• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,252,916 orang
  • Kandungan Blog

Halal haram dilanggar

Dr Khairul Asyraf Mohd Nathir

SETIAP sesuatu yang ada di muka bumi ini adalah harus selagi tiada dalil atau nas  berkaitan pengharamannya. Secara umumnya ini adalah pendekatan yang diletakkan oleh fuqaha sebagaimana yang disebut oleh Imam Suyuthi:  “Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).”

Walaubagaimanapun, menjelang kepada hampirnya kiamat manusia tidak lagi mempedulikan hal ehwal halal dan haram sama ada dalam bentuk makanan atau minuman, harta yang diperoleh, kelakuan dan percakapan.

Perkara ini adalah berdasarkan sabda Baginda Nabi SAW, daripada Abu Hurairah RA, maksudnya:  “Pasti akan datang suatu zaman di mana manusia tidak lagi mempedulikan dari mana hartanya diperoleh: Apakah dari jalan yang halal atau haram?” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Hadis di atas memberi isyarat bahawa pemahaman manusia berkaitan halal dan haram semakin lama semakin nipis sehingga setiap perkara yang telah nyata halal atau haram sewenang-wenangnya dilanggar dan diketepikan.

Situasi ini adalah merujuk kepada keadaan manusia akhir zaman yang lebih mementingkan sumber kewangan, kekayaan semata-mata tanpa melihat pertimbangan yang sebaik mungkin berdasarkan agama dan moral. Terdapat jenis-jenis pekerjaan dan sumber pendapatan yang haram melibatkan ramai umat Islam yang terlibat antaranya arak.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:  “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Surah al-Maidah, ayat 90)

Imam Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:  “Dan sesungguhnya khamar itu haram dan hasil jualannya juga haram. Sesungguhnya khamar itu haram dan hasil jualannya juga haram. Sesungguhnya khamar itu haram dan hasil jualannya juga haram.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Justeru bagi seorang Mukmin hendaklah dia bertakwa kepada Allah SWT dengan menghindari diri daripada terlibat daripada apa-apa pekerjaan yang terlibat dengan arak. Ini dikuatkan dengan hadis Anas bin Malik RA  maksudnya: Rasulullah SAW melaknat dalam isu arak ini 10 golongan: “Pemerah (anggur untuk arak), orang yang minta diperahkan, peminumnya, pembawanya, orang yang meminta bawa kepadanya, orang yang menuangkan arak, penjualnya, orang yang makan hasil jualannya, orang yang membelinya dan orang yang meminta dibelikan untuknya.” (Hadis Riwayat Imam al-Tirmidzi)

Selain itu riba’ turut menjadi salah satu pekara yang semakin dilupai oleh ramai manusia. Daripada al-Sha’bi RA  berkata maksudnya:  “Rasulullah SAW melaknat orang yang memakan riba’, orang yang memberi riba’, saksinya dan penulisnya.” (Hadis Riwayat al-Nasa’i)

Firman Allah SWT yang bermaksud:  “Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan tinggalkanlah riba’ (yang belum dipungut) jika kamu orang-orang yang beriman. Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba) maka ketahuilah, bahawa Allah dan Rasul-Nya akan memerangimu. Dan jika kamu bertaubat (daripada mengambil riba), maka bagimu pokok hartamu, kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya.” (Al- Baqarah, ayat 278-279)

Keadaan ini bertambah buruk apabila rasuah berleluasa sehingga dalam sedar atau tidak seseorang itu telah melakukan rasuah dengan tujuan tertentu.

Pengharaman rasuah adalah jelas sama ada di dalam al-Quran dan al-Sunnah. Larangan rasuah dalam al-Quran diambil daripada celaan Allah SWT terhadap kaum Yahudi yang biasa mengambil rasuah.

Allah SWT berfirman maksudnya: “Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya).” (Surah al-Maidah, ayat 42)

Firman Allah SWT maksudnya:  “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian daripada harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).” (Surah al-Baqarah, ayat 188)

Manakala dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr RA, Rasulullah SAW bersabda maksudnya:  “Laknat Allah kepada pemberi rasuah dan penerima rasuah.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Dalam keadaan yang getir, khususnya apabila melibatkan kekurangan wang dan sebagainya, terdapat mereka yang menjadikan maruah diri sebagai taruhan. Perkara ini sedar atau tidak telah berlaku dan turut dilaporkan dalam media arus perdana.

“Matlamat tidak menghalalkan cara.”

Pekerjaan tersebut adalah seperti pelacur, teman sosial (di kelab malam), penari, penyanyi dan pemain alat muzik di kelab malam (terdapat hidangan arak dan pergaulan bebas lelaki perempuan), bounzer (pengawal keselamatan untuk tempat maksiat), tukang urut untuk berlainan jenis (lelaki mengurut wanita atau wanita mengurut lelaki), menjadi model pakaian atau iklan yang mendedahkan aurat dan menjadi tontonan orang ramai dan mendapat habuan (wang ringgit atau projek) kerana merancang konspirasi bertujuan mengaibkan seseorang Muslim dengan memasang CCTV, membuat video atau mengambil gambar dan sebagainya.

Selain itu, pesta mencuba sesuatu makanan haram di luar negara juga mula merebak ke negara kita. Sebagaimana yang telah diketahui umum, binatang yang telah diharamkan secara tetap dari sudut daging, kulit, darah dan semua berkaitan denganya adalah babi.

Allah SWT berfirman maksudnya:  “Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai dan darah dan daging babi.” (Surah al-Baqarah, ayat 173)

Memakan makanan yang halal lagi baik adalah satu tuntutan di dalam Islam.

Firman Allah SWT  maksudnya:  “Dan makanlah daripada rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu iaitu yang halal lagi baik.” (Surah al-Maidah, ayat 88)

Pada ayat lain, Allah SWT  berfirman maksudnya:  “Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.” (Surah al-A’raf, ayat 157)

Oleh itu, tiada keringanan untuk menggunakan semua berkaitan dengan babi walaupun ada kelebihan yang dinyatakan oleh pihak barat.

Justeru itu, setiap umat Islam perlu memastikan setiap perkara yang dilakukan seharian perlu berlandaskan syariat Islam dan memastikan hanya perkara yang halal sahaja dilaksanakan dan menjauhi segala yang diharamkan.

Alam barzakh menunggu

Dr Mohd Khairy Asyraf Mohd Nathir

Setiap manusia akan meninggalkan dunia dan menuju ke alam yang nyata berbeza dengan kehidupan yang serba indah pada ketika ini. Kehidupan manusia yang sementara ini akan sentiasa di selubungi dengan keindahan, kesusahan, cabaran dan pelbagai lagi bertujuan untuk melihat siapakah di antara hamba Allah yang sebaik-baik amalan. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat).” (Surah al-Mulk ayat 2)

Walaubagaimanapun, ada manusia yang diuji dengan ujian yang besar sehingga mereka tidak mampu lagi untuk hidup di atas dunia ini. Kesannya, ada yang membunuh diri bagi menyelesaikan masalah dunia yang dihadapi. Sedangkan mereka tidak mengetahui hakikat alam barzakh yang lebih dahsyat daripada kehidupan dunia.

Nabi SAW bersabda maksudnya: “Sesungguhnya, janganlah setiap kamu mahukan kematian kerana adanya sesuatu kesusahan hidup yang menimpa. Apabila dia memang mahukan kematian tersebut, hendaklah dia berkata: “Ya Allah, hidupkanlah aku selagi kehidupan itu baik bagiku dan matikanlah aku jika kematian itu lebih baik bagiku.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis lain, Baginda Nabi SAW bersabda maksudnya: “Janganlah setiap kamu meminta kematian sebelum ajal menjemputmu kerana apabila seseorang kamu meninggal dunia, maka amal kebaikanmu akan terputus, sedangkan tujuan Allah memanjangkan usia seseorang Mukmin adalah menambah kebaikan mukmin itu sendiri.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Janganlah salah seorang daripada kamu semua mengharapkan kematian kerana jika dia adalah orang yang suka melakukan kebajikan, maka boleh jadi dia akan terus menambah kebaikan atau jika dia adalah orang yang sentiasa melakukan perbuatan dosa, maka boleh sahaja dia bertaubat.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

https://imasdk.googleapis.com/js/core/bridge3.516.0_en.html#goog_12224609

https://imasdk.googleapis.com/js/core/bridge3.516.0_en.html#goog_12224611

https://imasdk.googleapis.com/js/core/bridge3.516.0_en.html#goog_12224613

https://imasdk.googleapis.com/js/core/bridge3.516.0_en.html#goog_12224615

https://imasdk.googleapis.com/js/core/bridge3.516.0_en.html#goog_12224617

Kematian bukan sekadar lenyapnya seseorang itu dan tidak akan ada lagi kejadian setelah itu, tetapi kematian adalah terputus atau terpisahnya hubungan antara roh dengan badan, bertukar atau berpindahnya sesuatu keadaan kepada keadaan yang lain, suatu tempat kepada tempat yang lain dan kematian adalah satu musibah paling besar.

Namun, terdapat perkara yang lebih dahsyat daripada kematian iaitu lalai dalam menghadapi kematian, berpaling dan hanya sedikit mengingati kematian serta meninggalkan amalan soleh yang merupakan bekalan yang besar selepas kematian. Bahkan pada kematian terdapat pesanan serta pelajaran bagi orang yang berfikir.

Kesempatan bertaubat untuk memohon keredaan Allah SWT

Keredaan Allah SWT hanya boleh diperoleh melalui taubat dan tidak lagi mengulangi perbuatan dosa yang lalu.

Allah SWT berfirman maksudnya: “Oleh itu, sama ada mereka bersabar menderita azab atau sebaliknya (maka sama sahaja) kerana nerakalah tempat tinggal mereka dan jika mereka memohon peluang untuk mendapat keredaan Allah, maka mereka bukanlah lagi daripada orang-orang yang diterima permohonannya.” (Surah Fussilat ayat 24)

Diriwayatkan daripada Sahl bin Abdullah At-Tastari, dia berkata: “Mahukan kematian adalah dilarang. Kecuali bagi tiga jenis orang iaitu orang yang tidak mengetahui apa yang akan berlaku setelah kematian, orang yang lari daripada takdir Allah SWT dan Orang yang amat ingin sekali berjumpa dengan Allah SWT.”

Diriwayatkan bahawa Malaikat maut datang menemui Khalilullah (Ibrahim AS) untuk mencabut nyawanya, lalu Nabi Ibrahim berkata: “Wahai Malaikat Maut, pernahkah kamu melihat seorang sahabat yang mahu mencabut nyawa sahabatnya sendiri? Mendengar kata-kata itu, Malaikat Maut Kembali menemui Allah SWT. Allah SWT lalu berkata kepada Malaikat Maut: “Adakah kamu pernah melihat seeorang yang tidak gembira bertemu dengan sahabatnya?” Setelah itu Malaikat Maut kembali menemui Nabi Ibrahim dan menyampaikan kata-kata Allah SWT kepdanya. Nabi Ibrahim berkata: “Jika demikian cabutlah nyawaku saat ini juga.”

Abu Darda menyatakan kematian yang menimpa diri seseorang Mukmin tujuannya adalah baik. Allah SWT berfirman maksudnya: “Tetapi orang-orang yang bertakwa kepada Tuhan mereka, mereka beroleh syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya, sebagai tempat sambutan tetamu (yang meriah dengan nikmat pemberian) daripada Allah. Dan (ingatlah) apa jua yang ada di sisi Allah adalah lebih bagi orang-orang yang berbakti (yang taat, yang banyak berbuat kebajikan).” (Surah Ali Imran ayat 198)

Pada ayat lain Allah SWT berfirman maksudnya: “Dan jangan sekali-kali orang-orang kafir menyangka bahawa Kami membiarkan (mereka hidup lama) itu baik bagi diri mereka; kerana sesungguhnya Kami biarkan mereka hanyalah supaya mereka bertambah dosa (di dunia) dan mereka pula beroleh azab seksa yang menghina (di akhirat kelak).” (Surah Ali Imran ayat 178)

 Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Hari Kiamat tidak akan berlaku sehingga orang yang lalu di kubur orang lain berkata: “Alangkah baiknya jika aku juga berada di situ.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Allah SWT menceritakan tentang Nabi Yusuf dan Maryam yang memohon kematian kepada Allah SWT. Kisah Nabi Yusuf ini adalah sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya Engkau telah mengurniakan daku sebahagian daripada kekuasaan (pemerintahan) dan mengajarku sebahagian daripada ilmu tafsiran mimpi. Wahai Tuhan yang menciptakan langit dan bumi Engkau Penguasa dan Pelindungku di dunia dan di akhirat; sempurnakanlah ajalku (ketika mati) dalam keadaan Islam dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh.” (Surah Yusuf ayat 101)

Kisah Maryam pula adalah sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “(Ketika ia hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar (kurma); ia berkata alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang!” (surah Maryam ayat 23)

Abu Qatadah menjelaskan: “Tidak seorang pun yang mahukan kematian, baik orang biasa mahupun Nabi kecuali Yusuf AS kerana keinginannya berjumpa dengan Tuhannya amat besar selepas mendapat nikmat serta kurnia yang melimpah daripada Allah SWT.”

Kisah Maryam pula terdapat dua pandangan mengapa Maryam inginkan kematian.

Pertama: Dia takut apabila orang berburuk sangka serta memburuk-burukkan sehingga menyebabkan fitnah bagi dirinya.

Kedua: Agar kaumnya tidak menuduhnya melakukan pembohongan serta kemaksiatan (zina) yang boleh membawa malapetaka bagi kaum itu.

Justeru, kematian merupakan kiamat kecil bagi semua manusia. Setiap manusia tidak akan terlepas daripada kematian. Tempoh kehidupan di dunia adalah sangat singkat. Oleh itu, setiap manusia perlu memanfaatkan masa yang ada untuk meningkatkan amal ibadah dan memperbanyakkan sedekah seterusnya memastikan kehidupan di alam barzakh kelak   dalam keadaan yang baik.

Larangan meminta mati akibat putus asa

Dr Khairul Ashraf Nathir

Hakikat kehidupan manusia di dunia ada yang manis, ada yang pahit, ada yang selalu dalam kegembiraan, ada yang terpalit kesusahan dan ada yang dalam keadaan sederhana sepanjang masa. Namun setiap apa yang ditentukan oleh Allah SWT pasti tidak lain tidak bukan untuk menguji hamba-Nya, yang manakah betul-betul beriman dan amalan yang paling mulia di sisi Allah.

Walaupun keadaan kehidupan kita semakin pulih daripada kesusahan yang melampau dua tahun kebelakangan ini, namun, setiap kesusahan tersebut tidak boleh diakhiri dengan kematian yang dianggap penyelesaian kepada semua perkara. Perkara ini adalah sebagaimana sabda Baginda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya, janganlah setiap kamu mahukan kematian kerana adanya sesuatu kesusahan hidup yang menimpanya. Apabila dia memang mahukan kematian tersebut, hendaklah dia berkata: “Ya Allah, hidupkanlah aku selagi kehidupan itu baik bagiku dan matikanlah aku jika kematian itu lebih baik bagiku.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis lain, Baginda Nabi SAW bersabda maksudnya: “Janganlah setiap kamu meminta kematian sebelum ajal menjemputmu kerana apabila seseorang kamu meninggal dunia, maka amal kebaikanmu akan terputus, sedangkan tujuan Allah memanjangkan usia seseorang mukmin adalah menambah kebaikan mukmin itu sendiri.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan hadis ini, kehidupan manusia atas dunia adalah bersifat sementara dengan jangka masa yang sangat pendek. Sekiranya panjang umur, maka ambil peluang untuk sentiasa melakukan kebaikan sebagai saham utama di alam barzakh kelak. Baginda Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Janganlah salah seorang daripada kamu semua mengharapkan kematian, kerana jika dia adalah orang yang suka melakukan kebajikan, maka boleh jadi dia akan terus menambah kebaikan atau jika dia adalah orang yang sentiasa melakukan perbuatan dosa, maka boleh sahaja dia bertaubat.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Kematian bukanlah penutup segala masalah yang dihadapi di atas dunia ini, bahkan perjalanan manusia di alam barzakh adalah penuh berliku menuju ketempat kekal abadi. Alam dunia adalah destinasi ketiga manusia selepas alam roh dan alam rahim. Maka ketika berada di alam dunia ini sahajalah manusia perlu untuk melakukan sesuatu kebaikan yang akan memberikan kesenangan di alam barzakh, mahsyar, hisab, titian sirat, telaga khautar, syafaat Baginda Nabi SAW seterusnya ke syurga.

Diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah, dia berkata: Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Janganlah kamu mahukan kematian kerana keadaan kematian itu merupakan sesuatu yang amat dahsyat. Apabila seseorang hamba diberi usia panjang, Allah memberi kesempatan untuk bertaubat kepadanya.” (Hadis Riwayat Al-Bazzar, hadis ini bertaraf dhaif)

Kematian bukan sekadar lenyapnya seseorang itu dan tidak akan ada lagi kejadian setelah itu, tetapi kematian adalah terputus atau terpisahnya hubungan antara roh dengan badan, bertukar atau berpindahnya sesuatu keadaan kepada keadaan yang lain, suatu tempat kepada tempat yang lain dan kematian adalah satu musibah paling besar.

Allah SWT berfirman maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila salah seorang di antara kamu hampir mati, ketika (ia mahu) berwasiat, hendaklah wasiatnya itu disaksikan oleh dua orang yang adil di antara kamu atau dua orang lain (yang bukan seagama) dengan kamu, jika kamu dalam pelayaran di muka bumi lalu kamu ditimpa bencana sakit yang membawa maut. Kalau kamu ragu-ragu tentang kejujuran kedua saksi itu, hendaklah) kamu tahan mereka sesudah selesai sembahyang, kemudian mereka (disuruh) bersumpah dengan nama Allah (dengan berkata: “Demi Allah) kami tidak akan menjual sumpah kami untuk mendapat sesuatu harta benda, walaupun orang itu daripada kaum kerabat dan kami tidak menyembunyikan (keterangan yang kami ketahui) sebagai saksi (sebagaimana yang diperintahkan oleh) Allah, (kerana jika kami menyembunyikannya) tentulah kami dengan itu termasuk dalam golongan orang-orang yang berdosa.” (Surah Al-Ma’idah ayat 106)

Terdapat perkara yang lebih dahsyat daripada kematian iaitu lalai dalam menghadapi kematian, berpaling dan hanya sedikit mengingati kematian, serta meninggalkan amalan soleh yang merupakan bekalan yang besar selepas kematian. Bahkan pada kematian terdapat pesanan serta pelajaran bagi orang yang berfikir.

Kesempatan bertaubat untuk memohon keredaan Allah SWT

Keredaan Allah SWT hanya boleh diperoleh melalui taubat dan tidak lagi mengulangi perbuatan dosa yang lalu.

Allah SWT berfirman maksudnya: “Oleh itu, sama ada mereka bersabar menderita azab atau sebaliknya (maka sama sahaja) kerana nerakalah tempat tinggal mereka; dan jika mereka memohon peluang untuk mendapat keredaan Allah, maka mereka bukanlah lagi daripada orang-orang yang diterima permohonannya.” (Surah Fussilat ayat 24)

Diriwayatkan daripada Sahl bin Abdullah At-Tastari, dia berkata: “Mahukan kematian adalah dilarang. Kecuali bagi tiga jenis orang iaitu orang yang tidak mengetahui apa yang akan berlaku setelah kematian, orang yang lari daripada takdir Allah SWT dan Orang yang amat ingin sekali berjumpa dengan Allah SWT.”

Diriwayatkan bahawa Malaikat maut datang menemui Khalilullah (Ibrahim AS) untuk mencabut nyawanya, lalu Nabi Ibrahim berkata: “Wahai Malaikat Maut, pernahkah kamu melihat seorang sahabat yang mahu mencabut nyawa sahabatnya sendiri? Mendengar kata-kata itu, Malaikat Maut kembali menemui Allah SWT. Allah SWT lalu berkata kepada Malaikat Maut: “Adakah kamu pernah melihat seeorang yang tidak gembira bertemu dengan sahabatnya? “Setelah Malaikat Maut kembali menemui Ibrahim dan menyampaikan kata-kata Allah SWT kepdanya. Nabi Ibrahim berkata: “Jika demikian cabutlah nyawaku saat ini juga.”

Abu Darda menyatakan bahawa kematian yang menimpa diri seseorang Mukmin tujuannya adalah baik. Allah SWT berfirman maksudnya: “Tetapi orang-orang yang bertakwa kepada Tuhan mereka, mereka beroleh Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya, sebagai tempat sambutan tetamu (yang meriah dengan nikmat pemberian) daripada Allah. Dan (ingatlah) apa jua yang ada di sisi Allah adalah lebih bagi orang-orang yang berbakti (yang taat, yang banyak berbuat kebajikan).” (Surah Ali Imran ayat 198)

Pada ayat lain Allah SWT berfirman maksudnya: “Dan jangan sekali-kali orang-orang kafir menyangka bahawa Kami membiarkan (mereka hidup lama) itu baik bagi diri mereka; kerana sesungguhnya Kami biarkan mereka hanyalah supaya mereka bertambah dosa (di dunia) dan mereka pula beroleh azab seksa yang menghina (di akhirat kelak).” (Surah Ali Imran ayat 178)

Justeru, sebanyak manapun ujian dan cabaran yang ditempuhi di atas dunia, kesemuanya untuk meningkatkan darjat dan ketakwaan seseorang. Dengan ujian itu jugalah, gugurnya dosa-dosa yang sentiasa dilakukan. Semoga kita sentiasa dalam rahmat dan kasih sayang Allah SWT.

Peluang Lepasan SPM/STAM daftar Pelajar Sementara di Pondok

Islam muliakan ibu

Dr Azri Bhari

Saban tahun Hari Ibu disambut pada Ahad kedua Mei oleh seluruh masyarakat dunia. Hari Ibu disambut untuk menzahirkan tanda penghargaan kepada wanita yang mengorbankan kehidupan demi kebahagiaan anak mereka.

Peranan ibu sangat penting dalam sesebuah keluarga dan mempunyai persamaan dengan bapa yang turut diiktiraf melalui sambutan Hari Bapa saban tahun sebagai tunjang kekuatan sesebuah keluarga.

Islam sangat menganjurkan supaya memuliakan dan menghormati ibu bapa sebagaimana dititikberatkan dalam al-Quran serta hadis tanpa terbatas atau terikat dengan masa atau tempat. Malah kewajipan kepada anak adalah berpanjangan dan berkekalan sepanjang hayat.

Perintah mentaati ibu bapa bukan setakat melakukan kebaikan, tetapi turut sebagai bukti keimanan dan ketakwaan. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya, ibunya mengandungnya dengan susah payah dan melahirkannya dengan susah payah, mengandungkannya sampai menyusukannya adalah tiga puluh bulan sehingga apabila dia dewasa dan umurnya sampai empat puluh tahun dia berdoa: ‘Ya Tuhanku, tunjukilah aku untuk mensyukuri nikmat Engkau yang Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapaku serta supaya aku dapat berbuat amal yang soleh yang Engkau redai; berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau dan sesungguhnya aku termasuk golongan orang yang berserah diri.'” Surah al-Ahqaf: 15

Seterusnya, anak perlu mengutamakan ibu bapa kerana Islam meletakkan kemuliaan ibu bapa selepas Allah SWT dan Rasul-Nya berdasarkan hadis keredaan serta kemurkaan Allah bergantung kepada ibu bapa.

3

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Keredaan Allah terletak pada keredaan ibu bapa dan kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa.” Riwayat at-Tirmizi

Berbakti kepada ibu bapa bukan setakat semasa mereka masih hidup, malahan perlu berterusan walaupun sudah meninggal dunia. Anak yang baik dan taat kepada ibu bapa tidak akan melupakan jasa serta pengorbanan yang mereka dilakukan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah: ‘Wahai Tuhanku, kasihanilah mereka kedua-duanya, sebagaimana mereka berdua mendidik aku waktu kecil.'” Surah al-Isra’: 24

Terdapat pelbagai cara dan kaedah untuk berbakti dan berbuat kebaikan kepada ibu bapa yang boleh dilakukan oleh anak.

Pertama, menzahirkan kasih sayang dan mendoakan kesejahteraan ibu bapa. Anak yang soleh sentiasa mendoakan ibu bapa diberkati dan dirahmati oleh Allah SWT.

Hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Apabila manusia meninggal dunia, terputuslah amalannya kecuali daripada tiga perkara (iaitu) sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya.” Riwayat Muslim: no.1631; Sunan Abu Daud, no:2880; Sunan at-Tirmidi, no:1376

Selain itu, firman Allah SWT yang bermaksud: “Doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Rabbku! cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka mencurahkan kasih sayang memelihara dan mendidikku semasa kecil.” Surah al-Isra’: 24

Kedua, menyediakan kemudahan dan tempat tinggal yang selesa. Menjadi tanggungjawab anak memastikan dan memberikan kemudahan sesuai kepada ibu bapa terutama yang berusia lanjut serta uzur.

Paling baik adalah sekiranya ibu bapa selesa dibawa tinggal bersama bagi menjamin keselamatan dan keperluan harian dapat diuruskan dengan baik.

Ketiga, menghulurkan bantuan kewangan atau keperluan. Anak bertanggungjawab memberi nafkah atau bantuan kewangan kepada ibu bapa supaya mencukupi perbelanjaan kehidupan.

Sebenarnya nafkah dan sumbangan yang diberikan anak tidak mampu menandingi atau membalas pengorbanan ibu bapa yang membesar dan mendidik sewaktu kecil sehingga mampu berdikari.

Keempat, memenuhi dan menunaikan permintaan. Anak perlu mengutamakan dan memenuhi permintaan ibu bapa berbanding tugas yang lain.

Nabi SAW menunjukkan bahawa berbakti kepada ibu bapa menjadi urusan turutan kedua selepas melaksanakan perintah solat dalam hadis yang bermaksud:

Daripada Abdullah ibn Mas’ud RA berkata, “Aku bertanya kepada Rasulullah SAW: ‘Amalan apakah yang paling Allah sukai? Baginda menjawab: Solat pada waktunya. Kemudian apa, kataku. Baginda menjawab: Berbuat baik kepada ibu bapa. Aku bertanya lagi, kemudian apa? Baginda menjawab: Jihad di jalan Allah.'” Riwayat al-Bukhari

Kelima, bertutur dengan sopan dan lemah lembut terhadap ibu bapa. Islam mendidik masyarakat supaya menjauhkan diri daripada menengking, membentak, mengeluarkan kata kasar dan mengeluarkan pengucapan yang rendah nilainya.

Perlakuan dan pengucapan yang rendah nilai adalah seperti menunjukkan sikap tidak acuh, tidak peduli dan tidak suka semasa berkomunikasi dengan ibu bapa.

Anak dilarang meninggikan suara ketika bercakap dengan ibu bapa kerana dianggap perbuatan yang buruk dan tercela berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘ah!’…” Surah al-Isra’: 32

Keenam, meluangkan dan melapangkan masa bersama-sama. Anak yang tinggal berasingan dengan ibu bapa perlu kerap meluangkan masa mengunjungi mereka.

Bahkan, Nabi SAW menyarankan menjaga hubungan baik dengan saudara-mara, tetangga dan sahabat kepada ibu bapa dalam hadis yang bermaksud: “Sesungguhnya sebaik-baik bentuk bakti (kepada orang tua) ialah seseorang anak itu menyambungkan tali persaudaraan keluarga sahabat karib ayahnya.” Riwayat Muslim

Ketujuh, tidak menderhaka kepada ibu bapa. Melakukan perkara yang tidak disukai ibu bapa bermakna melakukan perbuatan derhaka. Islam meletakkan bahawa menderhaka kepada ibu bapa tergolong dalam perbuatan dosa besar.

Hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Mahukah kamu aku sampaikan tentang sesuatu yang termasuk daripada dosa besar? Baginda mengulangi pertanyaan sehingga tiga kali (lalu berkata): Menyekutukan Allah, derhaka terhadap kedua-dua orang tua dan kesaksian palsu…” Riwayat Muslim

Demikianlah, kebaktian dan kebaikan yang boleh diberikan oleh anak dalam pelbagai sudut seperti keperluan material, emosi dan rohani kepada ibu bapa tercinta.

Kesimpulannya, sambutan Hari Ibu bukanlah perayaan keagamaan, tetapi adat sahaja. Sambutan diadakan adalah sebagai suatu penghormatan tambahan dengan tidak membataskan pada waktu dan tempat tertentu. Sebaliknya, sentiasa memberi penghormatan dan ketaatan kepada ibubapa selaras dengan syariat Islam.

‘Post mortem’ Ramadan

Datuk Mohd Ajib Ismail

Alhamdulillah, hari ini kita sudah memasuki Syawal dan hampir memasuki minggu kedua bulan Syawal yang diraikan serta dinantikan bersama.

Sebahagian masyarakat seakan-akan melepaskan dendam setelah dua tahun tidak dapat menikmati suasana kemeriahan persiapan hari raya. Mengimbau kembali menjelang Syawal, kebanyakan pusat membeli-belah utama dan bazar Aidilfitri kembali sesak dikunjungi. Sesetengah tempat menganjurkan ekspo jualan 24 jam tanpa henti. Keadaan tersebut sudah tentu menjadi khabar gembira buat peniaga yang mencari rezeki serta kembali merancakkan kegiatan ekonomi. Orang ramai pula berpusu-pusu di lebuh raya mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung halaman masing-masing setelah sekian lama tidak dapat menyambut hari raya bersama sanak saudara. Namun dalam suasana kemeriahan tersebut, perlu kita lihat semula Ramadan yang sudah berlalu pergi dan mungkin kita akan bertemu dengan bulan mulia berkenaan tahun depan atau ia menjadi Ramadan terakhir.

Seandainya kita mengetahui bilakah waktu terakhir diberikan kesempatan untuk bertemu dengan Ramadan lagi, nescaya kita berusaha sedaya upaya melaksanakan amal ibadah yang terbaik supaya dapat meraih sebanyak mungkin ganjaran yang dijanjikan. Kita akan bermujahadah dengan melaksanakan amalan secara bersungguh-sungguh serta menepis sebarang halangan dan rintangan yang menghalang diri daripada mengerjakan ibadah. Golongan yang bermujahadah dalam beribadah akan diberikan petunjuk oleh Allah SWT ke jalan yang diredai-Nya. Firman Allah SWT dalam surah al-Ankabut ayat 69 yang bermaksud: “Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.”

 Sifat mujahadah akan mendorong semangat dalam beribadah sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW yang sering menunaikan solat malam. Dalam sebuah hadis daripada Aisyah RA berkata maksudnya: “Adapun Nabi SAW solat sebanyak sebelas rakaat, kadar satu sujud Nabi SAW adalah selama tempoh seseorang itu membaca 50 ayat sebelum Baginda SAW mengangkat kepalanya. Nabi SAW rukuk (solat) sebanyak dua rakaat sebelum solat Subuh. Kemudian Baginda SAW berbaring pada sebelah kanan sehingga didirikan solat.”

Setelah melaksanakan segala amal ibadah, berdoalah agar amalan yang dipersembahkan diterima di sisi Allah SWT sebagaimana doa yang pernah diucapkan oleh Nabi Ibrahim AS ketika baginda dan anaknya, Ismail telah siap mendirikan Kaabah. Doa tersebut dipanjatkan supaya Allah menerima setiap amal kebaikan dan pembinaan Kaabah tersebut. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 127 yang bermaksud: “Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

https://imasdk.googleapis.com/js/core/bridge3.516.0_en.html#goog_1470012573

https://imasdk.googleapis.com/js/core/bridge3.516.0_en.html#goog_1470012575

https://imasdk.googleapis.com/js/core/bridge3.516.0_en.html#goog_1470012577

https://imasdk.googleapis.com/js/core/bridge3.516.0_en.html#goog_1470012579

https://imasdk.googleapis.com/js/core/bridge3.516.0_en.html#goog_1470012581

 Justeru setiap kali selesai melaksanakan amal kebajikan, tanamkanlah azam agar amalan tersebut diterima oleh Allah serta dapat menjadi penolong buat kita di akhirat kelak.

Jauhilah sebarang perbuatan yang merosakkan amal ibadah di bulan Ramadan yang mulia setelah kita berpenat lelah mengerjakannya. Perbuatan seperti hiburan yang melampau, penghasilan lagu-lagu dan video muzik yang tidak selari dengan semangat dan matlamat Ramadan dan Aidilfitri hanya menjadikan amalan kita sia-sia. Sematkanlah niat yang ikhlas dalam beramal semata-mata kerana Allah SWT sebagaimana firman-Nya dalam al-Quran surah al-Baiyyinah ayat 5 yang bermaksud: “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah Agama yang benar.”

Sesungguhnya bukti bahawa kita benar-benar terkesan dengan tarbiyah Ramadan adalah perasaan berat hati untuk melepaskannya pergi dan rindu untuk merebut peluang beribadah dan ganjaran pahala yang diberi. Tetaplah beristiqamah melakukan amal kebajikan sama ada banyak ataupun sedikit walaupun Ramadan berlalu pergi. Antara tanda-tanda seseorang mendapat kemanisan iman ialah apabila dia sangat senang dan cinta untuk melaksanakan ibadah kepada Allah SWT pada setiap masa. Melalui kemanisan iman, seseorang akan mempunyai sifat istiqamah dalam dirinya untuk kekal melakukan amalan ibadah serta sentiasa menunggu-nunggu dan rindu untuk melakukan ibadah. Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Tiga perkara apabila terdapat pada diri seseorang, ia merasai kemanisan iman: Siapa yang cintanya kepada Allah dan Rasul lebih daripada cintanya kepada yang lain, siapa yang cintanya kepada orang lain hanya kerana Allah (dan bukan kerana suatu tujuan duniawi) dan ia membenci kembali kepada kekufuran selepas Allah menyelamatkannya (daripada kekufuran), sebagaimana bencinya akan dicampakkan ke dalam api neraka.” (Riwayat Muslim)

 Apabila seseorang merasakan kemanisan dalam beribadah dan mendekatkan diri kepada Allah, ia adalah petanda bahawa dia mengingati Allah dan Allah juga mengingatinya. Seseorang yang merasai kemanisan beribadah akan merasakan kerinduan yang tinggi apabila leka dan alpa daripada menunaikan amalan ibadah kepada Allah.

Mudah-mudahan segala penat lelah, ujian dan kesabaran yang kita semua lalui dalam melaksanakan ketaatan menjunjung titah perintah Allah SWT sepanjang Ramadan akan diganjari balasan syurga sebagaimana firman Allah dalam surah al-Furqan ayat 75 bermaksud: “Mereka itu semuanya akan dibalas dengan mendapat tempat yang tinggi di Syurga disebabkan kesabaran mereka dan mereka pula akan menerima penghormatan dan ucapan selamat di dalamnya.”

 Firman Allah dalam ayat yang lain surah al-Insan ayat 12-13 bermaksud: “Dan kerana kesabaran mereka (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan larangan-Nya), mereka dibalas oleh Allah dengan Syurga dan (persalinan daripada) sutera. Mereka berehat di dalam Syurga dengan berbaring di atas pelamin-pelamin (yang berhias), mereka tidak nampak di situ adanya matahari (usahkan hawa panasnya), dan tidak juga merasai suasana yang terlampau sejuk.”

Belajar dalam semua situasi

Dr Nor Hazrul Mohd Salleh

Pendidik adalah sangat penting dan dititikberatkan dalam Islam. Tarbiyah (pendidikan) menjadi asas pembangunan dan kemajuan bangsa dan negara. Ketinggian ilmu akan menjamin sesebuah negara dapat dipacu ke arah kemajuan yang menepati keperluan negara. Oleh itu, menjadi prasyarat untuk maju adalah dengan berkembangnya ilmu dalam pelbagai bidang.

Menuntut ilmu adalah fardu (wajib). Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja daripada tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (daripada melakukan larangan Allah).” (Surah al-Taubah, ayat 122)

Tuntutan mendalami ilmu pengetahuan sebagaimana dalam ayat di atas juga adalah jelas daripada sabda Rasulullah SAW: “Menuntut ilmu adalah fardu ke atas setiap Muslim.” (Riwayat Ibnu Majah). Malah, penguasaan ilmu pengetahuan menjadi pemisah di antara dua golongan manusia; golongan berilmu dan golongan tidak berilmu. Allah SWT berfirman: “Katakanlah lagi (kepadanya), adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?. Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.” (Surah al-Zumar, ayat 9)

Menjelang cuti persekolahan yang akan bermula pastinya ibu bapa sudah merancang jadual terbaik untuk anak, khususnya bagi ibu bapa yang bekerja. Mereka keluar bekerja seperti biasa dan meninggalkan anak di rumah. Maka, menjadi tanggungjawab ibu bapa memastikan anak-anak memanfaatkan cuti dengan sebaiknya. Bercuti tidaklah bermakna meninggalkan terus pembelajaran. Apatah lagi peperiksaan utama akan berlangsung selepas cuti iaitu apabila sesi pembelajaran rasmi bersambung semula.

Ketika berada di sekolah, biasanya ibu bapa akan melepaskan tanggungjawab mendidik kepada guru di sekolah. Ada ibu bapa yang langsung tidak mencampuri urusan pengajian anak dan mengharapkan semata-mata kepada guru. Begitu juga dalam pembinaan sahsiah anak. Perkara ini sedikit terpesong daripada pemahaman berkaitan tanggungjawab mendidik anak-anak.

Tanggungjawab asal dalam mendidik anak-anak adalah di atas bahu ibu bapa. Bahkan, memang secara dasarnya pendidikan anak ini telah bermula dari rumah. Anak-anak akan mula mendapat sentuhan guru mereka apabila mereka mula ke sekolah. Oleh itu, pendidikan awal yang mereka terima daripada ibu bapa mereka sangat mempengaruhi proses pendidikan daripada guru mereka di sekolah. Jika asas pendidikan awal ini baik, maka proses seterusnya akan berjalan dengan baik. Namun, jika sebaliknya maka sedikit sebanyak akan mempengaruhi pendidikan yang diteruskan guru di sekolah.

Dalam konteks agama, Allah SWT meletakkan tanggungjawab kepada manusia agar menjaga (supaya tidak terjerumus ke neraka) mereka yang di bawah tanggungan mereka. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada neraka yang bahan bakarannya manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.” (Surah al-Tahrim, ayat 6)

Antara tugas utama manusia ialah mendidik supaya mereka yang di bawah tanggungannya mengenali Allah SWT. Kewajipan mengenal Allah SWT ini adalah asas ketaatan hamba kepada pencipta-Nya. Allah SWT berfirman: “Oleh itu, maka tetapkanlah pengetahuanmu dan keyakinanmu (wahai Muhammad) bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, dan mintalah ampun kepada-Nya bagi salah silap yang engkau lakukan, dan bagi dosa-dosa orang-orang yang beriman – lelaki dan perempuan; dan (ingatlah), Allah mengetahui akan keadaan gerak-geri kamu (di dunia) dan keadaan penetapan kamu (di akhirat).” (Surah Muhammad, ayat 19)

Seterusnya, manusia diberi tanggungjawab agar memulakan dakwah dan mentaati-Nya dengan memulakan daripada keluarga terdekat. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.” (Surah Taha, ayat 132)

Di samping tugas mendidik dan menyampaikan kebenaran, manusia juga diberi tanggungjawab mencegah kemungkaran. Manusia yang selalunya terdedah kepada keingkaran kepada Allah SWT juga perlu diberi peringatan agar tidak melanggar larangan Allah SWT. Perintah ini juga Allah SWT mulakan dengan ahli keluarga terdekat. Allah SWT berfirman: “Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat” (Surah al-Syu’ara’, ayat 214). Oleh, itu tanggungjawab mendidik tidak terbatas kepada masa dan konteks yang rasmi. Seharusnya ia diteruskan dalam semua situasi dan ia juga tanggungjawab semua pihak terutama ibu bapa.

Apabila dirujuk kepada tanggungjawab kepemimpinan dalam Islam ia disebutkan Rasulullah SAW: “Setiap daripada kamu pemimpin dan kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap orang yang di bawah pimpinan kamu; seorang pemerintah pemimpin dan akan dipertanggungjawabkan terhadap rakyatnya; seorang lelaki pemimpin kepada anggota keluarganya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap anggota keluarganya; seorang wanita adalah pemimpin di rumah suaminya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap anak-anaknya dan pimpinannya; dan khadam diamanahkan terhadap harta tuannya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang di bawah amanahnya.” (Riwayat Bukhari & Muslim)

Ibu bapa cermin terbaik buat anak-anak

Datuk Dr Luqman Abdullah

Baru-baru ini, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) ada menerima soalan daripada orang awam berhubung adakah benar atau wujud kesahihannya apabila seseorang anak itu berakhlak buruk serta tidak baik adalah kerana dosa ibu bapa mereka.

  Secara ringkasnya tidak ada nas yang jelas yang menyatakan dosa ibu bapa menjadi penyebab kepada akhlak tidak baik anak-anak.   

  Walaubagaimanapun nas ada menyebutkan tentang tanggungjawab ibu bapa untuk mengajar dan mendidik anak-anak agar patuh kepada ajaran agama.

Dalam mendidik anak-anak ibu bapa juga perlu menjadi contoh teladan dengan menunjukkan sikap dan budi pekerti yang baik di hadapan anak-anak kerana anak-anak cenderung mengikuti tingkah laku yang paling hampir dengan mereka.

  Kekurangan bimbingan agama dan ketiadaan contoh teladan daripada ibu bapa boleh mempengaruhi akhlak anak-anak.

  Walaubagaimanapun setelah ada usaha bimbingan daripada ibu bapa tetapi anak-anak masih berkelakuan tidak baik maka ia merupakan ujian terhadap ibu bapa atau Allah SWT ingin memberi kebaikan dan ganjaran pahala kepada mereka.

Nas-nas yang ada ialah tentang kewajipan ibu bapa memberi pendidikan yang baik kepada anak-anak dari sudut pemantapan iman diikuti ibadah dan hubungan yang baik sesama manusia. Firman Allah SWT bermaksud: “Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang dan suruhlah berbuat kebaikan serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah daripada perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.” (Surah Luqman, ayat 17)

  Dalam ayat ini, Allah SWT menceritakan perihal Luqman seorang hamba Allah yang soleh yang menasihatkan anaknya agar menjauhi perbuatan syirik, mengerjakan amal-amal soleh serta berakhlak dengan akhlak yang mulia. (Rujuk: Fath al-Bayan fi Maqasid al-Quran, 10/287)

  Allah SWT memberi peringatan dengan jelas kepada orang beriman agar memelihara diri mereka dan keluarga dengan membimbing ke arah kebaikan dan ketakwaan kepada Allah SWT. Firman Allah SWT bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada neraka.” (Surah al-Tahrim, ayat 6)

Ibu bapa adalah cermin kepada anak-anak. Berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda bermaksudnya: “Tidaklah dilahirkan seorang anak itu melainkan dia lahir dalam keadaan fitrah. Maka kedua  ibubapanya yang menjadikannya beragama yahudi atau menjadikannya beragama nasrani atau menjadikannya beragama majusi.” (Hadis Riwayat Muslim, No 4805)

  Dalam mendidik anak-anak ibu bapa perlu menunjukkan teladan yang baik dengan mematuhi segala ajaran agama dan ini sudah tentu akan mempengaruhi anak-anak dalam proses pendidikan tersebut. Imam Ibnu Hajar al-Haitami ada menyebutkan  jika ibu bapa bertakwa kepada Allah SWT, nescaya Allah SWT akan mengurniakan kebaikan dan mempermudah kan segala urusan zuriat mereka dengan memberi keberkatan serta petunjuk dalam kehidupan zuriatnya.

Namun sebaliknya, jika ibu bapa mereka tidak melaksanakan perintah Allah dan melanggar larangan Allah, nescaya anak-anak mereka akan berkelakuan sebagaimana kelakuan ibu bapa mereka. (Rujuk: al-Zawajir ‘an aI-iqtiraf al-Kaba’ir, 1/23)

Jika sekiranya ibu bapa telah melaksanakan tanggungjawabnya dalam pendidikan agama anak-anak, tetapi anak-anak masih tidak berakhlak dengan akhlak yang baik maka itu adalah satu ujian bagi ibu bapa. Mereka perlu bersabar atas ujian itu dan ia menjadi sebab kepada ganjaran pahala di sisi Allah kepada ibu bapa.   Sebagai kesimpulan, tidak ada nas yang jelas yang menyatakan dosa ibu bapa menjadi penyebab kepada akhlak tidak baik anak-anak. Walaubagaimanapun nas ada menyebutkan tentang tanggungjawab ibu bapa untuk mengajar dan mendidik anak-anak agar patuh kepada ajaran agama.

Dalam mendidik anak-anak ibu bapa juga perlu menjadi contoh teladan dengan menunjukkan sikap dan budi pekerti yang baik di hadapan anak-anak kerana anak-anak cenderung mengikuti tingkah laku yang paling hampir dengan mereka. Kekurangan bimbingan agama dan ketiadaan contoh tauladan daripada ibu bapa boleh mempengaruhi akhlak anak-anak. Walaubagaimanapun setelah ada usaha bimbingan daripada ibu bapa tetapi anak-anak masih berkelakuan tidak baik maka ia merupakan ujian terhadap ibu bapa atau Allah SWT ingin memberi kebaikan dan ganjaran pahala kepada mereka.

Ziarah kubur ingatkan kematian

Ustaz Hafiz Za’farani

Kini, kita sudah berapa hari dalam bulan Syawal yang penuh dengan kemeriahan, antara perkara yang sering dipersoalkan setiap tahun ialah berkaitan hukum ziarah kubur pada hari raya. Kita biasa dengar orang tua-tua ajak pergi kubur selepas solat hari raya. Begitu juga ia masih diamalkan pada zaman ini, namun ada juga terdengar suara-suara sumbang yang membidaahkan amalan ini. Bahkan ada yang tidak malu mendakwa amalan ini hanya dilakukan di Nusantara sahaja. Sedangkan ulama-ulama Arab membincangkan hal panjang lebar dalam fatwa mereka.

Secara umumnya, ziarah kubur adalah diharuskan dan jika dengan ziarah kubur dapat memberi keinsafan maka disunatkan, hal ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:  “Aku pernah melarang kamu daripada menziarahi kubur, maka sekarang ziarahlah kamu.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Ulama hadis memahami hadis ini sebagai keharusan untuk ziarah kubur. Demikian ulama fiqh juga memahami sesuatu perkara yang asalnya dilarang kemudian disuruh oleh Nabi menatijahkan hukum harus. Larangan Nabi sebelum ini kerana pada permulaan Islam masih banyak perangai atau kebiasaan Arab Jahiliyyah yang perlu dibaiki dalam diri pada sahabat. Contohnya kebiasaan mereka sekiranya menghadiri upacara kematian, mereka akan meratapi si mati, merobek pakaian dan meraung-raung kesedihan. Hal ini dilarang dalam agama, maka untuk menghindari perkara seperti ini ketika itu Nabi melarang ziarah kubur. Setelah akidah dan akhlak umat Islam sudah mantap, barulah Nabi membenarkan ziarah kubur dilakukan.

Tambahan lagi dalam riwayat Al-Tirmidzi Nabi ada bersabda: “Maka sesungguhnya ia mengingatkan kepada akhirat.”

Berdasarkan hadis ini ulama mengatakan sunat ziarah kubur untuk mengingati akhirat, tanpa mengira masa atau hari. Hal ini diakui oleh ulama keempat-empat mazhab.  Oleh itu, ziarah kubur pada hari raya tidak dilarang, tidak makhruh apatah lagi haram kerana termasuk dalam keharusan yang umum. Hal yang sama ditegaskan dalam fatwa rasmi Kerajaan Mesir iaitu Fatwa dari Dar Al-Ifta, no.612.

Menurut ulama, antara hadis yang menjadi sandaran kepada keharusan menziarahi kubur pada hari raya adalah hadis berikut:

Jabir bin Abdillah RA  meriwayatkan: “Nabi SAW apabila pergi beraya (untuk solat) maka Baginda akan pergi dan balik melalui jalan berbeza.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari, no.957)

Menurut Imam Badruddin Al-Aini ketika mensyarahkan hadis ini dalam kitab beliau Umdatul  Qari Syarh Sahih Al-Bukhari, beliau menyenarai 20 hikmah Nabi melalui jalan yang berbeza, di antaranya:  “Untuk menziarahi kerabatnya yang masih hidup ataupun yang telah meninggal dunia.”

Lebih jelas lagi, dalam kitab Irsyadus Sari Syarh Sahih Al-Bukhari karya Imam Abi Al-Abbas Ahmad bin Muhammad Al-Qasthalani juga menyenaraikan 12 hikmah di antaranya:  “Untuk menziarahi kubur kaum kerabat Baginda pada kedua-dua jalan.”

Perkara yang sama dinyatakan oleh Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani dalam Fathul Bari Syarh Sahih Al-Bukhari. Bahkan, Imam Syamsuddin Al-Kirmani dalam kitabnya Al-Kawakib Ad-Darari Fi Syarh Sahih Al-Bukhari menyatakan hikmah Nabi melakukan demikian kerana:  “Bahawa untuk mendoakan ahli kubur pada kedua-dua jalan.”

Oleh kerana hadis di atas diriwayatkan dalam Sahih Al-Bukhari, maka ulama-ulama yang mensyarahkannya kelihatan sepakat menyatakan hal ini. Hal yang sama dipersetujui oleh Imam Ibnu Allan Asy-Syafie dalam Dalilul Falihin dan Imam Al-Munawi dalam Faidhul Qodir.

Berdasarkan fakta di atas, dapat kita ketahui amalan kita ziarah kubur adalah termasuk dalam sunah dan juga hikmah daripada amalan Nabi melalui jalan berbeza. Maka daripada itu juga, kita amalkan dengan tenang dan aman di Malaysia sejak turun temurun tanpa sebarang usaha mengelirukan umat Islam.

Demikianlah kefahaman ulama sehingga mereka berpandangan amalan ziarah kubur pada hari raya adalah dibolehkan dan tidak timbul dakwaan bidaah dhalalah. Fatwa dari Ulama Al-Azhar Asy-Syarif telah menyatakan pendirian:  “Dari sini kita mengetahui bahawa melakukan ziarah kubur oleh ramai orang setelah hari raya, jika tujuannya menjadi pelajaran dan mengingat orang yang telah mati, yang dahulu mereka bersamanya saat hari raya dan merasa senang dengan kehidupannya serta memohon rahmat dan doa untuk mereka, maka hukumnya boleh, selamanya.” (Fatawa Al-Azhar, juz.8, ms.391 dan Al-Fatawa Min Ahsan Al-Kalam, juz.1, ms.348)

Kenyataan ini jelas menunjukkan tujuan ziarah kubur yang dilakukan oleh masyarakat Melayu adalah sama seperti yang dinyatakan di atas. Sebaliknya dakwaan ziarah kubur hanya dilakukan di Nusantara juga terbatal dengan kenyataan ini. Demikian juga, sangkaan apabila menziarahi kubur maka ahli keluarga akan bersedih dan merosakkan suasana raya juga tidak tepat jika kita melihat kepada realiti. Mereka ziarah kubur bukan kerana untuk bersedih tetapi untuk mendoakan ahli keluarga yang pernah bersama menyambut hari raya dahulu tetapi sekarang telah meninggal dunia.

Secara umumn ya, anjuran menziarahi kubur secara umum dari hadis adalah memadai. Manakala, masyarakat Malaysia menziarahi kubur pada hari raya pula adalah kerana hari tersebut kebetulan dapat balik kampung dan berpeluang menziarahi kubur ibu bapa dan keluarga mereka. Mereka tidak menganggap ada sebarang kelebihan ziarah pada hari tersebut seperti dakwaan yang sengaja diada-adakan.

Namun, ada mulut jahat kaum Wahhabi yang mempersoal kenapa tidak ziarah hari lain
dan mendakwa kita telah mengkhususkan hanya pada hari raya. Sedangkan, ulama dunia membenarkan ziarah kubur pada hari raya, tanpa ada seorang yang mendakwa ada kelebihan tertentu. Perbuatan tersebut berlaku dengan sokongan dari ulama, bersesuaian dengan masa dan tidak bercanggah dengan syariat. Maka jelaslah, mereka telah mencipta suatu prasangka, lalu menghukum atas prasangka ciptaan mereka sendiri. Usaha ini menunjukkan mereka golongan yang gemar memperdaya umat Islam. Akhir kalam, saya harap dengan hujjah di atas kita dapat memperoleh ilmu baharu dan kefahaman yang benar.

Lahir golongan Muttaqin

Mohd Shahrizal Nasir

R amadan sudah melabuhkan tirainya, Syawal menjelma lagi. Bulan yang kehadirannya sebelum ini dinanti-nantikan, kini meninggalkan seluruh umat Islam dan akan kembali lagi pada tahun akan datang. Mudah-mudahan kita termasuk dalam kalangan hamba-Nya yang terus terpilih untuk berada dalam Ramadan mendatang.

Sesungguhnya ibadah puasa adalah satu ibadah yang amat istimewa kerana nilai pahalanya diberikan secara langsung oleh Allah SWT.

Rasulullah SAW ber sabda dalam sebuah hadis yang maksudnya: “Semua amalan anak Adam untuknya. Allah berfirman: Kecuali puasa. Ia untuk-Ku dan Aku yang akan membalasnya.” (Muttafaq ‘alaih)

Tatkala berbicara tentang puasa Ramadan, kita sering diingatkan mengenai kelebihan ibadah puasa yang mempunyai perkaitan rapat dengan takwa. Dalam bahasa Arab, orang yang bertakwa disebut sebagai ‘muttaqin’. Hubung kait puasa Ramadan dengan takwa dijelaskan oleh Allah SWT menerusi firman-Nya bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183)

Jelaslah bahawa ibadah puasa Ramadan boleh menjadi sebab seseorang Muslim termasuk dalam kalangan Muttaqin. Ulama mendefinisikan perkataan takwa, antaranya Imam Ar-Raghib al-Asfahani yang menyatakan: “Takwa iaitu menjaga jiwa daripada perbuatan yang membuat seseorang berdosa dan hal itu dengan meninggalkan apa sahaja yang dilarang oleh Allah SWT.”

Imam an-Nawawi pula menjelaskan maksud takwa iaitu: “Mentaati perintah dan larangan-Nya.” Berdasarkan penjelasan tersebut, dapat difahami bahawa takwa berkait rapat dengan keakuran seseorang hamba terhadap titah perintah Allah SWT. Segala larangan Allah SWT wajib dijauhi, manakala segala suruhan-Nya mesti dilakukan dengan penuh rasa kehambaan.

Begitulah ibadah puasa yang melarang umat Islam melakukan perkara yang asalnya dihalalkan pada bulan lain. Tatkala umat Islam boleh makan dan minum pada siang hari sepanjang 11 bulan, namun pada bulan Ramadan mereka dilarang melakukan rutin berkenaan. Semuanya dilakukan sebagai tanda akur terhadap titah perintah Allah SWT.

Tempoh sebulan mentaati perintah Allah SWT, selain menggandakan amalan lain sepanjang Ramadan adalah satu bentuk tarbiah kepada seluruh umat Islam. Semua tarbiah tersebut akhirnya dapat meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT.

Takwa letaknya dalam hati dan dizahirkan menerusi perbuatan anggota badan. Keakuran mengikut perintah Allah SWT agar berpuasa berada dalam hati. Tidak ada seorang pun yang dapat mengetahui status ibadah puasa orang lain. Dalam keadaan diri berada seorang diri, tidak ada manusia lain yang dapat memastikan diri kita sedang berpuasa atau sebaliknya melainkan Allah SWT. Boleh sahaja seseorang melanggar perintah Allah SWT kerana orang lain tidak akan mengetahui keadaan sebenar diri yang mungkin boleh sahaja makan dan minum ketika bersendirian.

Namun, disebabkan takwa dalam diri, umat Islam terus melaksanakan perintah Allah SWT dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran pahala daripada-Nya. Rasulullah SAW pernah bersabda yang mafhumnya: “…takwa itu letaknya di sini,” sambil menunjuk ke dadanya sebanyak tiga kali.” (Hadis Riwayat Muslim)

Imam an-Nawawi menjelaskan bahawa: “Rasulullah SAW menunjuk ke arah dadanya, iaitu maksudnya hati.” Dalam Kitab al-Arba’in, Imam an-Nawawi memasukkan sebuah hadis Rasulullah SAW yang menjelaskan kepentingan hati dalam diri manusia.

Dalam jasad setiap manusia ada segumpal daging iaitu hati, jika baik daging tersebut, maka baiklah seluruh diri manusia tersebut. Justeru, seseorang Muslim yang baik perlu memiliki hati yang baik, iaitu hati yang ada takwa.

Ibn Daqiq al-‘Id pula menjelaskan makna hadis Rasulullah SAW tersebut, dengan mendatangkan hadis lain bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada jasad kalian dan rupa kalian, akan tetapi Dia melihat kepada hati kalian.” (Hadis Riwayat Muslim)

Penjelasan ini memberi kefahaman bahawa amalan zahir yang dapat dilihat oleh manusia lain belum tentu dapat menghasilkan ketakwaan. Namun ketakwaan itu adalah apa yang terdapat di dalam hati daripada pengagungan terhadap Allah, rasa takut kepada-Nya (khashyah), mendekatkan diri kepada-Nya dan hati yang berasa sentiasa diawasi Allah SWT. Semua perkara ini melibatkan hati dan ia menjadi bukti adanya takwa dalam diri.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran maksudnya: “Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati syiar agama Allah maka (dialah orang yang bertakwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan daripada sifat takwa hati orang Mukmin.” (Surah al-Hajj, ayat 32)

Ibadah puasa yang dilakukan dengan penuh keimanan dan benar-benar mengharapkan ganjaran daripada Allah menjadi punca seseorang mencapai darjat Muttaqin iaitu golongan yang bertakwa.

Terdapat banyak ayat al-Quran yang menjelaskan kedudukan istimewa golongan Muttaqin. Golongan ini memperoleh ganjaran syurga sepertimana yang dinyatakan oleh Allah SWT dalam banyak ayat al-Quran.

“Sesungguhnya orang yang bertakwa (Muttaqin) adalah ditempatkan di dalam beberapa taman syurga, dengan mata air terpancar padanya.” (Surah al-Hijr, ayat 45)

“Sesungguhnya orang yang bertakwa (Muttaqin) (akan ditempatkan) di tempat tinggal yang aman sentosa (syurga).” (Surah ad-Dukhan, ayat 51)

“Sesungguhnya orang yang bertakwa (Muttaqin), ditempatkan dalam taman syurga dan nikmat kesenangan (yang tidak ada taranya).” (Surah at-Tur, ayat 17)

“Sesungguhnya orang yang bertakwa (Muttaqin), ditempatkan dalam taman syurga (yang indah) dan (dekat) beberapa sungai.” (Surah al-Qamar, ayat 54)

“Sesungguhnya orang yang bertakwa (Muttaqin) berada di tempat teduh (yang dipenuhi pelbagai nikmat), dan yang berdekatan dengan mata air (yang mengalir).” (Surah al-Mursalat, ayat 41)

Pada ayat tersebut, Allah SWT menggunakan perkataan ‘sesungguhnya’ (inna) yang menunjukkan penegasan atau penguat keterangan. Ini bermakna sememangnya ganjaran untuk golongan Muttaqin sangat istimewa iaitu syurga-Nya. Golongan Muttaqin lahir antaranya daripada madrasah Ramadan sebagai peluang umat Islam mendidik hati untuk bersungguh-sungguh melaksanakan perintah Allah SWT dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Sebenarnya ganjaran golongan Muttaqin bukan sahaja melibatkan kehidupan di akhirat semata-mata, tetapi Allah SWT turut menjanjikan ganjaran istimewa ketika mereka hidup di dunia lagi. Ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: “…dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (daripada segala perkara yang menyusahkannya). Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telah pun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.” (Surah at-Talaq, ayat 2-3)