• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,245,128 orang
  • Kandungan Blog

Mulia, hormat kepada guru

Dr Azri Bhari

Saban tahun pada tanggal 16 Mei adalah hari istimewa yang disambut untuk menghargai jasa dan pengorbanan warga pendidik seluruh Malaysia dengan tema tahun 2022 ialah Guru Tunjang Sekolah Sejahtera.

Guru adalah seorang insan yang bertanggungjawab dan memainkan peranan yang sangat besar dalam membimbing dan mendidik manusia untuk menjadi insan yang berilmu dan berakhlak mulia.

Tanggungjawab tersebut bukanlah suatu perkara yang mudah, bahkan memerlukan kesungguhan dan komitmen yang tinggi dalam merealisasikan harapan melahirkan masyarakat yang bertamadun.

Wahyu pertama berpaksikan falsafah iqra’ sudah membuktikkan dan menzahirkan Islam sangat mementingkan soal pendidikan yang membawa manusia mentauhidkan Allah SWT.

Firmah Allah SWT yang bermaksud:  “Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan.”  (Surah al-‘Alaq: 1)

Justeru, dalam usaha mendidik manusia mengenal Allah SWT dan pelbagai cabang ilmu lainnya memerlukan tunjuk ajar dari seorang yang bergelar guru. Sewajarnya guru diletakkan taraf sebagai insan yang mulia kerana berusaha membimbing dan mendidik manusia. 

Islam memandang mulia tugas seorang guru dan kedudukannya diangkat di sisi Allah SWT seperti dalam firman Allah SWT yang bermaksud:  “Allah meningkatkan orang yang beriman antara kamu dan orang yang berilmu pengetahuan agama beberapa darjat.”  (Surah al-Mujadilah: 11)

Seterusnya Nabi SAW bersabda yang bermaksud:  “Dunia ini dan seisinya adalah dilaknat kecuali mengingati Allah iaitu orang yang membawa kepada taat kepada-Nya, orang ‘alim (guru) dan pelajar.”  (Riwayat Ibn Majah dan al-Tirmizi)

Kewibawaan guru penting dalam usaha melaksanakan tugas membimbing dan mendidik pelajar secara lebih berkesan. Sewajarnya diterapkan keunggulan dan keluhuran peribadi Nabi SAW dalam setiap diri guru, pastinya akan dapat menjadi contoh dan ikutan kepada pelajar.

Terdapat lima komponen yang menjadi konsep guru dalam Islam iaitu  muaddib, murabbi, mursyid, muallim  dan mudarris.

Pertama,  muaddib  dari kata Arab  ta’diban  diterjemahkan sebagai pembentuk adab yang bermaksud penyucian atau membersihkan seseorang daripada kekotoran. 

Konsep  ta’dib  merupakan proses mengasuh, mendidik, membentuk, membimbing, menanam, menyuci, menitis dan menyuburkan akhlak mulia dalam pembinaan dan pembangunan diri insan.  Ta’dib  juga meliputi proses pembentukan akhlak, disiplin, tingkah laku, sahsiah dan seluruh adab sopan seseorang insan.

Kedua, murabbi dari kata Arab  tarbiyyah  membawa maksud pelihara, ajar atau jaga dengan hati-hati. Sifat guru yang murabbi melibatkan proses mendidik, memelihara dan membentuk pelajar sehingga wujud rasa kasih sayang dan saling percaya mempercayai antara mereka.

Perkara ini selaras dengan firman Allah SWT yang bermaksud:  “…dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah: “Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku masa kecil.”  (Surah al-Isra’: 24)

Berdasarkan ayat di atas definisi tarbiyyah menjurus kepada maksud mencurahkan kasih sayang, memelihara, mendidik semasa kecil dan mengembangkan.

Ketiga,  mursyid  dari kata Arab  irsyad  membawa maksud jalan petunjuk, pemimpin yang memberi petunjuk dan petunjuk ke jalan yang benar. Konsep  irsyad  juga bermaksud proses memberi arahan, panduan, bimbingan dan petunjuk serta menjaga, mengikuti, menasihati dan memimpin ke jalan yang benar. 

Sifat guru mursyid merupakan seorang yang sentiasa bersedia menjadi penasihat yang ikhlas, bertindak sebagai mentor iaitu pengajar, penasihat dan pendorong kepada pelajar di bawah asuhannya untuk berkembang dan mencapai kecemerlangan. 

Keempat,  muallim  dari kata Arab  ta’lim  membawa maksud suatu proses pemberitahuan, pengajaran, pemindahan dan penyampaian maklumat dan ilmu pengetahuan daripada seorang guru kepada pelajarnya.

Ta’lim merujuk kepada peranan guru dalam pengajaran dan menjalankan aktiviti pendidikan dengan cara memberitahu, mengajar, menyampaikan pelbagai jenis maklumat, disiplin dan ilmu pengetahuan kepada para pelajar sama ada melalui latihan, arahan atau sebarang bentuk pengajaran yang seumpamanya. 

Kelima, mudarris  dari kata Arab  tadris membawa maksud ciri pengajar berkesan yang melibatkan aspek pengajaran dan pembelajaran (P&P) bermula daripada persediaan mengajar, sepanjang proses P&P dan akhirnya penilaian kendiri.

Demikianlah lima ciri keunggulan guru yang perlu diamalkan secara berterusan dan dengan penuh iltizam untuk membawa ke arah merealisasikan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) iaitu menyampaikan ilmu pengetahuan agar dapat membina rohani, jasmani, emosi, intelektual dan sosial pelajar yang seimbang. 

Sekali bergelar guru, selamanya akan dimuliakan atas nama guru serta perlu berkeperibadian mulia, berdedikasi dan ikhlas dalam menyampaikan ilmu. 

Justeru, guru perlu menjaga nama baik dan martabat dengan menunjukkan contoh yang baik kepada pelajar atau masyarakat samada di dalam bilik darjah, di luar kawasan sekolah dan mahupun di media sosial.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: