• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,237,736 orang
  • Kandungan Blog

Belajar dalam semua situasi

Dr Nor Hazrul Mohd Salleh

Pendidik adalah sangat penting dan dititikberatkan dalam Islam. Tarbiyah (pendidikan) menjadi asas pembangunan dan kemajuan bangsa dan negara. Ketinggian ilmu akan menjamin sesebuah negara dapat dipacu ke arah kemajuan yang menepati keperluan negara. Oleh itu, menjadi prasyarat untuk maju adalah dengan berkembangnya ilmu dalam pelbagai bidang.

Menuntut ilmu adalah fardu (wajib). Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja daripada tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (daripada melakukan larangan Allah).” (Surah al-Taubah, ayat 122)

Tuntutan mendalami ilmu pengetahuan sebagaimana dalam ayat di atas juga adalah jelas daripada sabda Rasulullah SAW: “Menuntut ilmu adalah fardu ke atas setiap Muslim.” (Riwayat Ibnu Majah). Malah, penguasaan ilmu pengetahuan menjadi pemisah di antara dua golongan manusia; golongan berilmu dan golongan tidak berilmu. Allah SWT berfirman: “Katakanlah lagi (kepadanya), adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?. Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.” (Surah al-Zumar, ayat 9)

Menjelang cuti persekolahan yang akan bermula pastinya ibu bapa sudah merancang jadual terbaik untuk anak, khususnya bagi ibu bapa yang bekerja. Mereka keluar bekerja seperti biasa dan meninggalkan anak di rumah. Maka, menjadi tanggungjawab ibu bapa memastikan anak-anak memanfaatkan cuti dengan sebaiknya. Bercuti tidaklah bermakna meninggalkan terus pembelajaran. Apatah lagi peperiksaan utama akan berlangsung selepas cuti iaitu apabila sesi pembelajaran rasmi bersambung semula.

Ketika berada di sekolah, biasanya ibu bapa akan melepaskan tanggungjawab mendidik kepada guru di sekolah. Ada ibu bapa yang langsung tidak mencampuri urusan pengajian anak dan mengharapkan semata-mata kepada guru. Begitu juga dalam pembinaan sahsiah anak. Perkara ini sedikit terpesong daripada pemahaman berkaitan tanggungjawab mendidik anak-anak.

Tanggungjawab asal dalam mendidik anak-anak adalah di atas bahu ibu bapa. Bahkan, memang secara dasarnya pendidikan anak ini telah bermula dari rumah. Anak-anak akan mula mendapat sentuhan guru mereka apabila mereka mula ke sekolah. Oleh itu, pendidikan awal yang mereka terima daripada ibu bapa mereka sangat mempengaruhi proses pendidikan daripada guru mereka di sekolah. Jika asas pendidikan awal ini baik, maka proses seterusnya akan berjalan dengan baik. Namun, jika sebaliknya maka sedikit sebanyak akan mempengaruhi pendidikan yang diteruskan guru di sekolah.

Dalam konteks agama, Allah SWT meletakkan tanggungjawab kepada manusia agar menjaga (supaya tidak terjerumus ke neraka) mereka yang di bawah tanggungan mereka. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada neraka yang bahan bakarannya manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.” (Surah al-Tahrim, ayat 6)

Antara tugas utama manusia ialah mendidik supaya mereka yang di bawah tanggungannya mengenali Allah SWT. Kewajipan mengenal Allah SWT ini adalah asas ketaatan hamba kepada pencipta-Nya. Allah SWT berfirman: “Oleh itu, maka tetapkanlah pengetahuanmu dan keyakinanmu (wahai Muhammad) bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, dan mintalah ampun kepada-Nya bagi salah silap yang engkau lakukan, dan bagi dosa-dosa orang-orang yang beriman – lelaki dan perempuan; dan (ingatlah), Allah mengetahui akan keadaan gerak-geri kamu (di dunia) dan keadaan penetapan kamu (di akhirat).” (Surah Muhammad, ayat 19)

Seterusnya, manusia diberi tanggungjawab agar memulakan dakwah dan mentaati-Nya dengan memulakan daripada keluarga terdekat. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.” (Surah Taha, ayat 132)

Di samping tugas mendidik dan menyampaikan kebenaran, manusia juga diberi tanggungjawab mencegah kemungkaran. Manusia yang selalunya terdedah kepada keingkaran kepada Allah SWT juga perlu diberi peringatan agar tidak melanggar larangan Allah SWT. Perintah ini juga Allah SWT mulakan dengan ahli keluarga terdekat. Allah SWT berfirman: “Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat” (Surah al-Syu’ara’, ayat 214). Oleh, itu tanggungjawab mendidik tidak terbatas kepada masa dan konteks yang rasmi. Seharusnya ia diteruskan dalam semua situasi dan ia juga tanggungjawab semua pihak terutama ibu bapa.

Apabila dirujuk kepada tanggungjawab kepemimpinan dalam Islam ia disebutkan Rasulullah SAW: “Setiap daripada kamu pemimpin dan kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap orang yang di bawah pimpinan kamu; seorang pemerintah pemimpin dan akan dipertanggungjawabkan terhadap rakyatnya; seorang lelaki pemimpin kepada anggota keluarganya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap anggota keluarganya; seorang wanita adalah pemimpin di rumah suaminya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap anak-anaknya dan pimpinannya; dan khadam diamanahkan terhadap harta tuannya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang di bawah amanahnya.” (Riwayat Bukhari & Muslim)

Ibu bapa cermin terbaik buat anak-anak´┐╝

Datuk Dr Luqman Abdullah

Baru-baru ini, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) ada menerima soalan daripada orang awam berhubung adakah benar atau wujud kesahihannya apabila seseorang anak itu berakhlak buruk serta tidak baik adalah kerana dosa ibu bapa mereka.

  Secara ringkasnya tidak ada nas yang jelas yang menyatakan dosa ibu bapa menjadi penyebab kepada akhlak tidak baik anak-anak.   

  Walaubagaimanapun nas ada menyebutkan tentang tanggungjawab ibu bapa untuk mengajar dan mendidik anak-anak agar patuh kepada ajaran agama.

Dalam mendidik anak-anak ibu bapa juga perlu menjadi contoh teladan dengan menunjukkan sikap dan budi pekerti yang baik di hadapan anak-anak kerana anak-anak cenderung mengikuti tingkah laku yang paling hampir dengan mereka.

  Kekurangan bimbingan agama dan ketiadaan contoh teladan daripada ibu bapa boleh mempengaruhi akhlak anak-anak.

  Walaubagaimanapun setelah ada usaha bimbingan daripada ibu bapa tetapi anak-anak masih berkelakuan tidak baik maka ia merupakan ujian terhadap ibu bapa atau Allah SWT ingin memberi kebaikan dan ganjaran pahala kepada mereka.

Nas-nas yang ada ialah tentang kewajipan ibu bapa memberi pendidikan yang baik kepada anak-anak dari sudut pemantapan iman diikuti ibadah dan hubungan yang baik sesama manusia. Firman Allah SWT bermaksud: “Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang dan suruhlah berbuat kebaikan serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah daripada perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.” (Surah Luqman, ayat 17)

  Dalam ayat ini, Allah SWT menceritakan perihal Luqman seorang hamba Allah yang soleh yang menasihatkan anaknya agar menjauhi perbuatan syirik, mengerjakan amal-amal soleh serta berakhlak dengan akhlak yang mulia. (Rujuk: Fath al-Bayan fi Maqasid al-Quran, 10/287)

  Allah SWT memberi peringatan dengan jelas kepada orang beriman agar memelihara diri mereka dan keluarga dengan membimbing ke arah kebaikan dan ketakwaan kepada Allah SWT. Firman Allah SWT bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada neraka.” (Surah al-Tahrim, ayat 6)

Ibu bapa adalah cermin kepada anak-anak. Berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda bermaksudnya: “Tidaklah dilahirkan seorang anak itu melainkan dia lahir dalam keadaan fitrah. Maka kedua  ibubapanya yang menjadikannya beragama yahudi atau menjadikannya beragama nasrani atau menjadikannya beragama majusi.” (Hadis Riwayat Muslim, No 4805)

  Dalam mendidik anak-anak ibu bapa perlu menunjukkan teladan yang baik dengan mematuhi segala ajaran agama dan ini sudah tentu akan mempengaruhi anak-anak dalam proses pendidikan tersebut. Imam Ibnu Hajar al-Haitami ada menyebutkan  jika ibu bapa bertakwa kepada Allah SWT, nescaya Allah SWT akan mengurniakan kebaikan dan mempermudah kan segala urusan zuriat mereka dengan memberi keberkatan serta petunjuk dalam kehidupan zuriatnya.

Namun sebaliknya, jika ibu bapa mereka tidak melaksanakan perintah Allah dan melanggar larangan Allah, nescaya anak-anak mereka akan berkelakuan sebagaimana kelakuan ibu bapa mereka. (Rujuk: al-Zawajir ‘an aI-iqtiraf al-Kaba’ir, 1/23)

Jika sekiranya ibu bapa telah melaksanakan tanggungjawabnya dalam pendidikan agama anak-anak, tetapi anak-anak masih tidak berakhlak dengan akhlak yang baik maka itu adalah satu ujian bagi ibu bapa. Mereka perlu bersabar atas ujian itu dan ia menjadi sebab kepada ganjaran pahala di sisi Allah kepada ibu bapa.   Sebagai kesimpulan, tidak ada nas yang jelas yang menyatakan dosa ibu bapa menjadi penyebab kepada akhlak tidak baik anak-anak. Walaubagaimanapun nas ada menyebutkan tentang tanggungjawab ibu bapa untuk mengajar dan mendidik anak-anak agar patuh kepada ajaran agama.

Dalam mendidik anak-anak ibu bapa juga perlu menjadi contoh teladan dengan menunjukkan sikap dan budi pekerti yang baik di hadapan anak-anak kerana anak-anak cenderung mengikuti tingkah laku yang paling hampir dengan mereka. Kekurangan bimbingan agama dan ketiadaan contoh tauladan daripada ibu bapa boleh mempengaruhi akhlak anak-anak. Walaubagaimanapun setelah ada usaha bimbingan daripada ibu bapa tetapi anak-anak masih berkelakuan tidak baik maka ia merupakan ujian terhadap ibu bapa atau Allah SWT ingin memberi kebaikan dan ganjaran pahala kepada mereka.