• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,273,606 orang
  • Kandungan Blog

Bulan jihad & kemenangan

Prof Dr Engku Ahmad Zaki Engku Ali

Bulan Ramadan bukan hanya sekadar sebagai bulan penuh keberkatan dan kerahmatan bagi Muslim yang bertakwa, malah Ramadan juga merupakan bulan penuh kemuliaan yang telah mencatatkan kejayaan dan kemenangan dalam lipatan sejarah Islam. Detik-detik gemilang kemenangan generasi Islam satu ketika dahulu wajar dijadikan bahan renungan dan iktibar umat Islam masa kini dalam usaha menobatkan kembali maruah umat Islam sebagai umat terbaik dalam segala lapangan hidup sejagat.

Dalam perkataan lain, bulan Ramadan tidak sekadar menyaksikan umat Islam berjihad melawan kehendak hawa nafsu dan godaan syaitan demi meraih kesempurnaan ibadat dan keredaan Ilahi, bahkan Ramadan juga adalah bulan yang sarat dengan perjuangan jihad menentang musuh-musuh Islam demi mempertahankan kesucian Islam dan menegakkan agama Allah di atas muka bumi yang terbentang luas ini.

Berdasarkan kronologi sejarah Islam, tanggal 17 Ramadan tahun 2 Hijrah tercetus perang Badar al-Kubra yang merupakan peperangan yang pertama dan perdana yang dihadapi oleh Rasulullah SAW bersama umat Islam menentang kaum musyrikin Quraisy. Menurut Ibnu Hisyam dalam kitabnya Sirah al-Nabawiyyah menyatakan peperangan Badar al-Kubra merupakan kemenangan perdana yang menentukan kedudukan dan kekuatan umat Islam dalam mendepani ancaman kaum musyrikin Quraisy. Walaupun bilangan tentera Islam seramai 313 orang dengan kelengkapan serba kekurangan yang tidak seimbang dengan bilangan tentera musyrikin yang mencecah angka 1000 orang berserta kelengkapan perang yang canggih pada waktu itu, namun itu tidak melunturkan semangat juang dan jihad tentera Islam untuk terus mara menghadapi gerombolan tentera musyrikin. Berbekalkan keimanan yang penuh kudus ke hadrat Ilahi dan roh perjuangan jihad yang kental, akhirnya Allah membantu secara lansung dalam peperangan tersebut dengan mengutuskan sepasukan malaikat bagi meneguhkan kedudukan tentera Islam dan seterusnya mengalahkan tentera musyrikin. Kesemua detik-detik penuh cemas, sengit dan hebat dalam peperangan Badar al-Kubra itu dirakamkan Allah secara mendalam dalam surah al-Anfal ayat 7 hingga 19 sebagai peringatan kepada umat Islam dalam mempertahankan kesucian Islam.

Dalam peperangan Badar al-Kubra tersebut, Rasulullah SAW tidak dapat menyembunyikan perasaan bimbangnya kalau-kalau pertempuran yang sengit ini akan melenyapkan umat Islam di bumi Madinah ini. Lantas Baginda pun memanjatkan doa pengharapan ke hadrat Ilahi yang Maha Berkuasa dengan berkata: “Ya Allah, Ya Tuhanku! Jika pasukan sekarang ini binasa, nescaya tidak ada lagi orang yang akan beribadat kepada-Mu.” Doa ini menggambarkan betapa manusia selamanya sentiasa berhajat kepada Allah yang Maha Berkuasa dalam melangsungkan perjalanan hidup menuju keredaan Ilahi dan kebahagiaan hidup di akhirat kelak. Natijahnya, kemenangan berpihak kepada tentera Islam, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan umat Islam dan melebarkan sayap Islam ke merata Tanah Arab.

Pada 21 Ramadan tahun 8 Hijrah pula mencatatkan pembukaan Makkah. Baginda Rasulullah SAW berangkat dari Madinah pada 10 Ramadan bersama 10,000 pasukan tentera Islam dalam keadaan berpuasa. Setelah penaklukan kota Makkah secara aman tanpa sebarang pertumpahan darah, akhirnya Rasulullah SAW memberikan pengampunan terbuka kepada semua warga musyrikin di Makkah yang meyaksikan kemasukan beramai-ramai ke dalam pangkuan Islam. Menurut Ibnu Ishaq, peristiwa pembukaan kota suci Makkah berlaku pada 10 malam terakhir bulan Ramadan yang mulia. Kisah bersejarah ini juga dirakamkan Allah dalam surah al-Fath dan al-Nasr untuk diambil pengajaran oleh umat Islam.                  

Pada bulan Ramadan juga tahun 10 Hijrah, Rasulullah SAW pernah mengutuskan sepasukan tentera Islam yang diketuai oleh Saidina Ali bin Abi Talib ke Yaman dengan membawa bersama perutusan surat Rasulullah SAW. Terdapat satu kabilah yang berpengaruh di sana dengan tanpa paksaan terus menyahut seruan Rasulullah SAW dan menerima Islam sebagai pegangan hidup mereka pada saat itu juga.

Pada bulan Ramadan tahun 92 Hijrah pula, panglima tentera Islam iaitu Tariq bin Ziyad memimpin segerombolan armadanya yang berjumlah 7,000 orang menyeberangi selat Gibraltar yang juga dikenali Jabal Tariq dengan matlamat menakluki Andalus, Sepanyol. Setelah mendarat dengan selamat di satu wilayah Sepanyol, panglima Tariq berdiri di atas sebuah batu karang bagi menyampaikan amanatnya sambil memerintahkan supaya kapal-kapal yang membawa mereka sepasukan dari Afrika dibakar sahaja. Kehairanan sebahagian tentera Islam mengenai perintahnya itu dijawab dengan tegasnya: “Kita datang ke sini, tidak untuk kembali lagi. Kita berada di sini hanya mempunyai dua pilihan iaitu sama ada kita menakluki negeri ini, menetap di sini dan menyebarkan Islam atau pun kita semua akan binasa.” Ucapan panglima Tariq tersebut ada persamaan dengan doa yang pernah diucapkan oleh Rasulullah semasa peperangan Badar al-Kubra. Akhirnya, pasukan tentera Sepanyol yang berbekalkan kekuatan tentera berjumlah 100,000 orang tumbang di tangan pasukan tentera Islam pimpinan Panglima Tariq yang hanya seramai 7,000 orang sahaja di samping bantuan ketenteraan yang menyusul kemudian yang berjumlah 5,000 orang.

Seterusnya, bulan Ramadan tahun 584 Hijrah merupakan tarikh keramat yang amat bersejarah dalam kalendar Islam apabila Solahuddin al-Ayubi bersama angkatan tenteranya berjaya meraih kemenangan besar ke atas tentera salib. Tentera Islam juga menawan beberapa daerah yang sebelum ini dikuasai dan diduduki oleh kaum Kristian. Di samping mencatatkan kemenangan besar menewaskan tentera salib, Solahuddin al-Ayubi juga berjaya mengembalikan kota Baitul Maqdis dan bumi Palestin kepada pangkuan umat Islam.

Begitulah antara rentetan kejayaan demi kejayaan yang dicapai oleh umat Islam dalam bulan Ramadan. Ini bermakna ibadat puasa dan amalan sunat pada bulan Ramadan tidak menghalang umat Islam untuk mencipta sejarah gemilang bagi memartabatkan kembali kedudukan umat Islam di persada dunia. Justeru, bulan Ramadan inilah masanya yang sesuai untuk umat Islam mengorak langkah ke hadapan dengan berbekalkan roh jihad yang padu, keyakinan iman yang mantap dan beristiqamah dalam melaksanakan amalan soleh.

Kota Baitul Maqdis di Palestin kini sedang menanti kemunculan personaliti terbilang seumpama Umar al-Khattab dan Solahuddin al-Ayubi bagi membebaskannya daripada cengkaman regim Zionis Yahudi yang zalim itu. Umat Islam di Palestin pula memerlukan pembelaan, sokongan dan doa pengharapan daripada umat Islam seluruh dunia supaya mereka memperolehi kembali hak mereka di bumi Palestin.

Oleh yang demikian, marilah sama-sama kita menginsafi dan bermuhasabah diri dalam bulan Ramadan ini supaya sinar Ramadan yang sedang menyuluh ini benar-benar menyucikan hati kita, menghiaskan peribadi kita dengan akhlak terpuji dan mendekatkan kita dengan amalan-amalan soleh. Tidak ketinggalan juga, jihad pada jalan Allah tetap dijulang bagi mengekalkan ketuanan Islam di bumi Allah ini.                          

Memburu malam diberkati

Dr Azri Bhari

PADA sepuluh malam terakhir di bulan Ramadan terdapat satu malam yang dinamakan dengan malam al-Qadar atau istilah dalam bahasa Arab disebut sebagai Lailatulqadar.

Masyarakat Islam di Malaysia dan seluruh dunia sedang berada di fasa sepuluh malam terakhir Ramadan yang berpeluang untuk memburu dan mendapatkan keistimewaan Lailatulqadar.

Perkataan Lailatulqadar terdiri daripada dua kalimah iaitu pertamanya ialah Lailah yang memberi maksud apabila tenggelamnya matahari sehingga terbitnya fajar atau berlawanan dengan siang hari.

Kalimah keduanya pula ialah al-Qadar yang memberi maksud kemuliaan atau hukum dan ketetapan.

Ibn Qudamah dalam kitabnya al-Mughni menjelaskan bahawa malam al-qadar ialah malam yang mulia, diberkati, diagungkan dan mempunyai banyak kelebihan.

Lailatulqadar juga dikenali dengan nama Lailatulsyaraf yang bermaksud malam kemuliaan atau Lailatultajalli
yang bermakna malam Allah SWT melimpahkan cahaya dan hidayah-Nya kepada orang berpuasa dan beribadat pada sebelah malamnya.

Terdapat pelbagai keistimewaan Lailatulqadar yang disediakan bagi umat Islam yang ingin mengambil peluang pada malam tersebut.

Pertama, pada malam ini Allah SWT menurunkan kitab suci utama iaitu al-Quran al-Karim. Pemilihan waktu dan tempat yang tertentu untuk diberikan keutamaan mempunyai hikmah tersendiri yang tinggi dan besar.

Adakah wujud kemuliaan yang lebih agung dari suatu malam yang menjadi permulaan turunnya cahaya dan petunjuk kepada seluruh manusia setelah berlalunya beberapa abad kaum Quraisy yang berada dalam kesesatan menyembah berhala.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan.” (Surah al-Qadr: 1) Allah SWT telah menurunkan al-Quran secara keseluruhan sekali gus dari Lauhul Mahfuzh ke Baitul ‘Izzah yang ada di langit dunia. Kemudian Allah SWT menurunkan al-Quran kepada Nabi SAW secara beransur-ansur sesuai dengan peristiwa dan kejadian yang berlaku sepanjang 23 tahun.

Kedua, malam ini lebih baik dari 1000 bulan dan bersamaan dengan lebih kurang 83 tahun.

Terdapat pandangan menyatakan lebih baik dari seribu bulan adalah solat dan amalan pada Lailatulqadar lebih baik dari solat dan puasa di 1000 bulan yang tidak terdapat Lailatulqadar.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan.” (Surah al-Qadr: 1-3)

Lazimnya bangsa Arab mengira angka seribu sebagai suatu jumlah yang sangat besar. Oleh itu, sebutan seribu dalam ayat tersebut bukanlah bermakna seribu sahaja bahkan lebih.

Ketiga, malam tersebut penuh keberkatan. Malam penuh berkat ini adalah malam Lailatulqadar kerana banyak malaikat yang akan turun pada Lailatulqadar kerana pelbagai keberkatan pada malam tersebut dan turunnya malaikat menandakan melimpahnya berkat dan rahmat.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami menurunkannya pada suatu malam yang diberkati dan sesungguhnya Kami-lah yang memberi peringatan.” (Surah al-Dukhan: 3)

Keempat, Lailatulqadar diiringi juga dengan turunnya malaikat yang diketuai oleh ‘al-Ruh’ iaitu malaikat Jibril pada malam al-Qadar dalam suatu angkatan yang besar untuk memberi taufik dan hidayah kepada orang berpuasa dengan seikhlas hati.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Pada Malam itu, turun para malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka.” (Surah al-Qadar: 4)

Keistimewaan ‘al-Ruh’ atau malaikat Jibril yang disebut dalam ayat di atas adalah bagi menunjukkan kemuliaan dan keutamaan malaikat Jibril.

Malaikat turun ketika ada yang membacakan al-Quran, begitu juga akan mengelilingi orang yang berada dalam majlis zikir dan majlis ilmu. Malaikat akan meletakkan sayap-sayap pada penuntut ilmu kerana sangat mengagungkan dan memuliakan.

Kelima, malaikat turun untuk mengucapkan ‘salam sejahtera’ kepada seluruh penduduk bumi.Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sejahteralah Malam (yang penuh berkat) itu hingga terbit fajar!.” (Surah al-Qadar: 5).Ibn Kathir dalam kitab Tafsir al-Quran al ‘Azhim menukilkan pendapat Mujahid yang menyatakan malam tersebut penuh keselamatan kerana syaitan tidak dapat berbuat sesuatu pada malam tersebut, baik berbuat buruk atau mengganggu yang lain.

Selain itu, turut membawa makna bahawa pada malam tersebut banyak yang terselamat dari hukuman dan seksaan kerana telah melakukan ketaatan pada Allah SWT pada malam tersebut.

Keenam, malam penulisan dan dicatatkan takdir tahunan seseorang. Imam Nawawi dalam kitab Syarh Muslim menjelaskan bahawa catatan takdir tahunan tersebut tentu saja didahului oleh ilmu dan penulisan Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah.” (Surah al-Dukhan: 4)

Ibnu Kathir menafsirkan bahawa pada Lailatulqadar akan diperhalusi di Lauhul Mahfuzh mengenai penulisan takdir dalam setahun, seterusnya akan dicatat ajal maut dan rezeki. Selain itu, turut juga akan dicatat segala sesuatu sehingga akhir dalam setahun.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah menghapuskan apa yang Dia kehendaki dan menetapkan (apa yang Dia kehendaki) dan di sisi-Nya-lah terdapat Ummul kitab (Luh mahfuz).” (Surah al-Ra’d: 39)

Ketujuh, pengampunan dosa setiap orang yang menghidupkan malam Lailatulqadar.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa melaksanakan solat pada malam Lailatulqadar kerana iman dan mengharap pahala dari Allah, maka dosa-dosanya yang telah lalu akan diampunkan.” (Riwayat al-Bukhari)

Ibnu Hajar al-Asqalani menyatakan bahawa yang dimaksudkan ‘kerana iman’ adalah membenarkan janji Allah SWT iaitu pahala yang diberikan kepada orang yang menghidupkan malam tersebut. Manakala ‘mengharap pahala’ bermakna mengharap pahala dari sisi Allah SWT, bukan kerana mengharap selainnya seperti berbuat riyak.

Demikianlah beberapa keistimewaan Lailatulqadar yang wajar diusahakan dan  dimanfaatkan setiap masyarakat Islam. Ya Allah, kurniakanlah kami rezki bertemu dengan Lailatul Qadar pada tahun ini.