangkitkan kefahaman umat mengenai Islam berbanding perbalahan berkaita isu khilaf yang tidak berkesudahan. 

Akhirnya makin ramai umat Islam yang tidak faham mengenai Islam mula melakukan perkara-perkara yang merosakkan Islam.

3. Bersama membanteras kefahaman Liberal.

Ia adalah suatu kepercayaan dan cara berfikir yang terbuka menggunakan logik akal semata-mata.

Liberalisme meletakkan kebebasan sebagai prinsip tertinggi dalam membebaskan individu daripada kawalan moral atau peraturan agama sehingga boleh menggantikan peranan agama dalam mengatur kehidupan individu dan masyarakat.

Dengan kelemahan kefahaman Islam maka ramai umat Islam hari ini mudah menerima kefahaman Liberal yang sesat ini:

“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang munkar, merekalah orang-orang yang beruntung.”

(Ali-Imran: 104)

MUHAMMAD HANIF

Siasat di sebalik ‘penaja dan pembela’ kes hina agama

KERAJAAN perlu memberi perhatian yang lebih berfokus, serius dan kritikal terhadap perbuatan menghina Allah S.W.T, Nabi Muhammad S.A.W dan agama Islam di mana semakin galak dilakukan.

Ini kerana ia dilihat seperti ‘ditaja dan dibela’ oleh pihak berkepentingan dan beragenda, serta anasir luar yang mungkin berperancangan secara strategik untuk menimbulkan ketidakharmonian kepada negara ini.

Sentimen dan api-api kebencian ini seakan ditiup untuk memarakkan jurang antara rakyat majmuk pelbagai kaum, bahasa, budaya dan agama di negara ini supaya berpecah, saling curiga dan bermusuhan.

Provokasi melampau kini tidak lagi bersuara sinikal, mempersenda atau mengejek secara halus dan tersirat, tetapi dengan berani celupar, menghina bahkan juga mencabar!

Malah secara mudah dan sewenang-wenangnya dilakukan dengan bebas menggunakan pelbagai platform atau medium, selain disebar tular serta dibangga-banggakan.

Oleh itu skop siasatan pihak berkuasa Polis DiRaja Malaysia (PDRM) termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mesti diluaskan untuk melihat segala kemungkinan.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga wajar meneliti unsur ancaman dan gugatan pihak tertentu terutama dari luar yang boleh wujud sebagai dalang di sebalik tindakan-tindakan tersebut.

Pelbagai kepakaran berkaitan yang ada dalam negara mesti digembleng untuk memberi takrifan kepada dukungan dan sokongan pihak-pihak tertentu kepada suspek, kerana ia melibatkan ke atas perbuatan menjejaskan tonggak-tonggak negara.

Sekiranya hal ini dipandang enteng dan berkala, tidak mustahil ia akan menjadi barah yang memamah secara senyap asas-asas penting termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan di mana mesti dijamin terpelihara dari sebarang pencabulan.

Kedaulatan ini sama sekali tidak patut dipolemikkan apatah lagi dicabar dan dihina sebagaimana yang terjadi, bahkan ‘tajaan dan pembelaan’ tersembunyi berpotensi merosakkan ketenteraman awam negara ini.

Mereka ini dilihat hanya berselindung di sebalik topeng yang memperalatkan hak asasi, kemanusiaan dan kebebasan kononnya, tetapi mungkin penggerak sebenar atau perancang utama.

KAMARUZAMAN MOHAMAD
Penasihat
Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) 

Banteras penghina agama

Dr Mohd Khafidz Soroni

Mungkin ramai yang terkejut dengan tindakan seorang wanita yang kononnya menghafaz 15 juzuk al-Quran menanggalkan hijab dan pakaian Muslimahnya bagi menampilkan aksi dirinya seperti wanita bukan Islam.

Kita tidak tahu nasib apa yang menimpa dirinya sehingga dia setega dan senekad itu berbuat demikian. Namun, walau apa pun alasannya, dia tiada hak untuk melakukan perbuatan yang boleh menghina Islam.

Kita percaya orang mualaf yang memeluk Islam pun tidak melakukan perbuatan yang menghina agama asalnya seperti itu.

Isu ini menjadi tarikan, terutama kerana dakwaannya menghafaz 15 juzuk al-Quran. Seolah-olah al-Quran yang dihafaz tiada memberi apa-apa erti kepadanya atau hafazannya itu seumpama hafazan burung kakak tua yang pandai berkata-kata, namun tidak mengerti pun apa yang dikatakannya.

Kejadian ini hanya salah satu tanda kerosakan umat Islam di akhir zaman sebelum tibanya kerosakan yang lebih besar lagi sekiranya umat Islam masih terus leka dengan keseronokan duniawi.

Diriwayatkan daripada Saidina ‘Ali bin Abi Talib RA katanya: Sabda Rasulullah SAW: “Hampir akan datang kepada manusia satu zaman, di mana tidak tinggal lagi daripada Islam itu melainkan namanya sahaja dan tidak tinggal lagi daripada al-Quran itu melainkan tulisannya sahaja. Masjid-masjid mereka makmur, tetapi ia kosong daripada petunjuk. Ulama mereka adalah orang paling jahat yang hidup di bawah bumbung langit, yang daripada sisi mereka akan keluarnya fitnah dan kepada mereka juga ia akan kembali”. (Riwayat Ibn ‘Adi dalam al-Kamil dan al-Bayhaqi dalam Syu’ab al-Iman dengan sanad daif)

‘Ulama’ yang dimaksudkan dalam hadis ini bukan ulama sebenar, tetapi golongan yang berpura-pura alim, padahal mereka sebenarnya kosong iman sehingga mereka itu sendiri sesat lagi menyesatkan orang lain.

Walaupun kononnya menghafaz 15 juzuk al-Quran, malah 30 juzuk sekali pun, namun tindak-tanduknya hanya menambah kehancuran moral dan akidah umat manusia.

Penulis tertarik dengan cetusan pandangan seorang ulama al-Azhar terkenal, Syeikh Dr Yusri Rusydi Jabr dalam laman sosialnya mengenai bagaimana cara untuk kita mengelakkan diri daripada perbuatan kufur.

Beliau mengatakan bahawa benteng daripada kekufuran hanya terhasil melalui al-Quran dan Nabi SAW secara bersama, yakni dengan banyak berselawat kepada baginda SAW. Adapun al-Quran sahaja tanpa Nabi SAW, tidak akan dapat melindungi daripada kekufuran.

Menurutnya, beliau sudah menemui ramai orang, malah ada antara mereka yang menghafaz al-Quran namun demikian mereka akhirnya menjadi kufur dan murtad.

Perhatikan firman Allah SWT: “Dan bagaimana kamu akan menjadi kafir padahal kepada kamu dibacakan ayat-ayat Allah (al-Quran) dan dalam kalangan kamu ada Rasul-Nya (Muhammad SAW)? Dan sesiapa berpegang teguh kepada (agama) Allah, maka sesungguhnya ia telah beroleh petunjuk hidayah ke jalan yang betul (lurus).” (Surah Al ‘Imran: 101)

Maka mereka hanya mengambil berat dengan ayat-ayat Allah, namun mereka lupa bahawa dalam kalangan mereka ada Rasul-Nya. Justeru itu, mereka tidak terpelihara daripada kekufuran. Sedangkan kita temui ayat sesudahnya berbunyi: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.” (Surah Al ‘Imran: 102)

Ayat ini seolah-olah mengisyaratkan, jika kamu ingin mati sebagai Muslim, kamu perlu menghimpunkan dalam hatimu al-Quran dan kecintaan terhadap Nabi SAW. Syeikh Dr Yusri Rusydi Jabr menempelak golongan yang memberi tumpuan terhadap al-Quran, namun kurangnya kecintaan mereka terhadap Nabi SAW kerana kadar tumpuan sedemikian tidak semestinya dapat menyelamatkan mereka daripada kesesatan.

Penumpuan terhadap al-Quran hakikatnya mampu ditekuni oleh ramai orang. Malah, kumpulan menyeleweng seperti golongan Qur’aniyyun (anti hadis) dan Qadiyaniyyah Ahmadiyyah turut mampu menekuni al-Quran. Demikian juga golongan bukan Islam seperti golongan orientalis yang sanggup menghabiskan masa puluhan tahun mengkaji al-Quran.

Malah, ketika di Mesir juga penulis pernah diberitahu bahawa ramai dalam kalangan paderi gereja ortodoks turut menghafaz al-Quran. Namun, semua ini tanpa keimanan dan kecintaan sebenar terhadap Nabi SAW tidak dapat menyelamatkan mereka daripada kekufuran.

Moralnya, kecintaan terhadap Nabi SAW perlu dipupuk dalam jiwa umat Islam, terutama dengan memperbanyakkan selawat kepada baginda SAW.

Bersama al-Quran, kedua-duanya mampu menjadi benteng keimanan yang teguh bagi menangkis sebarang hasutan iblis, runtunan hawa nafsu dan godaan duniawi.

Barangkali jika wanita terbabit benar-benar mempunyai kecintaan terhadap Nabi SAW, mungkin tidak akan berlaku perubahan ekstrem seperti itu.