• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,237,739 orang
  • Kandungan Blog

Mencari roh ukhuwah sejati di bulan Syawal

Mohd Rizal Azman Rifin

Alhamdulillah syukur diizinkan Allah jua kita semua dapat menyelesaikan amanah besar Allah untuk menunaikan ibadah puasa di sepanjang bulan Ramadan. Pejam celik, masa berlalu terasa terlalu laju. Dalam keadaan diri menahan dahaga dan lapar dan mengekang syahwat, namun dek kerana taat dan patuh kepada perintah Allah segala kesukaran berjaya ditangani bersandarkan iman dan takwa yang jitu kepada Yang Maha Esa. Alhamdulillah.

Kini, tibalah hari bergembira meraihkan ‘kemenangan’ diri dalam mengharungi segenap liku perjuangan suci mencuci hati sepanjang Ramadan dengan berpuasa. Karat-karat debu dosa sedaya upayanya cuba dicucikan dengan amalan fardu dan sunat.

Hari Raya Aidilfitri atau dipanggil juga sebagai Idulfitri dari segi bahasanya bermaksud, berulang dan kembali. Hal itu kerana hari raya yang dirai dan disambut itu sentiasa berulang-ulang, tahun demi tahun ataupun perasaan gembira dan ceria dengan hadirnya 1 Syawal itu kembali pada setiap tahun.

Sesungguhnya, Aidilfitri merupakan anugerah Allah kepada kita semua dan sebagai lambang ‘penghargaan Allah’ kepada ketaatan dan kepatuhan terhadap segala perintah-Nya. Apabila menyentuh berkenaan sambutan hari raya Aidilfitri itu, sememangnya tidak boleh lari daripada memperkatakan darihal semangat berukhuwah dalam situasi penuh kemesraan.

Aidilfitri seakan-akan ‘magnet ajaib’ yang memukau dan menarik hati sesiapa sahaja untuk balik ke kampung halaman demi bertemu ibu bapa dan sanak saudara. Jauh macam manapun, mereka yang bergelar musafir akan mencuba sehabis ikhtiar agar sampai juga di hadapan rumah kedua-dua ibu bapa.

Paling ditunggu-tunggukan tentunya pada malam raya kerana semua peringkat umur akan bergembira sakan dengan mengadakan pelbagai acara sambutan mengikut adat resam masing-masing. Lampu di sekeliling pagar rumah, lampu lip-lap pun dipasang untuk menambahkan resipi aura raya. Yang paling gembira tidak lain adalah anak-anak dan golongan remaja. 

Masing-masing dengan agenda tersendiri dalam meraihkan kehadiran 1 Syawal yang bakal menjelang esoknya. Teringat saya ketika masa kanak-kanak dahulu, apabila selesai sahaja menunaikan solat Isyak yang kemudian disambung dengan bacaan tasbih, takbir dan tahmid. Bukan main lagi, masing-masing dengan penuh jiwa raga melaungkan bacaan kalimah suci itu yang tentunya bersarang di hati perasaan gembira yang tidak terkira. 

Teringat lagi saya, sebaik sahaja selesai acara rohani di surau di kampung halaman, kami yang masih kanak-kanak waktu itu diajak oleh golongan dewasa untuk sama-sama membantu ibu dan ayah di dapur untuk menyiapkan bahan sajian 1 Syawal. Sate dibakar dengan aroma rempah menerjah rongga hidung bersama kepulan asap, namun semua itu bukan menjadi satu hujah untuk ‘memencilkan’ diri daripada terlibat sama dalam membantu keluarga. 

Adik-beradik yang perempuan pula menjadikan malam raya itu sebagai medan untuk mereka membantu ibu di dapur sambil belajar erti seorang perempuan sejati yang mengerti apa tugasan ‘orang rumah’. Begitulah kami pada malam hari raya. 

Detik-detik keriangan dan kemesraan dalam ruang ukhuwah terus terpancar sebaik sahaja kami seselai mendirikan solat sunat Aidilfitri. Salam bersalam. Maaf bermaafan. Itu adalah lambang asli masyarakat Melayu/Islam yang sentiasa mendokong visi dan misi Nabi SAW untuk mempereratkan seerat-eratnya hubungan persaudaraan sesama saudara seakidah. 

Masa terus berlalu. Yang lama seperti dianggap ketinggalan zaman. Yang dulu-dulu seolah-olah sudah tidak dipandang. Begitulah keadaannya yang berlaku pada diri anak-anak kita waktu ini. Hari raya ke. Hari biasa ke, mereka ada talian hayat yang amat dimesrai tanpa sesekali mahu direnggangi. Kalau masa saya kanak-kanak dahulu, hampir kalau tidak semuapun, orang-orang sekampung yang saya kenali dan bergaul mesra. 

Namun, apabila saya melihat gaya gelagat anak-anak sendiri masa ini yang yang lebih bermesra dengan ‘rakan karib’ mereka yang cukup disayangi, yang seakan-akan rakan baik itu lebih perlu dimesrai berbanding dengan ayah saudara, sepupu dan dua pupu. Mak Su, ayah Su sudah tidak masuk dalam senarai simpanan untuk didekati kerana mereka sudah ada senarai sendiri yang sentiasa dikemas kini dari semasa ke semasa. 

Ya, semua yang saya perkatakan itu tidak lain adalah penangan teknologi yang berjaya memisahkan jurang kemesraan hubungan, khususnya semasa di hari raya ini. Nyata sekali, sambutan Aidilfitri di era teknologi hambar dari sudut roh ukhuwah sejati yang sangat dijulang oleh agama. Pernah sekali di hari raya pada tahun lalu, saya mengajak anak-anak untuk ikut sama berziarah ke rumah saudara-maranya, namun ada kalangan mereka yang hambar sahaja seakan-akan memberikan respons negatif dengan ajakan saya itu. 

“Abi, bukan Fauwaz tidak mahu ikut beraya ke rumah Ayah Su, tetapi sebenarnya Fauwaz dah berjanji dengan kawan-kawan hendak pergi jalan-jalan ni.” Jawab putera sulung yang belajar di tingkatan tiga. Saya dan Ummi tidak berkecil hati dengan penolakan anak kami itu memandang faham sangat dengan gaya hidup mereka. Asalkan tidak berbuat sesuatu yang memudaratkan diri dan mengaibkan keluarga sudahlah. Asalkan tidak melanggar etika agama, saya kira ok sahaja. 

Namun, jauh di sudut hati timbul juga rasa sedih dan sayu kerana mengenangkan besarnya pengaruh peranti berteknologi dalam memusnahkan rantaian hubungan ukhuwah sesama saudara. Pun begitu, usah sesekali kita menyalahkan teknologi kerana apa yang utama yang sangat perlu diutamakan ialah kita sendiri sebagai orang tua seharusnya bijak dan berhikmah dalam membuat nasihat dan menunjukkan panduan yang tepat kepada mereka. 

Seharusnya kita menyedari zaman mereka tidak sama dengan zaman kita dahulu. Kehidupan mereka hari ini, segala ‘berpaut’ kepada teknologi, sedangkan kita suatu ketika dahulu berpaut atas usaha kendiri yang padu. 

Jadi, bantu dan pandulah anak-anak kita agar Aidilfitri yang mereka raikan itu tidak sesekali terkeluar daripada landasan agama yang sebenar. Insya-Allah teknologi bukan lagi satu bahan yang meruntuh nilai insani. 

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.