• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,274,587 orang
  • Kandungan Blog

Manfaat surah Yasin ketika nazak

1. Sunat dibacakan surah Yasin kepada orang yang hampir menemui ajal (nazak). Adakah mesti dibacakan surah Yasin dahulu kemudian diikuti surah al-Ra’d atau didahulukan surah al-Ra’d kemudian dibacakan surah Yasin. Mana yang lebih afdal?

Hendaklah didahulukan dengan surah Yasin kerana terdapat hadis sahih yang bermaksud: “Tidak ada seorang pun yang sakit (tenat) apabila dibacakan kepadanya surah Yasin melainkan mati ia dalam keadaan puas dan tidak merasai dahaga dan ketika dimasukkan ke dalam kubur juga ia akan merasai puas kerana tidak berasa dahaga.”

Dalam riwayat lain yang bermaksud: “Sesiapa yang membaca (surah Yasin) ketika ia dalam keadaan ketakutan pasti akan diamankan dia. Atau ketika kelaparan pasti akan dikenyangkan dia. Ketika ia berasa dahaga pasti akan dihilangkan dahaganya. Atau ketika ia dalam keadaan telanjang pasti akan dipakaikan dia. Atau ketika ia dalam keadaan sakit pasti akan disembuhkan dia.”

Sunat dibaca surah Yasin hingga ke akhirnya dan diikuti dengan surah al-Ra’d kerana terdapat hadis yang mengatakan jika dibacakan kedua-dua surah itu hingga ke akhirnya (kepada orang yang hampir mati) nescaya akan memudahkan rohnya keluar. Jika tidak dapat menghabiskan kedua-dua surah itu maka memadailah sebahagiannya.

Perlu diingatkan, kita seharusnya memerhati keadaan orang yang hampir akan mati. Sekiranya ia masih mempunyai ingatan dan menyedari keadaan sekelilingnya, maka bacalah surah Yasin untuknya.

Jika ia sudah tidak ada ingatan lagi dan tidak sedar keadaan sekelilingnya maka bacakanlah untuknya surah al-Ra’d.

Demikianlah pendapat Syeikh Ali Syubramulsi pada Hasyiah Kitab Nihayah.

2. Adakah menitikkan air ke dalam mulut orang yang hampir mati (nazak) itu wajib atau hanya sunat saja?

Jika terdapat padanya tanda yang menunjukkan di dalam keadaan dahaga, maka wajib dimasukkan air ke dalam mulutnya.

Tetapi jika tidak ada tanda yang menunjukkan ia dahaga maka hukumnya hanya disunatkan saja kerana cuma dibimbangi dia berada dalam keadaan dahaga.

Ini kerana kebiasaannya orang yang sedang bertarung dengan sakaratul maut berasa dahaga.

Dikatakan juga bahawa syaitan akan datang kepada orang yang sedang menghadapi sakaratul maut dengan membawa bekas berisi air seraya berkata kepadanya, “Sebutlah tidak ada tuhan melainkan aku (syaitan) dan aku akan beri engkau minum air ini.”

Jika ia berasa dahaga dan amat memerlukan air, maka ia akan berkata seperti yang diajar oleh syaitan dan kalau itu berlaku maka matilah dia bukan dalam agamanya yang asal iaitu Islam, bahkan dia mati dalam kekufuran.

Demikianlah yang dinyatakan oleh Syeikh Ibn Hajar. Oleh itu, kita dikehendaki supaya menitikkan atau memasukkan air ke dalam mulut orang yang hampir mati supaya ia tidak berasa dahaga dan tidak memerlukan air yang dibawa oleh syaitan.”

Sumber: Furu’ Al-Masa’il Wa Usul Al-Wasa’il oleh Maulana Al-Syeikh Daud Abdullah Al-Fathani dan disusun Datuk Abu Hasan Din Al-Hafiz