• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,273,603 orang
  • Kandungan Blog

Banyakkan Zikrullah di bulan Ramadhan

Umat Islam menyambut bulan yang selama ini ditunggu-tunggu, Ramadan. Apabila menyebut Ramadan, selain ibadat puasa wajib dilaksanakan pada siang hari, pastinya umat Islam tidak ketinggalan dengan ibadat berbentuk jama’i yang dilakukan bersama komuniti setempat seperti sahur, iftar, solat Tarawih dan tadarus al-Quran.

Selain itu, budaya bersedekah dan tolong-menolong dalam kalangan masyarakat seperti amalan bertukar-tukar kuih-muih antara jiran tetangga, acara memasak lauk berbuka untuk anak yatim atau usaha menyediakan moreh untuk ahli kariah selepas bertadarus atau apa saja aktiviti bersifat kemasyarakatan tetap dijalankan dengan istiqamah saban tahun ketika berada dalam bulan mulia ini.

Amalan seperti ini sangat dituntut oleh agama dan secara tidak langsung dapat menambahkan kelazatan beribadat dan mengeratkan ukhuwah sesama umat Islam.

Selain amalan bersifat jama’i, Islam turut tidak terlepas menggalakkan penganutnya melakukan sesuatu amalan secara fardiy atau bersendirian antaranya zikir kepada Allah SWT.

Zikir adalah suatu ibadat yang sunahnya dilakukan secara bersendirian.

Zikir berasal daripada bahasa Arab iaitu zikr yang bermaksud ingat atau sebut, bererti mengingati Allah Jallawa’ala atau menyebut nama-Nya. Ia mempunyai bacaan dan sebutan tertentu yang sebaik-baiknya diambil daripada apa yang terdapat atau warid daripada ayat al-Quran al-Karim atau hadis Nabi SAW yang juga secara umumnya mencakupi doa.

Terdapat banyak ayat al-Quran dan riwayat hadis mengenai perintah dan suruhan agama mengenai zikir. Antaranya ialah firman Allah SWT: “Ingatilah Aku (berzikirlah kepada-Ku), nescaya Aku akan mengingati kamu dan bersyukurlah kepada-Ku, janganlah kamu kufur terhadap-Ku.” Al-Baqarah ayat 152

Dalam surah yang lain, firman-Nya: “Wahai orang yang beriman, berzikirlah kepada Allah dengan zikir yang banyak.” Al-Ahzab ayat 41

Hadis riwayat Abu Musa RA daripada Nabi SAW, baginda bersabda: “Perumpamaan orang mengingati Tuhannya dan orang tidak mengingati Tuhannya adalah seperti orang hidup dan orang yang mati.” Hadis Riwayat al-Bukhari

Bagi konteks Ramadan, umat Islam dituntut supaya tidak meninggalkan zikir pada setiap hari khususnya bacaan zikir pagi dan petang. Penulis secara peribadi berpandangan ramai dalam kalangan umat Islam tidak mengambil berat mengenai amalan ini. Hal ini kerana terdapat segelintir masyarakat berasakan zikir hanya dilakukan selepas solat atau dalam majlis tertentu seperti yang dibudayakan di sesetengah tempat.

Firman Allah Azzawajalla: “Wahai orang yang beriman, berzikirlah kepada Allah dengan zikir yang banyak, dan bertasbihlah kepada-Nya pada waktu pagi dan petang. ” Al-Ahzab ayat 41-42

Dalam firman yang lain: “…dan bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu sebelum terbit matahari dan sebelum ia terbenam.” Surah Taha ayat 130

Sabda Nabi SAW: “Aku duduk bersama satu kaum untuk berzikir kepada Allah Taala dari waktu solat Subuh hingga matahari terbit adalah lebih aku sukai daripada memerdekakan empat hamba keturunan Nabi Ismail (iaitu hamba yang paling berharga dan terpilih) dan aku duduk bersama satu kaum berzikir kepada Allah dari waktu solat Asar hingga matahari terbenam lebih aku sukai daripada memerdekakan empat hamba.” Hadis Riwayat Abu Dawud

Dalil ini menunjukkan kepentingan berzikir pada waktu pagi dan petang untuk dilakukan setiap hari. Antara kitab yang menghimpunkan mengenai zikir yang lengkap ialah Al-Azkar oleh pengarangnya Imam al-Nawawi dan Hisnu al-Muslim oleh Sheikh Said bin Ali bin Wahf al-Qahtani serta Al-Wabil Al-Sayyib oleh Imam Ibnu al-Qayyim.

Kitab ini boleh dijadikan panduan kerana ia mudah diperoleh dan kandungannya dibahagikan mengikut tajuk tertentu termasuk zikir pagi dan petang.

Bagi sesetengah rakyat Malaysia yang terlibat dengan aktiviti usrah, sememangnya mereka terbiasa dengan kitab Al-Ma’thurat karangan Imam Hassan al-Banna yang kandungannya terdiri daripada zikir dan doa untuk diamal pada pagi dan petang.

Bagaimanapun, kini terdapat buku himpunan zikir seperti ini dijual di pasaran hasil usaha pelbagai ilmuwan tanah air mahupun Indonesia yang motifnya juga sama iaitu memberikan panduan bagi umat Islam mengamalkan agama. Jika diamati dengan mendalam, setiap bacaan zikir pagi dan petang itu mempunyai makna dan fadilat tersendiri.

Menurut Sheikh Majdi bin Abdul Wahab al-Ahmad dalam kitabnya Syarah Hisnu al-Muslim, menjelaskan terdapat tidak kurang 60 manfaat zikir yang semuanya berlandaskan sumber dalil yang jelas.

Sebagai contoh, sekiranya seseorang membaca ayat al-Kursi, Allah akan melindungi dirinya daripada gangguan syaitan, bagi yang mengucapkan sayyidul istighfar akan dijanjikan pembacanya dengan syurga jika mati pada hari berkenaan dan berselawat ke atas Nabi akan diberikan syafaat oleh Baginda di akhirat kelak.

Jika dirujuk kandungan makna zikir pagi dan petang, secara umumnya ia merujuk kepada puji-pujian kepada Tuhan, zat yang Maha Agung, permohonan kepada Allah supaya dipelihara keimanan dan perlindungan daripada segala kemudaratan, gangguan, azab dan sifat tidak baik yang dibenci Islam, tagihan hamba untuk mendapat kebaikan pada waktu pagi dan petang, pengakuan mengenai kelemahan diri sebagai hamba, penyerahan diri sentiasa kepada Allah SWT dan kebergantungan kepada-Nya tanpa putus asa, rayuan untuk dikurniakan kesihatan tubuh badan, rezeki yang baik, ilmu bermanfaat serta amalan yang diterima oleh Allah.

Rentetan daripada Ramadan ini, diharapkan umat Islam mengambil azam baharu dengan menjaga zikir pagi dan petang, untuk menambah amalan pada bulan mulia ini.

Walaupun hukumnya sunat, amatlah rugi apabila ia ditinggalkan kerana inti pati dalam zikir itu yang mencukupkan keperluan utama dalam hidup seseorang Muslim.

Inilah masa yang paling tepat dan sesuai iaitu ketika berada dalam madrasah Ramadan untuk melatih diri mengamalkan zikir setiap hari supaya dapat membaiki Ramadan lalu dengan penambahan amal soleh baharu dan kelak (pada bulan lain), ia akan terbiasa serta menjadi darah daging. Tidak kiralah sesibuk mana pun seseorang itu, akan diberikan masa untuk diri mengingati Allah SWT.

Bulan raih keampunan Ilahi

Mohd Shahrizal Nasir

Setiap manusia pasti melakukan kesalahan dan dosa dalam kehidupan. Hanya insan terpilih seperti rasul dan nabi yang terpelihara daripada sebarang dosa (maksum). Dalam Islam, ruang untuk kembali kepada Allah SWT amat luas. Usah ada dalam kalangan kita yang merasakan dirinya sudah banyak bergelumang dengan dosa dan Allah SWT tidak akan sekali-kali mengampuni dirinya. Pemahaman seperti ini salah dan jelas bertentangan dengan sifat Allah SWT iaitu Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.

Rasulullah SAW bersabda menerusi hadisnya yang bermaksud: “Setiap anak keturunan nabi Adam banyak melakukan dosa dan sebaik-baik orang yang banyak melakukan dosa adalah orang yang banyak bertaubat.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Penjelasan Rasulullah SAW ini mampu melegakan jiwa yang tidak tenteram kerana menanggung dosa yang telah dilakukannya selama ini. Jika orang yang hidupnya sering melakukan dosa dan pada satu ketika dirinya berasa ada sesuatu yang tidak kena dalam hidupnya dan dia perlu kembali ke pangkal jalan, maka inilah satu nikmat daripada Allah SWT. Dialah yang membuka pintu hati manusia untuk kembali kepada-Nya.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: “Oleh itu tidakkah mereka mahu bertaubat kepada Allah dan memohon keampunannya (sesudah mereka mendengar keterangan-keterangan tentang kepercayaan mereka yang salah dan balasan seksanya)? Padahal Allah Maha pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Ma’idah, ayat 74)

Justeru, pada minggu pertama bulan Ramadan kali ini, marilah kita merenung kembali setiap perkara yang telah dilakukan selama ini. Adakah ia perkara yang mendatangkan pahala atau sebaliknya? Jika ada dosa yang kita lakukan sebelum ini, maka kehadiran Ramadan perlu dimanfaatkan sebaiknya untuk meraih keampunan daripada Allah SWT.

Sesungguhnya bulan Ramadan adalah bulan yang sangat istimewa dengan segala macam kelebihan kurniaan Allah SWT untuk sekalian hamba-Nya yang beriman. Rasulullah SAW menyebut tentang keistimewaan Ramadan menerusi sabdanya: “Apabila Ramadan tiba, pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan pun dibelenggu.” (Muttafaq ‘alaih)

Bagi memperoleh keampunan Ilahi, kita perlu berusaha dan bukan sekadar menyerahkan segalanya kepada takdir. Muslim yang beriman perlu mencari jalan untuk memastikan dirinya mendapat keampunan daripada Allah SWT. Antara cara yang paling utama pada bulan Ramadan ini ialah dengan melaksanakan ibadah puasa sebaiknya.

Allah SWT menjanjikan ganjaran yang besar bagi hamba-Nya yang berjaya menunaikan ibadah puasa dengan kualiti yang terbaik. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Sesungguhnya dalam syurga ada sebuah pintu yang disebut dengan ar-Rayyan. Orang yang berpuasa akan memasuki pintu tersebut pada Hari Kiamat, tidak ada selain daripada mereka yang akan memasukinya. Jika orang terakhir yang berpuasa telah masuk ke dalam pintu tersebut, maka pintu tersebut akan tertutup.”  (Muttafaq ‘alaih)

Hadis tersebut memberi petunjuk wujudnya ganjaran yang istimewa daripada Allah SWT untuk hamba-Nya yang berjaya menunaikan ibadah puasa dan ibadah tersebut diterima-Nya. Adakah wujud dalam kalangan orang yang berdosa akan semudahnya dapat memasuki syurga? Pastinya apabila seseorang hamba memperoleh ganjaran syurga atas sebab pelaksanaan puasa, maka dosa kesalahannya yang lain telah diampuni oleh Allah SWT.

Jika kita sekadar berpuasa tetapi masih melakukan perkara yang dilarang oleh Allah SWT, pastinya puasa kita tidak mencapai tahap yang ditetapkan oleh Allah SWT. Maka bagaimana kita akan layak memasuki pintu ar-Rayyan tersebut? Dengan kata lain, untuk kembali kepada Allah SWT, maka laksanakanlah ibadah puasa dan perintah-Nya yang lain. Mudah-mudahan kita termasuk dalam kalangan hamba-Nya yang masuk ke dalam syurga melalui pintu ar-Rayyan.

Dalam hadis lain Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah seorang hamba yang berpuasa pada jalan Allah kecuali akan Allah jauhkan dia (kerana puasanya) dari neraka sejauh tujuh puluh musim” – (Muttafaq ‘alaih). Ibnu Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Bari menjelaskan bahawa maksud sabda Rasulullah SAW ’70 musim’ itu adalah perjalanan 70 tahun. Hadis ini boleh dijadikan satu motivasi kepada diri kita iaitu apabila kita berpuasa, Allah SWT akan memelihara kita daripada seksaan api neraka.

Selain itu, dalam usaha untuk meraih keampunan daripada Allah SWT, bulan Ramadan perlu dimanfaatkan dengan melaksanakan pelbagai bentuk amal ibadah. Mungkin kita susah untuk menunaikan ibadah sunat pada bulan-bulan lain, namun pada bulan Ramadan, banyak amalan yang boleh kita lakukan. Suasana orang di sekeliling kita yang turut melaksanakan amal ibadah juga boleh menjadikan diri turut serta ingin melakukan perkara yang sama. 

Cuba kita perhatikan, mungkin ramai yang akan keluar daripada tempat kerja untuk makan tengah hari pada hari biasa. Ada kalanya kita tidak ke masjid kerana ingin makan tengah hari bersama rakan sekerja. Namun, pada bulan Ramadan, kita tidak perlu untuk bergegas mencari kedai makan. Maka sebaiknya masa rehat dimanfaatkan untuk pergi ke masjid bagi menunaikan solat Zuhur secara berjemaah. 

Begitu juga pada waktu malam, biasanya kita berehat di rumah atau menghabiskan masa menonton televisyen dan sebagainya. Namun, pada bulan Ramadan, ramai orang ke masjid dan surau untuk menunaikan solat sunat Tarawih. Suasana seperti ini tidak ada pada bulan-bulan lain, ia hanya ada pada bulan Ramadan. Inilah peluang terbaik untuk memperbaiki hubungan kita dengan Allah SWT. 

Mungkin sebelum ini kita mengutamakan makan dan rehat, tetapi pada bulan Ramadan, tindakan kita jelas menunjukkan bahawa kita mengutamakan Allah SWT daripada yang selain daripada-Nya. Mungkin ada suara-suara sumbang yang mengatakan seperti “Bulan Ramadan, baru nampak ke masjid” atau “Sebab tak boleh makan, terpaksa datang masjid.” dan sebagainya. Usah lemah semangat dengan kata-kata seperti itu. Teruslah tekadkan niat, gandakan usaha untuk turut serta melaksanakan amal ibadah pada bulan Ramadan sepertimana orang lain melakukannya. 

Bulan Ramadan adalah peluang bagi semua umat Islam meraih keampunan daripada Allah SWT. Sesungguhnya Allah SWT amat rapat dengan hamba-Nya pada bulan Ramadan. Buktinya pahala puasa diberikan oleh Allah SWT secara langsung kepada hamba-Nya. Dalam sebuah hadis Qudsi, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya ibadah puasa itu khusus dilakukan semata-mata untuk-Ku dan Aku sendiri yang membalasnya (dengan pahala yang hanya Aku mengetahui besar dan banyaknya).”  (Hadis riwayat al-Bukhari)