• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,274,587 orang
  • Kandungan Blog

Bersungguh untuk berubah

Datuk Mohd Ajib Ismail

Suatu masa dahulu, ada seseorang bercerita kepada saya, ketika dia sedang berusaha mencari ‘jalan pulang’ untuk merubah diri ke arah kebaikan, ada yang menyedarkannya walaupun hidup senang dan berharta, tetapi tidak rasa bahagia kerana tidak pernah menunaikan solat.

Akhirnya dia menemui jawapan bahawa cara terbaik untuk membebaskan diri daripada hawa nafsu yang membelenggu kehidupannya adalah dengan menunaikan solat. Justeru, ramai orang berpesan bahawa jika seseorang berniat untuk melakukan perubahan ke arah kebaikan, mulakanlah dengan menunaikan dan memperbaiki solat. Perkara tersebut selaras dengan firman Allah SWT dalam surah al-Ankabut ayat 45 yang bermaksud: “Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari al-Quran dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.”

Ibadah solat mendatangkan ketenangan dan mendekatkan diri insan kepada Tuhan. Allah SWT berfirman dalam surah ar-Ra’d ayat 28 yang bermaksud: “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.”

Kajian saintifik membuktikan bahawa waktu paling merehatkan minda adalah ketika solat. Penyelidikan berkaitan kelebihan solat dari perspektif sains juga mendapati ibadat solat menghasilkan keadaan tenang kepada otak manusia. Oleh itu solat bukan sahaja memberikan kesejahteraan spiritual, tetapi juga mental dan fizikal. Solat merupakan detik paling hampir seseorang hamba kepada Tuhan. Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA maksudnya: “Keadaan yang paling dekat seseorang hamba dengan Tuhan-nya ialah ketika dia bersujud. Maka perbanyakkanlah berdoa (pada waktu sujud).” (Riwayat Muslim)

Namun ada juga segelintir manusia yang melakukan maksiat, masih berusaha menunaikan solat. Saya teringat kepada sebuah babak drama yang menceritakan tentang kisah seorang pelacur di lorong yang mencuri-curi menunaikan solat dan pergi ke masjid mendengar ceramah agama. Begitulah gambaran sebahagian kecil realiti yang berlaku dalam masyarakat. Hakikatnya, walaupun kebanyakan kita belum sempurna dalam mentaati perintah Allah SWT, bukanlah bermakna kita tidak layak untuk solat atau tidak perlu menunaikan solat. Ada juga segelintir manusia yang banyak membuat kebajikan, hartawan dan dermawan yang menyumbang bagi pembinaan masjid dan surau namun diri sendiri tidak menunaikan solat.

Sebahagian orang memberikan alasan untuk menjadi baik terlebih dahulu, kemudian baru bersedia untuk solat. Sedangkan tiada manusia yang sempurna dan terlepas dari melakukan dosa dalam kehidupan. Nabi Muhammad SAW sendiri sentiasa beristighfar dan memohon ampun kepada Allah pada setiap masa sebagaimana hadis daripada Abu Hurairah RA, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah dan memohon ampun kepada-Nya setiap hari lebih daripada 70 kali.” (Riwayat al-Bukhari)

Ibadah solat wajib ditunaikan oleh setiap Muslim sehingga dia dapat memperbaiki akhlak dan kehidupannya. Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Solat lima waktu, Jumaat kepada Jumaat berikutnya merupakan kaffarah (penghapus dosa) di antara keduanya selagimana tidak melakukan dosa besar.” (Riwayat Muslim)

Dalam sebuah hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Sesiapa yang menjaga solatnya, maka solatnya itu akan menjadi cahaya baginya, dan bukti serta penyelamat pada hari kiamat. Dan sesiapa yang tidak menjaga solatnya maka tiadalah baginya mendapat cahaya, bukti dan keselamatan pada Hari Kiamat, malah pada hari itu dia akan (dibangkitkan) bersama-sama dengan Firaun, Qarun, Haman, dan Ubai bin Khalaf.” (Riwayat Ahmad)

Ajaran Islam menyarankan agar mendidik anak-anak untuk menunaikan solat semenjak kecil sebagaimana hadis yang bermaksud: “Perintahkanlah anak-anak kalian untuk mendirikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka (jika mereka tidak mahu melaksanakannya) ketika mereka berumur sepuluh tahun. Dan pisahkanlah tempat tidur di antara mereka.” (Riwayat Abu Daud)

Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Mu’az bin Jabal Rasulullah SAW bersabda yang bermaksudnya: “Mahukah kamu aku khabarkan kepada kamu perkara utama bagi segala perkara, tiangnya dan puncaknya? Aku (Mu’az bin Jabal) menjawab: “Ya, wahai Rasulullah.” Baginda bersabda: “Perkara utama bagi setiap perkara adalah Islam, tiangnya adalah solat dan puncaknya adalah jihad.” Riwayat Ibnu Majah)

Ibadah solat itu perkara utama yang dipertanggungjawabkan kepada manusia di akhirat kelak seperti hadis yang bermaksud: “Perkara pertama yang akan dihisab pada diri seseorang pada orang hari akhirat daripada sekalian amalnya ialah solatnya. Jika solatnya benar (sempurna), maka jika baik solatnya maka dia akan berjaya dan menang dan jika solatnya kurang (iaitu tidak benar) maka dia akan rugi dan menyesal.” (Riwayat al-Tirmizi)

Oleh itu, beruntunglah bagi mereka yang berusaha sedaya upaya memelihara ibadah solat pada setiap masa. Ada orang tetap menunaikan solat walaupun berada di atas kapal dipukul ombak di tengah lautan, dalam pesawat terapung-apung di angkasa lepas atau di kawasan air terjun yang mengalir deras. Di negara kita umat Islam dapat menunaikan solat dalam keadaan aman dan damai di mana-mana tempat yang bersesuaian. Di Wilayah Persekutuan sahaja sejumlah 89 masjid, 123 surau Jumaat dan 578 surau disediakan bagi kemudahan umat Islam menunaikan solat. Masjid dan surau turut menyediakan anjung musafir untuk kemudahan orang ramai singgah menunaikan solat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) juga menyediakan kemudahan surau bergerak yang boleh digunakan bagi memudahkan orang ramai menunaikan solat. Di sesetengah tempat kempen Bulan Solat digerakkan bagi melazimi ibadah solat dalam kehidupan.

Justeru marilah kita semua berdoa kepada Allah SWT agar sentiasa diberikan kekuatan untuk memelihara ibadah solat agar menjadi asbab kepada kebaikan sebagaimana yang dianjurkan dalam al-Quran surah Ibrahim ayat 40 bermaksud: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: