• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,274,619 orang
  • Kandungan Blog

Jasa guru tidak ternilai

Prof Madya Dr. Azlan Shaiful Baharum

Pendidikan adalah teras yang sangat penting dalam membentuk sahsiah dan peribadi seseorang Muslim. Dalam sejarah tamadun manusia, Allah SWT mengajar Nabi Adam AS semua kata nama ketika baginda berada dalam syurga dan menerangkannya kepada malaikat. Sepertimana Allah SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat ke-31 yang bermaksud: “Dan Ia (Allah) telah mengajarkan Nabi Adam AS, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Ia berfirman: “Terangkanlah kepada-Ku nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar.”

Guru dan pendidik tidak boleh dipisahkan dengan ilmu. Kerjaya guru ialah satu pekerjaan yang sangat mulia kerana dikaitkan dengan martabat ilmu. Apa jua gelarannya, tidak dinafikan peranan guru dalam menyampaikan ilmu adalah satu perkara yang asas dalam pembentukan sahsiah seseorang dari dulu hingga bila-bila. Ilmu yang diserap bukan hanya untuk mencapai kejayaan akademik dunia semata-mata, tetapi juga menjadikan ilmu berkenaan bermanfaat untuk masyarakat dan negara. Saidina Ali RA pernah berkata: “Manusia ada tiga jenis: Seorang alim rabbani (yang takut kepada Allah SWT), seorang murid yang ingin selamat dan rakyat jelata pengikut tiap suara, condong mengikut arah angin.”

Seorang penyair Arab pernah menyatakan seorang guru itu peranannya hampir menyamai seorang rasul. Ini kerana rasul tugasnya menyampaikan ilmu daripada wahyu Allah SWT dan menjadi asas dakwah. Manakala seorang guru pula menyampaikan ilmu kepada masyarakat demi mengeluarkan individu dari kepompong kejahilan dan kebodohan. Allah SWT berfirman: “Katakanlah (Wahai Muhammad) adakah sama orang-orang yang berilmu dan orang-orang yang tidak berilmu, sesungguhnya orang yang berakal yang berhak menerima pengajaran?” (Surah az-Zumar: 9)

Pendidikan berperanan untuk mengembangkan potensi seseorang dan membentuk jati diri serta peradaban manusia yang bermartabat mulia, beriman dan bertakwa kepada Allah SWT, berakhlak mulia, sihat fizikal dan mental. Ini kerana ketakwaan mengangkat darjat kemuliaan seseorang. Allah SWT berfirman dalam surah al-Hujurat ayat ke-13 yang bermaksud: “Sesungguhnya  yang  paling mulia di antara kamu  di sisi Allah ialah  orang yang paling  bertakwa. Sungguh, Allah Maha Mengetahui, Maha Teliti”. Di samping itu menjadi golongan berilmu duniawi dan ukhrawi, cekap, kreatif serta bertanggungjawab. Pembentukan sahsiah dan jati diri ini bukan hanya tugas guru dan sekolah, malahan menjadi satu tanggungjawab bersama keluarga dan masyarakat keseluruhannya. Sahsiah yang ingin dibentuk meliputi keberanian, kejujuran, hormat pada orang lain dan berdisiplin. Guru mempunyai peranan yang sangat dihormati dalam pembentukan akhlak kerana mereka akan berhadapan dengan pelajar dalam tempoh yang lama. 

Orang yang menunjukkan suatu kebaikan kepada seseorang seperti mengajar ilmu, maka dia juga akan memperoleh pahala sepertimana pahala orang yang dia ajarkan. Daripada Abu Mas’ud Uqbah bin Amir al-Ansari R.A, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang menunjukkan kepada kebaikan maka dia akan mendapat pahala sepertimana pahala orang yang mengerjakannya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Peranan guru bukan sekadar mengajar, tetapi mempunyai pelbagai peranan yang lain, iaitu:

Pendidik (Murabbi)

Guru adalah pendidik yang menjadi ikutan dan panduan muridnya. Oleh sebab itu, guru harus memiliki kualiti peribadi yang baik dan dipandang mulia, yang merangkumi tanggungjawab, disiplin, amanah, berwibawa dan berhemah tinggi.

Pengajar (Mu’allim)

Guru membantu murid untuk mempelajari sesuatu yang belum diketahuinya dan memberi penerangan tentang bahan pengajarannya. Jika dahulu guru menggunakan bahan bercetak seperti buku dan helaian nota, tetapi pada era teknologi yang berkembang pesat hari ini, teknik dan kaedah pengajaran guru telah banyak berubah menjadi fasilitator yang bertugas memberikan kemudahan dalam pembelajaran. Ini terutama dalam suasana Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) di musim pandemik Covid-19.

Pembimbing (Musyrif)

Guru juga bertugas membimbing murid secara komprehensif dalam aspek mengawal pengurusan emosi, perkembangan mental, kreativiti, tingkah laku dan aspek spiritual dengan baik, selain perkembangan fizikal mereka.

Pelatih (Mudarrib) Dalam proses pembelajaran dan pengajaran masa kini, keterampilan intelektual dan psikomotor perlu diperkembang, justeru guru perlu juga bertindak secara tuntas sebagai pelatih dalam apa jua situasi. Sebagai contoh, guru hendaklah bersabar dalam menyemai nilai-nilai murni seperti keperihatinan, kejujuran, keadilan, tanggungjawab dan rasa hormat terhadap diri sendiri dan orang lain serta ketekunan, etika kerja yang tinggi serta kegigihan.

Pembentuk akhlak (Muaddib) Pembentukan akhlak yang baik melalui pendidikan sangat penting. Justeru penekanan tentang akhlak amatlah dititikberatkan. Ada pujangga Arab menyatakan: “Pentingkan adab sebelum ilmu”. Orang yang beradab sudah tentu berilmu, namun orang yang berilmu belum tentu sempurna adabnya. Rasulullah SAW juga bersabda: “Allah SWT telah mendidik aku. Maka itulah aku mendapat didikan yang paling sempurna.” (Hadis Riwayat Ibnu Mas’ud)

Guru termasuk golongan yang sentiasa memberikan manfaat dan kebaikan kepada orang lain melalui ilmunya, kasih sayangnya, keprihatinannya, nasihatnya dan tindak tanduknya.  Ganjaran orang yang memberi manfaat ini akan berterusan dan tidak akan putus selagi ia dimanfaatkan. Ini bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA maksudnya:  “Sesiapa menjadi penggerak suatu amalan kebaikan lalu diamalkan oleh orang sesudahnya, maka akan dicatatkan baginya ganjaran seperti ganjaran orang yang mengikutinya dan sedikitpun tidak akan mengurangi ganjaran yang mereka peroleh. Sebaliknya, sesiapa menjadi pelopor suatu amalan keburukan lalu diamalkan oleh orang sesudahnya, maka akan dicatat baginya dosa sepertimana dosa orang yang mengikutinya, tanpa mengurangi dosanya sedikit pun.” (Hadis Riwayat Muslim)

Oleh itu bersempena sambutan Hari Guru di negara kita pada 16 Mei yang lalu bertemakan Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu, sama-samalah kita membentuk masyarakat yang berilmu bukan untuk membina kerjaya yang hebat pada masa hadapan semata-mata, tetapi untuk membentuk generasi yang benar-benar mempunyai jati diri yang sempurna, mendepani cabaran dari pelbagai sudut dan dimensi. Murid yang mempunyai jati diri yang mantap lahir daripada didikan guru yang baik. Ingatlah tanpa guru siapalah kita pada hari ini.