• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,260,121 orang
  • Kandungan Blog

Tetaplah dalam kebaikan

Mohd Shahrizal Nasir

Setiap orang punyai kalbu dalam diri yang menentukan segala tindakan. Kalbu berasal daripada perkataan bahasa Arab dan ia difahami dalam bahasa Melayu sebagai hati. Hati merupakan pusat segala perasaan batin atau disebut sanubari. Setiap manusia memiliki hati untuk sebenarnya mengatur kehidupan kerana setiap tindakan pasti dengan niat. Niat pula tempatnya dalam hati.

Pepatah Melayu ada menyebut ‘Ikut hati mati, ikut rasa binasa, ikut masa leta’. Pepatah ini merujuk keadaan orang yang mengikut hawa nafsu dalam membuat keputusan tanpa membuat pertimbangan sebaiknya, maka dia akan menanggung akibat buruk. Justeru, setiap insan perlu berusaha menjaga hati agar terselamat daripada sebarang bentuk keburukan.

Hati boleh jadi tempat yang diselubungi penyakit sekiranya tidak dijaga dengan baik. Ada orang yang tidak boleh melihat orang lain bahagia melebihi kebahagiaan yang dinikmatinya. Walaupun keadaan orang lain sedikit pun tidak memberi kesan terhadap perjalanan hidupnya, namun dirinya tidak senang melihat kebahagiaan orang lain. Inilah antara bukti hati seseorang sedang dilanda penyakit.

Ada pula orang yang sentiasa menginginkan orang lain berada dalam kesusahan. Tatkala melihat orang lain berdepan dengan kesusahan hidup, hatinya tidak terdetik langsung untuk menghulurkan bantuan. Hal ini meskipun Allah SWT menjanjikan ganjaran istimewa untuk orang yang menghulurkan bantuan kepada saudaranya, hati yang sakit tetap tidak mengendahkannya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang menyelesaikan kesulitan seorang Mukmin daripada pelbagai kesulitan dunia, nescaya Allah akan memudahkan kesulitannya pada hari kiamat. Dan sesiapa yang memudahkan orang yang sedang kesulitan, nescaya akan Allah mudahkan baginya di dunia dan akhirat.” (Muttafaq ‘alaih)

Semua orang Islam menyedari keperluan melakukan perkara baik yang mendatangkan pahala. Hatta perkara yang mungkin bagi sesetengah orang kelihatan kecil, namun ia perlu dilakukan bagi meraih ganjaran pahala daripada Allah SWT. Contohnya perbuatan mengukir senyuman kepada sesama insan lebih-lebih lagi dalam kalangan orang Islam. Ia merupakan perbuatan baik yang dinilai dengan pahala oleh Allah SWT. 

Hal ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW menerusi hadisnya yang bermaksud: “Senyummu di hadapan saudaramu (sesama Muslim) adalah (bernilai) sedekah bagimu”- (Hadis riwayat at-Tirmidzi). Lihatlah betapa Allah SWT Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani dalam menzahirkan kasih sayang-Nya terhadap hamba yang melakukan perbuatan kecil, namun ia tidak sia-sia kerana diganjari dengan pahala di sisi-Nya.

Persoalannya, adakah semua orang sudi untuk melakukan perkara berpahala tersebut? Sekali lagi, ia sebenarnya berbalik kepada hati masing-masing. Hati orang yang beriman akan sentiasa baik dan aktif mengarahkan diri agar melakukan semua perkara yang mendatangkan pahala.

Kepentingan hati dalam membentuk sahsiah diri telah dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam sabda Baginda: “Ketahuilah bahawa pada jasad itu terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh jasadnya, jika ia buruk maka buruklah seluruh jasadnya, ketahuilah bahawa ia adalah hati.” (Muttafaq ‘alaih)

Jelaslah bahawa hati merupakan anggota dalam badan yang perlu dipelihara agar tidak mencetuskan perkara buruk (mazmumah) yang ditunjukkan menerusi perbuatan fizikal. Benarlah pepatah Melayu banyak menyentuh tentang ‘hati’ sehingga orang yang baik dikenali sebagai orang yang ‘baik hati’. 

Hati tersangat mudah untuk berbolak-balik mengarah kepada kejahatan sekiranya diri tidak menjaganya dengan baik. Oleh itu, Rasulullah SAW mengajar umatnya agar memohon kepada Allah SWT untuk memperoleh hati yang tetap berada pada kebaikan. Tidak ada insan yang boleh memberi jaminan bahawa hatinya tidak akan bertukar daripada baik kepada keadaan sebaliknya.

Anas bin Malik RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW banyak membaca: ‘Ya Muqallibal qulub, thabbit qalbi ‘ala dinika’ (Wahai Allah yang berkuasa membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku agar ia berada di atas agamamu). Lalu Anas bertanya kepada Baginda: “Wahai Rasulullah, kami beriman kepadamu dan kepada apa yang kamu telah bawa. Lalu apakah kamu masih bimbang terhadap kami?” Baginda SAW menjawab: “Ya, kerana sesungguhnya hati manusia itu berada di antara dua jari daripada jari-jari Allah yang Dia akan membolak-balikkannya mengikut kehendak-Nya.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Hati akan lebih mudah terjebak dalam perkara keji dan mungkar tatkala ia kosong daripada ingatan kepada Allah. Orang yang melupai Allah SWT bermakna hatinya sedang bermasalah. Oleh itu, kita disaran agar memperbanyakkan zikrullah untuk memastikan diri ingat kepada Allah. Apabila berzikir, ungkapan zikir diulang dengan banyak kali agar hati terpelihara daripada perkara yang keji dan mungkar. 

Orang yang hatinya tenang tidak akan tergamak melakukan dosa. Ketenangan hati boleh dikecapi dengan banyak mengingati Allah. Hal ini dinyatakan oleh Allah SWT menerusi firman-Nya bermaksud: “(Iaitu) orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.” (Surah ar-Ra’d, ayat 28)

Setiap hamba yang ingat kepada Allah SWT, maka dia pasti diingati oleh-Nya. Ini semua bergantung kepada hati manusia. Jika diperhalusi, bukanlah sukar untuk mengingati Allah SWT, namun ada kalanya hati gagal berfungsi untuk sentiasa ingat kepada-Nya. Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “Oleh itu ingatlah kamu kepada-Ku (dengan mematuhi hukum dan peraturan-Ku), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepada-Ku dan janganlah kamu kufur (akan nikmat-Ku).”  (Surah al-Baqarah, ayat 152)

Marilah sama-sama kita menjaga hati masing-masing agar terhindar daripada sebarang penyakit. Penyakit hati tidak seperti penyakit anggota badan yang lain, kerana kesakitannya tidak dirasai tapi cukup ampuh untuk membuatkan diri terjebak dalam perkara-perkara buruk (mazmumah).

Sesungguhnya orang yang memiliki hati yang sihat dan bersih akan menemui Allah SWT bagi memperoleh ganjaran yang sangat istimewa di akhirat nanti. Ganjaran tersebut tidak lain dan tidak bukan merujuk kepada syurga yang disediakan untuk golongan yang berjaya menjaga hati daripada sebarang bentuk kerosakan.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang maksudnya: “Hari (akhirat) yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun. Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (daripada syirik dan penyakit munafik). Dan (pada hari itu) didekatkan syurga bagi orang yang bertakwa.” (Surah ash-Shu’ara’, ayat 88-90)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: