• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,260,396 orang
  • Kandungan Blog

Tanda kiamat pertama

Dr Khairul Asyraf Mohd Nathir

Kita sering mendengar tanda kiamat kecil dan besar. Tetapi bilakah bermulanya tanda kiamat?

Perkhabaran tanda kiamat adalah apa yang telah dikhabarkan oleh Baginda Nabi SAW kepada sahabat dan sampai kepada kita pada hari ini melalui alim ulama. Dalam hal ini, Baginda Nabi SAW telah bersadba yang bermaksud: “Jarak antara aku diutuskan dengan tibanya Hari Kiamat adalah seperti ini.”  Anas RA  berkata: “Rasulullah SAW menggabungkan antara jari telunjuk dengan jari tengah.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Apakah yang dimaksudkan dengan nabiyussa’ah?

Nabiyussa’ah bermaksud nabi saat terjadinya kiamat. Baginda sendiri telah memberitahu bahawa terutusnya Baginda adalah sebagai bukti hampir datangnya Hari Kiamat.

Terutusnya Nabi SAW adalah gambaran pertama kiamat akan berlaku yang semakin mendekati manusia akhir zaman. Baginda Nabi SAW telah menyempurnakan agama dan memberi panduan yang jelas kepada umat Baginda bagi mengharungi kehidupan di akhir zaman.

Apakah pula yang dimaksudkan dengan “Aku diutuskan pada nasmi al-Sa’ati?”

Daripada Qais bin Khazim daripada Abu Jubairoh daripada Nabi SAW, Baginda bersabda: “Aku diutuskan pada nasmi al-Sa’ati.”

Ibnu Atsir berkata, kata nasmu berasal daripada kata nasim yang bermaksud awal hembusan angin kecil. Ini membawa maksud Baginda Nabi SAW diutuskan pada awal tanda-tanda kiamat dan pada kelembutan kedatangannya. Mengikut padangan lain, perkataan nasmu datang dalam bentuk jama’ (banyak) daripada perkataan nasmah (nyawa) yang membawa maksud Baginda Nabi SAW diutuskan untuk orang-orang bernyawa yang diciptakan oleh Allah SAW sebelum ketibaan kiamat. Jadi, maksud perkataan ini menggambarkan Baginda SAW diutuskan pada akhir penciptaan manusia.

Mengapakah digambarkan kiamat dengan nabi diutuskan melalui jari telunjuk dan jari tengah?

Baginda Nabi SAW bersabda maksudnya:  “Jarak antara aku diutuskan dengan tibanya Hari Kiamat adalah seperti ini dan ini. Dan hampir sahaja Hari Kiamat mendahuluiku.”  (Hadis Riwayat Ahmad)

Ayat ‘ini dan ini’ dalam hadis tersebut merujuk kepada jari telunjuk dan jari tengah Baginda. Jadi telunjuk adakah kiamat, manakala jari tengah pula merujuk kepada Baginda diutuskan.

Baginda Nabi SAW menjelaskan bahawa kedudukan Hari Kiamat amat hampir dengan baginda ketika diutuskan oleh Allah SWT. Ulama menjelaskan terdapat dua pandangan utama berkaitan hadis tersebut. Isyarat jari telunjuk dan jari tengah bermaksud situasi kiamat semakin hampir ketika baginda diutuskan seperti rapatnya kedudukan dua jari tersebut. Isyarat jari telunjuk dan jari tengah bermaksud saat baginda diutuskan dengan hampirnya kiamat seperti panjang jari tengah daripada jari telunjuk. Jari telunjuk adalah Hari Kiamat manakala jari tengah adalah saat baginda diutuskan.

Saat Nabi diutuskan dengan kehidupan kita pada saat ini telah melebihi 1,400 tahun. Adakah kiamat sangat hampir untuk berlaku?

Saat bermulanya tanda kiamat sehingga ke hari ini adalah satu tempoh yang telah lama berlalu. Kewafatan baginda Nabi SAW melebihi 1,400 tahun. Justeru itu, manusia yang masih lagi hidup pada hari ini adalah golongan yang berada pada situasi akhir zaman yang menunggu tibanya Hari Kiamat.

Al-Qurtubiy dalam kitab al-Tazkirah menjelaskan: “Tanda pertama ialah Rasulullah SAW kerana baginda adalah rasul akhir zaman. Baginda diutuskan dan tidak akan ada lagi rasul selepasnya sehingga hari kebangkitan semula.”

Ibn Hajar meriwayatkan daripada al-Qurtubiy: “Kesimpulan hadis tersebut menunjukkan Hari Kiamat sudah dekat dan akan segera datang. Reaksi tersebut menjelaskan pengertian Hari Kiamat semakin dekat dan tanda-tandanya pun akan terus menyusul sebagaimana firman Allah SWT:   ‘(Kiranya golongan yang ingkar masih tidak mahu menerima peringatan yang diberi kepadanya) maka tidak ada lagi yang mereka tunggu melainkan saat kiamat yang akan datang kepada mereka secara mengejut kerana sesungguhnya telah lahirlah tanda-tanda kedatangannya. Kalaulah demikian, maka bagaimanakah mereka dapat menerima peringatan yang diberi kepada mereka apabila saat kiamat itu datang kepada mereka?'”  (Surah Muhammad 47:18)   

Situasi kiamat yang dikhabarkan ini adakah ramalan atau tanda?

Setiap percakapan Baginda adalah wahyu daripada Allah SWT. Baginda tidak berkata-kata berdasarkan akal, namun melalui wahyu semata-mata. Baginda Nabi SAW memberitahu mengenai kejadian yang akan terjadi hingga Hari Kiamat, perkara ini adalah kerana Allah SWT memperlihatkan kepada Baginda tentang perkara ghaib yang akan terjadi namun masa sebenar akan berlaku kiamat hanya dalam pengetahuan Allah SWT.

Pengetahuan tentang Hari Kiamat ini masalah yang dirahsiakan Allah dan tidak diperlihatkan kepada makhluk. Tidak ada seorang pun manusia yang mengetahui bilakah Hari Kiamat akan berlaku kecuali Allah SWT.

Adakah persoalan tentang tanda kiamat ini telah ditanya oleh sahabat Baginda?

Rasulullah SAW sering menyebut kiamat dan permasalahnya, maka ramai yang bertanya tentang bila waktu terjadinya kiamat. Rasulullah SAW menceritakan kepada mereka bahawa itu adalah masalah ghaib yang tidak ada yang mengetahuinya kecuali Allah SWT. Maka al-Quran diturunkan untuk memberi penjelasan bahawa Hari Kiamat itu adalah perkara yang menjadi rahsia Allah SWT.

Allah SWT berfirman maksudnya: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang Hari Kiamat: ‘Bilakah masa datangnya?’ Katakanlah: ‘Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia. (Huru-hara) hari kiamat itu amatlah berat (menggerunkan makhluk yang ada) di langit dan di bumi; ia tidak datang kepada kamu melainkan secara mengejut. Mereka bertanya kepadamu seolah-olah engkau sedia mengetahuinya. Katakanlah: Sesungguhnya pengetahuan mengenai Hari Kiamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.'”  (Surah al-A’raf ayat 187)

Apakah tujuan utama perkhabaran tentang bermualanya tanda kiamat ini?

Gambaran pertama kiamat ini adalah satu bentuk motivasi untuk beribadah dan sentiasa bersedia dengan mempersiapkan diri dengan amal soleh dan bertaubat kepada Allah SWT. Dengan jarak daripada Baginda SAW diutuskan dengan situasi yang berlaku hari ini, manusia tidak boleh alpa dan lalai daripada mengingati Allah SWT sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Telah dekat kepada manusia hari menghisab segala amalan mereka. Sedang mereka berada dalam kelalaian lagi berpaling (daripadanya).”  (Surah al-Anbiya’ ayat 1)

Daripada Ibnu Umar, dia berkata: “Kami duduk di sisi Rasulullah SAW dan waktu itu matahari sudah dilitupi oleh gunung Quaiqi’an (di Makkah) setelah Asar, Nabi bersabda: ‘Tiadalah umur kamu jika dibandingkan dengan umur orang dahulu kecuali seperti sisa siang hari yang sudah berlalu.'”  (Hadis Riwayat Ahmad)

Kehidupan manusia akhir zaman ini adalah tempoh yang singkat, maka berusahalah untuk meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT selagi masih ada sisa-sisa terakhir umur kita. Bersegeralah melakukan kebaikan dan meninggalkan kemungkaran.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: