Dr Azri Bhari
Saban tahun pada tanggal 16 Mei adalah hari istimewa yang disambut untuk menghargai jasa dan pengorbanan warga pendidik seluruh Malaysia dengan tema tahun 2022 ialah Guru Tunjang Sekolah Sejahtera.
Guru adalah seorang insan yang bertanggungjawab dan memainkan peranan yang sangat besar dalam membimbing dan mendidik manusia untuk menjadi insan yang berilmu dan berakhlak mulia.
Tanggungjawab tersebut bukanlah suatu perkara yang mudah, bahkan memerlukan kesungguhan dan komitmen yang tinggi dalam merealisasikan harapan melahirkan masyarakat yang bertamadun.
Wahyu pertama berpaksikan falsafah iqra’ sudah membuktikkan dan menzahirkan Islam sangat mementingkan soal pendidikan yang membawa manusia mentauhidkan Allah SWT.
Firmah Allah SWT yang bermaksud: “Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan.” (Surah al-‘Alaq: 1)
Justeru, dalam usaha mendidik manusia mengenal Allah SWT dan pelbagai cabang ilmu lainnya memerlukan tunjuk ajar dari seorang yang bergelar guru. Sewajarnya guru diletakkan taraf sebagai insan yang mulia kerana berusaha membimbing dan mendidik manusia.
Islam memandang mulia tugas seorang guru dan kedudukannya diangkat di sisi Allah SWT seperti dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah meningkatkan orang yang beriman antara kamu dan orang yang berilmu pengetahuan agama beberapa darjat.” (Surah al-Mujadilah: 11)
Seterusnya Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Dunia ini dan seisinya adalah dilaknat kecuali mengingati Allah iaitu orang yang membawa kepada taat kepada-Nya, orang ‘alim (guru) dan pelajar.” (Riwayat Ibn Majah dan al-Tirmizi)
Kewibawaan guru penting dalam usaha melaksanakan tugas membimbing dan mendidik pelajar secara lebih berkesan. Sewajarnya diterapkan keunggulan dan keluhuran peribadi Nabi SAW dalam setiap diri guru, pastinya akan dapat menjadi contoh dan ikutan kepada pelajar.
Terdapat lima komponen yang menjadi konsep guru dalam Islam iaitu muaddib, murabbi, mursyid, muallim dan mudarris.
Pertama, muaddib dari kata Arab ta’diban diterjemahkan sebagai pembentuk adab yang bermaksud penyucian atau membersihkan seseorang daripada kekotoran.
Konsep ta’dib merupakan proses mengasuh, mendidik, membentuk, membimbing, menanam, menyuci, menitis dan menyuburkan akhlak mulia dalam pembinaan dan pembangunan diri insan. Ta’dib juga meliputi proses pembentukan akhlak, disiplin, tingkah laku, sahsiah dan seluruh adab sopan seseorang insan.
Kedua, murabbi dari kata Arab tarbiyyah membawa maksud pelihara, ajar atau jaga dengan hati-hati. Sifat guru yang murabbi melibatkan proses mendidik, memelihara dan membentuk pelajar sehingga wujud rasa kasih sayang dan saling percaya mempercayai antara mereka.
Perkara ini selaras dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “…dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah: “Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku masa kecil.” (Surah al-Isra’: 24)
Berdasarkan ayat di atas definisi tarbiyyah menjurus kepada maksud mencurahkan kasih sayang, memelihara, mendidik semasa kecil dan mengembangkan.
Ketiga, mursyid dari kata Arab irsyad membawa maksud jalan petunjuk, pemimpin yang memberi petunjuk dan petunjuk ke jalan yang benar. Konsep irsyad juga bermaksud proses memberi arahan, panduan, bimbingan dan petunjuk serta menjaga, mengikuti, menasihati dan memimpin ke jalan yang benar.
Sifat guru mursyid merupakan seorang yang sentiasa bersedia menjadi penasihat yang ikhlas, bertindak sebagai mentor iaitu pengajar, penasihat dan pendorong kepada pelajar di bawah asuhannya untuk berkembang dan mencapai kecemerlangan.
Keempat, muallim dari kata Arab ta’lim membawa maksud suatu proses pemberitahuan, pengajaran, pemindahan dan penyampaian maklumat dan ilmu pengetahuan daripada seorang guru kepada pelajarnya.
Ta’lim merujuk kepada peranan guru dalam pengajaran dan menjalankan aktiviti pendidikan dengan cara memberitahu, mengajar, menyampaikan pelbagai jenis maklumat, disiplin dan ilmu pengetahuan kepada para pelajar sama ada melalui latihan, arahan atau sebarang bentuk pengajaran yang seumpamanya.
Kelima, mudarris dari kata Arab tadris membawa maksud ciri pengajar berkesan yang melibatkan aspek pengajaran dan pembelajaran (P&P) bermula daripada persediaan mengajar, sepanjang proses P&P dan akhirnya penilaian kendiri.
Demikianlah lima ciri keunggulan guru yang perlu diamalkan secara berterusan dan dengan penuh iltizam untuk membawa ke arah merealisasikan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) iaitu menyampaikan ilmu pengetahuan agar dapat membina rohani, jasmani, emosi, intelektual dan sosial pelajar yang seimbang.
Sekali bergelar guru, selamanya akan dimuliakan atas nama guru serta perlu berkeperibadian mulia, berdedikasi dan ikhlas dalam menyampaikan ilmu.
Justeru, guru perlu menjaga nama baik dan martabat dengan menunjukkan contoh yang baik kepada pelajar atau masyarakat samada di dalam bilik darjah, di luar kawasan sekolah dan mahupun di media sosial.
Filed under: Amalan & Doa, Artikel Pilihan | Leave a comment »