• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,296,095 orang
  • Kandungan Blog

Ganjaran istimewa puasa

Mohd Shahrizal Nasir

Kedatangan Ramadan, sematkan keazaman untuk menunaikan ibadat puasa Ramadan dengan penuh kesungguhan serta mengharapkan ganjaran istimewa daripada Allah SWT.

Jangan pula persiakan kehadiran Ramadan dengan menganggapnya sekadar bulan biasa yang akan datang dan pergi.

Rasulullah SAW pernah didatangi malaikat Jibril dengan rupa paras seorang lelaki tidak dikenali oleh sahabat.

Dalam keadaan dirinya sebagai individu asing dalam majlis Rasulullah itu, Jibril mengajukan beberapa soalan kepada Baginda.

Antara soalan yang ditanya: “Maka sekarang khabarkanlah kepadaku daripada hal ihsan? Rasulullah menjawab: Ihsan itu ialah engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya, tetapi jika engkau tidak melihat-Nya, maka sesungguhnya yakinlah Dia melihat engkau.” (Hadis riwayat Muslim)

Hadis itu menjelaskan, ihsan menjelaskan satu situasi seorang hamba menunaikan ibadat kepada Allah SWT dengan cara terbaik.

Terkeluar daripada definisi ihsan apabila sesuatu ibadat dilakukan secara sambil lewa.

Ilmu amat penting dalam pelaksanaan sesuatu ibadat supaya mutu ibadat itu menepati piawaian ditetapkan Allah SWT.

Dalam al-Quran terdapat 12 ayat mengandungi lafaz ‘ihsan’ atau ‘ihsanan’ yang merujuk kepada perbuatan baik atau kebaikan.

Terdapat kira-kira 38 ayat lagi mengandungi perkataan berkaitan ihsan yang merujuk kepada puji-pujian dan penghargaan tinggi kepada pelakunya dengan lafaz muhsin, muhsinun, muhsinin dan muhsinat.

Ibadat puasa amat istimewa kerana nilai pahalanya diberikan secara langsung oleh Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Semua amalan anak Adam untuknya. Allah berfirman: Kecuali puasa. Ia untuk-Ku dan Aku yang akan membalasnya.” (Muttafaq ‘alaih)

Wajar buat kita memastikan ibadat puasa yang akan ditunaikan nanti dibuat dengan penuh ikhlas dan bersungguh-sungguh.

Tidak ada orang mengetahui sama ada dia berpuasa atau tidak melainkan Allah SWT dan diri orang itu sendiri.

Dengan sifat ihsan, ibadat puasa perlu dilaksanakan dalam keadaan kita yakin Allah SWT sedang memerhatikan tindak-tanduk kita pada setiap saat.

Malang sekali apabila terdapat segelintir orang berpuasa, tetapi masih melakukan perkara dilarang Allah SWT seperti mengumpat, menyebarkan fitnah, membazir dan mengabaikan tugas atas alasan berpuasa.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Betapa ramai orang yang berpuasa tetapi tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan rasa lapar.” (Hadis riwayat Ibn Majah)

Antara perkara sering berlaku pada bulan puasa ialah menjadikan puasa sebagai alasan untuk meringankan tugas atau tanggungjawab.

Islam tidak pernah menerima alasan sedang berpuasa sebagai sebab produktiviti kerja menurun.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah suka seseorang daripada kamu jika dia melakukan sesuatu kerja, dia melakukannya dengan bersungguh-sungguh.” (Hadis riwayat Muslim)

Tambahan pula, kebanyakan tempat kerja khususnya sektor kerajaan menamatkan waktu operasinya lebih awal pada bulan Ramadan.

Maka, tidak timbul soal pengurusan masa, tenaga dan bebanan tugas sepanjang Ramadan.

Sifat ihsan ketika berpuasa akan menjadikan diri sentiasa beringat perlunya menunaikan ibadat puasa serta menjaga kualiti pelaksanaannya.

Sekiranya setiap Muslim memahami konsep ihsan dalam pelaksanaan ibadat puasa, maka perkara salah seperti dinyatakan tidak akan berlaku.

Setiap kita akan sentiasa berwaspada dalam percakapan dan perbuatan kerana sekiranya tidak dipelihara, ia memberi kesan negatif kepada mutu ibadat.

Dengan sifat ihsan, kita yakin semua perkataan dan perbuatan tidak pernah terlepas daripada pengetahuan Allah SWT.

Allah SWT menyukai orang yang berbuat ihsan dan akan melimpahkan rahmat-Nya kepada golongan itu.

Allah SWT berfirman maksudnya: “Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang muhsinin (orang yang memperbaiki amalannya).” (Surah al-A’raf, ayat 5)

Kita tidak mahu tergolong dalam kalangan orang yang sekadar berpuasa kerana melihat orang sekeliling berpuasa.

Takwa matlamat puasa

Prof Madya Dr Azlan Shaiful Baharum

Betapa terujanya kita semua pada masa ini. Menjelang beberapa hari lagi kita akan menjengah ke bulan yang penuh dengan kemuliaan, keagungan dan keistimewaan yang dinantikan oleh seluruh umat Nabi Muhammad SAW. Perkara ini tidak diperoleh oleh umat lain sebelum ini. Walaupun mereka berpuasa, tetapi pelaksanaan dan ganjarannya tidak sama seperti yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita. Ramadan satu bulan yang sangat berbeza, sarat dengan amalan yang penuh barakah, bulan turunnya kitab suci al-Quran dari Luh Mahfuz ke langit dunia seterusnya kepada Rasulullah SAW, bulan yang sarat dengan keampunan dan limpahan ganjaran pahala yang berlipat ganda yang tiada pada bulan-bulan yang lain.

Allah SWT memerintahkan umatnya yang beriman tentang kewajipan menahan diri luaran dan dalaman melalui firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” Ayat ini jelas tertumpu kepada seruan kepada orang yang beriman, bukan hanya orang Islam semata-mata kerana keimanan seseoranglah yang membawa kepada kekuatannya untuk menahan lapar dan dahaga sebulan dalam bulan Ramadan. Iman adalah faktor utama yang cukup ampuh dan penting yang menyebabkan kita sanggup meninggalkan segala kelazatan dunia, hawa nafsu dan perkara yang ditegah oleh Allah SWT. Apakah puncanya ia boleh jadi begitu? Ini disebabkan oleh matlamat atau KPI yang ditetapkan oleh Allah SWT iaitu ketakwaan yang mutlak pada hujung Ramadan.

Definisi takwa

Takwa satu perkataan yang didengari saban minggu, terutama sekali ketika umat Islam mendengar khutbah Jumaat, bukanlah satu seruan yang biasa sahaja, tetapi mengandungi seruan memperbaharui janji kita kepada Allah SWT untuk sentiasa melakukan kebaikan dan menyeru ke arahnya dan mencegah kemungkaran serta perkara keji dan maksiat. Allah SWT berfirman dalam banyak ayat al-Quran sebagai contoh dalam surah al-Baqarah yang bermaksud: “Wahai manusia! Sembahlah Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang sebelum kamu, agar kamu bertakwa. (Al-Baqarah: 21)

Selain itu firman-Nya: “Dan berimanlah kamu kepada apa yang telah Aku turunkan (al-Quran) yang membenarkan apa yang ada padamu (Taurat), dan janganlah kamu menjadi orang yang pertama kafir kepadanya dan janganlah kamu menukarkan ayat-ayat-Ku dengan harga yang rendah dan hanya kepada Akulah kamu harus bertakwa.” (al-Baqarah: 41)

Di samping itu, ayat yang lain: “Dan (ingatlah), ketika Kami mengambil janji daripada kamu dan Kami angkatkan gunung (Thursina) di atasmu (seraya Kami berfirman): “Peganglah teguh-teguh apa yang Kami berikan kepadamu dan ingatlah selalu apa yang ada di dalamnya, agar kamu bertakwa.” (al-Baqarah: 63)

Ciri-ciri istimewa orang bertakwa

Ciri-ciri orang bertakwa itu diperincikan lagi oleh Allah SWT dalam surah yang sama melalui firman-Nya: “Kebajikan itu bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah Timur dan ke Barat, tetapi kebajikan itu ialah (kebajikan) orang yang beriman kepada Allah, Hari Akhir, malaikat-malaikat, kitab-kitab, dan nabi-nabi dan memberikan harta yang dicintainya kepada kaum kerabat, anak yatim, orang-orang miskin, orang-orang yang dalam perjalanan (musafir), peminta-peminta sedekah, dan untuk memerdekakan hamba sahaya, yang melaksanakan solat dan menunaikan zakat, orang-orang yang menepati janji apabila ia berjanji dan orang yang sabar dalam kesusahan, penderitaan dan peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar dan mereka itulah orang-orang yang bertakwa. (al-Baqarah: 177)

Justeru jelas keimanan dan ketakwaan mesti seiring demi merealisasikan matlamat selepas sebulan beribadah. Ini kerana bukan semua orang yang mengaku Islam itu mempunyai keimanan yang jitu untuk menahan nafsu syahwatnya daripada melakukan perkara yang menjadi rutin hariannya dalam sebelas bulan yang sebelumnya. Nabi Muhammad SAW bersabada dalam hadisnya: Daripada Abu Hurairah RA lagi katanya bahawa Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan berkelakuan keji lagi buruk sedangkan dia berpuasa, baginya tidak ada kelebihan di sisi Allah selain daripada lapar dan dahaga sahaja yang didapatinya.” (Riwayat al-Bukhari)

Takwa tiket syurga

Maka jelaslah ketakwaan jugalah yang akan menjadi tiket utama untuk menempah syurga Allah SWT. Ini jelas dinyatakan dalam banyak ayat al-Quran. Sebagai contoh Surah Ali Imran ayat 133 yang bermaksud: “Dan bersegeralah kamu kepada keampunan daripada Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa.” Begitu juga Surah An-Naba’  ayat 31:  “Sesungguhnya, orang-orang yang bertakwa mendapat kemenangan dan kejayaan.”

Ini juga disusuli dengan firman Allah SWT di dalam Surah al-Zukhruf, ayat 68 hingga 70: “(Mereka yang bertakwa itu, diberi penghormatan serta diseru oleh Allah Taala dengan firman-Nya): “Wahai hamba-hambaku! Pada hari ini kamu tidak akan merasai sebarang kebimbangan (daripada sesuatu yang tidak baik); dan kamu pula tidak akan berdukacita. (Mereka itu ialah) orang yang beriman akan ayat keterangan Kami serta mereka menjadi orang Islam yang taat dan patuh, (Mereka diberi sebaik-baik balasan dengan dikatakan kepada mereka): Masuklah kamu ke dalam syurga bersama isteri-isteri kamu (yang beriman) dengan menikmati sepenuh-penuhnya kegembiraan dan kesenangan.”

Puasa zahir batin

Ini jelas melambangkan orang yang berpuasa sedangkan mereka tidak memelihara lidah (percakapannya dan pertuturannya) dan juga masih melakukan maksiat dan kemungkaran, tidak akan diberikan ganjaran pahala oleh Allah SWT kerana berpuasa melainkan mereka akan merasa lapar dan dahaga sahaja sepanjang masa tersebut. Ini bermakna puasa mereka hanyalah sesuatu yang sia-sia dan tidak memberikan apa-apa impak yang positif dalm membentuk sahsiah sebagai individu yang mengaku beriman.

Oleh itu jelaslah puasa yang paling istimewa di sisi Allah SWT ialah mereka yang dapat menahan lapar dan dahaga serta menjaga dengan sepenuh perhatian segala pancaindera mereka daripada melakukan maksiat, dosa dan kemungkaran di samping menambahkan amal ibadat lain yang jarang dilakukan oleh mereka sebelum ini, sepanjang mereka berpuasa pada bulan Ramadan.

Marilah kita menguatkan azam dan semangat penuh bermotivasi, bertunjangkan wahyu Rabbani dan sunnah Nabawi untuk melipatgandakan amalan dalam bulan puasa pada tahun ini, insya-Allah.