• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,273,593 orang
  • Kandungan Blog

Bersungguh bantu mangsa musibah

Mohd Shahrizal Nasir

Setiap orang pasti akan berdepan dengan kesusahan. Orang yang berduit tidak semestinya tidak akan menemui saat kesusahan. Kehidupan di dunia sarat dengan kesusahan bagi menguji hamba yang benar-benar beriman kepada-Nya. Orang yang kaya ada kalanya diuji dengan kesusahan melibatkan wang ringgit. Mereka mempunyai wang, namun wang tersebut tidak dapat membantu mereka tatkala ditimpa musibah. 

Lihatlah contoh mudah dalam keadaan beberapa tempat di pantai timur sedang dilanda banjir tanpa diduga. Meskipun ada dalam kalangan mangsa banjir yang mempunyai wang, namun disebabkan mereka tersekat tidak dapat bergerak ke mana-mana, mereka juga memerlukan bantuan termasuk melibatkan wang. Mereka pasti bersyukur sekiranya ada pihak yang dapat menyumbang makanan dan keperluan asas kerana mereka sedang dalam keadaan memerlukan. 

Inilah antara perkara yang perlu menjadi iktibar buat semua. Duit bukanlah segala-galanya dalam kehidupan meskipun ia satu keperluan. Ketika manusia ditakdirkan menerima ujian daripada Allah SWT, mereka tidak akan dapat keluar daripada kesulitan dan mengharapkan pertolongan orang lain.

Orang kaya juga boleh dijangkiti wabak Covid-19. Mereka mungkin mempunyai wang yang banyak, namun tatkala diuji dengan kesakitan, mereka juga layak dihulurkan bantuan untuk meneruskan kehidupan. Jika ada bantuan yang boleh dihulurkan bagi meringankan beban orang yang sedang dijangkiti Covid-19, bantulah mereka kerana kesukaran hidup bukan sekadar melibatkan wang ringgit.

Allah SWT berfirman yang maksudnya:  “Dialah (Allah) yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang bertaubat).”  (Surah al-Mulk, ayat 2)

Justeru, tidak wajar sekiranya ada yang beranggapan orang yang kaya tidak perlu diberi pertolongan. Sedangkan pertolongan itu boleh datang dalam pelbagai cara. Sebenarnya orang yang sedang berdepan kesulitan memerlukan sokongan termasuk rasa kebersamaan ketika diuji dengan kesusahan. 

Orang yang rumahnya ranap musnah dijilat api, mungkin dapat membina semula rumahnya dengan wang yang mereka miliki, namun bantuan yang diterima daripada saudara, rakan dan jiran tetangga boleh menerbitkan semangat positif untuk bangkit meneruskan kehidupan.

Menurut Imam al-Nawawi dalam kitabnya  al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab:  “Dibolehkan untuk bersedekah sunat kepada golongan kaya tanpa khilaf (tentang keharusannya di sisi ulama). Maka, dibolehkan untuk memberikan (sedekah) kepada golongan kaya dan diberi pahala kepada yang memberi sedekah tersebut. Akan tetapi (sedekah yang diberikan kepada) golongan yang memerlukan adalah lebih afdal.”

Sesungguhnya ruang untuk melakukan kebaikan tidak terbatas kepada golongan fakir miskin sahaja, kerana golongan yang kaya ada kalanya memerlukan bantuan di saat wang yang dimiliki tidak dapat menyelesaikan masalah yang sedang dihadapinya.

Oleh itu, usah membeza-bezakan orang yang ingin dibantu hanya kerana ukuran wang yang dimilikinya. Islam membuka peluang yang luas untuk umatnya menghulurkan bantuan. Dari sudut lain pula turut membuka ruang untuk sesiapa sahaja menerima bantuan ketika berada dalam kesusahan.

Allah SWT menjelaskan perihal perbuatan kebajikan menerusi firman-Nya bermaksud:  “Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah dan Hari Akhirat, dan segala malaikat dan segala kitab, dan sekalian nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang dia menyayanginya, (lakukan kebajikan) kepada kaum kerabat, dan anak yatim dan orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan dan kepada orang yang meminta dan untuk memerdekakan hamba abdi; dan mengerjanya seseorang akan sembahyang serta mengeluarkan zakat; dan perbuatan orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian; dan ketabahan orang yang sabar dalam masa kesempitan dan dalam masa kesakitan dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang Sabil. Orang yang demikian sifatnya), mereka itulah orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan); dan mereka itulah juga orang yang bertakwa.”  (Surah al-Baqarah, ayat 177)

Kebajikan wajar dihulurkan kepada segenap lapisan manusia yang berada dalam kesusahan. Apatah lagi sekiranya orang yang sedang berdepan kesusahan merupakan jiran tetangga sendiri. Janganlah kerana dilihat secara luaran seseorang itu memiliki wang, maka dia dinafikan daripada menerima bantuan ketika dalam kesulitan. Sesungguhnya Islam amat menganjurkan agar jiran tetangga saling membantu. Malah sikap bantu-membantu ini akan menguatkan ikatan persaudaraan sesama umat Islam.

Rasulullah SAW bersabda mafhumnya:  “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jirannya.”  (Hadis riwayat Muslim)

Jika masih ada yang beranggapan orang kaya tidak wajar menerima sedekah, maka sedarlah bahawa Islam masih membuka ruang agar semua umatnya merasai nikmat beragama Islam. Anggaplah bantuan yang dihulurkan kepada orang kaya sebagai hadiah.

Islam turut menggalakkan agar umatnya saling memberi hadiah kerana ada hikmah besar daripada perbuatan tersebut. Allah SWT akan memasukkan perasaan cinta dan kasih sayang kepada hamba-Nya yang menghulurkan bantuan sama ada melalui jalan sedekah ataupun hadiah. Semua kebaikan daripada perbuatan tersebut bukanlah kembali kepada Allah SWT, sebaliknya akan kembali kepada manusia yang melakukan kebaikan.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:  “Saling memberi hadiahlah kalian, nescaya kalian akan saling mencintai.”  (Hadis riwayat al-Bukhari)

Islam agama yang cukup indah kerana prinsip keadilan yang dijadikan tunggak utamanya. Mana mungkin keadilan mampu ditegakkan sekiranya orang yang kaya dinafikan hak untuk menerima bantuan sejajar dengan keperluannya kerana harta bukanlah satu-satunya keperluan dalam kehidupan. 

Justeru, marilah sama-sama kita menghulurkan bantuan kepada sesiapa sahaja yang berada dalam kesusahan. Pada masa sama, usah lupa untuk mendoakan agar urusan setiap saudara seagama kita sentiasa berjalan dengan lancar dan diberkati oleh-Nya. Doa yang akan dimustajabkan oleh Allah SWT antaranya apabila seorang hamba mendoakan saudaranya dalam keadaan saudaranya itu tidak mengetahuinya. 

Sabda Rasulullah SAW bermaksud:  “Doa seorang Muslim untuk saudaranya tanpa pengetahuan saudaranya itu mustajab. Di sisi orang (yang berdoa) itu ada malaikat yang mencatatnya. Setiap kali orang itu mendoakan kebaikan bagi saudaranya, maka malaikat mengucapkan: ‘Semoga Allah memabulkan dan untukmu juga seperti itu.'”  (Hadis riwayat Muslim)

Hal ini jelas membuktikan Islam amat prihatin terhadap hubungan sesama Muslim lebih-lebih lagi tatkala ada yang sedang ditimpa kesusahan. Hakikatnya semua orang yang sedang berdepan ujian kehidupan memerlukan bantuan termasuk sokongan moral dan rasa kebersamaan menghadapi kesusahan.

Pertolongan Allah SWT akan sentiasa hadir bagi orang yang berusaha menghulurkan bantuan kepada saudaranya yang berada dalam kesusahan. Sabda Rasulullah SAW bermaksud:  “Sesiapa yang melepaskan satu kesusahan seorang Mukmin, pasti Allah akan melepaskan daripadanya satu kesusahan pada hari kiamat. Sesiapa yang menjadikan urusan orang lain mudah, pasti Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan di akhirat.”  (Hadis riwayat Muslim)