• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,273,617 orang
  • Kandungan Blog

Bahaya sifat takbur

Prof Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Takbur atau sombong, bongkak dan angkuh adalah antara sifat keji yang dilarang oleh Islam kepada umatnya. Ini kerana sifat tersebut membawa padah dan akibat yang buruk, bukan sahaja kepada dirinya sendiri, bahkan juga kepada bangsa dan negaranya. Takbur itu ialah sifat memandang rendah, jijik dan hina kepada orang lain terutamanya kepada orang yang kurang bernasib baik dan miskin dari segi hartanya, ilmunya atau keturunannya.  

Jika ditinjau dalam helaian al-Quran, Allah SWT sebenarnya mengharamkan sifat takbur ini daripada dihiasi dalam peribadi Muslim yang bertakwa kepada-Nya. Firman Allah taala yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong takbur.” (Surah Al Nahl, ayat 23)  

Dalam ayat yang lain, Allah SWT berfirman maksudnya: “Dan janganlah kamu berjalan di bumi ini dengan berlagak sombong kerana sesungguhnya kamu tidak akan dapat menembusi bumi dan kamu tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang.” (Surah Al Isra’, ayat 37) 

Maksud ayat tersebut secara jelas Allah SWT melarang umat Islam bersifat takbur. Bukankah Iblis dan sekutunya syaitan menjadi kafir akibat dari sifat kesombongan dan keangkuhan yang menguasai diri. Sifat sombong dan angkuh itulah yang menyebabkan Iblis menjadi makhluk yang terkutuk sepanjang masa. Keangkuhan Iblis terserlah dalam bentuk keengganannya untuk memberikan penghormatan kepada Nabi Adam as kerana dia merasakan kejadian dirinya lebih baik berbanding dengan kejadian Nabi Adam AS. Akibatnya, Iblis dihalau keluar dari syurga dan seterusnya kesombongannya itu hanya mengundang laknat dan kutukan dari Allah SWT kepadanya sebagaimana kisahnya dirakamkan lewat firman-Nya yang bermaksud: Allah berfirman: “Turunlah engkau dari syurga ini kerana tidak patut engkau berlaku sombong di dalamnya. Oleh sebab itu, keluarlah, sesungguhnya engkau dari golongan yang hina.”  (Surah Al A’raf , ayat 12) 

Nabi Adam AS  membuktikan dirinya sebagai makhluk yang terbaik dengan mampu menjawab berbagai macam pertanyaan dan persoalan yang dikemukakan kepadanya sebagai prasyarat pelantikannya sebagai khalifah Allah untuk memakmurkan muka bumi Allah yang terbentang luas ini. 

Jelas daripada kisah Iblis dan Nabi Adam AS bahawa kesombongan itu bukan sahaja akan menghilangkan kewarasan dan objektiviti dalam berfikir dan menilai sesuatu, malah ia juga akan menghalang seseorang daripada menerima hidayah dan petunjuk dari Allah SWT. Inilah maksud yang terungkap dalam firman Allah SWT  yang bermaksud: “Aku akan memalingkan (hati) orang-orang yang sombong takbur di muka bumi dengan tiada alasan yang benar dari (memahami) ayat-ayat-Ku (yang menunjukkan kekuasaan-Ku); dan mereka (yang bersifat demikian) jika mereka melihat sebarang keterangan (bukti), mereka tidak beriman kepadanya dan jika mereka melihat jalan yang (membawa kepada) hidayah petunjuk, mereka tidak mengambilnya sebagai jalan yang dilaluinya. Dan sebaliknya jika mereka melihat jalan kesesatan, mereka terus mengambilnya sebagai jalan yang dilalui. Yang demikian itu kerana mereka mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka sentiasa lalai daripadanya.” (Surah Al A’raf, ayat 146) 

Selain itu, harta benda melimpah ruah yang dikurniakan Allah SWT kepada seseorang manusia juga adalah antara punca yang menyebabkan seseorang itu bersifat sombong dan takbur hingga dia mendakwa bahawa semua harta benda yang diperolehinya itu adalah merupakan hasil usahanya sendirinya. Harta benda yang banyak inilah yang telah menyebabkan Qarun lupa diri, lalu bersifat sombong dan takbur hingga dia mendakwa bahawa harta tersebut diperoleh melalui usahanya sendirinya.

Akhirnya, Qarun telah dibinasakan Allah SWT  bersama-sama dengan harta kekayaannya sebagaimana kisahnya tersebut dirakamkan Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud: Qarun menjawab (dengan sombongnya): “Aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku. (Kalaulah Qarun bijak pandai) tidakkah dia mengetahui dan pandai memahami bahawa Allah telah membinasakan sebelumnya dari umat-umat yang terdahulu, orang-orang yang lebih kuat daripadanya dan lebih banyak mengumpulkan harta kekayaan. Dan ingatlah orang-orang yang berdosa (apabila mereka di seksa) tidak lagi ditanya tentang dosa-dosa mereka (kerana Allah sedia mengetahuinya).” (Surah Al Qasas, ayat 78)

Selanjutnya, ilmu pengetahuan juga adalah antara daya tarikan yang dihamparkan syaitan hingga seseorang itu mengaku dirinya telah lengkap dan tinggi ilmunya serta dimuliakan Allah SWT. Sifat takbur yang paling buruk sekali ialah apabila seseorang itu tidak mengamalkan ilmu pengetahuan yang telah dipelajarinya samada ilmu agama maupun ilmu pengetahuan keduniaan yang memberi manfaat.

Oleh kerana ilmu pengetahuan itu adalah hak atau kebenaran, maka orang yang tidak mahu tunduk dan menerima kebenaran itu dengan sendirinya telah menentang Allah SWT. Kerana kesombongan seseorang itulah yang telah menghalangnya daripada menerima hidayah Ilahi dan kebenaran al-Quran sebagaimana yang berlaku kepada masyarakat Quraish Makkah yang menolak kebenaran dakwah Rasulullah SAW.

Firman Allah Taala yang bermaksud: “Dan orang-orang kafir berkata: “Janganlah kamu mendengar al-Quran ini dan tentanglah dia (dengan nyanyian dan jeritan riuh rendah serta tepuk sorak) supaya kamu berjaya (mengganggu bacaan atau menenggelamkan suara pembacanya.” (Surah Fussilat, ayat 26) 

Di samping itu, sifat takbur bukan hanya menyerang kepada orang-orang yang berilmu, bahkan juga orang yang banyak amal ibadatnya. Di antaranya ialah orang yang beribadat dengan tujuan menarik perhatian orang sekelilingnya dan juga memikirkan ia adalah satu kelebihan bagi dirinya berbanding dengan orang lain. Malahan, dia juga sering terbawa-bawa dengan kesombongannya bila dia beranggapan bahawa semua manusia telah rosak agamanya dan sesat, hanya dia sahaja yang terselamat dan berpegang teguh dengan agamanya. Barangkali inilah amaran yang ingin disampaikan oleh baginda Rasulullah SAW  kepada umatnya lewat hadisnya yang bermaksud: “Apabila kamu mendengar ada orang yang mengatakan semua manusia telah binasa, maka yakinlah bahawa dia sendiri telah membinasakannya.” (Hadis riwayat Muslim) 

Melihatkan kepada bahayanya sifat takbur dan sombong dalam kehidupan ummah sejagat, maka setiap Muslim sewajibnya memelihara diri agar tidak menghiasi dirinya dengan sifat keji tersebut. Untuk itu, setiap Muslim dituntut bersifat tawaduk yang bererti merendah diri dengan disusuli perasaan hormat menghormati antara satu sama lain, tiada perasaan tinggi rendah maupun mulia dan hina. Sifat tawaduk ini adalah sifat lawan kepada takbur yang dilarang oleh Allah SWT. 

Selain itu, setiap Muslim seharusnya menginsafi hakikat asal usul dirinya dari tanah dalam usahanya untuk memerangi sifat takbur dari terus bersarang dalam lubuk hatinya. Apabila dia sudah menyedari akan hakikat dirinya, maka dia akan merasakan dirinya tidak layak memiliki sifat takbur tersebut kerana sifat takbur, kebesaran dan keagungan itu sebenarnya hanyalah milik mutlak Allah Taala sahaja. Dari sini, barulah dia akan menghargai ilmu yang dipelajarinya dan terus mengamalkan ilmu tersebut dalam seluruh lapangan kehidupannya. Keharmonian padu antara ilmu dan amal akan menyerlahkan ketrampilan akhlak terpuji dalam peribadinya dalam konteks hubungannya dengan Allah Taala dan juga sesama manusia.  

Akhirnya, keinsafan seseorang Muslim tentang hakikat kejadian dirinya, tentang kewajipannya dan tentang balasan buruk sifat takbur, maka insya-Allah hatinya akan terbuka untuk bersifat tawaduk dan menjauhi segala sifat keji yang dilarang Allah SWT termasuk sifat takbur dan sombong tersebut.  

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: