• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,273,593 orang
  • Kandungan Blog

Hikmah solat & cara atasi rasa malas mendirikannya

Nor Amalina Abd Rahman @ Sabri

Catatan sejarah Islam memperlihatkan satu peristiwa penting melibatkan ibadat umat Islam iaitu peristiwa Israk Mikraj. Allah SWT mensyariatkan ibadat solat lima waktu secara langsung kepada Nabi Muhammad SAW melalui perjalanan satu malam. Ibadat istimewa ini hanya disyariatkan kepada umat Nabi Muhammad SAW dan tiada pada umat sebelumnya.

Kepentingan ibadat ini sering diperkatakan dan turut diumpamakan seperti tiang agama. Rasulullah SAW sendiri pernah bersabda: “Pokok segala urusan adalah Islam, tiangnya adalah solat dan kemuncaknya adalah jihad.” Hadis Riwayat al-Tirmizi

Hadis ini menjelaskan bahawa orang mendirikan solat adalah orang yang mendirikan agama manakala orang yang tidak mendirikan sembahyang itu pula adalah seperti orang meruntuhkan tonggak utama dalam beragama.

Solat juga boleh menjadi pengukur yang membezakan antara umat Islam dan bukan Islam. Hanya umat Islam yang mempunyai ibadat khusus seperti ini dan cara melakukannya ditunjukkan satu persatu oleh Nabi Muhammad SAW. Oleh itu, pelaksanaan solat hendaklah dilakukan sebagaimana yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW iaitu dengan postur pergerakan badan dan bacaan tertentu. Sekiranya umat Islam mengikut cara solat Nabi Muhammad SAW, solat akan menjadi satu terapi, sama ada secara fizikal atau mental. Terapi secara fizikal dapat mencegah penyakit fizikal dan terapi secara mental pula mampu mencegah penyakit mental. Secara fizikal, solat ialah satu kerehatan untuk tubuh badan setelah menjalani aktiviti seharian. Saintis membuktikan bahawa pergerakan dalam solat akan memberi manfaat kepada kesihatan apabila dilakukan dengan postur badan yang betul. Misalnya rukuk 90 darjah dan sujud dengan dahi menyentuh tempat sujud.

Postur rukuk yang betul akan membetulkan kembali sendi dan otot. Sujud yang betul pula akan melancarkan pengaliran darah ke bahagian otak. Dengan ini umat Islam tidak perlu kepada aktiviti lain seperti yoga yang terkenal sebagai kaedah membetulkan sendi, postur badan dan pengaliran darah. Solat dengan betul sahaja sudah cukup untuk mendapatkan semua itu.

Prof Ir Dr Fatimah Ibrahim yang juga seorang jurutera, pengkaji dan saintis dari Universiti Malaya telah lama mengkaji tentang solat. Beliau mengeluarkan hasil kajian tentang solat tahajud yang dilakukan berterusan setiap hari selama tiga bulan. Beliau menyatakan amalan ini dapat meningkatkan sistem imunisasi badan, seterusnya mampu mencegah penyakit berbahaya seperti kanser. Demikianlah dapat dilihat fungsi solat kepada tubuh badan manusia. Kebaikan yang datang bersama ibadat wajib ini bukanlah hanya suatu kebetulan. Semuanya dalam perancangan dan pengetahuan Allah SWT. Selain daripada manfaat secara fizikal, mental turut menerima kesan baik hasil pelaksanaan solat.

Secara mental, solat dapat mewujudkan ketenangan dalam fikiran dan jiwa. Hal ini kerana solat adalah satu cara untuk mengingati Allah SWT. Allah SWT menyebut bahawa sesiapa yang mengingati-Nya akan mendapat ketenangan. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Ketahuilah dengan mengingati Allah SWT itu tenanglah hati manusia.” Surah ar-Ra’d ayat 28

Ketenangan itu datang apabila seseorang itu berasakan bahawa Tuhan sentiasa ada di sisinya. Tuhan yang akan menyambutnya ketika jatuh serta memimpinnya ketika lemah. Fitrah manusia yang sentiasa memerlukan Tuhan sebagai tempat bergantung inilah yang membuatkan jiwanya tenang apabila dapat berhubung dengan Tuhannya melalui solat. Seterusnya ketenangan jiwa menjadikannya kalis daripada pelbagai jenis penyakit jiwa.

Jelaslah bahawa Allah SWT menurunkan perintah solat itu kerana Dia Maha Mengetahui akan keperluan hamba-Nya, secara fizikal dan mental. Oleh itu, umat Islam sewajarnya mendirikan solat sebagai tanda kehambaan kepada Allah SWT dan juga syukur atas segala kurniaan-Nya.

Namun, terdapat juga umat Islam yang memandang enteng perihal solat kerana malas untuk mendirikannya dan berasa lebih ringan untuk meninggalkan ibadat itu. Sifat malas sebegini perlu dikikis melalui beberapa cara seperti berikut:

Pertama, sentiasa mengingatkan diri bahawa kesusahan di dunia ini tidak terbanding dengan kesusahan pada hari akhirat kelak. Jika susah di dunia hanya untuk bangun dan mendirikan solat, susah di akhirat adalah dengan siksaan pedih bertahun-tahun lamanya di neraka kerana meninggalkan solat. Ini bermaksud kesusahan di dunia hanyalah sementara, sekadar ujian bagi menentukan keimanan manakala kesusahan pada hari akhirat adalah balasan atas kegagalan menghadapi ujian berkenaan.

Kedua, sentiasa ingat selamat di dunia belum tentu akan selamat di akhirat kelak. Allah SWT mungkin belum membalas perbuatan meninggalkan solat secara langsung ketika masih bernyawa di dunia. Namun balasan buruk pasti akan diberikan apabila kembali menghadap-Nya di akhirat nanti. Maka sebagaimana berusaha untuk selamat daripada bahaya dunia, begitulah perlu berusaha untuk selamat daripada bahaya akhirat.

Ketiga, sentiasa paksa diri bangun mendirikan solat. Diri yang sudah biasa meninggalkan solat pasti berasa amat sukar untuk solat lima waktu walaupun hanya sehari. Namun sifat malas ini mesti dilawan walau dalam keadaan apa sekalipun. Paksa diri melaksanakan solat bermula dengan sehari, seminggu, sebulan sehingga lama-kelamaan ia menjadi rutin harian dan berasa janggal untuk meninggalkannya.

Keempat, solat pada awal waktu. Cara ini berkesan untuk menghilangkan rasa malas solat akibat bertangguh. Ini kerana semakin lama bertangguh untuk solat, semakin menebal rasa malas untuk mendirikannya maka sebaik-baiknya solat itu didirikan sejurus masuknya waktu. Selain daripada menghilangkan rasa malas solat, orang yang solat pada awal waktu akan berasakan keberkatan waktu sehingga mampu melaksanakan pelbagai aktiviti harian yang lain. Hati juga berasa lapang setelah kewajipan utama dilaksanakan sejak awal.

Kelima, bersahabat dengan orang yang sangat menjaga perihal solatnya. Mintalah sahabat itu memberi peringatan setiap kali masuknya waktu solat dan paksa jika masih tidak bangun mendirikannya. Cara ini berkesan kerana seorang sahabat yang ikhlas dalam persahabatan akan sedaya upaya mengajak sahabatnya ke arah kebaikan kerana ingin bersama-sama melangkah ke syurga kelak.

Keenam, istiqamah menunaikan solat setiap waktu dan setiap hari. Setelah mampu mengikis sedikit demi sedikit sifat malas solat, dirikanlahlah secara berterusan. Apabila sesuatu ibadat itu dilakukan secara berterusan dan istiqamah, ibadat tersebut akan melekat di hati dan sukar untuk meninggalkannya lagi.

Begitulah cara membuang sifat malas solat dalam diri. Sekiranya sifat ini tidak dibuang, sukar bagi seseorang mencapai kejayaan dan kebahagiaan. Kejayaan dan kebahagiaan dalam Islam melibatkan dunia dan akhirat. Hanya orang yang beriman serta melaksanakan perintah Allah SWT sahaja akan mendapatkan kedua-dua hal itu. Oleh itu, sempena peristiwa Israk Mikraj yang jatuh pada hari ini, marilah sama-sama berusaha melaksanakna perintah Allah SWT termasuk menyempurnakan amalan solat agar tiang agama ini dapat berdiri dengan teguh dan menjadi satu terapi bagi fizikal serta mental