• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,273,619 orang
  • Kandungan Blog

Fitnah wanita akhir zaman

Dr Khairul Asyraf Mohd Nathir

ADAKAH kecantikan wanita merupakan fitnah kepada lelaki?

Kecantikan merupakan lumrah bagi seorang wanita. Disebabkan kecantikan juga seseorang lelaki tertarik kepada wanita untuk menjadikannya isteri. Allah SWT berfirman maksudnya: “Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia suka kepada perkara-perkara yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan.” (Surah Ali-Imran ayat 14)

Allah SWT mencipta setiap makhluk itu secara berpasang-pasangan seperti lelaki dan wanita, siang dan malam, langit dan bumi dan sebagainya. Akan tetapi, Allah SWT telah memilih manusia sebagai makhluk yang paling sempurna kerana dikurniakan akal fikiran. Kerana kecantikan juga timbulnya pelbagai fitnah daripada wanita sehingga menyebabkan jatuhnya martabat wanita dalam kehidupan manusia. Fitnah wanita adalah fitnah yang paling besar kerana pada dirinya semua fitnah seperti suaranya, rupa parasnya, pergerakannya dan sebagainya.

Baginda Nabi SAW bersabda: “Tidak aku tinggalkan selepas daripadaku yang lebih berbahaya ke atas kaum lelaki daripada wanita.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Mengapakah wanita boleh terjatuh ke dalam fitnah ini?

Kehidupan manusia akhir zaman, khususnya wanita semakin lama semakin berubah sehingga mengenepikan syariat agama yang ditetapkan, bahkan lebih mengutamakan fesyen dan kecantikan yang ternyata telah keluar daripada adab dan tatasusila yang diterapkan oleh Islam.

Ramai wanita di luar sana mengenakan pakaian yang tidak menutup aurat sehingga menampakkan perhiasan, rambut dan bahagian yang sepatutnya ditutup. Perkara ini telah mula berkembang dengan pantas apabila portal pembelian dalam talian mengeluarkan pelbagai jenis fesyen terkini yang tampak jelas mutakhir ini.

Situasi ini dinyatakan oleh Baginda SAW tentang perilaku wanita akhir zaman apabila melibatkan pemakaian mereka. Nabi SAW bersabda maksudnya:  “Pada umatku yang akan datang ini, akan ada orang-orang lelaki yang naik pelana kuda yang menyerupai pelana unta, lalu turun di pintu-pintu masjid. Wanita-wanita mereka berpakaian tetapi telanjang, rambut kepala mereka bagaikan bonggol unta yang tinggi. Laknatlah mereka kerana mereka ialah wanita-wanita terlaknat. Kalau di belakangmu (sesudahmu) nanti masih ada umat-umat lain, nescaya wanita-wanita kamu akan melayani wanita-wanita mereka sebagaimana dahulu kamu dilayani oleh wanita-wanita bangsa-bangsa sebelum kamu.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Hadis ini jelas menunjukkan bagaimana keadaan wanita akhir zaman berpakaian sehingga setiap jenis fesyen yang dikenakakan pasti akan menarik mata (lelaki) untuk melihatnya. Perkara ini dilihat menjadi tren terkini khususnya wanita yang bekerjaya apabila sanggup berbelanja sakan demi dilihat bergaya dan cantik di tempat kerja masing-masing. Jika fesyen yang dikenakan mengikut syariat Islam, maka tiada apa yang ingin digusarkan. Islam tidak melarang umatnya untuk dilihat cantik, namun apabila melampaui batas, perkara ini ditegah oleh Nabi SAW.

Apakah yang dimaksudkan dengan wanita berpakaian tetapi terlanjang?

Dr Yusuf al-Qardhawi dalam kitab al-halal wa al-haram fi al-Islam menjelaskan, wanita yang berpakaian tetapi telanjang sebagaimana sabda Nabi SAW merujuk kepada pakaian yang dipakai wanita tidak berfungsi sebagai benteng bagi menutup keseluruhan aurat mereka. Antara ciri-ciri pakaian tersebut ialah; nipis, ketat, singkat, menampakkan bahagian utama badan wanita dan lain-lain.

Ada pula pandangan yang mengatakan mereka yang mengenakan pakaian tetapi telanjang bermaksud tudung yang dipakai hanya dililit pada leher sahaja dan pakaian yang dikenakan ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh wanita tersebut. Disebabkan kelakuan tersebut, golongan wanita ini akan mendapat seksaan di akhirat kelak.

Nabi SAW menjelaskan beberapa sifat wanita antaranya berpakaian tetapi telanjang, berlenggang-lenggok dan rambut umpama bonggol unta. Kenyataan Baginda Nabi SAW ini menggambarkan situasi yang sedang berlaku hari ini, seakan-akan Baginda dapat melihat apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Pada hari ini, banyak tempat yang digunakan untuk menghias dan melakukan fesyen pada rambut dengan pelbagai gaya dan bentuk. Ada sesetengah salun kecantikan yang bercampur antara lelaki dan wanita. Walaupun terdapat sekatan atau halangan yang dibuat, namun bagi pekerja lelaki, mereka masih lagi boleh melihat rambut yang merupakan aurat bagi wanita.

Apakah hukum menyambung rambut?

Tidak sekadar itu, ada wanita yang tidak berpuas hari dengan rambut kurniaan Allah SWT sehingga mereka berusaha untuk menyambung rambut (dinamakan sebagai ‘al-wasl’ dalam bahasa Arab) atau mengenakan rambut palsu bagi dilihat cantik oleh orang ramai khususnya golongan lelaki. Al-wasilah ialah wanita yang menyambung rambut dengan rambut wanita lain agar rambutnya kelihatan panjang dan menyebabkan orang lain menyangka rambut al-wasl (sambungan) tersebut adalah rambut asal. Ia dilakukan oleh wanita yang rambut nipis atau wanita berambut perang yang menyambung rambutnya dengan rambut hitam.

Larangan tersebut berdasarkan hadis daripada Asma’ binti Abi Bakr RA, bahawa seorang wanita datang menemui Rasulullah SAW lalu mengadu kepadanya:  “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku mempunyai seorang anak perempuan yang baru nikah. Dia terkena penyakit cacar sehingga menyebabkan rambutnya keguguran. Bolehkah aku menyambung rambutnya (dengan rambut palsu)? Lalu Baginda SAW bersabda maksudnya: “Allah melaknat al-washilah (orang yang menyambung rambut) dan al-mustaushilah (orang yang minta disambungkan rambutnya).” (Hadis Riwayat Muslim)

Dalam hadis lain, yang diriwayatkan oleh Aisyah RA, seorang gadis Ansar baru berkahwin. Dia telah jatuh sakit menyebabkan rambutnya banyak yang gugur. Keluarganya hendak menyambung rambut tersebut (dengan rambut palsu). Mereka kemudian bertanya kepada Nabi SAW lalu Baginda bersabda maksudnya: “Allah melaknat orang yang menyambung rambut dan yang minta disambungkan rambutnya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Imam al-Nawawi berkata, hadis ini secara tegas menunjukkan haramnya menyambung rambut, dan laknat untuk wanita yang menyambung rambut atau pemakai yang disambungkan rambutnya secara mutlak.

Apakah fitnah wanita ini menggambarkan wanita tiada kemuliaan dan martabat?

Fitnah wanita ini tidak menggambarkan wanita ini tiada kemuliaan atau sangat teruk sehingga menyebabkan lelaki terpesona dan terjatuh ke dalam fitnah wanita. Bahkan Islam sangat memuliakan dan meninggikan kedudukan wanita. Baginda Nabi SAW bersabda maksudnya: “Dunia adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah.”‏ (Hadis Riwayat Muslim)

Imam al-Qurtubi menjelaskan maksud wanita solehah ini adalah wanita yang menggembirakan suami apabila dilihat, apabila diberi arahan dia taat dan apabila ketiadaan suaminya dia memelihara (kehormatan suaminya) pada dirinya dan hartanya.

Nabi SAW bersabda maksudnya: “Hendakkah kamu aku beritahu tentang sebaik-baik harta seorang lelaki adalah wanita yang solehah. Apabila dia melihat kepadanya, dia akan menggembirakan, apabila dia memberi arahan kepadanya wanita itu taat dan apabila dia tidak berada di sisinya, wanita itu menjaga maruah dirinya.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Justeru, fitnah wanita ini adalah gambaran daripada Baginda Nabi SAW kepada manusia akhir zaman yang melihat kepada wanita dengan pandangan yang sangsi dan merosakkan. Dalam masa sama, gambaran ini merujuk kepada wanita yang tidak mempedulikan maruah diri sehingga menyebabkan terjatuhnya lelaki ke dalam fitnah wanita apabila memandangnya.

Bagaimanapun, sebaik-baik wanita ialah yang bertakwa dan menjaga maruah diri daripada terjatuh ke dalam jurang fitnah yang membinasakan.

Penginapan untuk Daurah Ramadhan di Pondok Pasir Tumboh


السلام عليكم

Makluman bahawa Daurah Ramadhan Pondok Pasir Tumboh akan berjalan seperti biasa mulai 2 – 25 Ramadhan 1443H bersamaan 4-27/4/2022M dari Jam 9 pagi hingga 3.30 petang Sabtu hingga Khamis in sya Allah

Daurah ini berlangsung secara bersemuka samada menetap di pondok atau ulang alik…

Kami juga akan menyiarkan secara LIVE FB di page rasmi Pondok Pasir Tumboh

Yuran bagi ulang alik RM5 tidak termasuk harga kitab

Yuran yang menetap bagi peserta bujang lelaki atau perempuan RM50 tidak termasuk kitab dan makan minum…cuma biasanya jamuan berbuka puasa disediakan di masjid tiap hari

Manakala bagi peserta dewasa atau berkeluarga boleh sewa bilik tumpangan madrasah albakrian inn atau sewa rumah berhampiran

antara no telefon pemilik rumah sewa ialah

Us Syuib 0129975513

Kak Zah 01160772830

Cikgu Din 0199377676

Pengajian Kitab Umum di Pondok Pasir Tumboh Sempena Ramadhan 1443H

Persiapan sambut bulan agung

Prof Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

RAMADAN akan menjelang kembali dan umat Islam di seluruh pelosok dunia sudah pasti akan menyambutnya dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan. Tidak kurang pula, ada sebahagian umat Islam yang mengeluh dan merungut kehadiran Ramadan yang menuntut setiap Muslim melaksanakan kewajipan berpuasa padanya yang dianggapnya sebagai satu beban baginya. Begitulah pelbagai ragam dan situasi yang mewarnai pentas kehidupan umat Islam sempena kedatangan Ramadan yang penuh berkat.

Hadirnya Ramadan begitu bermakna dalam kehidupan Muslim yang bertakwa kepada Allah. Ini kerana Ramadan yang bakal menjelang menjanjikan berbagai-bagai aneka keistimewaan dan ganjaran berlipatganda yang disediakan Allah kepada Muslim yang benar-benar bertakwa kepada-Nya.

Ramadan menuntut setiap Muslim agar merenung dan bermuhasabah diri berkenaan persediaan dan amalan yang sepatutnya dilakukan sebelum, semasa dan selepas Ramadan.

Muhasabah terhadap persediaan ini amat penting kerana Ramadan hanya datang sekali setahun, tambahan pula apakah setiap Muslim menyakini bahawa dia akan terus bernyawa pada Ramadan yang akan datang. Biarlah pada Ramadan kali ini, seseorang Muslim dapat melaksanakan yang terbaik daripada koleksi amal soleh yang dianjurkan sepanjang Ramadan yang mulia ini sebelum ditakdirkan bertemu menghadap Allah pada bila-bila masa sahaja.

Di samping itu, seorang Muslim yang bijaksana di sisi Allah adalah seorang yang akan memanfaatkan segala kelebihan dan keistimewaan yang terhimpun sepanjang Ramadan dengan berpuasa pada siang harinya dan beribadat sunat pada malam harinya.

Persediaan pertama yang wajib dilakukan oleh setiap Muslim ialah persediaan jasmani dan rohani. Ini kerana amalan ibadat sepanjang Ramadan yang berkaitan dengan amalan zahir dan batin melibatkan penyertaan jasmani dan rohani setiap Muslim.

Oleh sebab itulah kita melihat Rasulullah SAW membuat persediaan menyambut Ramadan dengan berpuasa sunat pada bulan Rejab dan Syaaban.  Bulan Rejab adalah permulaan bulan-bulan yang mulia dan bagi orang-orang Mukmin yang bertakwa, mereka tidak akan melepaskan peluang memanfaatkan kelebihan Rejab dan Syaaban untuk melipatgandakan amalan soleh lebih-lebih ibadat puasa sunat sebagai satu persedian menghadapi penghulu segala bulan iaitu bulan Ramadan.

Maka tidak hairanlah Rasulullah SAW kerapkali berdoa setiap kali datangnya bulan Rejab yang bermaksud: “Ya Allah! Berkatilah kami dalam bulan Rejab dan Syaaban ini, dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadan.”

Begitulah persiapan orang Mukmin yang benar-benar bertakwa dan beristiqamah dalam hidupnya sehingga mereka mempersiapkan diri bukan sahaja dari sudut fizikal, tetapi juga dari sudut rohani. Mereka sudah mula membersihkan diri dan hati mereka sebelum menyambut bulan Ramadan yang agung agar dengan kehadiran bulan Ramadan yang mulia itu, hati mereka sudah bersedia untuk menerima cahaya Allah, rahmat-Nya dan kurnia-Nya yang tidak terhingga.

Seorang ahli hikmat pernah berkata: “Sesungguhnya bulan Rejab adalah bulan untuk memohon ampun daripada segala dosa dan bulan Syaaban pula adalah untuk memperbaiki hati daripada segala kecacatan, dan bulan Ramadan adalah untuk memberi penerangan hati, sedang malam al-Qadar adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah Taala.”

Selain daripada itu, setiap Muslim juga dituntut mengulang kaji segala persoalan yang berkaitan dengan masalah ibadat puasa, baik mengenai rukun, syarat, sunat, makruh, adab-adab, faedah, manfaat, rahsia dan hikmah yang terkandung di dalamnya.

Kesempurnaan ibadat puasa dan penerimaannya di sisi Allah amat bergantung kepada cara-cara perlaksanaan ibadat tersebut sama ada berdasarkan sunah Rasulullah SAW ataupun sebaliknya. Malahan, mengetahui cara melakukan ibadat puasa dengan betul merupakan antara ciri-ciri ketakwaan yang ditegaskan Allah sebagai objektif utama pensyariatan ibadat puasa kepada umat Islam. 

Semasa menjalani ibadat puasa, setiap Muslim diwajibkan berusaha mengekang diri daripada segala kecenderungan negatif yang boleh mencacatkan kesempurnaan fadilat puasa. Ini kerana matlamat utama puasa ialah menahan diri daripada segala runtunan hawa nafsu duniawi baik yang kecil mahu pun yang besar, sama ada yang berkaitan dengan nikmat jasmani seperti makan, minum dan seks ataupun penyakit rohani seperti mengumpat, dengki, sombong dan seumpamanya.

Seiringan dengan itu, setiap Muslim seharusnya memperbanyakkan amalan soleh pada malam harinya dengan amalan-amalan sunat seperti solat Tarawih, solat Witir, solat Tahajud, tadarus al-Quran, iktikaf dan sebagainya. Ketika pada waktu siangnya, kegiatan seorang Muslim hanya tertumpu pada melaksanakan ibadah wajib iaitu puasa, maka pada malam harinya pula dia mengumpul segala kekuatan yang sedia ada untuk melaksanakan ibadat-ibadat sunat yang dianjurkan Islam.

Bukankah Allah telah menjanjikan pahala satu amalan wajib di bulan Ramadan menyamai 70 amalan wajib pada bulan yang lain dan satu amalan sunat pula menyamai satu amalan wajib pada bulan lain. Sepatutnya ‘tawaran istimewa’ yang Allah sediakan pada bulan Ramadan ini menjadi suatu perangsang bagi Muslim yang bertakwa untuk merebut ganjaran berlipatganda tersebut yang tidak terdapat pada bulan-bulan lain.

Seterusnya, di samping berpuasa pada siang harinya dan beribadat sunat pada malam harinya, seorang Muslim yang sejati akan tetap melaksanakan aktiviti sehariannya seperti biasa tanpa sebarang keuzuran atau pengecualian. Ibadat puasa tidak sepatutnya menjadi penghalang bagi seseorang Muslim untuk melakukan kerja sehariannya ikhlas kerana Allah.

Perlu ditegaskan sebarang aktiviti dan kerja seharian jika diniatkan ikhlas kerana Allah akan bernilai menjadi satu ibadat. Sedangkan semua amalan ibadat akan diberikan Allah ganjaran sehingga ratusan kali ganda. Untuk itu, mengapa perlu disia-siakan detik berharga yang menghiasi sepanjang Ramadan sehingga diisi dengan tidur dan bermalasan sepanjang hari. Alangkah ruginya manusia yang tidak memanfaatkan kelebihan dan keistimewaan yang Allah hamparkan sepanjang Ramadan ini. 

Oleh sebab itulah, Rasulullah SAW menganjurkan umatnya agar menyambut Ramadan dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan di samping persediaan yang sewajarnya supaya Ramadan yang bakal mendatang menjanjikan keberkatan, kerahmatan dan keredaan Ilahi juga. Perumpamaan Ramadan samalah seperti kedatangan seorang tetamu besar yang datang bersama buah tangan atau hadiah khas kepada tuan rumah. ‘Keberkatan’ buah tangan atau hadiah tersebut sudah tentunya hanya diberikan kepada tuan rumah yang menyambut kedatangannya dengan baik dan penuh ceria, bukannya dengan ala kadar sahaja. Begitulah juga Ramadan dengan pelbagai aneka keberkatan, kerahmatan dan keistimewaannya hanya dikurniakan kepada setiap Muslim bertakwa yang menyambutnya dengan penuh kesyukuran dan pengisian amalan soleh pada siang dan malamnya demi meraih keredaan Ilahi dan kenikmatan syurga di akhirat kelak.

Peganglah akidah yang benar

Mohd Shahrizal Nasir

Setiap Muslim mengharapkan ganjaran paling istimewa yang dijanjikan oleh Allah SWT di akhirat nanti. Tidak ada ganjaran yang lebih istimewa selain daripada mendapat keredaan Allah SWT serta dimasukkan ke dalam syurga-Nya. Sesungguhnya orang beriman pasti akan ditempatkan dalam syurga-Nya. Mereka dialu-alukan oleh Allah SWT untuk masuk ke dalam syurga yang penuh dengan kenikmatan dan kebahagiaan.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran bermaksud: “Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredai (di sisi Tuhanmu). Serta masuklah engkau dalam kumpulan para hamba-Ku yang berbahagia. Dan masuklah ke dalam syurga-Ku.” (Surah al-Fajr, ayat 27-30)

Pada ketika ini, tiada sesiapa pun yang dapat melihat syurga. Semuanya dalam pengetahuan Allah SWT namun gambaran syurga termaktub dalam al-Quran. Penjelasan tentang gambaran syurga bertujuan memotivasikan manusia agar terus mencari keredaan Allah SWT. Bacalah al-Quran dengan turut memahami maksud ayat-ayat berkaitan keindahan syurga yang disediakan oleh Allah SWT untuk hamba-Nya yang beriman.

Di dalam al-Quran, Allah SWT menjelaskan perihal syurga-Nya menerusi firman yang bermaksud: “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amalan yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan untuk orang yang bertakwa.” (Surah Ali Imran, ayat 133)

Imam al-Qurtubi menjelaskan ayat ini dalam kitab tafsir Al-Jami’ li Ahkam al-Quran: “Para ulama menjelaskan bahawa syurga telah tercipta dan telah ada sekarang. Berdasarkan firman Allah SWT: “…yang disediakan untuk orang yang bertakwa”. Dan keyakinan seperti ini, telah ada keterangan secara jelas dalam hadis yang menceritakan tentang Isra’. Baik yang terdapat dalam  Sahihayn  (Sahih al-Bukhari dan Shahih Muslim) mahupun kitab hadis lainnya.”

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya syurga terdiri daripada seratus tingkat, jarak antara dua tingkatnya seperti jarak antara langit dan bumi, Allah menyediakannya untuk orang yang berjihad pada jalan-Nya.” (Muttafaq ‘alaih)

Dalam surah ar-Rahman, Allah SWT menyatakan keadaan syurga dengan cukup jelas dengan firman-Nya bermaksud: “Pada kedua-dua syurga itu terdapat dua mata air yang mengalir.” (Surah ar-Rahman, ayat 50). Kemudian Allah SWT berfirman lagi yang maksudnya: “Pada kedua syurga itu terdapat dua macam daripada tiap-tiap jenis buah-buahan (yang biasa dan yang luar biasa).” (Surah ar-Rahman, ayat 52)  

Allah SWT berfirman pada ayat seterusnya bermaksud: “Mereka (ahli syurga bersenang-senang di tempat masing-masing dalam syurga itu dengan) berbaring di atas hamparan-hamparan, yang lapisan-lapisan sebelah dalamnya daripada sutera tebal yang bersulam, dan buah-buahan kedua-dua syurga itu dekat (kepada mereka) untuk dipetik.” (Surah ar-Rahman, ayat 54)

Pada surah ar-Rahman ayat 56 pula, Allah SWT menjelaskan tentang bidadari syurga: “Di dalam syurga-syurga itu terdapat para bidadari yang pandangannya tertumpu (kepada mereka semata-mata), yang tidak pernah disentuh sebelum mereka oleh manusia dan jin.” 

Rasulullah SAW juga ada menjelaskan tentang syurga dengan sabdanya bermaksud: “Sesungguhnya roh orang Mukmin itu adalah burung yang bergantung pada pohon syurga. Hingga Allah mengembalikan roh itu ke badannya pada hari kiamat nanti.” (Hadis riwayat Ahmad)

Keindahan syurga dengan segala kenikmatan di dalamnya memberi petunjuk betapa beruntungnya orang yang menjadi penghuni syurga. Peluang untuk mendiami syurga adalah nikmat yang terbesar kurniaan Allah SWT kepada para hamba-Nya yang taat. Namun ada golongan yang mendapat keistimewaan lebih besar apabila dirinya diberi peluang untuk memasuki syurga menerusi mana-mana pintu syurga.

Golongan ini pastinya telah melakukan amalan yang istimewa sehingga memperoleh keredaan yang tinggi daripada Allah SWT. Peluang untuk memasuki syurga daripada mana-mana pintunya membuktikan betapa luasnya keredaan Allah SWT kepada golongan tersebut. Antara golongan yang mendapat keistimewaan tersebut ialah mereka yang berpegang kepada akidah yang benar. 

Rasulullah SAW menjelaskan keistimewaan golongan yang berakidah dengan akidah benar menerusi sabdanya bermaksud: “Barang siapa mengucapkan ‘Aku bersaksi bahawa tidak ada yang berhak disembah selain Allah, tidak ada sekutu bagi-Nya dan bahwa Muhammad adalah hamba dan Rasul-Nya. Serta Isa adalah hamba Allah dan anak salah seorang hamba-Nya. Kalimah-Nya disampaikan kepada Maryam dan rohnya adalah ciptaan Allah. (Dia juga bersaksi) bahawa syurga adalah benar, neraka juga adalah benar’; nescaya Allah akan memasukkannya ke dalam syurga dari mana-mana lapan pintunya yang Dia kehendaki.” (Hadis riwayat Muslim)

Selain itu, golongan yang mendapat keistimewaan masuk ke dalam syurga daripada mana-mana pintunya ialah mereka yang mentaati pemerintah daripada kalangan Muslim. Ketaatan kepada pemerintah melibatkan perkara-perkara baik yang selari dengan ketetapan Allah dan Rasul-Nya. Kewajipan melaksanakan tuntutan-tuntutan lain seperti solat dan zakat turut perlu dijadikan keutamaan bagi orang yang ingin termasuk dalam kalangan golongan ini.

Rasulullah SAW menjelaskan perincian golongan tersebut dalam sabdanya: “Barang siapa menyembah Allah dan tidak mempersekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun, mendirikan solat, menunaikan zakat, mendengar dan taat (kepada pemerintah); nescaya Allah akan memasukkannya menerusi pintu syurga manapun yang dia kehendaki.” (Hadis riwayat Ahmad)

Satu lagi golongan yang mendapat keistimewaan masuk ke syurga menerusi mana-mana pintu yang menjadi pilihannya ialah isteri yang mentaati suaminya. Ketaatan kepada suami juga melibatkan perkara-perkara yang diizinkan syarak. Selain itu, pelaksanaan ibadah solat dan puasa serta ibadah-ibadah fardu yang lain mesti menjadi keutamaan dalam kehidupan golongan ini. 

Hadis Rasulullah SAW yang menjelaskan hal ini bermaksud: “Jika seorang wanita menunaikan solat lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadan, menjaga kehormatannya dan mentaati suaminya; nescaya akan dikatakan kepadanya: ‘Masuklah ke dalam syurga dari mana-mana pintu yang kamu mahu.” (Hadis riwayat Ahmad)

Begitulah kehebatan Allah SWT dalam mencipta syurga dengan segala kenikmatan yang tiada tandingan untuk hamba-Nya yang taat. Kesemua gambaran syurga dalam al-Quran dan hadis perlu dihayati agar ia dapat memotivasikan diri untuk terus menggandakan amal ibadah. Berusahalah untuk menjadi hamba-Nya yang dapat masuk ke dalam syurga dari mana-mana pintunya yang memperlihatkan kedudukan istimewa mereka yang memperoleh keredaan-Nya.

Rasulullah s.a.w tunjukkan ibadat mampu buat

Mohd Shahrizal Nasir

Islam adalah agama yang tuntutan amalan terhadap umatnya sangat mudah dan praktikal. Kemudahan diberikan oleh Islam kepada umatnya membuktikan Allah SWT tidak memerlukan ibadah hamba-Nya, sebaliknya hamba-Nya yang memerlukan rahmat dan kasih sayang daripada-Nya. Justeru, pelaksanaan ibadah adalah salah satu peluang untuk setiap Muslim meraih rahmat daripada-Nya.

Rasulullah SAW menyatakan dengan jelas tentang Islam dan ajarannya yang mudah untuk dilaksanakan oleh setiap orang. Tidak ada satu pun ibadat dalam Islam yang menyeksa diri sesiapa juga yang melaksanakannya. Malah Rasulullah SAW memberi peringatan keras terhadap mana-mana pihak yang berusaha menyusahkan pelaksanaan ibadah yang disyariatkan Islam.

“Sesungguhnya agama (Islam) itu mudah. Tidaklah seseorang mempersulit (berlebih-lebihan) dalam agamanya kecuali akan dikalahkan (tidak dapat melaksanakannya dengan sempurna). Oleh itu, berlaku luruslah, sederhana (tidak melampaui batas) dan bergembiralah (kerana memperoleh pahala) serta memohon pertolongan (kepada Allah) dengan ibadah pada waktu pagi, petang dan sebahagian malam.” Hadis Riwayat al-Bukhari

Lihatlah ibadah paling utama dalam Islam iaitu solat fardu lima waktu. Meskipun perintah asal yang diberikan oleh Allah SWT adalah sebanyak 50 waktu sehari semalam, namun dengan kasih sayang-Nya jua solat fardu ditetapkan hanya lima waktu dengan rakaat yang paling banyak hanya empat.

Bagi orang yang dalam musafir, kesakitan atau berdepan sebarang kesukaran tatkala ingin solat, Islam menyediakan ruang rukhsah atau keringanan bagi golongan berkenaan dengan adanya pensyariatan qasar dan jamak. Tidak ada lagi alasan untuk mereka yang sengaja menolak kewajipan ditetapkan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya dalam bab solat. Solatlah di mana sahaja asalkan tempat itu bersih dan sememangnya bumi Allah SWT bersih.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Aku (Rasulullah) diberikan lima kemuliaan yang tidak diberikan kepada sesiapa pun sebelum aku… (antaranya) dijadikan kepada aku bumi sebagai tempat sujud dan tanahnya untuk bersuci. Oleh itu, di mana sahaja seseorang itu mendapati waktu solat, hendaklah dia mendirikan solat.” Hadis Riwayat al-Bukhari

Solat sunat yang dilakukan oleh Rasulullah SAW pada waktu malam bilangannya bukanlah ratusan rakaat. Baginda memahami kemampuan umatnya dalam melaksanakan ketaatan kepada Allah SWT.

“Adapun Nabi SAW solat pada waktu malam 13 rakaat termasuk witir dan baginda juga solat sunat dua rakaat fajar.” Hadis Riwayat Muslim

Allah SWT menjelaskan perihal ibadat pada waktu malam melibatkan sebahagian daripadanya, bukan sepanjang malam. Begitulah kebesaran Allah SWT yang memiliki sifat ar-Rahman dan ar-Rahim terhadap sekalian hamba-Nya. Allah SWT berfirman dalam al-Quran maksudnya: “Bangunlah solat tahajud pada waktu malam, selain daripada sedikit masa (untuk berehat).” Surah al-Muzzammil ayat 2

Dalam ibadat puasa wajib pula, Allah SWT hanya menitahkan dilakukan pada Ramadan. Itu pun tidaklah setiap Muslim diperintah untuk menahan diri daripada makan dan minum sepanjang hari, sebaliknya hanya sebahagian daripada seharian iaitu daripada masuknya waktu solat Subuh sehingga terbenam matahari dengan masuknya waktu solat Maghrib.

Tidak ada kebaikan diterima bagi orang berpuasa yang sengaja melengah-lengahkan waktu berbuka. Pelaksanaan ibadah mesti mengikut tatacara yang ditunjukkan oleh Rasulullah, bukan atas pertimbangan akal sendiri. Jika mengikut logik akal, semakin lama beribadah maka semakin banyaklah pahala yang diperoleh. Namun hal ini tidak sebegitu apabila berkait dengan waktu berbuka puasa. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Manusia sentiasa dalam kebaikan selama mereka menyegerakan berbuka puasa.” Hadis Riwayat Ibn Majah

Meskipun haji adalah ibadah yang memerlukan kos yang tinggi, namun secara jelas kewajipannya diberikan ke atas orang yang berkemampuan. Allah SWT menjelaskan hal ini menerusi firman-Nya dalam al-Quran yang bermaksud: “…dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya…” Surah Ali Imran ayat 97

Hayatilah perintah Allah SWT tentang membaca ayat al-Quran yang mudah dalam solat. Ini semestinya memberi ruang kepada semua orang untuk melaksanakan ibadah dengan tenang mengikut kemampuan masing-masing. Selagi ibadah dilakukan mengikut tatacara yang ditunjukkan oleh Rasulullah, pasti ia akan diterima oleh Allah SWT. Firman Allah bermaksud: “… Maka bacalah mana-mana yang sudah kamu dapat membacanya daripada al-Quran…” Surah al-Muzzammil ayat 20

Begitu juga dengan amalan zikir mengingati Allah. Sememangnya dengan mengingati Allah, hati manusia akan menjadi tenang tenteram. Rasulullah SAW banyak mengajar umatnya tentang zikir terbaik yang boleh dibaca pada bila-bila masa. Ada pula untaian zikir yang dibaca oleh Rasulullah SAW pada waktu pagi dan petang dengan bilangan tertentu. Zikir ini bukannya sedikit jenisnya, ia terlalu banyak pilihan dan semuanya tidak ada yang panjang berjela-jela. Baginda dengan jelas menyatakan tentang zikir kepada Allah SWT yang sebutannya ringan untuk lisan, namun pahalanya dinilai dengan timbangan yang berat di akhirat nanti. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Ada dua kalimat zikir yang ringan diucapkan di lidah, tetapi berat pahalanya pada timbangan amal kebaikan dan sangat dicintai oleh ar-Rahman (Allah) iaitu Subhanallahi wa bihamdihi (Maha Muci Allah dengan memuji-Mya), Subhanallahil ‘Azim (Maha Suci Allah Yang Maha Agung).” Muttafaq alaihi

Setiap ajaran yang ditunjukkan oleh Rasulullah semuanya mampu diikuti oleh umatnya. Bukankah baginda diutuskan oleh Allah SWT untuk menjadi contoh ikutan paling utama? Maka usah menokok atau mengurangkan ajaran yang ditunjukkan baginda kerana sesungguhnya dialah yang membawa petunjuk daripada Allah.

“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.'” Surah Ali Imran ayat 31

Petunjuk yang dibawa oleh Rasulullah SAW semestinya paling tepat dan terbaik untuk diutamakan melebihi yang selainnya. Apa lagi yang perlu dirisaukan mengenai amalan yang ditunjukkan oleh baginda sehingga ada yang lebih memilih untuk mendahulukan amalan berpunca daripada selain Rasulullah SAW. Meskipun asasnya baik, utamakanlah perkara ditunjukkan oleh baginda.

Segala yang diajar oleh Rasulullah SAW sudah cukup malah pada tahap paling baik untuk diamalkan. Semua orang mengaku mencintai Rasulullah SAW, maka ayuhlah jadikan ajaran baginda sebagai amalan. Sesungguhnya setiap yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada umatnya bertepatan dengan kehendak Allah SWT sepertimana firman-Nya bermaksud: “… Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran…” Surah al-Baqarah ayat 185

Elak hujah metode pendalilan sempit

Dr Mohd Khafidz Soroni

Umat Islam banyak dirugikan dengan perselisihan faham akibat sikap tidak berlapang dada dalam masalah furuk. Akhirnya krisis metode pendalilan masih berterusan berlaku walaupun dalam kalangan mereka yang dikatakan golongan cerdik pandai.

Misalnya di Malaysia, ulama tempatan yang sudah sekian lama mengikut mazhab Syafie serta mempraktikkan kaedah dan usul fiqah ulama Syafie, maka sudah tentu metode pendalilan mereka adalah menurut kerangka terbabit. Ia adalah satu amanah besar ilmu yang wajar dijaga dan dihormati.

Justeru, jika ada mazhab luar yang datang bertamu, maka ia perlu meraikan mazhab tempatan yang sudah sedia diiktiraf dan diamalkan oleh ulamanya. Jika ini tidak dihiraukan, maka pasti akan berlaku perbenturan antara metode pendalilan yang diguna pakai oleh kedua-dua pihak.

Lebih malang lagi, jika mazhab tamu itu sedia bermasalah dan suka menimbulkan masalah.

Golongan Wahhabiyyah antara yang banyak menyumbang kepada krisis ini apabila mereka membawa metode pendalilan yang agak sempit dan jumud. Dalam hadis misalnya, sesetengah mereka lebih tertumpu kepada dalil hadis fi’li (perbuatan Nabi SAW) sahaja. Maka, jika didatangkan dalil hadis qawli (perkataan Nabi SAW) atau hadis taqriri (perakuan Nabi SAW) sekali pun, mereka tidak akan menerimanya kerana kononnya tidak jelas ia dibuat oleh Nabi SAW.

Jelasnya, mereka mahu dalil amali yang benar-benar spesifik. Walaupun mereka selalunya lupa bahawa tiada juga dalil melarang yang berbentuk spesifik.

Jika demikian metode pendalilan hadis mereka, maka bagaimana mereka mampu untuk menghadapi metode pendalilan dengan al-Quran, ijmak, qiyas dan sebagainya. Misalnya, dalam isu zikir ‘Hu’ yang sudah dikemukakan banyak dalil daripada ayat al-Quran. Namun, dalil al-Quran ini bagi golongan yang mempunyai metode pendalilan sempit, mudah sahaja ditolak mentah-mentah. Seolah-olah Nabi SAW yang berulang kali mengkhatamkan al-Quran tidak pernah melafazkan kalimah ‘Hu’ ketika membacanya.

Ulama sufi yang mengharuskan zikir ‘Hu’ turut mengambil istinbat daripada hadis Asma’ binti Yazid RA katanya: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Nama Allah yang paling agung terdapat pada dua ayat ini: Wa ilahukum ilahun wahid, La ilaha illa Huw ar-Rahman ur-Rahim, “Dan Tuhan kamu ialah Tuhan yang Maha Esa; tiada Tuhan – yang berhak disembah – melainkan Dia, yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani” (al-Baqarah: 163) dan ayat permulaan Al ‘Imran: Alif laam miim. Allahu la ilaha illa Huw al-Hayy ul-Qayyum, “Alif laam miim. Allah, tidak ada Tuhan – yang berhak disembah – melainkan Dia, yang Maha Hidup lagi Maha kekal mentadbir makhluk-Nya” (Al ‘Imran: 1-2).” (Riwayat Abu Dawud, at-Tirmizi, katanya: Hasan sahih, dan Ibn Majah)

Dalam hadis ini, Nabi SAW menyatakan bahawa al-ismu al-a’zam (nama Allah yang teragung) terkandung dalam kedua-dua ayat berkenaan tanpa baginda menentukannya secara tepat. Maka, ini adalah satu bentuk keizinan yang terbuka kepada ijtihad; apakah al-ismu al-a’zam itu? Jika diamati, terdapat dalam kedua-dua ayat berkenaan lafaz ‘Hu’. Maka, besar kemungkinan lafaz ‘Hu’ adalah al-ismu al-a’zam itu. Ini juga adalah hujah bagi ulama sufi berkenaan keharusan berzikir dengan lafaz ‘Hu’. (Lihat: al-Madkhal ila al-Tasawwuf al-Islami oleh Prof Dr ‘Ali Jumu’ah, halaman 66)

Memang tidak dinafikan terdapat pelbagai ijtihad ulama mengenai hakikat al-ismu al-a’zam. al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari menyebutkan 14 pendapat ulama. al-Hafiz as-Suyuti dalam ad-Dur an-Munazzam fi Ta’yin al-Ismu al-A’zam menambah sehingga 20 pendapat. Dr Hasan al-Fatih Qaribullah dalam al-Ismu al-A’zam lil-Mawla menyebut sebanyak 38 pendapat. Manakala al-‘Allamah as-Syawkani dalam Tuhfah az-Zakirin pula menyebutkan 40 pendapat. Yang terakhir, Maulana Muhammad Musa ar-Ruhani al-Bazi dalam al-Kanz al-a’zam fi Ta’yin al-Ism al-a’zam menyebut sebanyak 63 pendapat. Ini adalah jumlah yang paling banyak pernah dikumpulkan.

Hakikat al-ismu al-a’zam ini adalah satu daripada tiga perkara yang Allah SWT sembunyikan daripada hamba-Nya, selain penentuan malam Lailatul Qadar dan saat mustajab pada hari Jumaat. Antara keistimewaan al-ismu al-a’zam ialah sebarang permohonan doa melaluinya akan menjadi mustajab dan dikabulkan oleh Allah SWT sebagaimana sabda Nabi SAW: “Apabila Dia diminta dengannya pasti Dia akan berikan dan apabila Dia dipohon doa dengannya pasti Dia akan kabulkan”. (Riwayat Abu Dawud, an-Nasa’i, at-Tirmizi, Ibn Majah, Ibn Hibban dan al-Hakim, katanya: Sahih)

Ringkasnya, orang yang meraikan metode pendalilan pelbagai mazhab yang muktabar tidak akan sombong mengkritik seperti berkata: ‘Jangan berzikir Hu, Hu yang entah dari mana datangnya.’

Daurah Kitab Arab Di Pondok Pasir Tumboh Ramadhan ini

Sya’aban bulan persiapan sebelum Ramadan

Fadly Samsudin

Orang soleh pada zaman dahulu, beberapa bulan sebelum mema-suki Ramadan mereka sudah mula berdoa.

Antara doa yang masy-hur dibaca adalah: “Alla-humma Sallimni Li Rama-dan, Wasallim Ramadaa-nali Watasallamhu Minni Mutaqabbla.”

Bermaksud: “Ya Allah, sampaikan aku ke bulan Ramadan dan serahkan waktu bulan Ramadan un-tuk aku penuhi dengan ibadat. Apabila habis Ra-madan, aku harap Engkau terima segala ibadat yang kami lakukan.”

Mungkin ada yang be-rasa masih terlalu awal un-tuk melakukan persiapan menyambut Ramadan.

Ramadan sebenarnya memerlukan persiapan ra-pi. Ia penting bagi memas-tikan kualiti yang bakal di-cipta pada Ramadan nanti berada pada prestasi ter-baik.

Kita mungkin mema-sang impian tinggi untuk meningkatkan amalan se-panjang Ramadan, namun sayangnya persediaan dan latihan tidak dilakukan dengan sempurna.

Bukannya apabila tiba-nya Ramadan baru hendak mula berpuasa, solat ber-jemaah di masjid, mem-baca al-Quran dan melak-sanakan ibadat sunat lain.

Barangkali kali terakhir kita berpuasa adalah pada Ramadan tahun lalu. Sebab itu, umat Islam boleh men-jadikan bulan Syaaban se- bagai medan ‘memanaskan badan’ sebelum tibanya Ra-madan.

Abu Bakar al-Warraq al-Balkhi rahimahullah me-ngatakan: “Rejab adalah bulan untuk menanam. Syaaban pula bulan untuk menyiram tanaman mana-kala Ramadan bulan untuk menuai tanaman.” (Lataif al-Maarif)

Nabi Muhammad SAW memperbanyakkan puasa sunah pada bulan ini se-perti diriwayatkan oleh Aisyah, Nabi SAW tidak berpuasa (sunah) pada suatu bulan yang lebih se-ring daripada bulan Syaa-ban, sesungguhnya Nabi berpuasa pada bulan Syaa-ban seluruhnya.

Cucu angkat Nabi SAW, Usamah bin Zaid mence-ritakan: “Aku bertanya ke-pada Nabi: Ya Rasulullah, aku tidak melihatmu me-ngerjakan puasa di suatu bulan seperti engkau pu-asa pada bulan Syaaban (kerana Nabi sering puasa pada bulan itu).”

Nabi bersabda: “Syaaban adalah bulan yang dilupa-kan manusia antara Rejab dan Ramadan dan pada Syaaban semua amalan dalam setahun diangkat kepada Tuhan semesta alam, maka aku ingin ama-lanku diangkat dalam kea-daan aku berpuasa.” (Ha-dis riwayat Nasa’i)

Ramai orang lupa kepada Syaaban kerana ia berada di celah bulan besar iaitu Rejab dan Ramadan.

Orang lelaki terutama-nya mempunyai tanggung-jawab yang perlu ditunai-kan terhadap ahli keluar-ganya. Pernahkah suami bertanya kepada isteri atau anak-anak sama ada su-dah menggantikan puasa Ramadan tahun lalu?

Sebagaimana yang kita ketahui, sesiapa yang ter-tinggal puasa kerana keu-zuran adalah dimaafkan iaitu termasuk golongan wanita yang didatangi haid, nifas dan musafir.

Bagaimanapun, waktu paling lewat untuk meng-gantikan semula puasa yang ditinggalkan itu ha-nya dapat dilakukan pada bulan Syaaban.

Jika masih belum qada’, bermakna mereka perlu menggantinya selepas Ra-madan dan dikehendaki juga membayar fidyah.

Nabi SAW memberi gala-kan besar kepada umatnya menerusi sabdanya yang bermaksud: “Tidaklah se-seorang hamba yang ber-puasa satu hari pada jalan Allah kecuali Allah akan menjauhkannya dengan puasa itu daripada api ne-raka sejarak 70 tahun per-jalanan. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Mungkin agak susah bagi seseorang menggan-tikan puasa jika berpuasa seorang diri. Dari sudut undang-undang syarak, isteri perlu meminta izin suami sekiranya hendak berpuasa sunat.

Jadi, peluang sepanjang Syaaban ini perlu direbut untuk melangsaikan ‘hu-tang’ puasa dengan menga-jak sekali ahli keluarga lain berpuasa bersama-sama.

Alangkah baiknya isteri dan anak-anak dapat melaksanakan puasa qada’ manakala bapa berpuasa sunat.

Kelebihan Syaaban juga boleh diibaratkan sebagai qabliyah kepada Ramadan kerana itulah waktu ter-baik untuk beribadat. Se-lain itu, laporan amalan kita juga diangkat kepada Allah SWT pada bulan Syaaban.

Oleh kerana itulah Ra-sulullah SAW sangat meng-harapkan laporan amalan-nya dipersembahkan ke-pada Allah SWT ketika Ba-ginda sedang beribadat.

Selain memperbanyak-kan amalan berpuasa su-nat, satu lagi agenda yang perlu dilakukan adalah berbaik-baik sesama insan.

Rasulullah SAW bersab-da berkaitan kelebihan ma-lam Nisfu Syaaban yang bermaksud: “Allah akan muncul (rahmat dan peng-ampunan-Nya) kepada se-luruh makhluk-Nya pada malam Nisfu Syaaban dan mengampunkan seluruh makhluk-Nya kecuali orang yang mensyirikkan Allah dan orang yang sa-ling bermusuhan.” (Ri-wayat al-Tabrani)

Seperkara lagi yang pa-tut diberi perhatian adalah mencari seberapa banyak ilmu berkaitan puasa se- belum tibanya Ramadan.

Itu semua boleh diper-oleh apabila kita sama-sama pergi ke majlis ilmu yang diadakan di masjid dan surau. Pada masa se-karang, setiap masjid ada membuat liputan ceramah secara langsung di media sosial, maka gunakanlah peluang itu untuk menam-bah pengetahuan kerana setiap Muslim perlu sen-tiasa berusaha memper-baiki amalannya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesung-guhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang yang memperbaiki amalannya.” (Surah al-A’raf, ayat 56)

Daurah Kitab Ramadhan 1443H di Pondok Pasir Tumboh

Akademi Ramadhan (DAURAH KITAB) di Pondok Pasir Tumboh Kota Bharu, Kelantan

Terbuka umum untuk muslimin/muslimat tanpa had umur

Tarikh : 2 – 25 Ramadhan 1443H bersamaan 4 -27 April 2022M

Masa : 9 pagi -12 tgh dan 1.45 – 4 ptg

Jadual harian Sabtu – Khamis

Slot 1 jam’i masail as-saum

9-10 pagi

slot 2 dawa’ al-qalb minal aib

slot 3 sullam mubtadi

11 pagi – 12 tgh

slot 4 tanbih mubtadi

1.45 – 2.45 ptg

slot 5 arrisalah aljawiyyah bi futuh al-aqidah at-thohawiyyah

3 – 4 ptg

Yuran : Ulang alik RM5 (sekali bayar sepanjang program)

Harga kitab

Tinggal di asrama pelajar bujang : RM 50 (penginapan dan elektrik)

Dewasa atau keluarga boleh sewa bilik tumpangan madrasah atau rumah sewa sekitar

antara no telefon pemilik rumah sewa ialah

Us Syuib 0129975513

Kak Zah 01160772830

Cikgu Din 0199377676

Makan minum sendiri (Masjid pondok sedia jamuan berbuka setiap petang biasanya). Atau boleh beli di kedai makan berhampiran

pendaftaran atau maklumat lanjut layari albkariah.com atau hubungi Us Shairazi 0199388902 / muslimat sila hubungi

013-9943099(Ustazah Hidayah)