• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,273,611 orang
  • Kandungan Blog

Masa berkejaran berlalu

Dr Khairul Asyraf Mohd Nathir

Masa yang sudah berlalu tidak akan kembali dan masa hadapan belum tentu akan diterokai. Umur kita ini perlu dihargai dan dimanfatkan dengan sebaiknya. Pertukaran masa dari siang ke malam, kemudian silih berganti hari demi hari, tahun demi tahun adalah ukuran jarak perjalanan manusia di atas dunia. Manusia akhir zaman akan merasai kedudukan waktu dan masa yang pantas berlalu sehingga banyak perkara tidak dapat dilaksanakan. 

Allah SWT  berfirman, maksudnya:  “1. Demi Masa! 2. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian; 3. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.” (Surah al-Asr ayat 1-3)

Masa adalah merujuk kepada pelbagai situasi sama ada dalam keadaan senang atau susah, sihat atau sakit, kaya atau miskin, mulia atau hina. Masa juga merujuk kepada tahun, bulan, minggu, hari, jam, minit dan saat.

Dalam sebuah hadis Baginda Nabi SAW bersabda maksudnya:  “Daripada Abi Hurairah RA: Nabi SAW bersabda: “Tidak akan berlakunya kiamat sehingga diangkatnya ilmu (ilmu semakin berkurang), banyaknya gempa bumi, masa pantas berlalu, terzahirnya fitnah, banyaknya al-Harj   iaitu pembunuhan dan   banyak dalam kalangan kamu harta yang melimpah ruah.” (Hadis riwayat al-Bukhari, 1036)

Terdapat beberapa pandangan tentang maksud ‘masa pantas berlalu’ antaranya, kurangnya keberkatan terhadap masa. Jika pada zaman dahulu, sehari dapat digunakan keseluruhannya untuk kebaikan, tetapi sekarang hanya beberapa minit atau saat sahaja.

Ibn Hajar RA  berkata: “Ini telah berlalu pada zaman kita. Kita nampak hari-hari berlalu dengan pantas seperti yang belum pernah kita lihat pada zaman sebelum ini.”

Pandangan lain menyatakan maksud ‘masa pantas berlalu’ merujuk kepada zaman Al-Mahdi dan Isa AS  ketika mana manusia pada saat tersebut merasakan kelazatan hidup, keamanan yang merata dan keadilan yang menyeluruh. Secara umumnya, apabila manusia hidup dalam kesenangan, mereka akan merasa masa yang berlalu sangat pantas walaupun hakikatnya tempoh masa itu lama. Perkara yang sebaliknya juga berlaku sekiranya manusia menghadapi kesukaran dan penderitaan merasakan lama masa untuk berlalu, walhal masa yang ada hanya sebentar.

Syeikh Yusuf al-Wabil menjelaskan juga bahawa ‘masa pantas berlalu’ merujuk kepada keadaan masyarakat pada waktu itu kerana mereka tidak mengambil berat terhadap agama. Situasi ini semakin kritikal apabila tidak ada lagi orang yang menyuruh berbuat kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran. Keadaan ini juga berkait rapat dengan masyarakat yang cetek ilmu agama dan tidak berusaha untuk menuntut ilmu dengan ahli dan pakar. Dengan perkembangan teknologi semasa, masyarakat lebih mudah mengambil dan menggunakan maklumat yang dikongsi dalam media sosial, berbanding menuntut ilmu dengan kaedah yang sebenar. Natijahnya, ramai di luar sana sewenang-wenangnya mengeluarkan ‘fatwa’ masing-masing yang terbukti bukan fakta dan nas yang sahih.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:  “…maka tanyalah olehmu kepada orang-orang yang berilmu, jika kamu tidak mengetahui.” (Surah al-Anbiyaa’ ayat 7)

Masa berlalu pantas juga adalah merujuk kepada perkembangan teknologi dan pengangkutan. Manusia akan menjadi semakin hampir antara satu sama lain disebabkan kewujudan telekomunikasi dan perkembangan kenderaan pantas seperti kapal terbang dan kereta api laju. Perjalanan antara satu tempat dengan tempat yang jauh hanya mengambil masa yang singkat sahaja sehingga manusia mampu berulang-alik dalam tempoh yang pendek.

Nabi SAW  bersabda yang bermaksudnya: “Daripada Abi Hurairah RA: Nabi SAW  bersabda: “Tidak akan terjadi Hari Kiamat sehingga masa (zaman) pantas berlalu: Setahun seperti sebulan, sebulan seperti seJumaat (seminggu), SeJumaat seperti sehari dan sehari seperti sesaat. Satu saat yang dimaksudkan adalah nyalaan api yang membakar ranting kering.” (Hadis riwayat Ahmad, 10560)

Semua keadaan yang berlaku adalah merujuk kepada cepatnya masa berlalu dalam erti kata sebenar pada akhir zaman. Allah SWT  akan menjadikan hari-hari sepanjang yang Dia mahu dan sependek yang Dia mahu dengan menggantikan malam dan siang dalam keadaan manusia sedar tentang perkara itu. Dalam risalah Risale-i Nur yang dikarang oleh Badi’uzzaman Said al-Nursi, beliau turut mengambil berat mengenai tanda-tanda kiamat yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW . Salah satu hadis Rasulullah SAW  yang menakjubkan telah diulas oleh al-Nursi dalam kalimah kedua puluh empat, prinsip kelapan yang berbunyi:

Jabir RA  mendengar daripada Nawwas ibn Sam’an RA  berkata: “Wahai Rasulullah, berapa lama Dajjal akan tinggal di muka bumi? Baginda menjawab,  selama  empat  puluh  hari,  satu  hari  seperti  satu  tahun,  satu  hari  seperti  satu  bulan,  satu  hari  seperti  seminggu, kemudian bakinya adalah seperti hari-hari biasa kamu semua lalui.” (Hadis riwayat Muslim 18:66)

Daripada hadis tersebut al-Nursi telah mengulas antara lain bahawa: “Dajjal yang merupakan salah satu tanda  kiamat  telah  diperjelaskan  oleh  Rasulullah SAW  bahawa  ia  akan  mengalami  sehari  sama  seperti setahun dan sehari sama seperti sebulan dan sehari adalah seperti seminggu. Manakala baki-baki harinya sama seperti hari-hari yang kita lalui. Dunia mendengar suaranya dan dia mengelilingi bumi selama 40 hari. (Al-Nursi 2013: 354). 

Oleh yang demikian, saat dan waktu akan terus berlalu tanpa menghiraukan apa yang dilakukan oleh manusia. Masa yang berlalu tidak akan kembali. Hakikat yang berlaku ketika musim Covid-19 ini tidak terjangka oleh semua manusia. Masa dilihat semakin pantas berlalu sehari demi sehari. Ketakutan dan kebimbangan menguasai kehidupan masyarakat. Justeru itu, manusia perlu sedar bahawa, kehidupan ini akan tamat tidak lama lagi dan perhimpunan besar di hadapan Allah SWT adalah pasti.