• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,273,621 orang
  • Kandungan Blog

Tunai Solat Sunat Terawih dengan cermat

Mohd Shahrizal Nasir

RAMADAN adalah bulan umat Islam menggandakan ibadah. Ia bukan satu-satunya bulan ibadah kerana setiap umat Islam juga menunaikan ibadah pada bulan lain.

Namun istimewanya pada Ramadan, setiap amalan digandakan pahalanya yang tidak seperti pada bulan lain. Justeru, wajar pada Ramadan setiap umat Islam memperbanyakkan ibadah.

Keistimewaan Ramadan sebagai bulan untuk umat Islam menggandakan amal ibadah dijelaskan menerusi sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Apabila Ramadan tiba, pintu-pintu syurga dibuka dan pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan dibelenggu.” (Muttafaq ‘alaih)

Imam Nawawi menjelaskan hadis terbabit dengan menukilkan pandangan Al-Qadi ‘Iyad yang mengatakan bahawa Ramadan dijadikan bulan istimewa oleh Allah SWT.

Terbukanya pintu syurga menzahirkan perkenan Allah dalam melancarkan urusan orang Islam melakukan pelbagai ketaatan pada Ramadan dengan ganjaran yang amat istimewa.

Justeru, peluang ketika masih berada dalam Ramadan ini tidak boleh dipersiakan.

Orang yang membiarkan Ramadan berlalu tanpa sebarang usaha untuk menggandakan ibadah akan termasuk dalam kalangan orang yang rugi.

Insafi keadaan orang yang rugi di akhirat nanti dan mereka menyesali perbuatan sendiri serta berharap supaya dapat hidup semula di dunia untuk beribadah kepada Allah.

Firman Allah bermaksud: “Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan (Allah) mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu), maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik, sesungguhnya kami sekarang telah yakin.” (Surah as-Sajdah, ayat 12)

Bagaimanapun, dalam keadaan setiap orang dituntut menggandakan ibadah di bulan Ramadan, jangan ibadah dikerjakan secara tergesa-gesa. Cuba semak semula ibadah yang kita lakukan. Tanya pada diri sendiri, adakah ibadah terbabit dilakukan secara tertib atau sekadar buat.

Perkara ini perlu diperhalusi supaya ibadah yang akan terus dilakukan pada hari Ramadan berikutnya adalah amalan yang berkualiti.

Setiap ibadah seperti solat dan membaca al-Quran mensyaratkan supaya setiap orang berwuduk terlebih dahulu.

Maka wuduk perlu diambil dengan cara betul bagi menjamin penerimaan ibadah solat yang ingin ditunaikan.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Tidak diterima solat orang yang berhadas sehingga dia berwuduk.” (Muttafaq ‘alaih)

Kita tidak boleh sekadar berwuduk, tetapi perlu memastikan perbuatan berwuduk diterima bagi memastikan solat kita diterima Allah.

Pendek kata, orang yang tidak betul ketika berwuduk menyebabkan solatnya tidak diterima. Adakah air mengenai seluruh muka ketika berwuduk? Adakah air sampai siku ketika membasuh tangan? Adakah terdapat benda pada anggota wuduk yang boleh menghalang air? Jangan tergopoh-gapah ketika berwuduk, pastikan air mengenai seluruh anggota wuduk.

Begitu juga ketika menunaikan solat malam. Mungkin ada orang yang menunaikan solat Tarawih secara berjemaah di rumah bersama keluarga, namun mereka menunaikan solat Maghrib secara bersendirian.

Ia tidak salah, tetapi orang Muslim perlu tahu perbezaan amalan wajib dan sunat serta pahala yang dikurniakan Allah yang pastinya berbeza.

Utamakan ibadah wajib dan jangan tinggalkan ibadah sunat pada Ramadan ini.

Solat Tarawih dilakukan secara dua rakaat sehingga menjadi bilangan lapan atau 20 rakaat, ia satu jumlah yang banyak.

Usah tergesa-gesa dalam melaksanakan solat Tarawih sehingga tiada tamakninah. Rasulullah bersabda maksudnya: “Sejahat-jahat pencuri adalah yang mencuri daripada solatnya.” Sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, bagaimana mencuri daripada solat?” Rasulullah bersabda: “Dia tidak menyempurnakan rukuk dan sujudnya.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Firman Allah bermaksud: “Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah…” (Surah al-Baqarah, ayat 185).

Ramadan ialah bulan latihan untuk melatih diri. Ibadah dilakukan untuk mendekatkan diri kepada Allah serta menjadikan ibadah terbabit amalan rutin pada bulan mendatang.

Hayati kehadiran Ramadhan dengan amal soleh

Datuk Mohd Ajib Ismail

Malam ini umat Islam khususnya di Malaysia akan kembali bertarawih menjelang kedatangan bulan Ramadan. Tahun ini amat istimewa kerana kita menyambut Ramadan ketika negara telahpun mengisytiharkan peralihan ke fasa endemik bermula 1 April. Justeru pelbagai kelonggaran yang ditetapkan memberikan lebih ruang kepada orang ramai untuk menikmati pelbagai tradisi kemeriahan Ramadan yang dinantikan. Setiap Muslim perlu menyambut ketibaan Ramadan dengan perasaan gembira dan teruja seperti menerima kehadiran tetamu yang amat ditungu-tunggu. 

Di dalam sebuah hadis daripada Anas bin Malik RA bermaksud: “Rasulullah  berdoa sebaik sahaja datangnya bulan Rejab. “Ya Allah berkatilah bagi kami pada bulan Rejab dan Syaaban serta berkatilah kami juga pada bulan Ramadan.” (Riwayat Ahmad)

Perkara yang lebih penting adalah untuk memastikan tujuan utama ibadah puasa seperti melatih sifat sabar dan berdisiplin, memupuk perasaan empati terhadap kesusahan insan lain serta membentuk kesihatan jasmani dan rohani dapat dicapai supaya kita semua menjadi Muslim yang bertakwa sepertimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.”

Setiap Muslim bertanggungjawab untuk mentaati perintah dan syariat berpuasa serta menghormati kemuliaan Ramadan dengan memelihara adab-adab yang ditetapkan. Rukhsah atau keringanan hanyalah diberikan kepada golongan tertentu dengan syarat yang ditetapkan seperti firman Allah SWT dalam al-Quran surah al-Baqarah, ayat 185 yang bermaksud: “Dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur.”

Selain menunaikan ibadah puasa, ketibaan Ramadan juga bertujuan mendatangkan keinsafan dan menyemai perasaan empati terhadap golongan yang memerlukan seperti dilanda kesusahan, kekurangan harta benda dan kelaparan. Justeru di dalam al-Quran dan hadis banyak dirakamkan mengenai kelebihan dan keutamaan menghulurkan bantuan dan meringankan kesusahan orang lain. Setiap amalan baik yang dilakukan dengan niat yang ikhlas pasti akan diganjari dengan pahala oleh Allah SWT termasuk perbuatan memberi dan bersedekah kepada sesiapa yang memerlukan.  

Firman Allah SWT di dalam  surah al-Nisa’ ayat 114  yang bermaksud: “Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah atau berbuat kebaikan atau mendamaikan di antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar.”

Antara sebab bulan Ramadan sering ditunggu-tunggu adalah kerana ganjaran berlipat ganda yang diberikan oleh Allah berbanding bulan-bulan yang lain. Amalan Nabi Muhammad SAW yang banyak bersedekah pada bulan Ramadan menunjukkan bahawa bersedekah pada bulan tersebut mempunyai kelebihan tersendiri. Di dalam sebuah hadis riwayat Anas RA menyebutkan maksudnya: “Ditanyakan Nabi puasa apakah yang terbaik selepas Ramadan? Jawab Nabi, puasa di bulan Syaaban untuk mengagungkan Ramadan. Ditanya lagi sedekah apakah yang paling afdal. Jawab Nabi, sedekah di bulan Ramadan.” (Riwayat Al-Tirmizi)

Ramadan juga boleh dijadikan titik perubahan untuk melakukan penghijrahan dengan memperbaiki diri ke arah kebaikan. Perkara tersebut dapat dilaksanakan dengan memperbanyakkan taubat iaitu berniat untuk meninggalkan perbuatan yang menyalahi syariat serta berazam melaksanakan perubahan kerana Allah SWT bukan kerana paksaan sesiapa. Usahlah dipersendakan mereka yang mula berusaha mendekatkan diri ke jalan kebaikan di bulan Ramadan kerana mungkin menjadi asbab perubahan yang berpanjangan.  

Firman Allah SWT di dalam al-Quran  surah al-Tahrim ayat 8  yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! bertaubatlah kamu kepada Allah dengan ‘taubat nasuha’ mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba dalam gelap-gelita): “Wahai Tuhan kami, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan limpahkanlah keampunan kepada kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

Prosedur operasi standard (SOP) terkini dalam fasa peralihan ke endemik berkaitan aktiviti pengimarahan di masjid dan surau khususnya di Wilayah-Wilayah Persekutuan telahpun dikeluarkan berdasarkan titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Antara aktiviti yang dibenarkan adalah tazkirah, kuliah, ceramah, forum, solat sunat Tarawih sebanyak 20 rakaat, tadarus al-Quran, qiamullail, majlis berbuka puasa, moreh, sahur serta majlis penyampaian bantuan dan sumbangan. Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) juga merancang pelbagai program menarik sempena bulan Ramadan meliputi pengisian ibadah, kerohanian, pembudayaan ilmu dan kemasyarakatan di semua premis di bawah seliaan Jawi seperti masjid, surau dan Sekolah Rendah Agama (SRA) serta aktiviti turun padang menyantuni golongan sasaran yang memerlukan. Program tersebut dilaksanakan bertujuan memberikan peluang kepada orang ramai untuk melipatgandakan amalan ibadah, mendalami ilmu berkaitan ibadah puasa serta menzahirkan keprihatinan dan perasaan empati terhadap kesusahan yang dialami oleh insan lain terutamanya dalam bulan Ramadan yang mulia. 

Marilah kita menanamkan tekad dan azam menjadikan Ramadan kali ini yang terbaik serta berusaha memburu ganjaran malam lailatul qadar yang dijanjikan Allah SWT iaitu lebih baik daripada seribu bulan.