• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,252,915 orang
  • Kandungan Blog

Bezakan antara taasub dengan hormat guru

Dr Mohd Khafidz Soroni

Taasub atau fanatik diertikan sebagai kuat pegangan atau keyakinan yang keterlaluan terhadap sesuatu atau ‎seseorang.‎ Namun, adakalanya orang keliru antara taasub dan takzim yang diertikan sebagai rasa amat hormat atau penuh adab sopan. Taasub hakikatnya merujuk kepada perbuatan seseorang mengikut perkara yang salah serta mempertahankannya. Ya, taasub sebegini adalah antara punca tersebarnya fahaman sesat. Ada pun jika mengikut perkara yang benar, ia tidak dinamakan taasub sebaliknya keimanan atau keyakinan bagi seseorang. Misalnya, Bilal RA pernah diseksa oleh tuannya kerana memeluk Islam namun beliau tetap teguh dan yakin dengan kebenaran dakwah Nabi SAW.

Demikian juga sahabat Nabi SAW yang lain. Sifat mereka pernah digambarkan oleh Urwah ibn Mas’ud katanya: “Wahai kaumku, demi Allah, sesungguhnya aku pernah diutuskan untuk bertemu dengan raja. Aku pernah diutus kepada Qaisar, Kisra dan Najasyi. Demi Allah, aku tidak pernah melihat seorang raja pun yang diagungkan oleh pengikutnya seperti yang dilakukan oleh sahabat Muhammad SAW. Demi Allah, tidaklah beliau berludah, kecuali ludahnya itu akan jatuh di telapak tangan seseorang daripada mereka. Lalu dia menggosokkannya ke muka dan kulitnya. Jika beliau menyuruh mereka sesuatu, mereka akan berebut-rebut untuk melaksanakan perintahnya. Apabila beliau berwuduk, hampir saja mereka saling ‘berbunuhan’ kerana merebut sisa wuduknya. Apabila beliau bercakap, mereka akan merendahkan suara di sisinya. Mereka juga tidak menajamkan pandangan kepada beliau kerana begitu mentakzimkannya.” Riwayat al-Bukhari

Sikap taasub yang dilarang ialah kesanggupan seseorang membantu kumpulannya dalam melakukan kesalahan atau kezaliman. Wathilah bin al-Asqa RA pernah bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, adakah termasuk taasub seseorang lelaki itu mengasihi kaumnya?” Jawab baginda: “Tidak, tetapi termasuk taasub itu jika seseorang itu menolong kaumnya dalam melakukan kezaliman.” Riwayat Ahmad, hadis hasan

Jelas bahawa mengasihi dan mentakzim guru tidak dinamakan taasub terutama guru yang benar-benar mursyid dan berpegang teguh dengan syariat serta mengikut sunah Nabi SAW. Kata Syeikh Muhammad Amin al-Kurdi dalam Tanwir al-Qulub: “Secara umum, kalimah yang tepat bagi seorang syeikh ialah dia mengikut sirah Rasulullah SAW terhadap sahabatnya semampu mungkin.”

Justeru, seorang murid perlu menghormati dan memuliakan gurunya. Perbuatan ini adalah termasuk cara memuliakan ilmu yang dipelajari. Kata Imam as-Sakhawi dalam Fath al-Mughith ketika mengulas kepentingan memuliakan syeikh: “Iaitu takzimkanlah, hormatilah dan muliakanlah dia kerana kata Imam Tawus: Termasuk sunah ialah memuliakan orang alim. Bahkan sabda Nabi SAW: ‘Bukan daripada kalangan kami orang yang tidak memuliakan orang besar kami.’ Tidak syak lagi bahawa syeikh itu adalah seumpama bapa, malah lebih besar lagi dan mengagungkannya adalah termasuk mengagungkan ilmu. “Mintalah petunjuk kepadanya dalam semua urusanmu serta cara yang kamu perlu gunakan daripada pekerjaanmu dan perkara yang kamu usahakan sekiranya dia arif tentangnya. Berwaspadalah daripada membantahnya serta perbuatan yang boleh menyebabkan penolakan terhadapnya dan menolak kata-katanya. Nescaya tidak akan beroleh manfaat orang yang berbuat demikian. Yakinilah kesempurnaannya, maka itu adalah sebab yang paling besar bagi kamu memperoleh manfaat daripadanya. Dan panggillah dia sebagai tuan (seperti sayyidi). Bangunlah terhadapnya sekiranya dia datang kepadamu. Tunaikanlah segala hajatnya, baik yang besar dan yang kecil. Ciumlah tangannya. Muliakanlah majlisnya. Terimalah kemarahannya dengan lapang. Bersabarlah terhadap sifat kerasnya serta bersopan santunlah dengannya.”

Semua ini adalah adab dan selagi tidak bercanggah dengan syarak, ia tidak dinamakan taasub. Misalnya, masalah mencium kaki guru. Meskipun ia perkara yang tidak perlu dibudayakan namun ia tidak boleh terus dihukumkan haram. Kata Imam Muslim ketika memuliakan gurunya, Imam al-Bukhari: “Biarkanlah aku mencium kakimu, wahai ustaz bagi para ustaz”. Bahkan al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad mengkhususkan satu bab mengenai mencium kaki serta membawakan dua riwayat. Pertama, kata al-Wazi’ bin ‘Amir RA: “Kami telah sampai di Madinah lalu dikatakan: ‘Itulah Rasulullah’. Maka kami pun mengambil kedua-dua tangan dan kedua-dua kaki Baginda, lalu menciumnya”. Kedua, kata Suhaib: “Aku melihat Ali mencium tangan al-Abbas dan kedua-dua kakinya.”

Ringkasnya, konsep adab dan hukum perlu difahami dengan betul. Janganlah mudah kita memberi label taasub tanpa kita mengetahui kedudukan sebenar sesuatu perkara daripada segi syarak. Benar, menjaga syariat Islam daripada mudah dipermain-mainkan satu perkara penting, namun mengelakkan perpecahan sesama umat Islam yang boleh merugikan kita juga adalah perkara penting.