• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,274,626 orang
  • Kandungan Blog

Tabarruk dibenar dengan dalil sahih

Abd Rahman Tajuddin

BARU-BARU ini tular di laman sosial berhubung klip video berlatarbelakangkan sebuah gunung popular di utara tanah air. Ramai yang menyatakan ia perbuatan khurafat, seharusnya kita berhati-hati sebelum menzahirkan perkara berkenaan.

Selepas meneliti video berkenaan, saya katakan bahawa pihak yang menyatakan ia perbuatan khurafat ternyata fitnah dan tuduhan melulu dilemparkan kepada hal yang sememangnya wujud dalilnya di dalam hadis. Hal seperti menziarahi makam termasuk berwuduk serta mandi untuk tabarruk mempunyai nas dalilnya.

Dewasa ini, muncul fahaman yang memudahkan orang melontarkan khurafat dan syirik kepada tabarruk iaitu mengambil keberkatan orang soleh yang meninggal dunia di sisi kubur mereka.

Sedangkan tabarruk iaitu ‘mengambil berkat’ wujud dalam hadis yang sahih. Ini seperti sabda Rasulullah SAW yang menyatakan berkat itu ada pada orang besar (anbia, auliya, ulama dan solehin).

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Keberkatan itu bersama orang besar kalian.” (Hadis Riwayat Ibnu Hibban No. 559, Al Hakim No. 210, katanya : Hadis sahih sesuai syarat al-Bukhari. Al Baihaqi dalam Syu’abul Iman No. 11004 dan lain-lain)

Maksud orang besar ini adalah ulama dan aulia. Ini dijelaskan sendiri oleh sahabat Baginda SAW iaitu Ibn Abbas maksud ‘Akaabir’ itu bermakna orang besar adalah ahlul ‘ilmi (ulama dan aulia). (Jaami’ Al Ahaadits No. 10505)

Keberkatan ini terkandung pada hal berkaitan kepada orang berkenaan seperti kain, rumah, barang peribadi, air, kolam, gelas, rambut dan termasuk kubur yang terkandung jasad mereka.

Mengenai keberkatan barang peribadi Rasulullah SAW telah digunakan untuk menyembuhkan penyakit. Keberkatan ini menyembuhkan apa sahaja penyakit.

Keberkatan peninggalan Baginda SAW ini terbukti berada di dalam hadis Sahih Muslim. Ia diriwayatkan oleh Asma binti Abi Bakar RA. Aisyah RA menyimpan jubah Rasulullah SAW yang selalu digunakan semasa Baginda hidup. Jubah itu dicuci oleh Asma dan airnya digunakan oleh orang yang sakit, akibatnya orang itu sembuh. Hal ini menunjukkan wujudnya barakah di sisi Rasulullah SAW dan aulia solehin.

Hadis ini disyarahkan oleh Imam An Nawawi bahawa keberkatan itu juga termasuk juga kepada peninggalan golongan auliya solehin seperti di dalam Kitab Minhaj beliau. Dalam hadis ini, ia menjadi dalil bahawa hal yang disukai bertabarruk dengan bekas golongan solehin dan pakaian mereka. (Al Minhaj Syarah Shahih Muslim, 14/44)

Malah syarahan Imam Nawawi ini juga diperkukuhkan dan ditegaskan oleh Imam Abul Hasan As Sindi ketika beliau menjelaskan bahawa sahabat Nabi yang bertabarruk dengan air wuduk bekas Nabi Muhammad SAW, maka ia juga sebagai dalil bolehnya tabarruk dengan bekas orang solehin. Pada hadis ini bukti adanya tabarruk kepada bekas harta orang solehin. (Hasyiyah As Sindi ‘Alan Nasa’i, 2/38)

Sedangkan Imam An Nawawi juga berkata tentang hadis berkenaan bekas wuduk. Pada hadis itu menjadi bukti tentang bertabarruk dengan sisa orang solehin dan memanfaatkan sisa air bersuci, makanan, minuman serta pakaian mereka. (Al Minhaj Syah Shahih Muslim, 4/219)

Ini menunjukkan mandi di kolam yang pernah digunakan oleh aulia solehin mengandungi keberkatan. Tabarruk di tempat itu tiada masalah dan ia bukan syirik seperti yang dituduh oleh golongan Literalisme. Syirik itu jika meyakini ada Tuhan selain Allah.

Ulama yang terkenal iaitu Imam As Suyuthi menyatakan bahawa memang benar ada keberkatan pada bekas orang solehin. Hadis ini dasar tentang bertabarruk dengan bekas-bekas orang Solehin dan pakaian mereka. (Hasyiyah Ibni Majah, Hal. 105)

Malah Imam Badruddin al Aini juga sedemikian yang menyatakan bekas orang solehin mempunyai keberkatan dan diharuskan untuk bertabarruk dengan berkata bahawa pada hadis berkenaan adalah dalil bolehnya bertabarruk dengan bekas orang solehin. (Umdatul Qari, 4/386)

Imam Abu Thayyib Syamsul Azhim Abadi ketika menjelaskan hadis riwayat Abu Daud (No. 52) itu, dengan sanad hasan, tentang Aisyah RA bersiwak menggunakan siwak bekas dipakai oleh Nabi Muhammad SAW setelah dicucinya. Hadis itu terdapat kebenaran bertabarruk dengan bekas orang solehin dan berlazat-lazat (bersenang-senang) dengannya. (Aunul Ma’bud,1/52)

Mengambil tabarruk ini sebenarnya telah dilakukan oleh ulama salaf silam. Dalam sejarah Imam As-Syafi’i pernah bertabarruk dengan baju Imam Ahmad bin Hambal yang juga sahabatnya sekali gus muridnya sendiri. Hal ini diceritakan oleh Imam Ibnu Asakir berikut ini:

Berkata Rabi’: “Imam Syafi’i pergi ke Mesir bersamaku, lalu berkata kepadaku: “Wahai Rabi’, ambil surat ini dan serahkan kepada Abu Abdillah Ahmad bin Hanbal, selanjutnya datanglah kepadaku dengan membawa jawapannya!”

“Aku memasuki Baghdad dengan membawa surat, aku menjumpai Imam Ahmad sedang solat Subuh, maka aku pun solat di belakang beliau. Setelah beliau hendak beranjak dari mihrab, aku serahkan surat itu: “Ini surat daripada saudaramu Imam Syafi’i di Mesir,” kataku.

“Kau telah melihat isi surat ini?” tanya Imam Ahmad. Aku jawab: “Tidak.” Beliau membuka dan membaca isi surat itu, sejenak kemudian kulihat beliau berlinang air mata. “Apa isi surat itu wahai Abu Abdillah?” tanyaku. “Isinya menceritakan bahwa Imam Syafi’i bermimpi Rasulullah SAW bersabda: “Tulislah surat kepada Ahmad bin Hanbal dan sampaikan salamku kepadanya. Khabarkan kepadanya bahawa dia akan mendapatkan ujian iaitu dipaksa mengakui bahawa al- Quran itu adalah makhluk maka janganlah turuti mereka, Allah akan meninggikan ilmu bagimu hingga hari kiamat.” Ar Rabi’ berkata: “Ini khabar gembira.” Lalu beliau melepaskan baju yang melekat di kulitnya, dia memberikan kepadaku dan aku mengambilnya dan membawanya ke Mesir, berserta jawapan suratnya. Aku menyerahkannya kepada Imam As-Syafi’i.

Beliau bertanya: “Wahai Ar Rabi’ apa yang diberikan Ahmad padamu?” Aku menjawab: “Baju yang melekat dengan kulit beliau.” Imam As-Syafi’i berkata: “Kami tidak akan merisaukanmu, tapi basahi baju ini dengan air, lalu berikan kepadaku air itu untuk bertabarruk dengannya.” (Imam Ibnu ‘Asakir, Mukhtashar Tarikh Dimasqa, 1/400)

Ini menunjukkan bahawa ulama besar bertaraf mujtahid mutlak juga melakukan tabarruk dengan orang solehin. Ia bukan syirik seperi kefahaman golongan Literalisme yang mudah menuduh syirik kepada mereka yang bertabarruk dengan menziarah makam ulama di Gunung Jerai.

Kalau tabarruk itu syirik dan haram, kenapa Nabi Muhammad SAW sendiri yang memberikan rambut baginda kepada sahabat untuk diambil keberkatan? Sedangkan rambut adalah makhluk tetapi ia dilakukan oleh Baginda SAW.

Sesungguhnya tabarruk bukan syirik, malah ia sunah kerana keberkatan itu ada dan wujud pada bekas anbiya, aulia, ulama dan solehin.