• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,245,136 orang
  • Kandungan Blog

Tabarruk: bertabayyun sebelum tuduh syirik

Dr Mohd Khafidz Soroni

Isu tawassul dan tabarruk sejak dahulu, kini dan selamanya adalah isu yang gemar diangkat oleh golongan Wahhabi serta dikaitkan dengan perbuatan syirik.

Mereka gemar menjaja isu seperti ini setiap kali mendapat kesempatan berbuat demikian. Kali ini adalah isu bertabarruk dengan air Telaga Tok Syeikh di Gunung Jerai yang dijaja sebagai berlaku perbuatan khurafat di sana.

Telaga Tok Syeikh sebenarnya sempena nama Syeikh Abdullah al-Qumairi al-Yamani (wafat selepas 531H bersamaan 1136M) yang mengislamkan Sultan Kedah pertama, Sultan Muzaffar Shah I (mangkat 575H bersamaan 1179M).

Air telaga terbabit pernah digunakan Syeikh Abdullah sebagai sumber air minum, bersuci dan berwuduk ketika kerja pembinaan masjid dan sebuah menara di Gunung Jerai.

Menurut sejarawan terkenal, Allahyarham Wan Mohd. Shaghir Abdullah, Syeikh Abdullah al-Qumairi menyarankan supaya dibina sebuah menara sebagai tanda kebesaran Islam di puncak Gunung Jerai serta dijadikan sebagai tempat azan untuk menyeru orang sembahyang.

Maka, Sultan pun menitahkan supaya dilaksanakan saranan terbabit.

Jika catatan tarikh terbabit tepat, bermakna telaga berkenaan kini berusia lebih 880 tahun. Ini tidak menghairankan kerana banyak mata air di seluruh dunia yang sudah pun berusia ribuan tahun seperti telaga Zamzam misalnya.

Maka, sekiranya telaga terbabit adalah kesan peninggalan Syeikh Abdullah al-Qumairi dan bukti kedatangan Islam buat pertama kali ke Kedah, maka perlu sahaja bertabarruk dengan air telaga terbabit.

Isu tabarruk atau mengambil barakah ini sebenarnya adalah isu yang sudah banyak kali ditulis dan dijelaskan oleh ulama.

Bertabarruk ialah usaha mendapatkan keberkatan yang Allah SWT jadikan sebabnya pada makhluk-Nya yang tertentu seperti tiga Tanah Suci atau pada hamba-Nya yang soleh seperti para Anbiya’ dan solihin, termasuk peninggalan mereka.

Jika kita sudah mengenal Allah SWT, tiada unsur syirik yang berlaku kerana mendapatkan barakah sesuatu benda hakikatnya adalah usaha untuk mengambil keberkatan yang Allah SWT adakan sebabnya padanya, walaupun melalui jalan mujarrabat (data pengalaman). Ia sekadar usaha, bukan bermaksud benda itu mampu memberikan keberkatan, sebagaimana yang didakwa oleh pihak yang menolak amalan bertabarruk.

Sebaliknya umat Islam wajib meyakini bahawa yang berkuasa memberikan manfaat dan mudarat hanya Allah SWT semata-mata. Semua perkara yang terbabit tiada kuasa untuk memberikan keberkatan melainkan Allah SWT jua yang memberikannya di sisi perkara terbabit berdasarkan hukum adat.

Bagaimanapun, perlu sahaja jika keberkatan tidak diberikan kerana semuanya tertakluk atas izin-Nya belaka.

Ringkasnya, bertabarruk adalah usaha untuk mendapatkan keberkatan daripada Allah SWT, di samping meyakini bahawa segala manfaat dan mudarat hanya datang daripada-Nya.

Fahaman ini adalah selaras dengan pegangan akidah Ahli Sunnah Waljamaah (ASWJ) serta tidak bertentangan. Seumpama mengambil ubat adalah usaha, namun mesti meyakini yang menyembuhkan sakit adalah Allah SWT.

Makan juga adalah usaha, namun mesti meyakini yang mengenyangkan adalah Allah SWT. Menggunakan pisau adalah usaha, namun mesti meyakini yang memberi kesan memotong adalah Allah SWT. Menyalakan api adalah usaha, namun mesti meyakini yang memberi kesan membakar adalah Allah SWT.

Begitu seterusnya dan jika tidak meyakini demikian bermakna akidah kita sudah bercampur dengan unsur syirik.

Masalah golongan Wahhabi ialah mereka gemar menyangka semua umat Islam yang tidak mengikut fahaman mereka adalah seperti kaum Muktazilah iaitu mempercayai sesuatu benda boleh memberi kesan manfaat atau mudarat dengan kudrat atau kuasa yang diletakkan oleh Allah SWT padanya.

Justeru menurut fahaman mereka, sesuatu benda itu boleh memberi manfaat dan mudarat dengan sendirinya tanpa ada lagi campur tangan daripada Allah SWT.

Walhal iktikad kaum Muktazilah ini adalah fasiq lagi sesat menurut ulama ASWJ.

Maka, bersangka buruk (su’ az-zan) terhadap apa yang dilakukan umat Islam tanpa bertabayyun terlebih dahulu adalah penyakit hati segelintir pihak yang kononnya sudah berasa sempurna dan hebat.

Prasangka buruk terhadap umat Islam ini dibuat dengan alasan melaksanakan kaedah sad az-zari’ah (langkah pencegahan) bagi mencegah umat Islam melakukan kesyirikan.

Dengan kata lain, mereka sering beranggapan umat Islam yang tidak mahu mengikut fahaman mereka mudah melakukan syirik disebabkan jahil untuk membezakan yang mana Tuhan dan yang mana makhluk. Lalu, mereka akan dituduh sebagai pengamal khurafat, quburiyyun atau penyembah kubur.

Perlu diingat, ketika gerakan Wahhabi mula berkembang dahulu banyak darah yang ditumpahkan akibat isu sebegini.