• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,306,932 orang
  • Kandungan Blog

Puasa pencetus taqwa

Alhamdulillah seluruh umat Islam hampir 1 minggu berada di bulan Ramadan. Oleh itu, saya ingin mendapatkan penjelasan ustaz mengenai kesan golongan yang berpuasa tetapi mereka masih mengumpat dan berbohong. Adakah sah puasa mereka itu?

Amirul, Sepang

Puasa yang diterima Allah SWT adalah yang dapat membersihkan jiwa, menguatkan diri ke arah kebaikan, seterusnya membuahkan sifat takwa.

Sebagaimana Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Hai orang-orang beriman diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183)

Wajib bagi setiap orang Islam yang berpuasa menahan diri mereka daripada mengeluarkan kata-kata dan perbuatan yang dapat mengurangkan atau menghapuskan pahala puasa sehinggakan puasanya itu hanya mendapat lapar dan dahaga semata-mata.

Dalam satu hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim dinyatakan: “Puasa itu perisai, maka apabila salah seorang daripada kamu sedang berpuasa, janganlah berkata kotor dan berbuat bodoh dan apabila ada seseorang yang mencacinya atau mengajaknya bertengkar, maka hendakdaklah ia berkata, “Sesungguhnya aku berpuasa.”

Dalam hadis lain riwayat an-Nasa’i, Ibn Majah dan al-Hakim, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Betapa banyak orang yang berpuasa tetapi ia tidak mendapatkan sesuatu daripada puasanya itu melainkan lapar. Dan betapa banyak orang yang melakukan solat malam tetapi ia tidak mendapatkan sesuatu daripada solat ma- lamnya itu kecuali tidak tidur.”

Sebuah lagi hadis, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan perbuatan yang buruk, maka Allah tidak memerlukan dia meninggalkan makan dan minumnya.”

Ibn Arabi berkata bahawa hadis itu mengandungi makna orang itu tidak diberi pahala atas puasanya.

Itu menunjukkan pahala puasanya hilang disebabkan ucapan dusta dan dosa lain yang dilakukannya.

Ibn Hazm berpendapat, hal itu akan membatalkan puasa sebagaimana makan dan minum.

Menurut ulama juga, kemaksiatan dapat meghilangkan ‘buah’ puasa dan merosakkan maksud disyariatkan berpuasa itu sendiri.

Sebab itulah golongan salaf dahulu menaruh perhatian untuk menjaga puasanya daripada perkataan serta perbuatan sia-sia dan sebagaimana mereka memeliharanya daripada makan dan minum.

Umar berkata: “Puasa itu bukan hanya menahan diri daripada minum dan makan tetapi juga daripada ucapan dusta, batil dan sia-sia.”

Jabir berkata: “Apabila anda berpuasa makan, hendaklah pendengaran, penglihatan dan lisan anda juga berpuasa daripada dusta dan dosa-dosa. Janganlah anda menyakiti pekerja anda, hendaklah anda bersikap merendah diri dan tenang pada hari anda berpuasa. Dan janganlah anda samakan hari berbuka anda dengan hari berpuasa anda.”

Abu Dzar pernah berkata kepada Thaliq bin Qais, “Apabila engkau berpuasa, maka jagalah dirimu semampu mungkin.”

Oleh kerana itu, jika sedang berpuasa Thaliq tidak keluar rumah kecuali untuk menunaikan solat.

Abu Hurairah dan sahabatnya apabila berpuasa mereka duduk di masjid dan mereka berkata: “Kami menyucikan puasa kami.”

Maimun bin Mahran berkata: “Puasa yang paling ringan ialah puasa daripada makan dan minum.”

3 Dimensi hikmah puasa Ramadan

Prof Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

IBADAT puasa pada Ramadan disebut dalam al-Quran sebagai wahana yang membina insan bertakwa kepada Allah. Menurut perspektif al-Quran, takwa yang dimaksudkan tidak hanya lahir dalam bentuk ketundukan individu yang bersifat vertikal, malah ia juga turut mencakupi kehidupan sosial sesama umat manusia di bumi Allah yang terbentang luas ini. Ini kerana Ramadan bulan yang terhimpun padanya kebajikan, nur dan hidayah yang melimpah-ruah seluas samudera raya. Melalui ibadat puasa ini juga, Allah menguji makhluk-Nya untuk mengosongkan isi perut dan memimpin nafsu ke arah darjat kesucian serta fitrah.

Dalam hal ini, Imam Fakhruddin al-Razi dalam kitab tafsirnya, Tafsir Mafatih al-Ghaib menyatakan bahawa Allah melimpahkan keistimewaan Ramadan dengan menurunkan padanya al-Quran. Oleh sebab itu, Allah mengkhususkan dengan satu ibadat yang sangat besar nilainya iaitu puasa. Puasa senjata yang menyingkap segala tabir yang menghalang kita untuk memandang nur Ilahi yang Maha Kudus. Ramadan juga bulan yang dimulainya dengan gerakan membasmi kemusyrikan di muka bumi, menghapuskan kedengkian, melawan kebatilan, mengekang hawa nafsu dan kesombongan manusia.

Puasa Ramadan asas pembinaan iman, Islam dan ihsan bertapak kukuh dalam jiwa setiap Muslim demi menjunjung titah serta perintah Ilahi Yang Maha Agung, meraih keampunan Ilahi yang tiada terhingga dan membebaskan diri daripada ancaman api neraka. Jelas di sini ibadat puasa berfungsi sebagai latihan pengendalian diri daripada terjerumus ke lembah kemaksiatan dan kekejian akibat tarikan hawa nafsu yang bergelora. Pengendalian diri itu pada hakikatnya adalah suatu cetusan keinsafan yang terpancar dari sudut jiwa pentingnya ketundukan yang penuh kudus kepada Allah pada setiap detik.

Lebih penting daripada itu, keupayaan mengendalikan diri akan menjadi semakin utuh menghiasi peribadi Muslim kerana ibadat puasa secara khususnya tidak ada seorang pun yang dapat mengetahuinya mahupun menilainya melainkan Allah. Ini kerana puasa itu adalah qiyam bila ‘amal yang bermaksud beribadat tanpa bekerja. Dikatakan ‘tanpa bekerja’ kerana ibadat puasa yang dilakukan itu bebas daripada gerakan. Pengertian inilah yang menjadi garis pemisah atau titik perbezaan antara puasa dengan amal ibadat yang lain. Apa pun amal ibadat yang dilaksanakan seseorang Muslim, pasti ia akan dapat diketahui dari aspek lahiriahnya seperti solat, zakat dan haji sebaliknya ibadat puasa pula tidak dapat diketahui apatah lagi diperlihatkan dengan gerakan lahiriah. Dari sini jelaslah hikmah sebenar mengapa Allah saja layak memberikan ganjaran pahala kepada orang yang berpuasa kerana ibadat puasa satu-satunya ibadat yang tidak boleh dicampuri dengan sifat riak. Firman Allah dalam satu hadis Qudsi yang bermaksud: “Setiap amalan kebajikan anak Adam akan diberikan balasan dengan 10 kali ganda sehingga 700 kali ganda kecuali ibadat puasa. Puasa adalah untuk-Ku dan Akulah sahaja yang akan memberikan ganjaran kepadanya.”

Imam al-Ghazali menerangkan kedudukan ibadat puasa di antara ibadat yang lain bahawa puasa adalah satu perempat iman berdasarkan hadis Rasulullah yang bermaksud: “Berpuasa itu separuh daripada sabar dan juga maksud hadis Rasulullah yang lain: Sabar itu separuh daripada iman.”

Selanjutnya, puasa Ramadan kesempatan terbaik bagi umat Islam untuk mempertingkatkan kualiti tiga dimensi kesedaran batin dan penghayatan keagamaan dalam kehidupan seharian iaitu:

Pertama, penghayatan keagamaan yang mendalam dalam konteks hubungan menegak antara seseorang Muslim dengan Allah sehingga menyuburkan sifat luhur dalam jiwa sanubarinya. Dari sini, Muslim bersedia dengan tulus ikhlas untuk melaksanakan ibadat sepanjang Ramadan untuk memantapkan jiwanya demi meraih kemuliaan Ramadan sehingga terserlah dalam peribadinya satu format kehidupan yang lebih baik. Ramadan dijadikannya sebagai momentum proses kesedaran rohani dan penyucian diri ke arah martabat insan yang bertakwa.

Kedua, keprihatinan sosial yang menjalinkan hubungan mendatar antara Muslim dengan masyarakat sekelilingnya. Kesedaran rohani dan penghayatan keagamaan tidak hanya terhad dalam skop aspek ritual dan hubungan suci dengan Allah sahaja, malah ia juga turut merangkumi aspek sosial atau kemasyarakatan sejagat. Pelaksanaan ibadat puasa dengan ikhlas akan merefleksikan suatu kesedaran rohani dan keprihatinan sosial terhadap keadaan masyarakat sekelilingnya yang sama-sama menghuni bumi Allah ini seperti bersedekah dan menderma kepada golongan fakir miskin, menyantuni anak yatim, meringankan beban dan kesusahan golongan yang memerlukan serta membela golongan yang tertindas.

Ketiga, ibadat puasa berupaya memperkukuhkan integriti diri dengan ketahanan mental, rohani dan fizikalnya dalam mendepani segala bentuk cubaan, ancaman, godaan serta ujian yang terhampar sepanjang perjalanan menuju keredaan Ilahi. Dalam hidup yang penuh liku, setiap Muslim dianjurkan bersifat positif dan optimis di samping berusaha menampilkan nilai keperibadian terpuji semasa berhadapan cabaran berkenaan. Bulan inilah peluang keemasan dan terbaik untuk umat Islam mengatur langkah dan menyusun strategi untuk memulihkan kembali maruah serta kedudukan mereka sebagai umat cemerlang dalam segala lapangan hidup.

Tidak hairanlah ada sebahagian ulama menyebut ibadat puasa sebagai al-Riadhah al-Sanawiyyah yang bermaksud latihan kerohanian yang bersifat tahunan dan ada juga menyebut Madrasah Ramadhaniyyah yang bererti tempat didikan Ramadan. Ini kerana Ramadan satu bulan yang menumpukan aspek pembinaan insan dalam pelbagai dimensi kehidupan agar seusainya Ramadan akan lahir insan bertakwa, berjiwa kental, berakhlak terbilang dan beristiqamah yang berupaya memacu upaya menuju kecemerlangan dunia serta kebahagiaan abadi di akhirat.

Syukuri kehadiran Ramadan

Mohd Shahrizal Nasir

Kita sekarang berada pada penghujung Syaaban. Bulan Syaaban adalah bulan yang hampir dengan satu bulan yang dimuliakan oleh Allah SWT iaitu Ramadan. Selepas berakhirnya Syaaban, maka tibalah bulan Ramadan yang membawa seribu satu rahmat daripada Allah SWT untuk hamba-Nya yang bergelar umat Nabi Muhammad SAW. 

Setiap perkara yang mempunyai kepentingan dalam hidup, pastinya kita akan melaksanakan perkara tersebut dengan sebaik mungkin. Mengapa hal ini berlaku sedemikian? Tidak lain dan tidak bukan, kerana kita mahukan natijah yang terbaik daripada perkara tersebut. Maka kita akan lakukan apa sahaja bagi memastikan kita memperoleh kejayaan atau apa sahaja yang diimpikan. Salah satu cara untuk memastikan kita mendapat apa yang kita impikan ialah dengan melakukan persediaan secukupnya. 

Cuba bayangkan apabila kita ingin mendirikan rumah tangga pada satu tarikh tertentu. Perkahwinan merupakan satu impian bahagia yang diidamkan oleh setiap insan. Ia adalah satu detik yang amat istimewa, maka untuk memastikan detik tersebut dikecapi dengan sebaiknya, maka kita akan melakukan persedian yang secukupnya. Mungkin sebulan sebelum tarikh perkahwinan atau tiga bulan sebelumnya atau lebih lama lagi, kita melakukan persediaan yang secukupnya.

Begitu jugalah sepatutnya yang berlaku apabila kita menghampiri bulan Ramadan al-Mubarak. Meskipun bulan ini sering kali kunjung tiba dalam diari kehidupan kita, namun ia adalah tempoh yang amat berharga bagi hamba-Nya yang memahami hakikat keberkatan dan keluasan rahmat Allah SWT yang diturunkan khusus pada bulan Ramadan. Ia bukan satu tawaran yang menjadi pilihan untuk direbut dan dimanfaatkan, sebaliknya ia satu kemestian. Kita mesti merebut peluang yang dianugerah oleh Allah SWT kepada umat Muhammad SAW.

Oleh itu, sementara masih berbaki beberapa hari lagi sebelum memasuki bulan Ramadan, eloklah kita membuat persiapan yang secukupnya. Mungkin Ramadan kali ini merupakan peluang terakhir kita bertemu dengannya. Kesemuanya dalam takdir Allah SWT. Apa pun, kita perlu berdoa semoga Allah SWT memilih kita untuk menjadi hamba-Nya yang mendapat manfaat daripada kehadiran bulan Ramadan kali ini. 

Antara persediaan utama sebelum kita menjalani ibadah puasa ialah perlunya kita memahami hakikat pensyariatan puasa. Ia adalah satu ibadah yang mempunyai kaitan dengan takwa. Hal ini dijelaskan oleh Allah SWT menerusi firman-Nya yang bermaksud:  “Wahai orang yang beriman. Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.”  (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Menurut al-Shaykh Abd al-Rahman As-Sa’di dalam Tafsir As-Sa’di tatkala menjelaskan maksud ayat al-Quran tersebut:  “Sesungguhnya puasa termasuk salah satu sebab terbesar meraih ketakwaan, kerana dalam ibadah puasa terdapat bentuk pelaksanaan perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya… Dan di antara bentuk-bentuk ketakwaan daripada ibadah puasa ini bahawa orang yang berpuasa melatih dirinya untuk sentiasa berasa diawasi oleh Allah SWT, sehingga dia meninggalkan sesuatu perkara yang disukai oleh dirinya (makan dan minum pada waktu siang), sedangkan dia mempunyai kemampuan untuk melakukannya, (namun dia tidak melakukan larangan tersebut) kerana dia meyakini bahawa Allah mengawasinya.” 

Begitulah tingginya nilai takwa yang dapat dicapai oleh seseorang hamba Allah SWT yang benar-benar memahami hakikat pensyariatan ibadah puasa. Banyak cara lain yang boleh kita lakukan untuk mencapai ketakwaan kepada Allah SWT, namun ketakwaan yang diperoleh daripada pelaksanaan ibadah puasa sangat tinggi martabatnya. Sebab itulah Allah SWT menjelaskan bahawa di antara tujuan pensyariatan ibadah puasa kepada umat Islam dan umat terdahulu agar mereka bertakwa.

Selain itu, banyak lagi persediaan yang boleh kita lakukan sebelum tibanya Ramadan. Bacalah buku berkaitan soal jawab puasa. Sememangnya banyak persoalan yang timbul berkenaan perkara sunat ketika berpuasa, perkara yang membatalkan puasa, perkara yang mengurangkan pahala puasa dan sebagainya. Semua ini perlu kita fahami dengan baik bagi memastikan kualiti ibadah puasa yang kita laksanakan berada pada tahap yang terbaik.

Kepesatan dunia penyampaian maklumat hari ini menyebabkan banyak program di televisyen dan radio yang memaparkan perbincangan tentang ibadah puasa. Tidak ketinggalan di masjid, surau, sekolah malah di pejabat, banyak program yang diadakan khusus untuk membincangkan soal ibadah puasa. Media cetak termasuk akhbar dan risalah agama juga banyak memuatkan perbincangan tentang bulan Ramadan dan tuntutan ibadah sepanjang bulan tersebut. Maka apa lagi yang kita mahukan? Rebutlah peluang ini untuk kita mantapkan pemahaman tentang ibadah puasa. 

Usah ada sikap bahawa kita telah sekian lama menunaikan ibadah puasa, maka tiada keperluan untuk mendalami ilmu tentang puasa. Ini antara sikap angkuh orang yang tidak memahami kelebihan ibadah puasa dan kemuliaan Ramadan. Mungkinkah sama ibadah puasa yang kita lakukan ketika berumar sepuluh tahun dengan ibadah puasa yang bakal kita tunaikan ketika sekarang umur mencapai tiga puluh atau empat puluh tahun? Hanya dengan ilmu yang betul, kualiti ibadah puasa dapat ditingkatkan.

Jika ilmu puasa dikuasai dengan baik, maka tidak akan timbul orang yang berpuasa, namun meninggalkan solat fardu. Begitu juga tidak akan ada orang yang berpuasa, namun masih mengumpat, membuka keaiban orang lain atau menyebar fitnah di bulan Ramadan. Inilah perkara yang perlu diambil perhatian sebaiknya kerana Rasulullah SAW pernah mengingatkan kita tentang adanya orang yang berpuasa tetapi mereka tidak mendapat pahala daripada puasanya melainkan yang mereka perolehi lapar dan dahaga sahaja.

Semangat untuk menanti kehadiran Ramadan menandakan diri mensyukuri salah satu nikmat besar Allah SWT kepada hamba-Nya. Keistimewaan Ramadan tidak diberikan kepada umat terdahulu, ia hanya untuk umat Rasulullah SAW. Justeru, mensyukuri nikmat kurniaan berada dalam bulan Ramadan akan membuka pintu rahmat Allah SWT untuk terus dikurniakan kesempatan berada pada bulan Ramadan seterusnya.

Sahabat Rasulullah SAW telah menunjukkan semangat luar biasa menanti kehadiran Ramadan dengan penuh pengharapan. Merekalah contoh golongan manusia yang memahami erti nikmat menemui Ramadan lalu menzahirkan kesyukuran dengan mengharapkan rezeki berada dalam bulan mulia tersebut. Ibn Rajab al-Hanbali menukilkan penjelasan dalam kitabnya Lata’if al-Ma’arif:  “Mereka (sahabat) berdoa kepada Allah selama enam bulan agar mereka dapat menemui bulan Ramadan.”  Penjelasan yang sangat jelas ini menggambarkan keterujaan sahabat Rasulullah SAW untuk berada dalam bulan Ramadan dan melaksanakan tuntutannya.