• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,245,134 orang
  • Kandungan Blog

Halal haram dilanggar

Dr Khairul Asyraf Mohd Nathir

SETIAP sesuatu yang ada di muka bumi ini adalah harus selagi tiada dalil atau nas  berkaitan pengharamannya. Secara umumnya ini adalah pendekatan yang diletakkan oleh fuqaha sebagaimana yang disebut oleh Imam Suyuthi:  “Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).”

Walaubagaimanapun, menjelang kepada hampirnya kiamat manusia tidak lagi mempedulikan hal ehwal halal dan haram sama ada dalam bentuk makanan atau minuman, harta yang diperoleh, kelakuan dan percakapan.

Perkara ini adalah berdasarkan sabda Baginda Nabi SAW, daripada Abu Hurairah RA, maksudnya:  “Pasti akan datang suatu zaman di mana manusia tidak lagi mempedulikan dari mana hartanya diperoleh: Apakah dari jalan yang halal atau haram?” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Hadis di atas memberi isyarat bahawa pemahaman manusia berkaitan halal dan haram semakin lama semakin nipis sehingga setiap perkara yang telah nyata halal atau haram sewenang-wenangnya dilanggar dan diketepikan.

Situasi ini adalah merujuk kepada keadaan manusia akhir zaman yang lebih mementingkan sumber kewangan, kekayaan semata-mata tanpa melihat pertimbangan yang sebaik mungkin berdasarkan agama dan moral. Terdapat jenis-jenis pekerjaan dan sumber pendapatan yang haram melibatkan ramai umat Islam yang terlibat antaranya arak.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:  “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Surah al-Maidah, ayat 90)

Imam Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:  “Dan sesungguhnya khamar itu haram dan hasil jualannya juga haram. Sesungguhnya khamar itu haram dan hasil jualannya juga haram. Sesungguhnya khamar itu haram dan hasil jualannya juga haram.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Justeru bagi seorang Mukmin hendaklah dia bertakwa kepada Allah SWT dengan menghindari diri daripada terlibat daripada apa-apa pekerjaan yang terlibat dengan arak. Ini dikuatkan dengan hadis Anas bin Malik RA  maksudnya: Rasulullah SAW melaknat dalam isu arak ini 10 golongan: “Pemerah (anggur untuk arak), orang yang minta diperahkan, peminumnya, pembawanya, orang yang meminta bawa kepadanya, orang yang menuangkan arak, penjualnya, orang yang makan hasil jualannya, orang yang membelinya dan orang yang meminta dibelikan untuknya.” (Hadis Riwayat Imam al-Tirmidzi)

Selain itu riba’ turut menjadi salah satu pekara yang semakin dilupai oleh ramai manusia. Daripada al-Sha’bi RA  berkata maksudnya:  “Rasulullah SAW melaknat orang yang memakan riba’, orang yang memberi riba’, saksinya dan penulisnya.” (Hadis Riwayat al-Nasa’i)

Firman Allah SWT yang bermaksud:  “Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan tinggalkanlah riba’ (yang belum dipungut) jika kamu orang-orang yang beriman. Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba) maka ketahuilah, bahawa Allah dan Rasul-Nya akan memerangimu. Dan jika kamu bertaubat (daripada mengambil riba), maka bagimu pokok hartamu, kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya.” (Al- Baqarah, ayat 278-279)

Keadaan ini bertambah buruk apabila rasuah berleluasa sehingga dalam sedar atau tidak seseorang itu telah melakukan rasuah dengan tujuan tertentu.

Pengharaman rasuah adalah jelas sama ada di dalam al-Quran dan al-Sunnah. Larangan rasuah dalam al-Quran diambil daripada celaan Allah SWT terhadap kaum Yahudi yang biasa mengambil rasuah.

Allah SWT berfirman maksudnya: “Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya).” (Surah al-Maidah, ayat 42)

Firman Allah SWT maksudnya:  “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian daripada harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).” (Surah al-Baqarah, ayat 188)

Manakala dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr RA, Rasulullah SAW bersabda maksudnya:  “Laknat Allah kepada pemberi rasuah dan penerima rasuah.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Dalam keadaan yang getir, khususnya apabila melibatkan kekurangan wang dan sebagainya, terdapat mereka yang menjadikan maruah diri sebagai taruhan. Perkara ini sedar atau tidak telah berlaku dan turut dilaporkan dalam media arus perdana.

“Matlamat tidak menghalalkan cara.”

Pekerjaan tersebut adalah seperti pelacur, teman sosial (di kelab malam), penari, penyanyi dan pemain alat muzik di kelab malam (terdapat hidangan arak dan pergaulan bebas lelaki perempuan), bounzer (pengawal keselamatan untuk tempat maksiat), tukang urut untuk berlainan jenis (lelaki mengurut wanita atau wanita mengurut lelaki), menjadi model pakaian atau iklan yang mendedahkan aurat dan menjadi tontonan orang ramai dan mendapat habuan (wang ringgit atau projek) kerana merancang konspirasi bertujuan mengaibkan seseorang Muslim dengan memasang CCTV, membuat video atau mengambil gambar dan sebagainya.

Selain itu, pesta mencuba sesuatu makanan haram di luar negara juga mula merebak ke negara kita. Sebagaimana yang telah diketahui umum, binatang yang telah diharamkan secara tetap dari sudut daging, kulit, darah dan semua berkaitan denganya adalah babi.

Allah SWT berfirman maksudnya:  “Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai dan darah dan daging babi.” (Surah al-Baqarah, ayat 173)

Memakan makanan yang halal lagi baik adalah satu tuntutan di dalam Islam.

Firman Allah SWT  maksudnya:  “Dan makanlah daripada rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu iaitu yang halal lagi baik.” (Surah al-Maidah, ayat 88)

Pada ayat lain, Allah SWT  berfirman maksudnya:  “Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.” (Surah al-A’raf, ayat 157)

Oleh itu, tiada keringanan untuk menggunakan semua berkaitan dengan babi walaupun ada kelebihan yang dinyatakan oleh pihak barat.

Justeru itu, setiap umat Islam perlu memastikan setiap perkara yang dilakukan seharian perlu berlandaskan syariat Islam dan memastikan hanya perkara yang halal sahaja dilaksanakan dan menjauhi segala yang diharamkan.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: