• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,252,906 orang
  • Kandungan Blog

Kesihatan mahkota orang sakit

Mohd Rizal Azman Rifin

DALAM menyusuri kehidupan di dunia ini, banyak daripada babak gaya laku hidup manusia yang dapat dijadikan bahan pengajaran. Misalnya, semasa saya sekeluarga pergi ke Tanah Haramain sekitar akhir 2019 dahulu, Allah telah ‘menyajikan’ satu pemandangan yang sangat perlu saya jadikan pengajaran dalam kehidupan ini.

Ketika selesai mengelilingi Baitullah sebagai amalan ibadat tawaf dan sempat mengambil ruang merehatkan badan buat seketika di dataran pesisir Masjidil Haram, mata saya terlensa pada seorang jemaah lelaki yang dalam keadaan uzur, namun tetap menghayun kaki untuk bersama-sama jemaah lain bagi melakukan tawaf.

Penuh gigih, tetapi jelas nampak kepayahan yang ketara bukan sahaja disebabkan keadaan fizikal yang kurang sihat, tetapi dalam waktu yang sama terpaksa berhimpit dalam kumpulan jemaah yang ramai. Hal itu menambahkan lagi kepayahannya untuk bergerak secara bebas dan selesa. Alhamdulillah syukur, saya lihat lelaki berkenaan dipermudahkan Allah dalam setiap pusingan tawaf walaupun berhadapan dengan situasi getir.

Gambaran kesusahan jemaah lelaki tersebut sampai sekarang tetap kekal bermain dalam fikiran kerana ia seolah-olah memberikan satu pengajaran berguna buat saya bahawa tubuh badan yang sihat, insya-Allah setiap gerak laku dalam amalan ibadat menjadi lebih selesa dan lancar. Peristiwa itu juga adalah isyarat jelas bahawa memelihara dan menjaga tahap kualiti kesihatan jasmani bukan boleh dipandang mudah begitu sahaja.

Maka benarlah sebagaimana maksud pepatah Arab yang mengungkap, ‘Kesihatan adalah mahkota di atas kepala orang yang sakit. Tidak ada yang mampu melihatnya kecuali orang yang sakit.’ Ya, mereka yang sedang mengalami keuzuran dan sakit sahaja yang mampu merasai betapa mahalnya kesihatan.

Sedangkan, mereka yang sihat segar bugar jasmani banyak alpa, lantas ‘malas’ untuk mendisiplinkan diri untuk menjaga dan memelihara kesihatan diri. Makan minum sekehendak hati. Misalnya semasa musim perayaan, kita layan sepuas-puasnya kehendak nafsu tanpa memikirkan kesan buruk atas perbuatan itu. Di musim perayaan juga kerap kali para pemandu kenderaan dengan gelagat penuh tergesa-gesa memecut laju untuk sampai cepat ke destinasi masing-masing tanpa ditimbangkan dengan akal yang rasional apakah natijahnya di sebalik perlakuan itu ke atas diri dan ahli keluarga.

Kecederaan akibat kemalangan pastinya akan mengganggu kesihatan jasmani, lantas segala rutin harian menjadi terbantut. Keluar bekerja tidak boleh. Menunaikan ibadat seperti solat tidak boleh lagi seperti norma biasa, sebaliknya sekadar duduk sahaja kerana kesakitan jasmani.

Maka, benarlah juga sepertimana pernah disabdakan oleh Nabi SAW dalam satu hadis popularnya yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang mengungkap, ‘Dua nikmat yang sering dilalaikan oleh manusia adalah kesihatan dan waktu lapang.’ Malah, Baginda Rasulullah SAW juga sudah mengingatkan umatnya dengan berpesan, ‘Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa sihat sebelum sakit, masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin), masa lapang sebelum datangnya masa sibuk, masa muda sebelum masa tua dan masa hidupmu sebelum tiba masa mati.’ (Hadis riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi)

Dua pesanan daripada Rasulullah SAW sebenarnya bukan kita tidak pernah dengar dan temui dalam catatan buku, tetapi begitulah lazimnya ia sekadar tahu tetapi tidak beramal dengan apa yang sudah diperingatkan oleh Baginda. Jadi, tidaklah menghairankan berapa banyak pesakit yang terkena penyakit yang beraneka nama yang sebahagian besarnya berpunca daripada kelalaian semasa diri masih sihat.

Demikian juga halnya, kita mungkin telahpun menyedari bahawa kesihatan merupakan unsur yang amat mustahak dalam kehidupan seharian. Dan kita juga insaf bahawa semua kenikmatan dan kelazatan duniawi akan pastinya tiada apa-apa makna apabila kesihatan badan terjejas. Namun, kita sering lupa dan memandangnya satu  perkara enteng tatkala badan berada dalam tahap sihat. Masa sihat itulah gelodak nafsu bermaharajalela menakluki diri. Insaf dan menyesal cuma terbenak di kala badan sudah tidak berupaya lagi.

Aspek memelihara dan menjaga badan agar kekal sihat tidak boleh dipandang sebelah mata sahaja, sebaliknya ia seharusnya sentiasa diajadikan agenda peribadi utama. Izinkan di sini saya utarakan satu ungkapan daripada seorang Tokoh Yunani bernama Herophilus yang merupakan seorang doktor pada era tahun 323 Sebelum Masehi dahulu. Katanya, “Apabila tidak ada kesihatan, kearifan dengan sendirinya tidak tercapai. Seni tidak mungkin muncul, kekuatan pasti lenyap, kekayaan menjadi tidak berguna dan kecerdasan sudah tiada gunanya lagi.”

Seperkara yang sangat perlu kita sedari adalah bahawa kesihatan itu bukan ‘percuma’ atau dengan kata lain ia datang dengan sendiri. Tubuh badan yang sihat sememangnya anugerah nikmat Allah tetapi ada asbabnya yang memungkinkan terbina situasi badan yang sihat itu. Ia tidak lain adalah sikap kita yang lebih teruja untuk menggayakan ‘potret hidup moden’ yang jauh daripada sunah dan yang dianjurkan oleh Islam.

Izinkan juga saya petik satu lagi kenyataan seorang tokoh perubatan Barat dan kali ini yang bernama Dr Andrew Well yang memberitahu, bahawa secara teorinya anggota jasmani manusia mampu bergerak secara produktif tanpa masalah selama 80 tahun. Pun begitu, secara praktikalnya, seseorang itu perlu mematuhi syarat-syarat asas pemeliharaan dan penjagaan jasmani.

Jadi, berdasarkan kenyataan beliau itu maka jelaslah kepada kita bahawa faktor munculnya pelbagai penyakit yang diistilahkan dalam bidang perubatan dan kesihatan sebagai penyakit degenerative, iaitu penyakit yang kebiasaannya dihidapi oleh golongan tua, tetapi kini telah juga dihidapi sama oleh generasi muda. Misalnya, kencing manis. Bukan orang tua sahaja mengalaminya, tetapi kini banyak generasi muda turut menderita disebabkan penyakit tersebut.

Dapatlah kita rumuskan bahawa berdasarkan kenyataan Dr Andrew itu tadi bahawa kesihatan tidak akan muncul sekiranya syarat-syarat pemeliharaan anggota jasmani diabaikan. Maka di sini jugalah kita kembali teringat kepada pesanan Rasulullah SAW yang pada saya satu hadis  ‘bertaraf kesihatan agung, iaitu ingat masa sihatmu sebelum tiba masa sakitmu.’

Maka, jaga dan peliharalah dengan penuh berdisiplin ‘mahkota diri’ kita iaitu kesihatan.