• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,259,046 orang
  • Kandungan Blog

Bulan jihad & kemenangan

Prof Dr Engku Ahmad Zaki Engku Ali

Bulan Ramadan bukan hanya sekadar sebagai bulan penuh keberkatan dan kerahmatan bagi Muslim yang bertakwa, malah Ramadan juga merupakan bulan penuh kemuliaan yang telah mencatatkan kejayaan dan kemenangan dalam lipatan sejarah Islam. Detik-detik gemilang kemenangan generasi Islam satu ketika dahulu wajar dijadikan bahan renungan dan iktibar umat Islam masa kini dalam usaha menobatkan kembali maruah umat Islam sebagai umat terbaik dalam segala lapangan hidup sejagat.

Dalam perkataan lain, bulan Ramadan tidak sekadar menyaksikan umat Islam berjihad melawan kehendak hawa nafsu dan godaan syaitan demi meraih kesempurnaan ibadat dan keredaan Ilahi, bahkan Ramadan juga adalah bulan yang sarat dengan perjuangan jihad menentang musuh-musuh Islam demi mempertahankan kesucian Islam dan menegakkan agama Allah di atas muka bumi yang terbentang luas ini.

Berdasarkan kronologi sejarah Islam, tanggal 17 Ramadan tahun 2 Hijrah tercetus perang Badar al-Kubra yang merupakan peperangan yang pertama dan perdana yang dihadapi oleh Rasulullah SAW bersama umat Islam menentang kaum musyrikin Quraisy. Menurut Ibnu Hisyam dalam kitabnya Sirah al-Nabawiyyah menyatakan peperangan Badar al-Kubra merupakan kemenangan perdana yang menentukan kedudukan dan kekuatan umat Islam dalam mendepani ancaman kaum musyrikin Quraisy. Walaupun bilangan tentera Islam seramai 313 orang dengan kelengkapan serba kekurangan yang tidak seimbang dengan bilangan tentera musyrikin yang mencecah angka 1000 orang berserta kelengkapan perang yang canggih pada waktu itu, namun itu tidak melunturkan semangat juang dan jihad tentera Islam untuk terus mara menghadapi gerombolan tentera musyrikin. Berbekalkan keimanan yang penuh kudus ke hadrat Ilahi dan roh perjuangan jihad yang kental, akhirnya Allah membantu secara lansung dalam peperangan tersebut dengan mengutuskan sepasukan malaikat bagi meneguhkan kedudukan tentera Islam dan seterusnya mengalahkan tentera musyrikin. Kesemua detik-detik penuh cemas, sengit dan hebat dalam peperangan Badar al-Kubra itu dirakamkan Allah secara mendalam dalam surah al-Anfal ayat 7 hingga 19 sebagai peringatan kepada umat Islam dalam mempertahankan kesucian Islam.

Dalam peperangan Badar al-Kubra tersebut, Rasulullah SAW tidak dapat menyembunyikan perasaan bimbangnya kalau-kalau pertempuran yang sengit ini akan melenyapkan umat Islam di bumi Madinah ini. Lantas Baginda pun memanjatkan doa pengharapan ke hadrat Ilahi yang Maha Berkuasa dengan berkata: “Ya Allah, Ya Tuhanku! Jika pasukan sekarang ini binasa, nescaya tidak ada lagi orang yang akan beribadat kepada-Mu.” Doa ini menggambarkan betapa manusia selamanya sentiasa berhajat kepada Allah yang Maha Berkuasa dalam melangsungkan perjalanan hidup menuju keredaan Ilahi dan kebahagiaan hidup di akhirat kelak. Natijahnya, kemenangan berpihak kepada tentera Islam, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan umat Islam dan melebarkan sayap Islam ke merata Tanah Arab.

Pada 21 Ramadan tahun 8 Hijrah pula mencatatkan pembukaan Makkah. Baginda Rasulullah SAW berangkat dari Madinah pada 10 Ramadan bersama 10,000 pasukan tentera Islam dalam keadaan berpuasa. Setelah penaklukan kota Makkah secara aman tanpa sebarang pertumpahan darah, akhirnya Rasulullah SAW memberikan pengampunan terbuka kepada semua warga musyrikin di Makkah yang meyaksikan kemasukan beramai-ramai ke dalam pangkuan Islam. Menurut Ibnu Ishaq, peristiwa pembukaan kota suci Makkah berlaku pada 10 malam terakhir bulan Ramadan yang mulia. Kisah bersejarah ini juga dirakamkan Allah dalam surah al-Fath dan al-Nasr untuk diambil pengajaran oleh umat Islam.                  

Pada bulan Ramadan juga tahun 10 Hijrah, Rasulullah SAW pernah mengutuskan sepasukan tentera Islam yang diketuai oleh Saidina Ali bin Abi Talib ke Yaman dengan membawa bersama perutusan surat Rasulullah SAW. Terdapat satu kabilah yang berpengaruh di sana dengan tanpa paksaan terus menyahut seruan Rasulullah SAW dan menerima Islam sebagai pegangan hidup mereka pada saat itu juga.

Pada bulan Ramadan tahun 92 Hijrah pula, panglima tentera Islam iaitu Tariq bin Ziyad memimpin segerombolan armadanya yang berjumlah 7,000 orang menyeberangi selat Gibraltar yang juga dikenali Jabal Tariq dengan matlamat menakluki Andalus, Sepanyol. Setelah mendarat dengan selamat di satu wilayah Sepanyol, panglima Tariq berdiri di atas sebuah batu karang bagi menyampaikan amanatnya sambil memerintahkan supaya kapal-kapal yang membawa mereka sepasukan dari Afrika dibakar sahaja. Kehairanan sebahagian tentera Islam mengenai perintahnya itu dijawab dengan tegasnya: “Kita datang ke sini, tidak untuk kembali lagi. Kita berada di sini hanya mempunyai dua pilihan iaitu sama ada kita menakluki negeri ini, menetap di sini dan menyebarkan Islam atau pun kita semua akan binasa.” Ucapan panglima Tariq tersebut ada persamaan dengan doa yang pernah diucapkan oleh Rasulullah semasa peperangan Badar al-Kubra. Akhirnya, pasukan tentera Sepanyol yang berbekalkan kekuatan tentera berjumlah 100,000 orang tumbang di tangan pasukan tentera Islam pimpinan Panglima Tariq yang hanya seramai 7,000 orang sahaja di samping bantuan ketenteraan yang menyusul kemudian yang berjumlah 5,000 orang.

Seterusnya, bulan Ramadan tahun 584 Hijrah merupakan tarikh keramat yang amat bersejarah dalam kalendar Islam apabila Solahuddin al-Ayubi bersama angkatan tenteranya berjaya meraih kemenangan besar ke atas tentera salib. Tentera Islam juga menawan beberapa daerah yang sebelum ini dikuasai dan diduduki oleh kaum Kristian. Di samping mencatatkan kemenangan besar menewaskan tentera salib, Solahuddin al-Ayubi juga berjaya mengembalikan kota Baitul Maqdis dan bumi Palestin kepada pangkuan umat Islam.

Begitulah antara rentetan kejayaan demi kejayaan yang dicapai oleh umat Islam dalam bulan Ramadan. Ini bermakna ibadat puasa dan amalan sunat pada bulan Ramadan tidak menghalang umat Islam untuk mencipta sejarah gemilang bagi memartabatkan kembali kedudukan umat Islam di persada dunia. Justeru, bulan Ramadan inilah masanya yang sesuai untuk umat Islam mengorak langkah ke hadapan dengan berbekalkan roh jihad yang padu, keyakinan iman yang mantap dan beristiqamah dalam melaksanakan amalan soleh.

Kota Baitul Maqdis di Palestin kini sedang menanti kemunculan personaliti terbilang seumpama Umar al-Khattab dan Solahuddin al-Ayubi bagi membebaskannya daripada cengkaman regim Zionis Yahudi yang zalim itu. Umat Islam di Palestin pula memerlukan pembelaan, sokongan dan doa pengharapan daripada umat Islam seluruh dunia supaya mereka memperolehi kembali hak mereka di bumi Palestin.

Oleh yang demikian, marilah sama-sama kita menginsafi dan bermuhasabah diri dalam bulan Ramadan ini supaya sinar Ramadan yang sedang menyuluh ini benar-benar menyucikan hati kita, menghiaskan peribadi kita dengan akhlak terpuji dan mendekatkan kita dengan amalan-amalan soleh. Tidak ketinggalan juga, jihad pada jalan Allah tetap dijulang bagi mengekalkan ketuanan Islam di bumi Allah ini.                          

Memburu malam diberkati

Dr Azri Bhari

PADA sepuluh malam terakhir di bulan Ramadan terdapat satu malam yang dinamakan dengan malam al-Qadar atau istilah dalam bahasa Arab disebut sebagai Lailatulqadar.

Masyarakat Islam di Malaysia dan seluruh dunia sedang berada di fasa sepuluh malam terakhir Ramadan yang berpeluang untuk memburu dan mendapatkan keistimewaan Lailatulqadar.

Perkataan Lailatulqadar terdiri daripada dua kalimah iaitu pertamanya ialah Lailah yang memberi maksud apabila tenggelamnya matahari sehingga terbitnya fajar atau berlawanan dengan siang hari.

Kalimah keduanya pula ialah al-Qadar yang memberi maksud kemuliaan atau hukum dan ketetapan.

Ibn Qudamah dalam kitabnya al-Mughni menjelaskan bahawa malam al-qadar ialah malam yang mulia, diberkati, diagungkan dan mempunyai banyak kelebihan.

Lailatulqadar juga dikenali dengan nama Lailatulsyaraf yang bermaksud malam kemuliaan atau Lailatultajalli
yang bermakna malam Allah SWT melimpahkan cahaya dan hidayah-Nya kepada orang berpuasa dan beribadat pada sebelah malamnya.

Terdapat pelbagai keistimewaan Lailatulqadar yang disediakan bagi umat Islam yang ingin mengambil peluang pada malam tersebut.

Pertama, pada malam ini Allah SWT menurunkan kitab suci utama iaitu al-Quran al-Karim. Pemilihan waktu dan tempat yang tertentu untuk diberikan keutamaan mempunyai hikmah tersendiri yang tinggi dan besar.

Adakah wujud kemuliaan yang lebih agung dari suatu malam yang menjadi permulaan turunnya cahaya dan petunjuk kepada seluruh manusia setelah berlalunya beberapa abad kaum Quraisy yang berada dalam kesesatan menyembah berhala.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan.” (Surah al-Qadr: 1) Allah SWT telah menurunkan al-Quran secara keseluruhan sekali gus dari Lauhul Mahfuzh ke Baitul ‘Izzah yang ada di langit dunia. Kemudian Allah SWT menurunkan al-Quran kepada Nabi SAW secara beransur-ansur sesuai dengan peristiwa dan kejadian yang berlaku sepanjang 23 tahun.

Kedua, malam ini lebih baik dari 1000 bulan dan bersamaan dengan lebih kurang 83 tahun.

Terdapat pandangan menyatakan lebih baik dari seribu bulan adalah solat dan amalan pada Lailatulqadar lebih baik dari solat dan puasa di 1000 bulan yang tidak terdapat Lailatulqadar.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan.” (Surah al-Qadr: 1-3)

Lazimnya bangsa Arab mengira angka seribu sebagai suatu jumlah yang sangat besar. Oleh itu, sebutan seribu dalam ayat tersebut bukanlah bermakna seribu sahaja bahkan lebih.

Ketiga, malam tersebut penuh keberkatan. Malam penuh berkat ini adalah malam Lailatulqadar kerana banyak malaikat yang akan turun pada Lailatulqadar kerana pelbagai keberkatan pada malam tersebut dan turunnya malaikat menandakan melimpahnya berkat dan rahmat.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami menurunkannya pada suatu malam yang diberkati dan sesungguhnya Kami-lah yang memberi peringatan.” (Surah al-Dukhan: 3)

Keempat, Lailatulqadar diiringi juga dengan turunnya malaikat yang diketuai oleh ‘al-Ruh’ iaitu malaikat Jibril pada malam al-Qadar dalam suatu angkatan yang besar untuk memberi taufik dan hidayah kepada orang berpuasa dengan seikhlas hati.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Pada Malam itu, turun para malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka.” (Surah al-Qadar: 4)

Keistimewaan ‘al-Ruh’ atau malaikat Jibril yang disebut dalam ayat di atas adalah bagi menunjukkan kemuliaan dan keutamaan malaikat Jibril.

Malaikat turun ketika ada yang membacakan al-Quran, begitu juga akan mengelilingi orang yang berada dalam majlis zikir dan majlis ilmu. Malaikat akan meletakkan sayap-sayap pada penuntut ilmu kerana sangat mengagungkan dan memuliakan.

Kelima, malaikat turun untuk mengucapkan ‘salam sejahtera’ kepada seluruh penduduk bumi.Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sejahteralah Malam (yang penuh berkat) itu hingga terbit fajar!.” (Surah al-Qadar: 5).Ibn Kathir dalam kitab Tafsir al-Quran al ‘Azhim menukilkan pendapat Mujahid yang menyatakan malam tersebut penuh keselamatan kerana syaitan tidak dapat berbuat sesuatu pada malam tersebut, baik berbuat buruk atau mengganggu yang lain.

Selain itu, turut membawa makna bahawa pada malam tersebut banyak yang terselamat dari hukuman dan seksaan kerana telah melakukan ketaatan pada Allah SWT pada malam tersebut.

Keenam, malam penulisan dan dicatatkan takdir tahunan seseorang. Imam Nawawi dalam kitab Syarh Muslim menjelaskan bahawa catatan takdir tahunan tersebut tentu saja didahului oleh ilmu dan penulisan Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah.” (Surah al-Dukhan: 4)

Ibnu Kathir menafsirkan bahawa pada Lailatulqadar akan diperhalusi di Lauhul Mahfuzh mengenai penulisan takdir dalam setahun, seterusnya akan dicatat ajal maut dan rezeki. Selain itu, turut juga akan dicatat segala sesuatu sehingga akhir dalam setahun.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah menghapuskan apa yang Dia kehendaki dan menetapkan (apa yang Dia kehendaki) dan di sisi-Nya-lah terdapat Ummul kitab (Luh mahfuz).” (Surah al-Ra’d: 39)

Ketujuh, pengampunan dosa setiap orang yang menghidupkan malam Lailatulqadar.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa melaksanakan solat pada malam Lailatulqadar kerana iman dan mengharap pahala dari Allah, maka dosa-dosanya yang telah lalu akan diampunkan.” (Riwayat al-Bukhari)

Ibnu Hajar al-Asqalani menyatakan bahawa yang dimaksudkan ‘kerana iman’ adalah membenarkan janji Allah SWT iaitu pahala yang diberikan kepada orang yang menghidupkan malam tersebut. Manakala ‘mengharap pahala’ bermakna mengharap pahala dari sisi Allah SWT, bukan kerana mengharap selainnya seperti berbuat riyak.

Demikianlah beberapa keistimewaan Lailatulqadar yang wajar diusahakan dan  dimanfaatkan setiap masyarakat Islam. Ya Allah, kurniakanlah kami rezki bertemu dengan Lailatul Qadar pada tahun ini.

Lailatul Qadar: Malam 1,000 bulan yang sangat dinantikan

DALAM bulan Ramadhan, ada satu malam yang dimuliakan Islam kerana fadilatnya yang sangat besar kurniaan Allah SWT, dinamakan Lailatul Qadar.

Lailatul Qadar ialah anugerah terbesar daripada Allah SWT kepada hamba-Nya yang beriman.

Anugerah ini khusus berlaku pada satu malam yang terletak dalam bulan Ramadhan. Pahala ibadat yang dilakukan pada malam itu menyamai amalan selama 1,000 bulan.

Ini bermakna satu ibadat pada malam Lailatul Qadar menyamai ibadat selama 83 tahun 4 bulan yang merupakan tempoh umur ibadat yang cukup panjang sebelum umur sebenar mencapai tahap nyanyuk.

Rasulullah SAW yang menjadi contoh kepada umatnya turut bersungguh-sungguh melakukan ibadat pada 10 hari terakhir Ramadhan bagi mendapat kelebihannya.

Baginda beriktikaf di masjid, bangun Qiamullail iaitu beribadat pada waktu sepertiga malam, bertahajud, bertadarus al-Quran, berdoa dan sebagainya.

Ummul Mukminin, Saidatina ‘Aisyah RA melaporkan, Rasulullah SAW bersungguh-sungguh melakukan ibadat pada 10 malam yang terakhir pada bulan Ramadhan.

Baginda SAW bersabda kepada keluarganya:

تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ.

“Carilah Lailatul Qadar pada sepuluh malam terakhir pada bulan Ramadhan.” [Riwayat al-Bukhari 2020, Muslim 1169 dan al-Tirmidhi 792]

Riwayat yang lain pula menegaskan:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، إِذَا دَخَلَ الْعَشْرُ أَحْيَا اللَّيْلَ، وَأَيْقَظَ أَهْلَهُ، وَجَدَّ، وَشَدَّ الْمِئْزَرَ.

“Rasulullah SAW, apabila tiba 10 malam yang terakhir bulan Ramadhan, Baginda menghidupkannya (dengan ibadat) dan meminta keluarganya berjaga malam (untuk beribadat) serta tidak bercampur dengan isteri-isterinya.” [Riwayat Muslim 1174 dan Abu Dawud 1376]

Dalam kitab Dalil al-Falihin, Syarah Kitab Riyadus Solihin Imam al-Nawawi, diceritakan kisahnya semasa kanak-kanak.

Apabila beliau bangun pada salah satu malam terakhir Ramadhan, beliau memberitahu bapanya, mengapa malam itu kelihatan cerah bercahaya sedangkan anggota keluarganya yang ada bersamanya tidak melihat cahayanya.

Ayahnya memberitahu bahawa malam itu Lailatul Qadar dan meminta anggota keluarga bangun beribadat.

Orang yang hanya melihat tanda-tandanya sahaja tanpa melakukan apa-apa ibadat, tidak termasuk dalam kumpulan mendapat kelebihan.

Hanya orang yang menghidupkan malam itu dengan ibadat tetap mendapat kelebihannya walaupun dia tidak melihat apa-apa tanda luar biasa.

Sesiapa yang menghidupkan malam malam Ramadhan pasti akan bertemu dengan salah satu daripada Lailatul Qadar.

Para ulama berselisih pendapat menentukan bila berlakunya Lailatul Qadar, maka umat Islam dinasihatkan supaya menghidupkan seluruh Ramadhan terutamanya pada sepuluh malam yang terakhir sepertimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Inilah tanda- tanda malam Lailatul Qadar

Malam Lailatul Qadar adalah termasuk malam yang sangat dinantikan oleh umat Islam kerana malam tersebut lebih baik dari 1000 bulan. Tidak dapat digambarkan bagaimana beruntungnya kita jika dapat menemui malam tersebut.

Hanya insan-insan terpilih yang benar-benar beroleh keistimewaan ini. Antara tanda-tanda malam Lailatul Qadar sebagaimana yang disebut dalam hadis ialah:

Pertama: Berlaku pada 10 malam terakhir

Pada 10 malam terakhir Baginda s.a.w. akan melipat gandakan amal ibadahnya. Sebagaimana sabda Baginda s.a.w.

“Carilah Lailatul Qadar pada sepuluh malam yang terakhir dari bulan Ramadan” HR Bukhari

Kedua: Berlaku pada malam-malam ganjil



Kedatangan Lailatul Qadar lebih mungkin terjadi pada malam-malam ganjil. Ini seperti yang disebutkan Baginda s.a.w.

“Carilah lailatul Qadar di malam ganjil dari sepuluh malam yang terakhir di bulan Ramadan” HR Bukhari

Ketiga: Tidak panas dan tidak dingin

Ibnu Abbas meriwayatkan Baginda s.a.w. bersabda,

“Lailatul Qadar adalah malam yang penuh kemudahan dan kebaikan. Tidak begitu panas dan tidak begitu dingin. Pada pagi hari matahari bersinar tidak begitu cerah dan nampak kemerah-merahan yang begitu menghangatkan dan menenangkan” HR al-Baihaqi

Keempat: Suasana malam yang berbeza

Suasana malam terasa sejuk, terang, tidak berawan, tidak ada hujan dan angin berhembus lembut. Dari Watsilah bin Asqo’ dari Nabi s.a.w.



“Lailatul Qadar adalah malam yang terang, tidak panas, tidak dingin, tidak ada awan, tidak hujan, tidak ada angin kencang dan tidak ada yang dilempar pada malam itu dengan bintang (lemparan meteor bagi syaitan)” HR Thabrani

Kelima: Bulan muncul

Munculnya bulan dengan penampakan separuh. Abu Hurairah r.a. pernah berkata,

“Kami pernah berbincang tentang Lailatul Qadar di sisi Rasulullah s.a.w. beliau berkata, “Siapakah dari kalian yang masih ingat tatkala bulan muncul yang berukuran separuh nampan” HR Muslim

Keenam: Malam cerah

“Malam itu adalah malam yang cerah iaitu malam 27 Ramadan. Dan tanda-tandanya pada pagi harinya matahari terbit berwarna putih tanpa memancarkan sinar ke segala penjuru” HR Muslim

Ketujuh: Cahaya matahari pagi tidak terik



Cahaya matahari cerah dan lebih lembut. Sinarnya tidak menyengat hingga siang hari. Dari Ubay bin Kaab r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda,

“Keesokan hari malam Lailatul Qadar matahari terbit hingga tinggi tanpa sinar terang” HR Muslim

Kelapan: Perasaan terasa tenang

Umat yang sedang beribadah pada ketika Lailatul Qadar akan merasa sesuatu yang indah (perasaan bahagia, tenang dan kenikmatan saat munajat) Ia berbeza dengan malam-malam yang lain.

Itulah tada-tanda yang disebutkan oleh Baginda s.a.w. dan para ulama apabila bertemu dengan malam al-Qadar. Wallahu a’lam

Peluang raih lailatulqadar

Lakukan 5 amalan ini untuk rahmat Lailatul Qadar

Oleh: DR NUR MOHAMMAD HADI ZAHALAN

Perbanyakkanlah melakukan amalan dan berdoalah kepada Allah mudah-mudahan permintaan itu dimakbulkan Allah dan terkena pada malam Lailatul Qadar.
NAMPAKNYA kita bakal memasuki fasa terakhir Ramadan yang mana pada 10 akhir bulan mulia ini, umat Islam diseru melipatgandakan amalan kepada Allah.

Sesungguhnya, Allah menjanjikan terdapat satu malam yang amat bermakna kerana Allah memberitahu kepada kita bahawa Allah menurunkan al-Quran pada malam tersebut iaitu Lailatul Qadar.

Ia adalah malam yang penuh keberkatan seperti firman Allah di dalam Surah Ad-Dukhon ayat yang ke 3 yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami menurunkannya pada suatu malam yang diberkati dan sesungguhnya Kamilah yang memberi peringatan.”

Itulah malam Lailatul Qadar dan ia pada bulan Ramadan seperti firman Allah di dalam Surah Al-Baqarah ayat yang ke 185 yang bermaksud: “Bulan Ramadan merupakan bulan yang didalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan perbezaan antara yang hak dan yang batil.



Diceritakan didalam tafsir Imam Ibn Khatir dari Mujahid: Pada Bani Israil itu ada seorang lelaki yang mana bangun malam beribadah sehingga terbit matahari, kemudian dia memerangi musuh pada siang hari sehingga ke petang.


Amalan membaca al-Quran akan mendapat rahmat yang luar biasa seperti dijanjikan Allah.

Dia melakukan yang demikian itu selama 1,000 bulan kemudian Allah menurunkan ayat yang bermaksud: “Malam kemuliaan (Lailatul Qadar) itu lebih baik dari seribu bulan.

Melakukan ibadah pada malam Lailatul Qadar itu lebih baik daripada apa yang dikerjakan oleh lelaki itu.

Di dalam satu hadis yang dikeluarkan oleh Imam Nasa’I, daripada Abu Hurairoh telah berkata: “Ketika mana telah datang bulan Ramadan, telah bersabda Rasulullah SAW.



“Telah datang kepada kamu bulan Ramadan, bulan yang penuh keberkatan, telah difardukan Allah ke atas kamu untuk berpuasa, dibuka padanya pintu-pintu syurga, dan ditutup padanya pintu-pintu neraka, dirantai padanya syaitan-syaitan, padanya malam Lailatul Qadar sebaik 1,000 bulan, siapa yang terlepas daripada kebaikannya maka ia hilang kelebihan itu,” sabda Baginda.

Apakah amalan pada 10 malam terakhir

1. Menghidupkan malam dengan mengerjakan ibadah solat serta membaca Al-Quran. Daripada Abu Hurairoh sesungguhnya Rasulullah SAW telah berkata yang bermaksud: “Sesiapa yang bangun malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan perhitungan (muhasabah diri), akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu.

2. Membangunkan ahli keluarga seperti mana yang dilakukan oleh baginda Rasulullah. Daripada Aisyah: Adalah Rasulullah jika masuk pada malam 10 malam terakhir, maka ia akan menghidupkan malam-malam itu dan membangunkan ahli keluarganya dan akan menjauhi daripada membuat hubungan suami isteri.


Banyakkanlah melakukan solat pada waktu malam sepanjang Ramadan terutamanya pada 10 malam akhir.

3. Beriktikaf di dalam masjid dengan melakukan perbuatan-perbuatan yang mendekatkan diri kepada Allah seperti solat, zikir, membaca al-Quran dan sebagainya. Ini kerana baginda Rasulullah akan beriktikaf ketika mana masuk 10 malam yang terakhir.



4. Berdoa kepada Allah dengan meminta keampunan-Nya. Aishah pernah bertanya baginda Rasulullah apa yang perlu dikatakan pada malam Lailatul Qadar, maka kata Baginda: “Katakanlah, Ya Allah sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Engkau Maha Mulia dan suka kepada pengampunan maka ampunilah aku.

5. Bersedekah dengan keikhlasan kepada Allah. Ini kerana jika sedekah yang dilakukan itu bertepatan dengan malam Lailatul Qadar maka amalan sedekah itu juga akan dilipatgandakan lebih baik dari 1,000 bulan.

Bilakah malam Lailatul Qadar itu

Daripada Marsad telah berkata: “Aku telah bertanya kepada Abu Dzar: Bagaimana kamu telah bertanya Rasulullah mengenai malam Lailatul Qadar?”

Berkata Abu Dzar: “Wahai Rasulullah beritahu kepadaku mengenai malam Lailatul Qadar, adakah ia di bulan Ramadan atau selain daripadanya?” Maka berkata Rasulullah: “Bahkan ia dalam bulan Ramadan.”



Aku bertanya lagi: “Adakah ia bersama nabi, dan apabila wafatnya nabi-nabi itu maka ia diangkat? Ataupun ia sehingga hari kiamat?” Berkata Rasulullah: “Bahkan ia sehingga hari kiamat.”

Pahala bersedekah yang bertepatan dengan malam Lailatul Qadar akan dilipatgandakan lebih baik dari 1,000 bulan.

Aku bertanya lagi: “Mana bahagian pada bulan Ramadan?” Berkata Rasulullah: “Carilah kamu pada 10 yang terawal dan 10 yang terakhir.”

Kemudian Rasulullah pun bercakap (dengan sahabat yang lain) sehingga aku melihat Rasulullah berhenti seketika maka aku pun bertanya lagi: “Mana satu yang 20 itu tadi wahai Rasulullah?”

Maka berkata Rasulullah: “Carilah pada 10 malam terakhir dan jangan tanya aku selepas daripada ini.”

Kemudian Rasulullah pun bercakap (dengan sahabat yang lain) sehingga aku melihat Rasulullah berhenti seketika maka aku pun bertanya lagi: “Wahai Rasulullah, Aku bersumpah ke atas engkau dengan hak aku ke atas engkau, boleh tak engkau memberitahu aku mana satu 10 malam itu?”

Maka Rasulullah marah dengan marah yang sangat dahsyat dan aku tidak pernah melihat Rasulullah marah sebelum daripada ini sejak aku berkawan dengannya.

Maka berkata Rasulullah: “Carilah pada tujuh yang terakhir, dan jangan kamu tanya aku lagi selepas daripada ini. [2]

Sesungguhnya terdapat perselisihan di antara para alim ulama yang mana adakah malam Lailtul Qadar ini berubah-rubah ataupun ia tetap pada hari itu sampailah ke hari kiamat.

Yang pastinya adalah malam Lailatul Qadar itu pada 10 malam terakhir dan ia adalah pada malam-malam yang ganjil.

*[2] Dikeluarkan oleh Imam Nasai’. Telah berkata ulama bahawa hadis ini adalah lemah disebabkan Marsad itu tadi.

Dr. Nur Moh

Lailatul Qadar menurut al-Quran dan Sains

Oleh Dr. Halimi Mohd Khalid & Dr. Fahmiruddin Esa

Lailatul Qadar adalah malam kemuliaan yang Allah SWT hadiahkan kepada umat Nabi Muhammad SAW. Malam teragung ini hanya akan berlaku pada salah satu malam di dalam bulan Ramadan. Peristiwa besar ini telah dirakamkan oleh Allah SWT menerusi surah al-Qadr ayat 1 sehingga ayat 5 sebagai bukti kebenarannya.

Firman Allah SWT yang bermaksud “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatulqadar, dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatulqadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibrail dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar.

Allah SWT yang maha berkuasa lagi maha bijaksana telah merahsiakan tentang tarikh serta waktu sebenar malam Lailatul Qadar berlaku. Para ulama bersetuju bahawa hikmah dirahsiakan peristiwa tersebut ialah untuk memberi motivasi yang tinggi kepada manusia agar bersungguh-sungguh beribadah di bulan Ramadan untuk memperoleh malam Lailatul Qadar. Sungguhpun begitu, sebagai langkah berjaga-jaga agar tidak terleka maka terdapat beberapa panduan yang telah digariskan tentang jangkaan bila berlakunya Lailatul Qadar ini.

Terdapat riwayat daripada Imam Ahmad dan Muslim yang bermaksud: “Rasulullah SAW berusaha sedaya upaya dalam malam-malam sepuluh akhir Ramadan melebihi usahanya daripada malam-malam lain.” Begitu juga panduan yang diberikan oleh para ulama untuk menentukan malam Lailatul Qadar. Sebahagian dari para ulama seperti Ibnu Abas dan Imam Ahmad mengatakan Lailatul Qadar berlaku pada malam 27 Ramadan (pendapat terkuat).

Sebahagian yang lain pula berpecah pandangan. Ada yang mengatakan Lailatul Qadar akan berlaku pada malam 21,23,24 dan juga pada malam terakhir bulan Ramadan. Kesemua pandangan tersebut mempunyai hujah berdasarkan hadis-hadis Rasulullah SAW.

Kesemua pandangan ini menggambarkan bahawa Rasulullah dan para ulama terdahulu telah berusaha semaksimum yang mungkin agar tidak akan terlepas daripada memperoleh malam Lailatul Qadar. Ganjaran luar biasa yang Allah SWT janjikan yang mana pahala beribadah di malam Lailatul Qadar seumpama beribadah lebih dari 1000 bulan atau 83 tahun menjadi satu dorongan yang kuat untuk kita semua berusaha mendapatkannya.

Menerusi ayat ke 4 dari surah al Qadr, dapat kita fahami bahawa peristiwa malam Lailatul Qadar ini turut disertai oleh Jibrail dan para malaikat lain yang sangat besar jumlahnya. Mereka turun dari alam rohani ke alam duniawi lalu mengucapkan salam kepada orang mukmin. Mereka mengucapkan tasbih dan memohon keampunan bagi umat Nabi Muhammad SAW sehingga waktu fajar.

Menghayati suasana yang berlaku pada malam Lailatul Qadar membuatkan kita insaf dan bersyukur atas kurniaan yang Allah SWT berikan kepada umat Nabi Muhamaad SAW. Sesungguhnya sifat kasih dan sayang Allah SWT terhadap hamba-hambaNya amat luas selagi mana manusia itu taat kepada perintahNya dan menjauhi laranganNya.

Melalui peristiwa Lailatul Qadar ini Allah SWT melimpahkan rahmat dan keampunanNya bagi mereka yang masih hidup dan yang sudah meninggal dunia. Beruntunglah bagi mereka yang memperoleh kedua-dua kurniaan ini kerana ia merupakan syarat utama untuk melayakkan manusia memasuki syurga Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Hendaklah kamu memperbaiki amalan, mendekatkan diri kepada Allah dan berbahagialah. Sesungguhnya tiada amalan yang dapat memasukkan seseorang ke dalam syurga.

Mereka (para sahabat) berkata: Apakah termasuk dirimu wahai Rasulullah? Ya, aku pun tidak, hanya Allah sahaja yang menganugerahkanku keampunan dan rahmat-Nya.” (Riwayat al-Bukhari).

Para saintis barat ada melaporkan bahawa terdapat kejadian misteri yang berlaku pada waktu malam yang dinamakan sebagai ‘Bright Night’ dan ada juga menggelarnya sebagai ‘Nocturnal Sun’. Kejadian ini telah diperhatikan terjadi selama berabad-abad lamanya dan hanya berlaku satu kali dalam setahun. Kecerahan pada malam ‘Bright Night’ ini membolehkan seseorang membaca buku atau melihat objek sejauh 200m walau tanpa kehadiran cahaya bulan dan meteor.

Shephard & Cho (2017) merumuskan bahawa pada malam tersebut terdapat empat jenis gelombang atmosfera yang berada di altitud yang tinggi bergerak perlahan sehingga ianya bergabung dan membebaskan cahaya yang 10 kali ganda lebih terang berbanding kebiasaannya di ruang atmosfera.

Rauf et al, 2020 pula telah menjalankan kajian untuk menentukan malam Lailatul Qadar yang lepas berdasarkan gegaran bumi. Mereka mendapati terdapat gegaran bumi dalam satu malam di bulan Ramadhan yang sangat rendah daripada segi kuantiti dan kualitinya malah pusat gegarannya juga jauh daripada manusia sehingga tenaga yang dibebaskan oleh gegaran tersebut tidak dapat dirasai oleh manusia berbanding malam-malam yang lain.

Mereka menyatakan kemungkinan malam ini adalah malam Lailatul Qadar. Kajian-kajian ini adalah bertepatan seperti yang diceritakan di dalam Al-Quran dan Hadis Rasulullah yang mana menyatakan antara tanda-tanda malam Lailatul Qadar adalah malamnya terang walau tidak berbintang dan suhunya tidak panas dan tidak juga sejuk manakala siang harinya adalah redup. Pada malam Lailatul Qadar juga dijanjikan keamanan dan keselamatan daripada bencana alam.

Al-Quran dan sains tidak pernah bersalahan dalam memahami dan mentafsirkan tentang alam dan segala kejadian yang ada di dalamnya sebagaimana yang difahami oleh golongan sekularisme dan dualisme. Malahan, antara keduanya adalah saling menyokong melalui pembuktian yang ada pada kedua-duanya. Meskipun hasil dapatan dari kedua-dua kajian ini masih memerlukan kepada lebih banyak kajian lain namun sekurang-kurangnya ia mampu menambahkan keyakinan umat Islam khususnya tentang kebenaran peristiwa Lailatul Qadar yang dinyatakan menerusi Al-Quran dan Al Hadis.

Oleh yang demikian, marilah kita bersama-sama melipat gandakan usaha dan menjaga momentum untuk terus melakukan amal ibadah yang lebih berkualiti di penghujung Ramadan ini. Mudah-mudahan Allah SWT sudi memilih kita sebagai hamba-hambaNya yang akan memperoleh kurniaan Lailatul Qadar yang sangat kita idam-idamkan.

Menyusun langkah bertemu malam al-Qadar

Prof Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

BULAN Ramadan akan melabuhkan tirainya kembali menjanjikan seribu satu keistimewaan dan keberkatan yang tiada tolok bandingnya berbanding bulan-bulan Hijrah yang lain. Kedatangan bulan yang penuh berkat ini sememangnya dinanti-nantikan dengan penuh debaran oleh setiap Muslim bertakwa yang telah difardukan kepada mereka ibadat puasa.

Ibadat puasa yang dilaksanakan setiap Muslim sebenarnya berpaksikan matlamat untuk mencapai makam atau martabat takwa yang lebih tinggi. Dengan lain perkataan, apabila seseorang Muslim melaksanakan ibadat puasa di dalam bulan Ramadan, ini bermakna dia sedang menyusun langkah menuju peningkatan dan pengukuhan iman lebih sempurna lagi mantap seolah-olah iman yang bertapak di sudut hati akan digilap dan diperkukuhkan lagi untuk menjejaki mercu tanda iman yang sebenarnya.

Pada hakikatnya, iman merupakan satu kurniaan nikmat dan juga harta yang tiada ternilai yang dimiliki oleh seseorang Muslim dalam kehidupan ini. Oleh sebab itu, iman itu perlu dipelihara dan dijaga dengan sebaik mungkin agar ia tidak berlumuran dengan unsur-unsur kesyirikan dan sifat-sifat mazmumah. Justeru, baginda Rasulullah seringkali memberi peringatan kepada umatnya yang tidak berusaha mempertingkatkan kualiti iman melalui ibadat puasa yang dilaksanakannya dengan sabdanya yang bermaksud: Betapa ramainya kalangan orang-orang yang berpuasa mereka tidak mendapat apa-apa pun pahala daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga. Betapa ramainya orang-orang yang berjaga waktu malam hari mereka tidak mendapat apa-apa habuan melainkan kepenatan berjaga malam. (Hadis riwayat Ahmad dan Hakim)

Maksud hadis Nabi tersebut mengisyaratkan betapa nilai dan harga detik-detik yang menghiasi sepanjang Ramadan tiada terhingga nilainya dan juga terlalu agung sehingga ia tidak terdapat dalam bulan-bulan yang lain. Dengan ini, segala amalan soleh yang dilakukan sepanjang Ramadan tersebut akan dilipatgandakan ganjarannya dan pahalanya oleh Allah sehingga ia mampu memadamkan dosa-dosa yang lalu dengan rahmat Ilahi.

Bagi insan yang masih dilanjutkan usia bertemu bulan Ramadan sewajarnya memanfaatkan saki baki hidup mereka dengan menambahkan koleksi amalan soleh mereka pada bulan Ramadan ini sebagai persediaan dan bekalan sebelum bertemu menghadap Allah taala kelak. Lebih-lebih lagi, di bulan yang penuh berkat ini Allah taala mempermudahkan segala jalan bagi seseorang Muslim untuk menuju keredaan Ilahi di samping mampu memaksimumkan keagungan dan kebesaran Ramadan tersebut.

Oleh itu, bulan Ramadan bukanlah masanya untuk menurut tuntunan hawa nafsu seperti tidur waktu siang hari dan berehat sepanjang masa. Sebaliknya inilah waktunya yang sesuai untuk mengekang gejolak nafsu yang bergelora dan seterusnya mendidiknya dengan perhiasan sifat sabar dan tabah serta takwa dalam mendepani apa-apa jua cabaran, bukan sahaja daripada ibadat puasa, malahan daripada pancaroba hidup yang mendatang.

Dari sini, puasa bertindak sebagai bengkel latihan untuk membentuk ketahanan diri iaitu memelihara nafsu daripada melanggar batasan yang ditentukan Allah, memelihara lidah dan anggota badan yang lain daripada melakukan maksiat dan pendurhakaan kepada Allah. Natijahnya, jiwa Muslim tersebut akan terisi dengan keluhuran pekerti, kekentalan iman dan ketakwaan yang mantap.

Kemuncak daripada kemuliaan dan keberkatan yang menghiasi bulan Ramadan ialah Allah menjanjikan kedatangan malam al-Qadar yang merupakan satu malam yang paling mulia dan utama di sisi Allah. Malam tersebut dilipatgandakan nilainya dan keutamaannya sehingga mengatasi seribu bulan yang lain. Ini bermakna bahawa amalan-amalan soleh dan kebajikan yang dilaksanakan pada malam tersebut telah dirakamkan oleh Allah mengatasi seribu bulan yang lain.

Malam al-Qadar adalah satu peluang keemasan terbesar yang tidak sepatutnya dilepaskan oleh setiap Muslim. Oleh itu, setiap Muslim hendaklah melipatgandakan usahanya untuk memperolehi kemuliaan malam tersebut dengan menghidupkan malam sepanjang bulan tersebut terutamanya sepuluh malam yang terakhir dan memperbanyakkan amalan soleh agar dia dapat menempatkan dirinya sebagai insan yang bertakwa kepada Allah.

Pendek kata, terlalu banyak kelebihan dan keistimewaan yang disediakan Allah sepanjang Ramadan ini. Jadi, amatlah rugi dan malang jika seseorang Muslim membiarkan sahaja kehadiran bulan mulia itu tanpa sebarang pengisian ibadat dan amalan soleh.

sebagaimana sabda Rasulullah yang bermaksud: Sesiapa yang menemui Ramadan sedangkan dia tidak diampuni Allah, nescaya dia dijauhi dari rahmat Allah. (Hadis riwayat al-Hakim dan Tabrani) Kalau tidak dalam bulan Ramadan, bila lagi?

Rasulullah s.a.w tunjukkan ibadat mampu buat

Mohd Shahrizal Nasir

Islam adalah agama yang tuntutan amalan terhadap umatnya sangat mudah dan praktikal. Kemudahan diberikan oleh Islam kepada umatnya membuktikan Allah SWT tidak memerlukan ibadah hamba-Nya, sebaliknya hamba-Nya yang memerlukan rahmat dan kasih sayang daripada-Nya. Justeru, pelaksanaan ibadah adalah salah satu peluang untuk setiap Muslim meraih rahmat daripada-Nya.

Rasulullah SAW menyatakan dengan jelas tentang Islam dan ajarannya yang mudah untuk dilaksanakan oleh setiap orang. Tidak ada satu pun ibadat dalam Islam yang menyeksa diri sesiapa juga yang melaksanakannya. Malah Rasulullah SAW memberi peringatan keras terhadap mana-mana pihak yang berusaha menyusahkan pelaksanaan ibadah yang disyariatkan Islam.

“Sesungguhnya agama (Islam) itu mudah. Tidaklah seseorang mempersulit (berlebih-lebihan) dalam agamanya kecuali akan dikalahkan (tidak dapat melaksanakannya dengan sempurna). Oleh itu, berlaku luruslah, sederhana (tidak melampaui batas) dan bergembiralah (kerana memperoleh pahala) serta memohon pertolongan (kepada Allah) dengan ibadah pada waktu pagi, petang dan sebahagian malam.” Hadis Riwayat al-Bukhari

Lihatlah ibadah paling utama dalam Islam iaitu solat fardu lima waktu. Meskipun perintah asal yang diberikan oleh Allah SWT adalah sebanyak 50 waktu sehari semalam, namun dengan kasih sayang-Nya jua solat fardu ditetapkan hanya lima waktu dengan rakaat yang paling banyak hanya empat.

Bagi orang yang dalam musafir, kesakitan atau berdepan sebarang kesukaran tatkala ingin solat, Islam menyediakan ruang rukhsah atau keringanan bagi golongan berkenaan dengan adanya pensyariatan qasar dan jamak. Tidak ada lagi alasan untuk mereka yang sengaja menolak kewajipan ditetapkan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya dalam bab solat. Solatlah di mana sahaja asalkan tempat itu bersih dan sememangnya bumi Allah SWT bersih.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Aku (Rasulullah) diberikan lima kemuliaan yang tidak diberikan kepada sesiapa pun sebelum aku… (antaranya) dijadikan kepada aku bumi sebagai tempat sujud dan tanahnya untuk bersuci. Oleh itu, di mana sahaja seseorang itu mendapati waktu solat, hendaklah dia mendirikan solat.” Hadis Riwayat al-Bukhari

Solat sunat yang dilakukan oleh Rasulullah SAW pada waktu malam bilangannya bukanlah ratusan rakaat. Baginda memahami kemampuan umatnya dalam melaksanakan ketaatan kepada Allah SWT.

“Adapun Nabi SAW solat pada waktu malam 13 rakaat termasuk witir dan baginda juga solat sunat dua rakaat fajar.” Hadis Riwayat Muslim

Allah SWT menjelaskan perihal ibadat pada waktu malam melibatkan sebahagian daripadanya, bukan sepanjang malam. Begitulah kebesaran Allah SWT yang memiliki sifat ar-Rahman dan ar-Rahim terhadap sekalian hamba-Nya. Allah SWT berfirman dalam al-Quran maksudnya: “Bangunlah solat tahajud pada waktu malam, selain daripada sedikit masa (untuk berehat).” Surah al-Muzzammil ayat 2

Dalam ibadat puasa wajib pula, Allah SWT hanya menitahkan dilakukan pada Ramadan. Itu pun tidaklah setiap Muslim diperintah untuk menahan diri daripada makan dan minum sepanjang hari, sebaliknya hanya sebahagian daripada seharian iaitu daripada masuknya waktu solat Subuh sehingga terbenam matahari dengan masuknya waktu solat Maghrib.

Tidak ada kebaikan diterima bagi orang berpuasa yang sengaja melengah-lengahkan waktu berbuka. Pelaksanaan ibadah mesti mengikut tatacara yang ditunjukkan oleh Rasulullah, bukan atas pertimbangan akal sendiri. Jika mengikut logik akal, semakin lama beribadah maka semakin banyaklah pahala yang diperoleh. Namun hal ini tidak sebegitu apabila berkait dengan waktu berbuka puasa. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Manusia sentiasa dalam kebaikan selama mereka menyegerakan berbuka puasa.” Hadis Riwayat Ibn Majah

Meskipun haji adalah ibadah yang memerlukan kos yang tinggi, namun secara jelas kewajipannya diberikan ke atas orang yang berkemampuan. Allah SWT menjelaskan hal ini menerusi firman-Nya dalam al-Quran yang bermaksud: “…dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya…” Surah Ali Imran ayat 97

Hayatilah perintah Allah SWT tentang membaca ayat al-Quran yang mudah dalam solat. Ini semestinya memberi ruang kepada semua orang untuk melaksanakan ibadah dengan tenang mengikut kemampuan masing-masing. Selagi ibadah dilakukan mengikut tatacara yang ditunjukkan oleh Rasulullah, pasti ia akan diterima oleh Allah SWT. Firman Allah bermaksud: “… Maka bacalah mana-mana yang sudah kamu dapat membacanya daripada al-Quran…” Surah al-Muzzammil ayat 20

Begitu juga dengan amalan zikir mengingati Allah. Sememangnya dengan mengingati Allah, hati manusia akan menjadi tenang tenteram. Rasulullah SAW banyak mengajar umatnya tentang zikir terbaik yang boleh dibaca pada bila-bila masa. Ada pula untaian zikir yang dibaca oleh Rasulullah SAW pada waktu pagi dan petang dengan bilangan tertentu. Zikir ini bukannya sedikit jenisnya, ia terlalu banyak pilihan dan semuanya tidak ada yang panjang berjela-jela. Baginda dengan jelas menyatakan tentang zikir kepada Allah SWT yang sebutannya ringan untuk lisan, namun pahalanya dinilai dengan timbangan yang berat di akhirat nanti. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Ada dua kalimat zikir yang ringan diucapkan di lidah, tetapi berat pahalanya pada timbangan amal kebaikan dan sangat dicintai oleh ar-Rahman (Allah) iaitu Subhanallahi wa bihamdihi (Maha Muci Allah dengan memuji-Mya), Subhanallahil ‘Azim (Maha Suci Allah Yang Maha Agung).” Muttafaq alaihi

Setiap ajaran yang ditunjukkan oleh Rasulullah semuanya mampu diikuti oleh umatnya. Bukankah baginda diutuskan oleh Allah SWT untuk menjadi contoh ikutan paling utama? Maka usah menokok atau mengurangkan ajaran yang ditunjukkan baginda kerana sesungguhnya dialah yang membawa petunjuk daripada Allah.

“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.'” Surah Ali Imran ayat 31

Petunjuk yang dibawa oleh Rasulullah SAW semestinya paling tepat dan terbaik untuk diutamakan melebihi yang selainnya. Apa lagi yang perlu dirisaukan mengenai amalan yang ditunjukkan oleh baginda sehingga ada yang lebih memilih untuk mendahulukan amalan berpunca daripada selain Rasulullah SAW. Meskipun asasnya baik, utamakanlah perkara ditunjukkan oleh baginda.

Segala yang diajar oleh Rasulullah SAW sudah cukup malah pada tahap paling baik untuk diamalkan. Semua orang mengaku mencintai Rasulullah SAW, maka ayuhlah jadikan ajaran baginda sebagai amalan. Sesungguhnya setiap yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada umatnya bertepatan dengan kehendak Allah SWT sepertimana firman-Nya bermaksud: “… Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran…” Surah al-Baqarah ayat 185

Kembalilah kepada al-Quran

Dr Nor Hazrul Mohd Salleh

Al-Quran al-Karim adalah mukjizat teragung dikurniakan Allah SWT kepada Rasulullah SAW. Penurunan al-Quran dalam masa 23 tahun memenuhi segala keperluan Nabi Muhammad SAW dalam menyebarkan Islam dan menangani segala perkara yang dihadapi sepanjang dakwah baginda. Al-Quran bukan sahaja menjadi hidayah (petunjuk) semata-mata, tetapi sebenarnya membawa penyelesaian kepada segala masalah dihadapi manusia. Ini jelas daripada penggunaan nama yang pelbagai merujuk kepada al-Quran. Antara nama digunakan Allah SWT merujuk kepada al-Quran adalah seperti al-Kitab, al-Furqan, al-Huda, al-Ruh, al-Haq, al-Mau’izah, al-Zikr, al-Nur, al-Burhan, al-Busyra, al-Syifa’ dan al-Rahmah.

Sebagai contoh, al-Quran adalah kitab mukjizat yang menunjukkan hidayah, membawa rahmat, menjadi nasihat dan penawar kepada penyakit rohani dan jasmani.

Allah SWT berfirman: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran daripada Tuhan kamu, menjadi penawar bagi penyakit batin yang ada di dalam dada kamu dan menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan serta membawa rahmat bagi orang beriman.” Surah Yunus ayat 57

Allah SWT juga berfirman: “Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur daripada al-Quran ayat suci yang menjadi penawar serta rahmat bagi orang yang beriman kepada-Nya dan (sebaliknya) al-Quran tidak menambahkan orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.” Surah al-Isra’ ayat 82

Al-Quran menjadi kitab teragung sepanjang zaman. Generasi sahabat yang bersama Rasulullah SAW digelarkan sebagai ‘generasi al-Quran yang unik’. Keunikannya adalah kerana mereka mengamalkan segala apa yang ada dalam al-Quran. Dalam aspek akhlak, mereka berpandukan kepada al-Quran. Mereka mengikut qudwah (ikutan) yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW. Apabila Saidatina Aisyah RA ditanya tentang akhlak Nabi SAW, jawapannya: “Akhlak baginda adalah al-Quran.” Musnad Ahmad

Sunah ini diteruskan oleh sahabat baginda. Maka, janganlah kita meninggalkannya. Ingatlah firman Allah SWT: “Dan berkatalah Rasul: “Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku menjadikan al-Quran ini satu perlembagaan yang ditinggalkan (mahjur), tidak digunakan.” Surah al-Furqan ayat 30

Dalam dunia yang semakin mencabar ini kita amat dituntut kembali mengkaji khazanah al-Quran khususnya untuk menghadapi keadaan dalam masyarakat yang sudah hilang pedoman. Al-Quran tidak lagi menjadi pegangan dan ikutan sebaliknya hawa nafsu serta fikiran yang diutamakan.

Sedangkan Allah SWT berpesan: “Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah serta kepada ‘ulil amri’ (orang yang berkuasa) daripada kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, hendaklah kamu mengembalikannya kepada (kitab) Allah (al-Quran) dan (sunah) Rasul-Nya jika kamu benar beriman kepada Allah serta hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.” Surah al-Nisa ayat 59

Namun, realiti yang berlaku pada hari ini masyarakat semakin jauh daripada al-Quran. Semakin mereka menghadapi masalah, semakin mereka menjauhkan diri daripada petunjuk al-Quran. Ini terbukti apabila ada segelintir masyarakat yang mempertikaikan kesesuaian ayat al-Quran.

Peluang dan ruang masa yang banyak sepatutnya diisi dengan pengajian kitab suci ini, tetapi banyak dihabiskan dengan hiburan melalaikan. Situasi pandemik ini sebagai contoh, sepatutnya mengembalikan masyarakat kepada pemilik segala ujian ini, tetapi tidak berlaku.

Sepatutnya kita berusaha sedaya upaya dan kembali menghayati firman Allah SWT: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Al-Quran itu menjadi (cahaya) petunjuk serta penawar bagi orang yang beriman.” Surah Fussilat ayat 44

Allah SWT yang menurunkan penyakit dan Dialah juga yang menyediakan penawarnya. Kita diperintahkan berusaha mencegah supaya tidak ditimpa sebarang musibah. Apabila menghadapi musibah atau ujian Allah, kita dituntut bersabar dan ingat kepada-Nya (zikir).

Firman Allah SWT: “(Iaitu) orang (yang sabar) apabila mereka ditimpa sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” Surah al-Baqarah, ayat 156

Allah SWT juga menjanjikan ketenteraman hati dan ketenangan jiwa bila kita mengingati-Nya. Firman-Nya lagi: “(Iaitu) orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.” Surah al-Ra’d ayat 28

Rasulullah SAW bersabda: “Allah SWT tidak nenurunkan sesuatu penyakit melainkan Allah SWT menurunkan juga baginya ubat (penawar) yang menyembuhkan.” Riwayat Bukhari. Kita mesti yakin kuasa penyembuhan sebenarnya adalah milik mutlak Allah SWT dan semua yang berlaku adalah mengikut ketentuan-Nya.

Allah SWT berfirman: “Tuhan yang menciptakan daku (daripada tiada kepada ada) maka Dialah yang memimpin dan memberi petunjuk kepadaku dan Tuhan yang Dialah jua memberiku makan serta memberi minum dan apabila aku sakit, Dialah yang menyembuhkan penyakitku.” Surah al-Syu’ara ayat 78-82

Segalanya daripada Allah SWT. Begitu juga dengan kisah Nabi Ayub AS. Allah SWT berfirman: “Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayub, ketika dia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: “Sesungguhnya aku ditimpa penyakit sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani maka Kami perkenankan doa permohonannya lalu Kami hapuskan penyakit yang menimpanya serta Kami kurniakan kepadanya keluarganya dengan seganda lagi ramainya sebagai satu rahmat daripada Kami dan sebagai satu peringatan bagi orang yang taat kepada Kami (supaya bersabar dan mendapat balasan baik).” Surah al-Anbiya ayat 83-84

Rasulullah SAW bersabda: “Hendaklah kamu berpegang kepada dua jenis ubat iaitu madu dan al-Quran.” Riwayat Ibnu Majah

Ibnu Qayyim al-Jauziyyah di dalam kitabnya Al-Tibb al-Nabawi berpendapat di dalam dua cara pengubatan yang disebutkan oleh Rasulullah SAW ini sebenarnya menggabungkan antara pengubatan manusiawi dan pengubatan Ilahi, antara pengubatan jasmani dan rohani, antara pengubatan samawi (langit) serta pengubatan dunia. Oleh itu, gabungan antara kedua-duanya pasti akan memberikan impak yang sempurna. Al-Quran tetap mukjizat dan penawar bagi penyakit rohani serta jasmani.

Al-Quran mukjizat agung tiada tandingan

Dr Azlan Shaiful Baharum

Ramadan bulan yang sentiasa dikaitkan dengan kehebatan al-Quran. Allah SWT menurunkan al-Quran sekali gus pada malam al-Qadr ke langit dunia. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Qadr ayat 1: “Sesungguhnya Kami menurunkannya (al-Quran) pada malam al-Qadr”. Kemudiannya wahyu Ilahi mula turun kepada Rasulullah SAW peringkat demi peringkat berdasarkan pelbagai peristiwa bermula 17 Ramadan di Gua Hira.

Catatan sejarah panduan manusia yang lengkap bermula daripada peristiwa berkenaan. Allah SWT juga menyebut dalam Surah al-Baqarah ayat 185: “Ramadan diturunkan dalamnya al-Quran untuk menjadi pedoman kepada manusia, penjelasan kepada pedoman itu dan pembeza (antara yang baik dan buruk).”

Oleh itu, al-Quran mesti dijadikan sebagai rujukan dan panduan utama yang dapat dijadikan sahabat sejati setiap individu Muslim dalam melayari kehidupan duniawi ini agar sesuai dengan al-Maqasid as-Syariah (tujuan dan matlamat syariah kehidupan manusia yang ditetapkan oleh Allah SWT).

Al-Quran sebuah kitab universal dan mampu menjawab semua permasalahan manusiawi pada setiap tempat dan waktu serta tidak tertumpu kepada umat atau kaum tertentu. Allah SWT menyatakan peranan kitab suci ini sebagai ‘Dzikru lil-almin’ iaitu al-Quran peringatan untuk seluruh alam (Surah al-An’am: 90) dan sebagai ‘Nadzîrn lil-basyar’ iaitu sebagai amaran kepada manusia (Surah Al-Mudathir :36)

Allah SWT berfirman lagi dalam al-Quran: “Wahai Ahli Kitab, sesungguhnya telah datang kepadamu Rasul Kami, menjelaskan kepadamu banyak daripada isi al-kitab yang kamu sembunyikan dan banyak (pula yang) dibiarkannya. Sesungguhnya telah datang kepadamu cahaya daripada Allah dan al-Kitab yang menerangkan. Dengan al-Kitab itulah Allah memberikan petunjuk kepada orang yang memperoleh keredaan-Nya ke jalan keselamatan dan (dengan kitab itu pula) Allah mengeluarkan orang itu daripada gelap gelita kepada cahaya terang-benderang dengan izin-Nya serta menunjukkan kepada mereka ke jalan yang lurus.” Surah al-Maidah: 15-16

Oleh itu, kita mesti mendampingi al-Quran kerana ia mukjizat abadi hingga kiamat. Kewujudannya diyakini sepanjang masa dan di seluruh alam sebagaimana kata pepatah Melayu, ‘Tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan’ dan akan sentiasa relevan pada setiap waktu dan zaman. Untuk menjadikan al-Quran sebagai teman sejati, kita perlu mendampingi al-Quran dengan cara mendengar nasihatnya, mengikuti panduannya dan selalu berada dekat dengannya. Bahkan, sentiasa kita berasakan tidak ada sesuatu pun yang dapat memisahkan dengannya.

Antara tip yang boleh dilakukan untuk menjadikan al-Quran sebagai teman sepanjang hayat adalah seperti berikut:  

1. Membacanya dan menyebutnya selalu

Amalan membaca al-Quran adalah cara yang paling asas dan mudah untuk kita menjadikan al-Quran sebagai sahabat sejati dalam kehidupan kita.

Aktiviti membaca ayat suci ini dapat dilakukan dengan menetapkan rutin seharian yang disusun dengan baik agar dapat diselitkan sesi membacanya. Rasulullah SAW bersabda: “Bacalah al-Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat menjadi pemberi syafaat bagi orang yang mendampinginya.” Riwayat Muslim

Cuba menghafal dan mengingati ayatnya. Menghafal al-Quran adalah langkah kedua yang dapat menjadikannya sebagai sahabat sejati yang tersemat dalam hati dan jiwa hamba Allah yang dekat dengan kitab sucinya. Sebagai pedoman hidup, ternyata al-Quran satu-satunya kitab suci yang mudah dihafal berbanding yang lain. Hal ini sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Qamar ayat 17: “Dan sesungguhnya Kami mudahkan al-Quran untuk pengajaran maka adakah orang yang akan mengambil pengajaran itu?”

2. Mentadabbur dan memahami isi kandungannya

Kita perlu berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam menghayati kefahamannya dan cuba menyelami perkaitan satu ayat dengan yang lain atau satu surah dengan surah yang lain. Imam Jalaluddin as-Suyuthi dalam kitabnya Al-Itqan fi Ulum al-Qur’an mencatatkan bahawa disunatkan membaca Al-Quran dengan tadabbur (berusaha menghayati maknanya) dan tafahhum (berusaha memahami kandungannya). Mentadabbur juga dapat dilihat daripada aspek bagaimana setiap ayat atau surah mempunyai hubung kait antara satu sama lain. Begitu juga perkataan yang disusun begitu indah dan teliti. Ini semua dipanggil kehebatan mukjizat al-Quran atau I’jaz al-Quran.

3. Mengamalkan semua hukum dan pengajarannya

Langkah yang terbaik untuk kita memastikan sentiasa bersahabat dengan al-Quran adalah dengan berusaha mengamalkan setiap ayat yang terkandung di dalamnya dari segenap aspek akidah, syariah dan akhlak. Hukum-hakam daripada solat, puasa, zakat, haji, perwarisan harta, faraid, hutang piutang, aurat, perkahwinan, perceraian, jenayah, urusan muamalat hinggalah urusan berkaitan pentadbiran masyarakat serta negara semuanya terkandung dengan jelas dan komprehensif dalam al-Quran.

Hukum-hakam dalam al-Quran tidak pernah dianggap lapuk atau ketinggalan zaman. Ia sentiasa relevan sejak zaman Rasulullah SAW, pada zaman moden ini hinggalah hari kiamat. Rahsia yang menyebabkan al-Quran tidak akan usang dan ketinggalan adalah kerana ia satu bentuk pensyariatan (at-tasyri’i) sesuai dengan fitrah serta tabii manusiawi yang juga sebuah bentuk penciptaan (at-takwini). Fitrah manusia pula tidak akan mengalami perubahan dan penggantian. Manusia pada zaman apa jua mempunyai naluri, keperluan dan kehendak yang sama. Ini terbukti dalam pelbagai paparan kisah sejarah manusia yang termaktub dalam al-Quran sejak zaman Nabi Adam AS hinggalah zaman Nabi Isa AS. Semuanya dinukilkan satu persatu untuk panduan umat Nabi Muhammad SAW.

Allah SWT meletakkan satu perlembagaan yang syumul terhadap kandungan dan pengetahuan al-Quran sehingga ia mampu menjawab seluruh keperluan manusia sepanjang perjalanan kehidupan. Sejarah membuktikan manusia dapat memanfaatkan segala fakta yang malar segar dari al-Quran. Ia umpama pelita terang yang bersinar menerangi perjalanan kehidupan manusia dengan cahaya petunjuknya yang bersinar dan bergemerlapan.

Oleh yang demikian semua proses ini akan membawa kepada penghayatan al-Quran bukan sahaja pada Ramadan malahan diaplikasikan dengan cara menjadikan setiap perbuatan dan tutur kata kita sepanjang masa sesuai dengan tuntutan al-Quran, baik dalam urusan duniawi ataupun ukhrawi. Moga semua anggota masyarakat akan terus bersemangat untuk melahirkan generasi al-Quran yang hebat!