• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    al-bakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,345,177 orang
  • Kandungan Blog

Usah pandang enteng objektif perkahwinan

Mohd Izuddin Mohd Kasim

Perkahwinan adalah merupakan pembentukan institusi kekeluargaan dalam Islam yang mempunyai nilai dan tujuan yang sangat mulia dan murni, bahkan baginda Rasulullah SAW sendiri telah menggariskan empat perkara utama dijadikan sebagai penanda aras kepada umatnya dalam hal memilih calon isteri iaitu kecantikan, kekayaan, keturunan dan agama.

Baginda Rasulullah SAW sentiasa menasihati umatnya agar berkahwin dengan pasangan yang mempunyai latar belakang pendidikan agama yang teguh bagi mengelakkan berlakunya pelbagai masalah timbul dalam kancah kehidupan berumah tangga yang sentiasa bergolak, bertepatan dengan firman Allah dalam Surah An-Nisa’ ayat 1 yang bermaksud: “Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan-mu yang telah menciptakan kamu daripada diri yang satu, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya. Dan daripada keduanya Allah memperkembang biakkan lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.”

Namun masyarakat kini sering kali memandang enteng objektif di sebalik pembentukan institusi kekeluargaan ini di mana sebahagian besar daripada komuniti setempat menganggap perkahwinan hanyalah sekadar tiket halal melepaskan tempias nafsu seks semata-mata. Secara umumnya perkahwinan membawa erti lebih bermakna dan mendalam daripada sekadar menghalalkan hubungan yang dibina antara individu lelaki dan wanita, antaranya ikatan atau tautan kasih sayang antara pasangan, keluarga tersebut dan menambahkan zuriat keturunan dalam komuniti masyarakat. Beberapa tahun lalu kita digemparkan dengan kontroversi perkahwinan campur antara wanita Muslim rakyat Malaysia dengan pemain kriket non Muslim dari India yang diadakan mengikut resepsi adat resam perkahwinan masyarakat Hindu. Pelbagai persepsi dan tanggapan yang timbul di sebalik kontroversi tersebut, meskipun begitu konsep kahwin campur ini yang merentasi bangsa, kaum atau negara adalah sesuatu yang agak baharu di Malaysia. Terma perkataan ‘perkahwinan campur’ pada asalnya diperkenalkan oleh pihak Gereja Katholik untuk menggambarkan perkahwinan antara penganut Katholik dan bukan Katholik. 

Terma perkahwinan campur kini juga membawa maksud perkahwinan antara dua pihak yang berlainan agama, bangsa dan warganegara. Perkahwinan yang melibatkan penyatuan antara dua insan daripada golongan berbeza sama ada berlainan agama atau bangsa ini juga dipanggil ‘Eksogami’. Perkahwinan campur dalam Islam adalah perkahwinan di antara dua pihak yang berlainan latar belakang bangsa, agama atau warganegara. Sebagai contoh, sekiranya seorang melayu Muslim berkahwin dengan gadis sunti yang berbangsa Inggeris yang pada asalnya merupakan penganut agama lain, perkahwinan itu boleh dikira sebagai perkahwinan campur.

Menurut perundangan kekeluargaan Islam, syarak tidak pernah melarang pengikutnya untuk tidak berkahwin dengan penganut agama lain, jika bakal pasangannya bersedia untuk memeluk Islam secara sukarela setelah termaterainya akad nikah secara sah. Meskipun begitu syarak tetap memperincikan sudut pandang hukum dan enakmen undang-undang tertentu sesuai dengan tuntutan perundangan semasa supaya penganutnya yang beragama Islam tidak alpa dan lalai apabila cuba mempraktikkan konsep perkahwinan campur tersebut, berikut perincian hukum berkaitan konsep perkahwinan campur:

1. Perkahwinan campur membabitkan pasangan lelaki Muslim dan wanita bukan Muslim daripada agama samawi (Kristian dan Yahudi) yang berada di negara yang bukan diperintah oleh pemerintahan kerajaan Islam diharamkan bernikah menurut sebahagian fuqaha Mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali, manakala majoriti sebahagian besar mereka berpandangan mengharuskan berserta hukumnya makruh melihat kepada objektif asal perkahwinan. Namun fuqaha Mazhab Syafie meletakkan dua prasyarat penting yang perlu direalisasikan sebelum bersetuju dengan penyataan hukum berkenaan iaitu pertama ia merasakan dirinya ketika itu yang berada di negara di mana tidak begitu ramai majoriti umat Islam wajar bernikah bagi mengelakkan berlakunya hubungan zina berserta ia mendapati ketiadaan wanita Muslim di negara tersebut. Keduanya disusuli harapan semoga wanita bukan Muslim yang di negara bukan Muslim tersebut ingin memeluk Islam dan mendalami ajaran Islam selepas akad nikah antara mereka berlangsung. (Rujuk Hasyiyah Ibn A’abidin m/s 4/134, Al-mabsut m/s 2/20, Hasyiyah Ad-Dusuqi Ala Syarh Al-kabir m/s 2/213, Hasyiyah Al-kharasyi m/s 2/243, Al-Muharrar Lil Majd Ibn Taimiah m/s 2/21, Al-muhgni Lil Ibn Qudamah m/s 13/149 dan Hasyiyah Al-qalyubi m/s 3/250)

2. Perkahwinan campur membabitkan pasangan lelaki Muslim dan wanita bukan Muslim daripada agama samawi (Kristian dan Yahudi) yang berada di negara yang diperintah oleh pemerintahan kerajaan Islam, hukumnya adalah makruh kerana melihat kepada per kapita purata bilangan wanita Muslim yang ramai di negara berkenaan. (Rujuk Hasyiyah Ibn A’abidin m/s 4/125, Mudawwanat Al-kubro’ m/s 2/129,  Raudhat At-Tholibin m/s 7/135 dan Al-mub’die m/s 7/70)

3. Perkahwinan campur membabitkan pasangan lelaki Muslim dan wanita bukan Muslim daripada agama selain agama samawi seperti Hindu, Buddha, Konfusianisme dan sebagainya samada berada di negara yang diperintah oleh pemerintahan kerajaan Islam ataupun tidak, hukumnya tetap haram kerana hasil perkahwinan tersebut boleh merosakkan pembentukan institusi kekeluargaan yang selaras dengan kehendak syarak, meruntuhkan moral keberagaman, menafikan hak-hak melibatkan pewarisan harta dan sebagainya. (Rujuk Al-bada’ie As-Sana’ie m/s 2/270, Al-Qawanin Al-Fiqhiyyah m/s 1/137, Mugni Muhtaj m/s 3/187 dan Al-Insof m/s 8/136)

Justeru menurut Akta (303) Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 – Bahagian 2, Seksyen 10, perkahwinan campur melibatkan berlainan agama adalah seperti berikut:

(1) Tiada seseorang lelaki boleh berkahwin dengan seseorang bukan Islam kecuali seorang Kitabiyah. 

(2) Tiada seseorang perempuan boleh berkahwin dengan seseorang bukan Islam.

Kesimpulannya, manifestasi isu perkahwinan campur dalam konteks komuniti masyarakat Malaysia dilihat bukanlah disebabkan oleh masalah dalam institusi perkahwinan itu sendiri, sebaliknya berakar-umbi daripada isu pengkategorian masyarakat mengikut garis etnisiti yang terlalu sempit dan superfisial sehingga menidakkan kewujudan interaksi antara etnik yang subur dan dinamik dalam realiti kehidupan sebenar. Bahkan syarak sama sekali tidak melarang penganut Islam untuk meraikan manifestasi ini yang kian tular. Namun agenda di sebalik isu perkahwinan campur dalam kalangan masyarakat Melayu Islam sewajarnya dipatuhi sesuai menurut   spektrum dan perundangan Islam. Wallahua’lam.

Tinggalkan komen