• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,237,736 orang
  • Kandungan Blog

Ziarah kubur ingatkan kematian

Ustaz Hafiz Za’farani

Kini, kita sudah berapa hari dalam bulan Syawal yang penuh dengan kemeriahan, antara perkara yang sering dipersoalkan setiap tahun ialah berkaitan hukum ziarah kubur pada hari raya. Kita biasa dengar orang tua-tua ajak pergi kubur selepas solat hari raya. Begitu juga ia masih diamalkan pada zaman ini, namun ada juga terdengar suara-suara sumbang yang membidaahkan amalan ini. Bahkan ada yang tidak malu mendakwa amalan ini hanya dilakukan di Nusantara sahaja. Sedangkan ulama-ulama Arab membincangkan hal panjang lebar dalam fatwa mereka.

Secara umumnya, ziarah kubur adalah diharuskan dan jika dengan ziarah kubur dapat memberi keinsafan maka disunatkan, hal ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:  “Aku pernah melarang kamu daripada menziarahi kubur, maka sekarang ziarahlah kamu.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Ulama hadis memahami hadis ini sebagai keharusan untuk ziarah kubur. Demikian ulama fiqh juga memahami sesuatu perkara yang asalnya dilarang kemudian disuruh oleh Nabi menatijahkan hukum harus. Larangan Nabi sebelum ini kerana pada permulaan Islam masih banyak perangai atau kebiasaan Arab Jahiliyyah yang perlu dibaiki dalam diri pada sahabat. Contohnya kebiasaan mereka sekiranya menghadiri upacara kematian, mereka akan meratapi si mati, merobek pakaian dan meraung-raung kesedihan. Hal ini dilarang dalam agama, maka untuk menghindari perkara seperti ini ketika itu Nabi melarang ziarah kubur. Setelah akidah dan akhlak umat Islam sudah mantap, barulah Nabi membenarkan ziarah kubur dilakukan.

Tambahan lagi dalam riwayat Al-Tirmidzi Nabi ada bersabda: “Maka sesungguhnya ia mengingatkan kepada akhirat.”

Berdasarkan hadis ini ulama mengatakan sunat ziarah kubur untuk mengingati akhirat, tanpa mengira masa atau hari. Hal ini diakui oleh ulama keempat-empat mazhab.  Oleh itu, ziarah kubur pada hari raya tidak dilarang, tidak makhruh apatah lagi haram kerana termasuk dalam keharusan yang umum. Hal yang sama ditegaskan dalam fatwa rasmi Kerajaan Mesir iaitu Fatwa dari Dar Al-Ifta, no.612.

Menurut ulama, antara hadis yang menjadi sandaran kepada keharusan menziarahi kubur pada hari raya adalah hadis berikut:

Jabir bin Abdillah RA  meriwayatkan: “Nabi SAW apabila pergi beraya (untuk solat) maka Baginda akan pergi dan balik melalui jalan berbeza.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari, no.957)

Menurut Imam Badruddin Al-Aini ketika mensyarahkan hadis ini dalam kitab beliau Umdatul  Qari Syarh Sahih Al-Bukhari, beliau menyenarai 20 hikmah Nabi melalui jalan yang berbeza, di antaranya:  “Untuk menziarahi kerabatnya yang masih hidup ataupun yang telah meninggal dunia.”

Lebih jelas lagi, dalam kitab Irsyadus Sari Syarh Sahih Al-Bukhari karya Imam Abi Al-Abbas Ahmad bin Muhammad Al-Qasthalani juga menyenaraikan 12 hikmah di antaranya:  “Untuk menziarahi kubur kaum kerabat Baginda pada kedua-dua jalan.”

Perkara yang sama dinyatakan oleh Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani dalam Fathul Bari Syarh Sahih Al-Bukhari. Bahkan, Imam Syamsuddin Al-Kirmani dalam kitabnya Al-Kawakib Ad-Darari Fi Syarh Sahih Al-Bukhari menyatakan hikmah Nabi melakukan demikian kerana:  “Bahawa untuk mendoakan ahli kubur pada kedua-dua jalan.”

Oleh kerana hadis di atas diriwayatkan dalam Sahih Al-Bukhari, maka ulama-ulama yang mensyarahkannya kelihatan sepakat menyatakan hal ini. Hal yang sama dipersetujui oleh Imam Ibnu Allan Asy-Syafie dalam Dalilul Falihin dan Imam Al-Munawi dalam Faidhul Qodir.

Berdasarkan fakta di atas, dapat kita ketahui amalan kita ziarah kubur adalah termasuk dalam sunah dan juga hikmah daripada amalan Nabi melalui jalan berbeza. Maka daripada itu juga, kita amalkan dengan tenang dan aman di Malaysia sejak turun temurun tanpa sebarang usaha mengelirukan umat Islam.

Demikianlah kefahaman ulama sehingga mereka berpandangan amalan ziarah kubur pada hari raya adalah dibolehkan dan tidak timbul dakwaan bidaah dhalalah. Fatwa dari Ulama Al-Azhar Asy-Syarif telah menyatakan pendirian:  “Dari sini kita mengetahui bahawa melakukan ziarah kubur oleh ramai orang setelah hari raya, jika tujuannya menjadi pelajaran dan mengingat orang yang telah mati, yang dahulu mereka bersamanya saat hari raya dan merasa senang dengan kehidupannya serta memohon rahmat dan doa untuk mereka, maka hukumnya boleh, selamanya.” (Fatawa Al-Azhar, juz.8, ms.391 dan Al-Fatawa Min Ahsan Al-Kalam, juz.1, ms.348)

Kenyataan ini jelas menunjukkan tujuan ziarah kubur yang dilakukan oleh masyarakat Melayu adalah sama seperti yang dinyatakan di atas. Sebaliknya dakwaan ziarah kubur hanya dilakukan di Nusantara juga terbatal dengan kenyataan ini. Demikian juga, sangkaan apabila menziarahi kubur maka ahli keluarga akan bersedih dan merosakkan suasana raya juga tidak tepat jika kita melihat kepada realiti. Mereka ziarah kubur bukan kerana untuk bersedih tetapi untuk mendoakan ahli keluarga yang pernah bersama menyambut hari raya dahulu tetapi sekarang telah meninggal dunia.

Secara umumn ya, anjuran menziarahi kubur secara umum dari hadis adalah memadai. Manakala, masyarakat Malaysia menziarahi kubur pada hari raya pula adalah kerana hari tersebut kebetulan dapat balik kampung dan berpeluang menziarahi kubur ibu bapa dan keluarga mereka. Mereka tidak menganggap ada sebarang kelebihan ziarah pada hari tersebut seperti dakwaan yang sengaja diada-adakan.

Namun, ada mulut jahat kaum Wahhabi yang mempersoal kenapa tidak ziarah hari lain
dan mendakwa kita telah mengkhususkan hanya pada hari raya. Sedangkan, ulama dunia membenarkan ziarah kubur pada hari raya, tanpa ada seorang yang mendakwa ada kelebihan tertentu. Perbuatan tersebut berlaku dengan sokongan dari ulama, bersesuaian dengan masa dan tidak bercanggah dengan syariat. Maka jelaslah, mereka telah mencipta suatu prasangka, lalu menghukum atas prasangka ciptaan mereka sendiri. Usaha ini menunjukkan mereka golongan yang gemar memperdaya umat Islam. Akhir kalam, saya harap dengan hujjah di atas kita dapat memperoleh ilmu baharu dan kefahaman yang benar.