• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,252,914 orang
  • Kandungan Blog

Hina Nabi SAW modal orang muflis

Dr Mohd Khafidz Soroni

Bahang kemarahan umat Islam terhadap perbuatan seorang jurucakap pemimpin sebuah parti politik di India menghina Nabi SAW masih belum reda. Kemarahan ini tentu sahaja wajar kerana perbuatannya itu mencalar peribadi agung Nabi SAW yang cukup besar kedudukannya dalam jiwa umat Islam. Maka, sebarang perbuatan biadab terhadap baginda pasti tidak dapat diterima. Penghinaan terhadap Nabi SAW sebenarnya bererti penghinaan terhadap syariat Allah SWT kerana Dia-lah yang memilih baginda untuk umat manusia.

Nabi SAW sendiri mencontohkan agar umatnya perlu bersikap tegas dan berasa marah kerana Allah jika syariat-Nya dilanggar, apatah lagi dicemuh dan dihina. Daripada Aisyah RA, katanya: “Tidaklah sesekali Rasulullah SAW diberi pilihan antara dua perkara melainkan baginda akan memilih perkara yang lebih mudah selama perkara itu tidak mengandungi dosa. Jika perkara itu mengandungi dosa, maka baginda adalah orang yang paling menjauhkan diri daripadanya. Dan tidaklah Rasulullah SAW marah untuk dirinya terhadap suatu perkara melainkan jika larangan Allah dilanggar, maka baginda akan marah kerana Allah disebabkannya.” Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Orang yang tidak mempunyai rasa marah di dalam hati apabila syariat Allah dan Nabi-Nya dihina, tentu ada masalah besar dengan dirinya, sama ada dia benar-benar sangat jahil atau memang tiada langsung rasa iman di dalam hati. Walhal, rasa marah itu adalah wajar.

Namun, kemarahan itu perlu ditangani dengan bijak agar kita tidak pula melakukan perkara yang tak sepatutnya serta dilarang oleh syarak. Seperti apabila Nabi SAW kita dihina, lalu sebagai balasannya kita menghina pula tokoh ikutan atau entiti sembahan pihak yang menghina. Perkara seumpama ini adalah ditegah sepertimana firman Allah SWT: “Dan janganlah kamu cerca benda yang mereka sembah yang lain daripada Allah kerana mereka kelak akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Dia menerangkan kepada mereka apa yang mereka lakukan.” Surah al-An’am: 108

Penghinaan terhadap Nabi SAW bukanlah perkara baharu. Sebelumnya pun sudah banyak penghinaan terhadap baginda SAW melalui filem, teater, novel, karikatur, ucapan dan sebagainya. Malah perbincangan ulama silam tentang hukum orang yang menghina Nabi SAW menunjukkan bahawa isu berkenaan sudah terjadi sejak dahulu. Antara kitab khusus yang membahaskan isu ini ialah kitab as-Saif al-Maslul ‘ala Man Sabb ar-Rasul oleh Imam Taqiyyuddin as-Subki (wafat 756H), kitab as-Sorim al-Maslul ‘ala Syatim ar-Rasul oleh Syeikh Ibn Taimiyyah (wafat 728H) dan as-Saif al-Battar liMan Sabb an-Nabi al-Mukhtar oleh Sayyidi Abdullah al-Ghumari (wafat 1413H). Hakikatnya siri penghinaan kepada baginda SAW sudah berlaku sejak baginda masih hidup oleh orang yang memusuhinya. Padahal perbuatan menghina ini sebenarnya tidak menguntungkan orang yang menghina, bahkan akan merugikannya baik di dunia mahupun di akhirat. Kemungkinan perbuatan itu hanya memuaskan hawa nafsunya buat sementara waktu, namun maruah dirinya akan kekal dipandang hina kerana kerendahan nilai moralnya. Malah, namanya akan terus dibenci orang walaupun sesudah dia mati. Ini baru mengikut hukum dunia, belum lagi hukum akhirat yang akan diterimanya kelak.

Contohnya, perbuatan Abu Lahab yang gemar mencemuh dan menghina Nabi SAW sehingga penghinaannya dijawab sendiri oleh Allah SWT, malah dirakamkan namanya secara abadi dalam al-Quran sebagai peringatan buat umat manusia, iaitu firman-Nya: “Binasalah kedua-dua tangan Abu Lahab dan binasalah ia bersama. Hartanya dan segala yang diusahakannya tidak dapat menolongnya. Dia akan menderita bakaran api neraka yang marak menjulang.” Surah al-Masad: 1-3

Ketahuilah bahawa perbuatan menghina ini hanya dilakukan oleh orang yang sudah tiada modal dan muflis hujah. Lalu, hanya untuk memuaskan hawa nafsunya dia memaksa diri melakukan tindakan yang melampui batas tanpa memikirkan akibatnya.

Kita percaya setiap agama tidak mengajar penganutnya bertindak melampaui batas dan biadab terhadap penganut agama lain. Sebaliknya, diri penganut agama itu sendiri yang bersikap ekstrem dan melampaui batas. Kita tidak nafikan golongan seperti ini ada dalam setiap agama, bahkan agama Islam pun. Bagaimanapun, Nabi SAW menegah umatnya daripada bersikap melampau dan bertindak ekstrem. Daripada Ibnu Mas’ud RA katanya: “Rasulullah SAW bersabda: ‘Binasalah orang yang suka melampaui batas.’ Baginda mengucapkan perkataan ini sebanyak tiga kali.” Riwayat Muslim

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: