• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,237,752 orang
  • Kandungan Blog

‘Post mortem’ Ramadan

Datuk Mohd Ajib Ismail

Alhamdulillah, hari ini kita sudah memasuki Syawal dan hampir memasuki minggu kedua bulan Syawal yang diraikan serta dinantikan bersama.

Sebahagian masyarakat seakan-akan melepaskan dendam setelah dua tahun tidak dapat menikmati suasana kemeriahan persiapan hari raya. Mengimbau kembali menjelang Syawal, kebanyakan pusat membeli-belah utama dan bazar Aidilfitri kembali sesak dikunjungi. Sesetengah tempat menganjurkan ekspo jualan 24 jam tanpa henti. Keadaan tersebut sudah tentu menjadi khabar gembira buat peniaga yang mencari rezeki serta kembali merancakkan kegiatan ekonomi. Orang ramai pula berpusu-pusu di lebuh raya mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung halaman masing-masing setelah sekian lama tidak dapat menyambut hari raya bersama sanak saudara. Namun dalam suasana kemeriahan tersebut, perlu kita lihat semula Ramadan yang sudah berlalu pergi dan mungkin kita akan bertemu dengan bulan mulia berkenaan tahun depan atau ia menjadi Ramadan terakhir.

Seandainya kita mengetahui bilakah waktu terakhir diberikan kesempatan untuk bertemu dengan Ramadan lagi, nescaya kita berusaha sedaya upaya melaksanakan amal ibadah yang terbaik supaya dapat meraih sebanyak mungkin ganjaran yang dijanjikan. Kita akan bermujahadah dengan melaksanakan amalan secara bersungguh-sungguh serta menepis sebarang halangan dan rintangan yang menghalang diri daripada mengerjakan ibadah. Golongan yang bermujahadah dalam beribadah akan diberikan petunjuk oleh Allah SWT ke jalan yang diredai-Nya. Firman Allah SWT dalam surah al-Ankabut ayat 69 yang bermaksud: “Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.”

 Sifat mujahadah akan mendorong semangat dalam beribadah sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW yang sering menunaikan solat malam. Dalam sebuah hadis daripada Aisyah RA berkata maksudnya: “Adapun Nabi SAW solat sebanyak sebelas rakaat, kadar satu sujud Nabi SAW adalah selama tempoh seseorang itu membaca 50 ayat sebelum Baginda SAW mengangkat kepalanya. Nabi SAW rukuk (solat) sebanyak dua rakaat sebelum solat Subuh. Kemudian Baginda SAW berbaring pada sebelah kanan sehingga didirikan solat.”

Setelah melaksanakan segala amal ibadah, berdoalah agar amalan yang dipersembahkan diterima di sisi Allah SWT sebagaimana doa yang pernah diucapkan oleh Nabi Ibrahim AS ketika baginda dan anaknya, Ismail telah siap mendirikan Kaabah. Doa tersebut dipanjatkan supaya Allah menerima setiap amal kebaikan dan pembinaan Kaabah tersebut. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 127 yang bermaksud: “Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

https://imasdk.googleapis.com/js/core/bridge3.516.0_en.html#goog_1470012573

https://imasdk.googleapis.com/js/core/bridge3.516.0_en.html#goog_1470012575

https://imasdk.googleapis.com/js/core/bridge3.516.0_en.html#goog_1470012577

https://imasdk.googleapis.com/js/core/bridge3.516.0_en.html#goog_1470012579

https://imasdk.googleapis.com/js/core/bridge3.516.0_en.html#goog_1470012581

 Justeru setiap kali selesai melaksanakan amal kebajikan, tanamkanlah azam agar amalan tersebut diterima oleh Allah serta dapat menjadi penolong buat kita di akhirat kelak.

Jauhilah sebarang perbuatan yang merosakkan amal ibadah di bulan Ramadan yang mulia setelah kita berpenat lelah mengerjakannya. Perbuatan seperti hiburan yang melampau, penghasilan lagu-lagu dan video muzik yang tidak selari dengan semangat dan matlamat Ramadan dan Aidilfitri hanya menjadikan amalan kita sia-sia. Sematkanlah niat yang ikhlas dalam beramal semata-mata kerana Allah SWT sebagaimana firman-Nya dalam al-Quran surah al-Baiyyinah ayat 5 yang bermaksud: “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah Agama yang benar.”

Sesungguhnya bukti bahawa kita benar-benar terkesan dengan tarbiyah Ramadan adalah perasaan berat hati untuk melepaskannya pergi dan rindu untuk merebut peluang beribadah dan ganjaran pahala yang diberi. Tetaplah beristiqamah melakukan amal kebajikan sama ada banyak ataupun sedikit walaupun Ramadan berlalu pergi. Antara tanda-tanda seseorang mendapat kemanisan iman ialah apabila dia sangat senang dan cinta untuk melaksanakan ibadah kepada Allah SWT pada setiap masa. Melalui kemanisan iman, seseorang akan mempunyai sifat istiqamah dalam dirinya untuk kekal melakukan amalan ibadah serta sentiasa menunggu-nunggu dan rindu untuk melakukan ibadah. Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Tiga perkara apabila terdapat pada diri seseorang, ia merasai kemanisan iman: Siapa yang cintanya kepada Allah dan Rasul lebih daripada cintanya kepada yang lain, siapa yang cintanya kepada orang lain hanya kerana Allah (dan bukan kerana suatu tujuan duniawi) dan ia membenci kembali kepada kekufuran selepas Allah menyelamatkannya (daripada kekufuran), sebagaimana bencinya akan dicampakkan ke dalam api neraka.” (Riwayat Muslim)

 Apabila seseorang merasakan kemanisan dalam beribadah dan mendekatkan diri kepada Allah, ia adalah petanda bahawa dia mengingati Allah dan Allah juga mengingatinya. Seseorang yang merasai kemanisan beribadah akan merasakan kerinduan yang tinggi apabila leka dan alpa daripada menunaikan amalan ibadah kepada Allah.

Mudah-mudahan segala penat lelah, ujian dan kesabaran yang kita semua lalui dalam melaksanakan ketaatan menjunjung titah perintah Allah SWT sepanjang Ramadan akan diganjari balasan syurga sebagaimana firman Allah dalam surah al-Furqan ayat 75 bermaksud: “Mereka itu semuanya akan dibalas dengan mendapat tempat yang tinggi di Syurga disebabkan kesabaran mereka dan mereka pula akan menerima penghormatan dan ucapan selamat di dalamnya.”

 Firman Allah dalam ayat yang lain surah al-Insan ayat 12-13 bermaksud: “Dan kerana kesabaran mereka (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan larangan-Nya), mereka dibalas oleh Allah dengan Syurga dan (persalinan daripada) sutera. Mereka berehat di dalam Syurga dengan berbaring di atas pelamin-pelamin (yang berhias), mereka tidak nampak di situ adanya matahari (usahkan hawa panasnya), dan tidak juga merasai suasana yang terlampau sejuk.”

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: