• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,260,123 orang
  • Kandungan Blog

Jaga adab bertamu ketika beraya

 Dr  Mohd  Khafidz Soroni

Islam merupakan agama yang cukup indah dan sempurna. Segala serba serbi berkait kehidupan manusia diperincikan dengan cukup detail. Termasuk antaranya adab bertamu dan memuliakan tetamu. Menariknya di Malaysia, budaya kunjung mengunjung dan bersilaturahim di kalangan umat Islam bersempena sambutan hari raya telah dipraktikkan sejak turun temurun. Ia merupakan satu budaya yang amat baik dan selaras dengan ajaran Islam. Namun, budaya ini elok ditambah baik dengan adab-adab yang dianjurkan dalam Islam agar bertambah keberkatan dan ganjaran pahalanya daripada Allah SWT.  

Adab pertama yang perlu diutamakan ialah mengikhlaskan niat kerana Allah SWT. Tiada apa-apa kepentingan yang kita harapkan melainkan kasih sayang kerana Allah SWT semata-mata. Nabi SAW mengisahkan: “Suatu ketika ada seorang lelaki yang hendak menziarahi seorang saudaranya di sebuah kampung lain. Lalu Allah pun mengutuskan satu malaikat untuk menemui lelaki itu di tengah perjalanannya ke kampung yang dituju. Maka, ketika malaikat tersebut menemuinya dia pun bertanya: “Ke mana kamu hendak pergi?” Lelaki itu menjawab: “Saya nak menziarahi saudara saya yang berada di kampung ini”. Malaikat itu bertanya lagi: “Adakah kamu mempunyai urusan penting yang perlu diselesaikan dengannya? Lelaki itu menjawab: “Tidak ada, hanyasanya saya mengasihinya kerana Allah SWT”. Lalu malaikat itu berkata: “Sesungguhnya aku ini adalah utusan Allah yang diutus untuk memberitahu kepadamu bahawa Allah amat mengasihimu sebagaimana kamu mengasihinya kerana-Nya.” (Riwayat Muslim)

Kedua, meminta izin kepada tuan rumah. Perkara ini amat penting sehingga disebutkan secara terperinci dalam al-Quran. Firman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penghuninya; yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat (mematuhi cara dan peraturan yang sopan itu). Maka, sekiranya kamu tidak mendapati sesiapa (yang berhak memberi izin), maka janganlah masuk ke dalam rumah itu sehingga kamu diberi izin; dan jika dikatakan kepada kamu: ‘Baliklah’, maka hendaklah kamu berpatah balik. Cara yang demikian adalah lebih suci bagi kamu; dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu lakukan.” (Surah an-Nur: 27-28)

Jika sudah memberi salam sebanyak tiga kali, namun tiada orang yang menyahut, maka hendaklah kita beredar. Jangan memberi salam hingga berulang-ulang kali banyaknya. Nabi SAW bersabda: “Apabila seseorang kamu telah meminta izin sebanyak tiga kali, namun tetap tidak diizinkan, maka hendaklah dia beredar pulang.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Tidak diizinkan bermaksud sama ada tuan rumah memang tiada di rumah atau pada ketika itu adalah masa yang tidak sesuai untuk tuan rumah menerima tetamu disebabkan berbagai urusan peribadi. Maka, janganlah mengintai-intai ke dalam rumah kerana ia adalah perbuatan yang dilarang. Sahl bin Sa’ad as-Sa’idi RA menceritakan bahawa pernah seorang lelaki mengintai melalui satu lubang pada pintu rumah Rasulullah SAW. Ketika itu Rasulullah SAW sedang menyisir rambutnya dengan satu penyisir besi. Tatkala baginda melihatnya, baginda berkata: “Kalau aku tahu engkau mengintai, nescaya aku cucukkan penyisir ini ke matamu.” Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya disyariatkannya meminta izin itu adalah demi menjaga pandangan.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) 

Hal ini cukup ditekankan oleh Rasulullah SAW. Rib’ie bin Hirasy menceritakan bahawa pernah seorang lelaki daripada Bani ‘Amir meminta izin kepada Nabi SAW ketika baginda berada dalam sebuah rumah. Dia berkata: “Bolehkah saya masuk?” Lalu Nabi SAW berkata kepada khadamnya: “Temui dia serta ajarkan kepadanya cara meminta izin. Suruh dia ucapkan: “Assalamu’alaikum, bolehkah saya masuk?” Namun, lelaki itu mendengar perkataan baginda, lalu ia pun mengucapkan: “Assalamu’alaikum, bolehkah saya masuk?” Maka, Nabi SAW pun memberikannya izin dan barulah dia masuk.” (Riwayat Abu Dawud)

Justeru, apabila tuan rumah mengizinkan, maka barulah kita masuk dengan tertib serta wajah yang ceria. Sabda Nabi SAW: “Janganlah kamu menganggap remeh terhadap perkara kebaikan sedikit pun, walaupun kamu hanya bertemu saudaramu dengan wajah yang manis.” (Riwayat Muslim)

Kemudian menjadi kewajipan tuan rumah untuk memuliakan tetamu yang datang. Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang beriman ‎dengan Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya.” (Riwayat al-‎Bukhari dan Muslim)

Moga segala amalan ibadah kita diterima oleh Allah SWT serta amalan ziarah kita turut mendapat keberkatan dan kerahmatan daripada-Nya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: